Carl's Jr (atau Hardee's) pun ada dalam senarai boikot, aku dah berapa bulan juga rasa nak pergi makan ni.

Bukan nak cakap pasal ironi atau hipokrasi atau mematahkan semangat atau apa-apa je lah, boleh kata ini sekadar perkongsian. Cerita dia, aku beli Dunkin tadi sebab nampak diorang pun dah mula jual Pumpkin Spice. Jadi aku terai le. Memahami latar di cawangan ini secara kasar dan autopalatao, boleh kata kadang-kadang kopi (atau estrak espreso) dia memang kadang jadi, kadang tak jadi. Walau pada kebanyakan masa ada rasa tak jadi, tapi aku tahu kopi Dunkin antara yang bolehlah nak minum kalau minat panggang gelap (kahkah aku bantai je ni, dark roast sebenarnya, sebab kat Malaysia ni tak ramai penyedia kafe lokal yang gemar dark roast, mungkin belum faham hal kompleksiti dan budayanya? Atau boleh kata sebab jumlah isipadu estrak espreso yang digunakan-sebab kebanyakannya jual cawan kecil). Lepas beli, baru sedar Dunkin pun ada dalam senarai boikot (selalunya aku ada pendirian berbeza-beza tentang hal boikot, mungkin sebab ia bergantung kepada situasi dan waktu dan isu, tapi kali ni boleh kata nampak banyak jenama yang betul-betul terkesan dengan boikot, jadi aku fikir, boleh jugak aku sertai boikot ni, sebab ia sedang menampakkan kesan dan aku patut sokonglah) walaupun sebenarnya masa beli macam dah terfikir slogan promosi diorang 'America (ye, America, bukan American) runs on Dunkin'. Tapi sebab memang nak rasa Pumpkin Spice diorang, aku beli je. Lepas tu rasa agak kecewa juga, sebab memang lagi elok Starbucks dengan CBTL punya. Jadi, kebetulan aku jumpa entri pasal Dunkin' pun antara yang menaja genosida, jadi aku terus baca komen orang lain, dan ada yang cadangkan Krispy Kreme sebagai ganti Dunkin' (lagi-lagi sebab diorang memang ada buka tabung untuk derma kat Palestin. Tapi ya, Mekdi pun derma kat Palestin). Dekat Malaysia ni, Starbucks, Krispy Kreme, Kenny Rogers (pun aku baru makan tadi huhu) semua bawah Berjaya Food. Maknanya dalam kata mudah faham, dijaga oleh entiti yang sama lah walau semua operasi dan bpengurusannya berbeza. Aku tak mencadangkan apa-apa dengan maklumat ini, tapi kalau korang baca, ikutlah korang nak kira macam mana. Aku boikot ke tak boikot, memang aku tak pergilah sebab memang aku dalam fasa.. err.. struggling writer? Senang cakap, aku dalam fasa catu duit, jadi aku dah cuba potong segala benda yang membazir duit. Walau kadang-kadang terbeli jugak mamak. Nasib mamak dekat tempat kerja memang murah. Tak, bukan Pelita. Pelita haram tak sedap, tawar, pilihan lauk membosankan dan mahal. Belum campur pekerja biadab lagi. Silap-silap elok lagi perangai pekerja kedai nasi kandar lauk babi tu. 

Lengkap jugak koleksi

Semalam Sufian datang lepas tu dia cakap dia jumpa lagi Kota Para Insomnia (sebelum ni dia ingat dah habis dah kat dia) tapi ada dua keping je le. Jadi sekarang kat kafe ada koleksi lengkap buku-buku aku. Rasa macam nak buat kombo. Tapi tak tau nak tolak berapa koleksi lengkap ni. Oleh sebab memang dah habis murah dah aku bagi ni, rasa macam tak kombo sangat dah pun. Maknanya banyak yang dah aku turunkan harga sebab nak bagi habis (tapi tak habis-habis) jadi kalau buat kombo, mungking kurang setakat RM2 camtu. Mungkin kos pos aku boleh ejas la sikit (maknanya aku jual je lima buku tu RM100 tapi siap kos pos) tapi terfikir yang walk in atau COD pulak, nak bagi berapa pulak harga dia. Takpe, kita cuba dulu iklan. 

Mungkin aku patut tumpu tulis je kot.

Tak ingat kenapa, tapi ada rasa selebriti agak menjengkelkan. Walau ya, ia agak tidak adil sebab ia terlalu umum, sebab ada je yang sangat okey.  

Nak mulakan ni yang susah kalau tak ada permulaan yang kuat.

Untuk novelet saya seterusnya, saya perlu menonton (500) Days Of Summer sebanyak 500 kali. Kahkah.Takde la. Setakat ni mood yang aku perasan untuk novelet seterusnya ialah ulang tonton dan ulang pasang (500) Days Of Summer dan senarai main di youtube dari Lofi Cafe. Sekarang aku tengah pasang video dia yang berdurasi empat hari. Betul, korang tak salah baca, empat hari bersamaan sembilan puluh enam jam. Aku cadang untuk habiskan dalam sebulan. Sepanjang November. Dah kena dah dengan Nanowrimo. Walau aku tulis novelet jee.  

Rahsieee

Aku dah hantar novelet baharu tu untuk buat rekaletak dan semalam aku tidur pukul empat pagi (sebenarnya aku tak tahu pukul berapa aku tidur tapi dekat-dekat pukul empat tu aku dah bersedia untuk tidur la) sebab aku siapkan terus edisi DIY-AF. Sebenarnya macam kelam kabut aku nak buat edisi DIY-AF sebab nak kejarkan acara Sabtu ni. Kat REDA ada acara berganda, belah petang Laras 99 punya, belah malam Rumah Ripta punya. Jadi oleh sebab aku memang dah bajet novelet ni malas nak buat edisi fotostat dah tapi masih nak kekalkan tradisi DIY-AF, jadi aku akan buat sepuluh atau sebelas keping dan bagi percuma. Aku ingat nak bagitau kat twitter, siapa nak, aku bagi percuma tapi kalau pos kena tanggung sendiri la kos pos. Lepas tu aku ingat, baik aku bagi je kat siapa-siapa masa acara berganda nanti. Kira aku akan tweet dan kata ada menu istimewa kat REDA hari tu tapi kena minta dari aku sahaja. Bos dia pun tak tahu ada menu istimewa ni. Kahkah. 

Cuma sekarang kena suruh semua yang dapat tu jangan tunjuk dulu apa menu diorang dapat sampai la aku umum sendiri dan tunjukkan kaver untuk edisi umum tuu.  

Daaaaan yang bakal menanti saya selepas siap novelet ni ialah sebuah lagi novelet yang masih belum ditulis tapi ada tarikh akhir penghantaran.

Setel jugak novelet tapi ada dua benda aku nak buat sebelum bagi kat perekaletak, nak ubah bahagian perulangan supaya dia tak berulang sangat, dan satu lagi baca semula semua sekali untuk seragamkan segala benda. Kalau ikut hati aku, aku nak emel je dah terus. Sebab macam dah menagntuk dah. Ke aku patut tidur je lepas tu sambung esok? Tapi esok dah Khamis pulak dah. Sumpah aku rasa macam cepat gila kot masa berlalu.  

Aku ada idea power lagi ni, macam biasa.

Aku tak tahu kenapa, tapi aku ada pasang Quiet Chill Cafe (nama senarai main, bukan nama band atau muzik atau album) secara rambang dekat youtube dan tak rasa sangat muziknya tapi kesannya ada rasa macam sesuatu. Masa aku pasang tu, aku tengah menulis, ye, novelet yang aku dah kongsikan kaver depan dia tapi tak habis tulis lagi, dan aku dah tersangkut sejak beberapa minggu lepas. Jadi aku buka balik fail tu dan kebetulan terpasang senarai main ni kat televisyen kat youtube lepas tu lajuuu je aku menaip. Rasa macam, taip, t a i p , t  a i  p  , ta   i   p, taip, tahu-tahu macam, eh, bukan aku macam ada writers block ke, nape tenang je aku menaip. 

Lepas tu aku masih tak sangka apa-apa, jadi aku pergi kerja lepas tu pasang lagi sekali senarai main tu kat kafe, dan entah kenapa, senarai main ni memang terpasang sampai habis tiga jam lebih. Dan sepanjang masa tu kitorang semua dalam kafe macam rileksss je. Ada main kad, tapi main dengan tenang dan bertawaduk. Kahkah. Selalu main macam beriya nak menang, macam gaduh-gaduh strategi, kaw-kaw mempertahankan aksi kad la, tapi semalam, macam siap berkongsi strategi dan bagitahu tengah pegang kad apa waktu tu. 

Sempat juga aku borak dengan sorang tu, pasal senarai main ni, dan aku cakap, sebenarnya ni macam senarai main biasa je, aku sendiri boleh buat kat Garageband, lepas tu muat naik kat youtube, bagi la tajuk yang popular. Mesti ada je orang dengar. Lepas tu aku terfikir, betul jugak, kenapa aku tak buat camtu? Aku memang dah ada lagu dalam Garageband, patut aku panjangkan je lagu sampai beberapa jam lepas tu muat naik le kat youtube. Untung-untung banyak gile view. Okeh, aku set up satu jap lagi.  

Beberapa ulasan kegemaran untuk Hingar Sunyi Eterniti.

Dari blog Wan Nor Azriq

 Ah, novela: bentuk seni yang orang tidak kenal, namun sering menjadi medan novelis mengambil cuti, atau berlatih untuk menjadi tua. Risko waktu tidak terlalu tinggi seperti novel standard, mahupun terlalu mudah dan singkat seperti cerpen. Kalau novela adalah minuman, maka ia adalah piccolo latte. Saya akan sediakan ulasan lebih panjang untuk novela Mohd Azmen pada hujung tahun. Buat masa ini, secara ringkas, saya boleh kata novela ini bukan sekadar hingar. Ia adalah percakapan menuju eterniti.

 Dari instagram Ana:

Walaupun novelet lebih pendek berbanding novel, buku ini seakan membawa saya duduk bersama karakter-karakternya untuk berkongsi sunyi yang sama. Tentang hubungan persahabatan, momen dari masa lalu dan tentang seseorang yang sudah tiada dan masih ada. Di tengah kematian, karakter yang menjadi narator cerita ini menemukan 'seseorang' di dalam dirinya yang lahir di sela waktu yang singkat. Orang itu adalah 'ayah.’ Membuatnya mahu bertanggungjawab, mahu mengubah hal-hal kecil pada dirinya dan mahu melindungi. Saya tertarik kerana banyak karya hari ini lebih banyak bercerita tentang ibu dan saya lebih banyak mendengar orang membicarakan tentang naluri keibuan dalam diri wanita. Jarang diperkatakan tentang naluri seorang ayah dalam diri seorang lelaki.

Jap, aku boleh kira sebagai noveletis ke camni? Best jugak, dia macam kena dengan cerpenis.

Aku tak ingat aku pernah tulis ke tak atau aku dah tulis dekat enam belas kali, tapi aku selalu anggap beberapa projek penulisan pada separuh akhir tahun ni lebih kepada novelet sebab aku ada rasa kena ikut peredaran zaman (ye, bukan sebab trendy tapi sebab aku tergolong dalam penulisan kontemporari) dan hasilkan zine yang lebih sesuai untuk rentang perhatian zaman sekarang. Tapi Sufian pernah bangkang/bidas (okey tak bidas la sebab tu macam marah sangat), atau tidak sependapat dengan aku sebab buku nipis bukan makna boleh habiskan dengan cepat. Oleh kerana dia memang seorang sufi dari puncak, aku terkesima (kahkah sebenarnya aku macam tersedar, eh betul jugak, tapi aku kan memang jenis macam A-Team, suka merancang dan suka rancangan aku berjalan ikut perancangan - tapi selalu tak jadi, jadi aku teruskan je pelan aku sebab aku yakin dengan pembaca aku. Oh, dan sebab tu jugak aku suka main kad).

Walau rasa macam kelakar, tapi sumpah apa Sufian cakap tu betul. Masa aku keluarkan Hingar Sunyi Eterniti, aku bajet korang semua akan habis baca zine tu dalam masa mungkin sejam dua, atau paling lambat pun, dalam sehari dah setel. Nak tahu berapa ramai yang aku jumpa cakap tak habis baca lagi dari masa diorang beli yang edisi DIY-AF sampai edisi umum yang pertama dah habis jual? Lebih dari sorang (sebab pembaca aku bukan ramai nau pun, jadi kira ramai la ni, sebab tak salah aku, ada tiga orang pernah cakap dekat aku yang diorang tak habis lagi baca). Takde le aku paksa nak diorang terus duduk baca tapi aku tulis nipis je kot (walaupun ia ditulis hampir lapan tahun. Ke lebih?). 

Paling mengejutkan aku ialah, selain dari material nipis tapi lambat habis baca, ialah walaupun ia zine, walaupun ia nipis, tapi tak ramai yang dapat tangkap apa yang aku tulis. Semua ni berdasarkan dari reviu dioranglah. Ada reviu yang sangat pendek, tapi memang dapat tangkap keseluruhan makna dalam novelet tu. Sebenarnya aku tak patut bincangkan hal ni sebab bila dah cetak aku memang akan diam je kalau orang ulas atau komen. Tapi terpaksa aku bangkit dan bagi sikit hint; ia tentang eterniti, bukan tentang sunyi atau hingar.  

Aku ingat lepas ni, novelet yang lepas ni entah macam mana agaknya reviu, sebab boleh kata, aku menulis sebagai bukan aku. Haaa. 

Mengata

Kadang aku rajin mengata penulis lain dengan kawan-kawan dalam lingkungan, bak kata Sastranaut, menyatakan sikap. Kahkah. Sebenarnya diorang ingat aku bukanlah jenis yang senang nak mengata orang, dan memang betul pun, jarang aku nak mengata, tapi kalau kebetulan ia termasuk dalam topik dan kebetulan persoalan dalam perbualan tu memang masuk dalam hal menyatakan sikap, jadi aku terus terang je le. Selalunya jenis mengata aku ni, memang tentang satu hal - "Haram tak sedap dia tulis," atau "Aku sampai sakit kepala pening-pening sebab nak habiskan baca buku sebab tak sedap langsung." (Ya, aku masih lagi pegang prinsip untuk habiskan baca buku yang telah mula baca walau tak sedap. Tapi ada je aku tak habis sebab tak faham, tapi biasa aku redah je habiskan baca atau sambung sikit-sikit dalam sela masa yang sangat panjang.)

Tapi kadang-kadang kelakar juga, ada pernah aku mengata pasal satu tulisan yang tersiar, tahu-tahu tak lama lepas tu penulis tu menang anugerah sastera. Kahkah.  

Okeh esok, tapi jangan bawa ke media sosial lain pulak. Hal blog, habis kat blog je le.

Aku ada rasa nak siarkan gambar penuh kaver novelet seterusnya (bukan cinonet macam kat atas tu, hehe) walau aku masih belum siap tulis sebab aku dah siap buat kaver, dah siap dapat PDP dan ISBN, dan juga dah siap tanya quotation dengan Jin Wai berapa harga untuk cetak. Aku dah terlajak tarikh akhir dah hampir setengah bulan jugak ni, jadi kena siapkan cepat aku nak siapkan novelet seterusnya pulak. Lepas tu buku cerpen. Lepas tu novelet lagi. Lepas tu zine cereka dalam gambar dan patah perkataan. 

Lepas tu aku nak fokus main muzik pulak. 

Baik korang beli semua buku ke zine ke apa-apa material aku, nanti karang aku dah jadi femes, dah terlambat nak flex kata dah ngefan dengan aku dari sebelum mula lagi. Kahkah.  

Panik tapi mengantuk.

Sebenarnya aku dah boleh panik ni sebenarnya. Aku punya PDP untuk novelet seterusnya dah siap, baru dapat tadi kat emel. Tapi aku belum habis tulis. Lepas tu aku patut dah mula tulis novelet seterusnya, tapi dah 10hb masih belum mulaaa. Tapi paling penting, aku belum mulakan bacaan pruf. Pehhh, terpaksa aku mula stress eating, okey tak la, maknanya mula pi lantakla dengan diet. Baru nak kurus sikit, dah kena gemuk balik. Tak, aku masa menulis aku tak makan kismis, aku makan semua benda sebab aku malas nak fikir dan makan je apa aku nak dan terlintas dalam kepala sebab aku punya fokus memang dah sepenuhnya pada menulis. Mana ada waktu nak fikir bila nak senam ni, atau, oh ni aku tengah makan dan belum kenyang, baik aku berhenti makan, atau, okey dah pukul lima, dah boleh berhenti makan, walau kali terakhir makan ialah jam sebelas pagi, atau, oh aku kena makan nasi separuh dengan sayur tanpa sebarang kuah, atau, aku tak boleh minum air manis.  

Pasca acara

Sebenarnya ada rasa macam banyak benda berlaku sepanjang beberapa hari ni sebab sibuk dengan kafe dan acara luar, tapi sayangnya aku tak teringat langsung nak kemaskini di blog. Tapi ada banyak kemaskini dekat instagram, jadi, ikutilah aku di instagram dan juga ikutilah instagram Reda Coffee, kat sana ada banyak kemaskini dan secara tak langsung, aku pun ada sekali. Nanti kalau sempat, aku kemaskini la entri beberapa hari kebelakangan ni. Sekarang aku dah nak kena mula siapkan tugasan pembaca pruf untuk Laras, siapkan novelet untuk diri sendiri, siapkan novelet untuk penerbit lain, dan lepas tu, paling penting, aku nak kena mula set up aku punya kedai shopeeee. 

Ni yang paling malas kalau tersangkut dan tak boleh buat apa selain tunggu dia bergerak.

Sebenarnya aku lupa aku kena kurus cepat sebab nak kena ambil gambar dengan Sufian. Walau aku sekarang dalam kerangka diet jangka panjang, patut boleh cepat sikit progres dengan bersenam dan cuba elak makan malam (tapi sebenarnya tak banyak kali pun aku makan waktu malam tapi ada lagi sekali dua macam tu), lepas tu aku lupa yang aku nak kena ambil gambar, dan dalam masa sepuluh hari, baru turun dalam dua atau tiga kilogram macam tu. Aku target dalam lima kilo macam tu sebab diet malas-malas. Tambah pulak, aku tengah nak setelkan novelet dan tersangkut pada satu bab ni, dan tak dapat teruskan buat aku macam kena lantakla pasal makan macam tu tapi aku nasib baik diet pelan-pelan jadi, dia dah jadi macam rutin bawah sedar. Nampaknya malam ni nak kena la mula bersenam.

Jap, apa lagi aku nak kemaskini tadi, aku dah lupa. Oh ye, aku rasa aku kena cuti hari Isnin kot. Baru la terurus sikit seminggu tu. 

Jap, aku lupa lagi nak kemaskini apa lagi. Nanti la aku tulis entri lain lagi bila dah ingat.