Rasa bosan juga. Mungkin sedikit kecewa.

Bila kau dah lama tak menulis, kau akan susah tidur. Aku tak tahu nak kata jika ia adalah insomnia, tapi aku fikir insomnia adalah lebih teruk. Kebelakangan ini hidup rasa selesa--- aku tak ada masalah untuk tidur, aku cuma perlu letak kepala atas bantal, dan rasa dalam sesaat dua terus tertidur; cuma bila ia terlalu selesa, aku dapat rasa seperti bawah-sedar-aku tak menyukainya dan mula cari sesuatu untuk membuatkan aku rasa getir atau susah hati. Pertama sekali sekali aku rasa dia ganggu ialah tidur. Sejak mula kerja pejabat, aku kena pilih untuk aktiviti apa yang aku mahu buat dan tak boleh nak pilih semua. Dulu, masa awal kerja pejabat dengan rutin yang tetap (bukan seperti empat bulan terawal 2026, kerja pejabat tapi masih ada kerja lapangan dan jadual yang berubah-ubah), aku pilih untuk menulis bila sampai rumah habis kerja. Tapi sekarang, aku kena pilih untuk bersenam dan cukupkan sepuluh ribu langkah sehari, jadi lepas habis kerja, masa aku banyak habis untuk itu. Dan menulis hanya pada hari Sabtu pagi - ya, agak spesifik, sebab awal pagi Sabtu aku kena pergi hantar Ariana ke terapi dan memandangkan ia perjalanan yang agak jauh, jadi ia agak membazir masa dan petrol untuk balik ke rumah lepas hantar Ariana; jadi aku akan ke restoran mamak atau Mekdi untuk menulis, sampailah terapi Ariana selesai. Tapi kemudian, memandangkan cuti pejabat hanyalah Sabtu Ahad, jadi terlalu banyak benda yang hendak disumbatkan pada Sabtu Ahad itu hingga ada waktu, aku tak dapat nak meneruskan rutin Sabtu pagi. Aku rasa sekarang baru dua minggu, atau tiga minggu, aku terpaksa langkau rutin menulis Sabtu dan aku tak terfikir langsung untuk menulis lepas balik pejabat, tapi perlahan-lahan ia menganggu tidur aku. Walaupun aku masih dapat tidur, tapi agak rasa payah. Aku akan letak kepala di atas bantal tapi rasa macam menghabiskan lebih masa di liminal berbanding betul-betul tidur. Dan tak ada cerita yang terlintas di dalam kepala, langsung. Ia agak teruk juga. Sebelum aku tidur, bila aku letak kepala atas bantal dan pejam mata, akan ada beberapa cerita yang akan terlintas di dalam kepala, tapi sekarang tak ada langsung. Hanya ada tak-boleh-nak-fikir (bukan kekosongan, sebab kosongkan fikiran ialah hal yang berbeza) dan tak boleh tidur. 

Selain itu, aku mula rasa nak cari hobi lain - sepanjang minggu ni, aku mula fikir macam mana nak bina obstacle dan buat skatepark mini di belakang rumah, rasa seperti nak cari kamera bawah seribu ringgit, mula tonton video pov barista kemudian video tentang kafe-kafe kecil, kafe-kafe jalanan, dan mula terfikir jika aku patut ubah sedikit bahagian depan rumah untuk akses kafe kecil untuk bawa pergi dan pesanan dalam jaringan; dan paling ekstrem (bagi aku la) tiba-tiba aku asyik tonton video solo stealth camping dalam kereta. Aku rasa ni memang bagi petanda yang tubuh aku sudah rasa selesa sangat hingga aku perlukan cabaran - sedangkan sebenarnya aku dekat pejabat baru je mula tugasan baharu yang luar jadi skop kerja (sebab diorang tak cukup orang, jadi aku kena bantu kerja-kerja itu dan pelajari lebih mendalam tentang pekerjaan itu). Mungkin secara kreativitinya aku ketandusan aktiviti, menyebabkan ia terpicu semua ini.

Sebenarnya aku dalam situasi rasa nak berhenti menulis lagi. Ya, walaupun aku dah tahu dan pernah lalui sebelum ini - di mana kesudahannya aku akan terus menulis walaupun tiada penerbit yang sesuai - tapi walau lepas lebih sepuluh tahun menulis pun, penolakan tetap rasa ngilu, sama seperti waktu kali pertama. Tapi aku dah tak ingat pun penolakan kali pertama tu. 

Aku ada rasa macam sudah sampai waktu untuk kembali mendiamkan media sosial, fokus untuk habiskan Luka dan cerpen tambahan Insomnia, kemudian mulakan menyusutkan bukit tsundoku. Oh, rasa macam patut tulis dua skrip pentas, tapi itulah, tiada cerita yang melintas bila letak kepala atas bantal, buat ia agak sukar untuk mengarang.

Jadi, kesimpulannya, mungkin lain kali la aku tulis dua entri tu.

 Ada dua entri sepatutnya aku tulis, tapi aku dah patut tulis tu sejak, minggu lepas; tentang berkaitan pengarangan dan berkaitan Deftones tapi sebab dah lebih seminggu, aku tak tahu kalau aku masih lagi segar untuk menuliskannya---ia secara harafiah juga sebab aku sedang menaip jam empat pagi, baru balik dari Rahmath lepas balik dari Tayangan Larut Malam di Wayang Budiman dan aku macam mengantuk tapi tak begitu mengantuk sebab petang dah tidur dan juga lagi sejam perlawanan England-Panama dan Crotia-Ghana akan bermula. Tahun ini rasa lebih rancak nak tengok bola sebab RTM dah ambil hak penyiaran jadi aku boleh tengok bola mana-mana aku nak. Dekat pejabat, dekat kereta, dekat mamak (sebab diorang tak tengok bola, diorang tengok kriket-sebab aku tanya kenapa restoran tu tak pasang masa Brazil lawan apa entah dan itulah jawapan dia). Dulu jenuh gak nak mencari di dalam talian mana yang ada siaran langsung. 

Tak tahu la sebab baru tahun ni beriya sikit nengok Piala Dunia, tapi kali ni banyak perlawanan yang menarik dari pasukan-pasukan bawah anjing (underdog. kahkahakh). Untuk rekod, tahun ni macam beria sokong Curacao dan Cape Verde. Dan perlawanan Iran-Mesir tadi pun berdebar la siut lepas tahu kedudukan sebenar. Oleh sebab lagi sepuluh tahun, takpun lagi enam bulan, aku dah lupa pasal apa aku tulis ni, okey la aku terangkan. Kumpulan G ada Belgium, Mesir, Iran dan New Zealand. Masa perlawanan kumpulan terakhir yang berlangsung serentak, Belgium lawan New Zealand dan Mesir lawan Iran. Dalam kumpulan ketika itu, paling atas Mesir sebab dia ada 4 mata (satu menang, satu seri), lepas tu Iran dengan Belgium 2 mata (sebab dua-dua seri dua perlawanan). Perlawanan kumpulan yang terakhir, tiga-tiga Mesir, Belgium dan Iran semua masih ada peluang jatuh tempat ketiga, walau Mesir pun walaupun sekarang dia paling atas. Cerita dia kalau kedua-dua Belgium dan Iran menang, jatuhlah Mesir tempat ketiga. Nak jadi cerita, Belgium menang, jadi Mesir hanya perlu seri je nak lepas peringkat kumpulan. Sementara Iran kalau nak lepas, dia kena menang. Perlawanan Belgium dah setel tapi Mesir-Iran masih berjalan dan minit-minit akhir, Iran jaringkan gol. Dah rasa epik gila ah. Aku pun rasa macam, alamak Mesir. Tapi lepas tu gol tu batal sebab offside. Jadi, Mesir pun dapat la tempat kedua. Sehari sebelumnya pun sama. Tengok perlawanan Turkiye-Amerika. Tibeeee Turkiye menang. Bapak seronok. Haha. Walaupun Turkiye tak lepas, tapi okey la Amerika kalah. Tapi perlawanan yang paling aku rasa, nasib baik RTM amik secara langsung, bukan tertunda, ialah Ecuador-Curacao. Perlawanan berakhir dengan seri, tak ada jaringan tapi mendebarkan. Aku main nengok je, sekali best la pulak. Terus aku layan je mana-mana perlawanan, tak tengok pasukan sangat. Lagipun aku bukan sokong pasukan sangat pun, aku sokong bola. Hahaha. Aku terjumpa reels Pakistan kot, mana-mana pasukan yang jaringkan gol, dia sorak, sebab dia sokong bola, dan bola tu dibuat di Pakistan (betul, sebab lepas tu aku terjumpa reels ke apa entah, sejak Piala Dunia ke berapa entah, tapi lebih dua puluh tahun yang lepas la, bola Piala Dunia semua buat kat Pakistan, cuma ada beberapa kali je buat kat tempat lain). 


Adakah akan datang, Sebuah Catatan (2)?

Selepas menulis Sebuah Catatan Perjalanan Tentang Tanah Asing Bernama Kampung Halaman pada 2022, saya tak fikir untuk menulis lagi jurnal pendek atau travelog mini sebab, saya tak fikir saya akan ke mana-mana sangat. Selalunya memang begitu, saya tak selalu berpeluang untuk pergi jauh dan selalu tersekat dalam ruang yang sama. Lagipun Sufian Abas tak begitu gemar Sebuah Catatan, dia pernah kata dia rasa seperti mahu saya tulis balik manuskrip tu. Dan mungkin sebab itu ia tak pernah dicetak semula, selain kekangan kewangan. Kot. Tapi mungkin saya boleh faham, sebab terdapat perbezaan dalam gaya pengarangan saya di antara hasil penulisan fiksyen dan  hasil penulisan blog. Antara rujukan gaya penulisan blog yang terserap dalam pengarangan buku saya ialah Sebuah Catatan dan juga Adrenalin. Wan Nor Azriq kata Adrenalin gagal kerana menukar gaya. Mula-mula terfikir juga - macam sama je gaya penulisan saya, tapi kemudian saya fikir, mungkin kerana Adrenalin lebih mirip kepada sesuatu yang saya tulis di blog, jadi mungkin ya, ia masuk akal. Adrenalin ditulis dengan intonasi seperti menulis blog. Saya ingat lagi, inilah satu-satunya novelet yang di mana waktu saya mengarangnya, saya mahu mengarangnya dalam jangka pendek. Saya rasa tempoh menghasilkannya hanyalah sebulan (jika tak termasuk tempoh memeram dan bertenang dan entah apa - saya ingat saya tulis hari pertama hampir separuh atau lebih dari separuh dari jumlah keseluruhan buku. Tapi hari kedua bukanlah esoknya, tapi sebulan seterusnya. Maknanya. hari ni tulis separuh/lebih separuh. lepas tu bulan depan baru sambung balik) dan antara maklum balas yang saya terima ialah Beduk gemar naskah Adrenalin berbanding novelet lain. Saya jangka ini mungkin sebab Beduk gemar sesuatu yang pantas atau rusuh, sebagaimana saya menulis blog. Tapi ada juga yang meminati Adrenalin walau dia meminati judul-judul lain. 

Jadi, saya tak terfikir apa-apa, dan bila pembubaran DUN Johor, saya tak fikir apa-apa. 

Hinggalah Adam Taufiq Suharto mengemas kini status di Facebook dan kata satu-satunya buku dia baca tentang Pilihanraya Negeri Johor ialah di dalam Sebuah Catatan (rasanya sangat sikit dan tak begitu menangkap nuansa politikal waktu itu) dan dia akhir dengan soalan, jika saya akan menghasilkan sesuatu untuk PRN kali ini. Boleh jadi travelog. Boleh jadi buku foto. Boleh jadi filpen. 

Entah mengapa ia seperti melepaskan picu dan sesuatu telah tercetus dalam diri. Ia mencetuskan persoalan yang kemudian membuatkan kepala saya mula berfikir dan cuba menyelesaikan persoalan itu. Turut termasuk dalam faktor ini ialah bila Neesa Jamal teks dan kata mungkin kami akan menerima lagi royalti untuk jualan buku dalam masa terdekat. Saya kata, jangan bagi harapan palsu sebab saya dah tak ada lagi royalti yang sepatutnya akan diterima sebab perjanjian saya hanya untuk cetakan tunggal saja. Dan disebabkan Neesa Jamal juga orang Johor, saya katakan, jangan beri harapan palsu, saya sedang tiada jentera nak balik mengundi ni. Cafe scrambler saya dah mati cukai jalan dan saya malas nak habiskan banyak duit balik dengan membayar tol dan minyak dan motosikal saya yang lagi satu - Honda Wave pula sudah uzur. Dah lapan belas tahun pakai dan ia sudah mula perlahan-lahan meragam. Sangat tak sesuai untuk perjalanan jauh. Jadi saya kata tiada jentera perang dan tiada kamera untuk balik Johor.

Secara tak sengaja saya telah menyenaraikan dengan lengkap alasan kenapa saya rasa malas nak balik. Dan memikirkan opsyen yang ada. Opsyen yang kool. 

Jadi, jawapan untuk dua-duanya ialah

  1. balik naik kereta api
  2. beli Kodak Charmera

Okey, kita bincangkan yang pertama.

Saya dah lama nak naik keretapi lagi selepas kali terakhir mungkin dah lebih sepuluh tahun. Saya selalu berimpi untuk naik keretapi ke Kelantan tapi Beduk kata tak praktikal sebab ia akan berhenti di stesen yang jauh dari tempat saya mahu pergi. Dan yang lucu, dari Kuala Lumpur, kita akan ke Segamat dulu, barulah kita akan naik ke Pantai Timur. Okey, jadi saya patut naik keretapi. Nak naik bas ekspres, bukan dalam opsyen. Sebab saya dah puas naik bas ekspres.

Masih di dalam keretapi, persoalan seterusnya, apakah laluan perjalanan yang ada? Saya cuba pilih dari Klang ke Segamat tapi tiada perkhidmatan. Pelik juga. Rupanya saya kena naik dari Kuala Lumpur. Sama ada Kuala Lumpur atau KL Sentral. Okey, Klang ke Segamat. Pilihan tiket yang paling sesuai ialah pada awal pagi, perjalanan yang pertama. Berdasarkan jadual, sesi pertama ialah lima minit sebelum jam lapan pagi tapi seterusnya dijadualkan pada sebelas pagi. Agak banyak juga beza. Sebab saya bercadang untuk berhenti di Segamat sebelum menaiki bas ke Ayer Hitam, lebih kurang tiga-empat jam perjalanan, jadi saya kena sampai awal. Kalau yang pertama, saya akan tiba lebih kurang setengah jam sebelum sebelas pagi. Kalau pilihan kedua, saya akan tiba dalam setengah jam sebelum jam tiga - di mana ia sangat suntuk ekrana bas terakhir dari Segamat ke Ayer Hitam ialah jam tiga setengah petang. Agak berisiko tertinggal jika ada kelewatan perjalanan keretapi. Kemudian, saya kena fikir nak balik hari apa, sebab mengundi pada Sabtu. Kalau naik keretapi pertama, saya akan tiba sepuluh setengah, dan katalah naik bas pukul sebelas, saya akan tiba dalam jam tiga petang di Ayer Hitam, di mana agak berisiko sebab waktu  mengundi hampr tamat. Jadi, kena pilih Jumaat, tapi Jumaat kerja, jadi saya kena ambil cuti. Walaupun saya sedang simpan cuti rehat (tak banyak) tapi ada banyak hari saya perlu gunakannya akan datang. Lagipun kalau balik Jumaat, tak tahu siapa yang akan ambil saya di Ayer Hitam atau Parit Raja. Kalau ikutkan, saya nak minta kakak saya ambil tapi kalau Jumaat, dia belum tiba di sana sebab sudah pasti Jumaat dia bekerja. Jadi, untuk menyelesaikan masalah ini, saya terpaksa membuat perangkaan semula dan akhirnya memuktamadkan, akan menaiki keretapi pada hari Sabtu dan destinasi ialah Kluang, bukan Segamat. Kalau turun Segamat, memang tak sempat mengundi. Jadi saya naik hingga ke Kluang, sebab saya pun sebenarnya jarang ke Kluang. Dan tak begitu arif pun pasal Kluang. Lepas tu Ahad saya akan pulang dengan menaiki kereta kakak saya hingga ke Kajang. Dan dari Kajang, saya akan menaiki komuter ke Kl Sentral. Oh lupa, saya akan menaiki Honda Wave ke KL Sentral pada awal pagi dan tinggalkan di sana lepas tu balik dari Kajang, akan turun ke KL Sentral sambung naik motor ke Klang. Nampak advencer betul. 

Tapi taklah seadvencer yang saya fikirkan lagi satu opsyen tapi rasanya isteri memang takkan benarkan. 

Sebenarnya, di dalam jadual keretapi, ada banyak perjalanan ke selatan sepanjang hari. Ia bermula awal pagi hingga lewat malam. Secara tak sengaja saya terfikir, bagaimana jika saya menaiki keretapi malam? Dalam jadual, perjalanan terakhir ialah jam lapan malam dan akan tiba dalam setengah jam sebelum tengah malam. Macam best juga. Tapi masalahnya tiada kenderaan nak ke mana-mana bila tiba di Segamat dan ia pun dah tengah malam. Jadi ada tak ada, saya kena pergi ke mamak dua puluh empat jam dan tersengguk-sengguk hingga sebelum subuh. Bila subuh masuk, boleh pergi ke masjid untuk mandi dan bersihkan diri lepas tu solat subuh. Tidur kejap, atau mungkin tak, sebab nak jalan kaki bersiar-siar di sekitar bandar sebelum naik bas ke Ayer Hitam. Tapi sudah tentu isteri takkan setuju sebab bahaya. 

Okeh, masuk hal kedua.

Walaupun ia kedengaran mengada-ngada, saya rasa seperti malas nak ambil gambar pakai telefon bimbit (walaupun ia lensa Leica). Nak pakai Nikon Coolpix, kadang-kadang rasa sikit leceh dan ia pun macam dah bermasalah sikit. Jadi saya tak tahu nak pakai kamera apa untuk travelog (dah alang-alang naik keretapi kan, kalau naik motor tak pe lagi). Nak pinjam kamera Adam atau Beduk rasa tak konfiden pulak. Akhirnya saya terfikir kembali kepada kamera rantai kunci Kodak iaitu Charmera yang memang dah lama ada dalam troli shopee saya, tanpa fikir panjang, terus saya buat sikit kajian dan terus beli sebiji. Selepas cuba tadi, nampak ia lebih kepada estetik saja. Tapi bila fikir kembali, bukankah tulisan saya juga begitu, tak mendalam langsung, hanya sekadar estetik. Mungkin ia sudah dijanjikan. 

Jadi selepas secara tak sengaja berjaya mengatur perancangan bagaiaman mahu pulang ke Johor waktu mengundi nanti, sekarang hanya tinggal satu perkara saja tinggal, iaitu membeli tiket keretapi. Tapi setakat ni, saya masih menelaah apa beza koc-koc ni. Mana koc paling best ke yang banyak manfaat ke, sebab tak tahu.

Juga, selepas semua perancangan ini, saya tak pasti lagi apa material yang akan saya rilis. 

Kalau ikutkan, tahun ni aku dah dua kali letak jawatan. Ke tiga kali?

Tak pasti aku dah tulis dalam entri sini ke belum, setakat aku nengok, macam belum. Jadi, selepas sejumlah waktu yang berlalu dan juga keinginan untuk berhenti mengarang sekali lagi datang, aku dah putuskan, aku malas nak menunggu penerbit sangat lagi. Lebih kurang macam ni, makin lama, aku rasa makin terpinggir gaya penulisan aku, jadi aku dah tak tahu mana penerbit yang sesuai untuk gaya penulisan aku yang aku fikir ia terletak di antara indie dan sastera Malaysia (aku kena letak sastera Malaysia sebab aku sebenarnya masih konfius kalau kat luar diorang ada beza-bezakan antara literature dengan yang bukan, sebab sastera Malaysia agak rigid dan elit). Jadi aku fikir, aku ambil keputusan untuk tidak peduli. Aku akan berhenti rilis material tapi akan tetap mengarang material. Maknanya, aku akan tetap terus menulis dan simpan je semua tu sampai la aku jumpa penerbit yang sesuai. Aku rasa mungkin tahun ni masih akan keluar atau habis tulis dua material - novelisasi filem Luka dan cetakan semula Kota (Para) Insomnia dengan tambahan empat cerpen baharu (sekarang tengah fokus pada Luka dan cuba habiskan dalam dua tiga bulan ni sebab masa sangat terhad bila aku dah mula kerja tetap sepenuh masa, dan juga kejar masa sebelum mula menyambung sarjana - semoga dipermudahkan Tuhan; dan empat cerpen baharu tu, aku dah siap tulis tiga cerpen dan tinggal nak tulis lagi satu - kalau ikutkan antara empat cerpen tu, idea untuk cerpen yang terakhir nak tulis ni la idea yang paling awal tapi paling akhir ditulis). Selepas Luka dan Insomnia, aku tak rasa akan rilis apa-apa dalam masa terdekat. Cincin dengan Afrodisiak pula, memang akan simpan je la kot, sampai la penerbit yang aku hantar hari tu beri kata putus dan kalau mereka putuskan untuk tidak terbit, aku akan simpan je la kot. Dan beberapa material yang aku dah rancang (dalam senarai bawah, ditebalkan), aku akan tulis je la bila sengkang. 


  1. satu novelisasi dari filem
  2. satu novel sebagai penulis upahan
  3. satu novel pendek (bukan novelet atau novela, walaupun aku target dalam 30000 perkataan lingkungan novela, ia bersifat novel dan aku mahu ia dianggap novel, cuma pendek sikit)
  4. novel pendek lagi satu (sama, target dalam 30000 perkataan)
  5. rilis semula Kota Insomnia dengan empat cerpen tambahan (supaya nanti bila  Insomnia cetakan baru ni dah habis, aku akan buat satu buku dengan 4 cerpen tambahan Wiskipop dan 4 cerpen tambahan Insomnia, bersama 4 cerpen yang tak pernah terbit lagi, yang aku belum tulis lagi)
  6. novelet nombor 4
  7. litzin terjemahan (bukan) Bukowski - perca novel, cerpen, sajak dan esei
  8. kumpulan cerpen bertema kafe
  9. buku skrip campuran (radio, pentas, filpen, mungkin filem)
  10. kumpulan puisi
  11. kumpulan cerpen pendek (ya cerpen yang tak lebih 1000 perkataan dan total cerpen 100, aku baru tulis 40)
  12. siri tulisan di atas poskad


Kecuali nombor 2, aku rasa yang ni aku kena buat dan siapkan juga sebab nak duit hahaha. Maknanya lepas setel novelisasi dan cerpen tambahan Insomnia, aku akan cuba fokus pada novel upahan disamping mengurangkan buku-buku tsundoku. Yep, aku dah tak begitu kerap membaca jadi aku kena baca semua buku yang dipinjam untuk pulang.

Tak, aku tak percaya ada semesta selari - kita cuma ada satu kehidupan dan inilah ia.

Sebenarnya dah nak taip sesuatu tapi bila fikir semula, tak perlulah. Ia cuma satu perkara yang aku terfikir tentang segala hal kejadian sebelum ini tentang bagaimana kalau dalam hidup aku, aku membuat pilihan yang tepat untuk seperti yang aku baru sedari sekarang - ketika di dalam empat puluhan dan sebagai konklusinya ialah hanya ada Norazman - personaliti tunggal di dalam tubuh (tapi bukan bermakna aku ada personaliti yang berbeza, cuma nama samaran saja) dan tak ada Mohd Azmen. 

Tak ada Wiskipop, tak ada Polaroid, tak ada Insomnia, tak ada Catatan, tak ada Eterniti, tak ada Pandu, tak ada Adrenalin, tak ada CERPEN MA, tak ada Luka, tak ada Afrodisiak, tak ada Cincin.

Sejujurnya, aku rasa tak ada perubahan sangat pun. 

Sebenarnya aku dah taip entri ni lebih awal dalam henfon tapi terhenti sebab kena buat benda lain, jadi ni aku nak sambung tapi dah lupa aku nak taip pasal apa sebab aku ingat aku rancang entri ni panjang sebenarnya jadi korang baca je la takat aku tulis masa tu sebab aku dah lupa amende aku nak cakap sebenarnya

 Jadi sekarang, selepas beberapa ratus ribu kali bertangguh, aku dah mula diet balik, walaupun tak begitu bersih sangat. Oleh sebab aku dah bertukar kerjaya dari biro statistik kepada pekerja baris hadapan, aku ambil peluang ini untuk ubah rutin. Dia lebih kurang macam ni, bila kau dah selesa kat tempat lama, memang agak susah nak ubah rutin dan akaan jadi satu hal lagi untuk kau terangkan pada orang sekeliling tentang apa yang kau sedang buat atau ubah. Lagipula, rutin yang biasa tu dah terlalu jadi kebiasaan, jadi ia agak sukar. Jadi bila aku bertukar tempat kerja, secara automatik, aku perlu ubah rutin, suka atau tidak. Sebab aku kena adaptasi dengan tempat baharu. Dan ia lebih mudah. Sebab kawan kawan dan kenalan baharu takkan banyak soal sangat sebab rasa segan dan kekok belum habis, inikan pulak nak tanya macam macam. Selalunya mereka akan tanya benda yang paling nak diketahui saja. 

Jadi, tempat baharu aku, di unit kewangan dan aku sorang je pekerja yang baru masuk dan pekerja lelaki tak ramai—staf lelaki seorang, penyelia atau ketua atau penolong-entah-apa ada lelaki 2 orang (bukan diorang je la dalam unit, ada ramai lagi tapi semua perempuan). Pejabat di tingkat dua (tingkat tiga bagi orang Melayu sebab tingkat bawah kadang kadang kita panggil tingkat satu) dan tak ada lif. Kat hospital ni sepatutnya ada tiga kafe sebab hospital ni besar, tapi satu kafe je yang bukak, dua lagi tutup sebab tamat kontrak katanya. Okey, di sini boleh rumuskan begini, kerja aku memang sentiasa berada di pejabat dan berada di kaunter penerimaan, takde lari lari keluar. Begitu juga staf lain, diorang semua akauntan, jadi kerja memang duduk je satu tempat dari awal pagi sampai habis pada waktu petang. Dan mereka memang tak keluar rehat - rutin diorang ialah beli makanan siap siap atau pesan penghantaran atau bawa bekal dari rumah, seawal 12 tengah hari dah boleh mula makan perlahan lahan kemudian waktu rehat hakiki jam 1 petang, diorang matikan lampu pejabat dan tidur kat meja masing masing. Aku nampak ini peluang untuk mula diet dan aku cuma buat makanan ringkas setiap pagi. Pagi aku kena bangun awal sikit, sebab aku kena goreng ayam untuk bekal aku. Sebab aku malas nak fikir, aku tetapkan makanan tengah hari aku setiap hari, kalau aku sempat bawa bekal, ialah telur goreng atau telur rebus atau telur dadar (tapi takat ni telur goreng je sebab malas nak fikir), ayam goreng dan timun jepun. Memang ringkas dan mengenyangkan. Cuma mungkin aku kena makan sarapan pagi sebab aku macam rasa perut masuk angin nak tunggu makan tengah hari - mungkin ni sebab masa perangkaan dulu, kitorang ada tabiat jam lapan pagi atau lapan setengah pagi, akan ramai ramai pergi sarapan (ye, stereotaip itu benar tapi aku ada je alasan tapi malas nak taip hahaha).

menjadi foti

Menjadi empat puluh adalah menyedari mengapa definisi belia berakhir pada umur empat puluh. Walau aku tak pernah begitu terfikir mengapa empat puluh masih belia, tapi aku selalu fikir mengapa tiga puluhan masih dikira belia? Dan bila melintasi empat puluh baru aku sedar empat puluh adalah di mana tubuh tidak lagi berpura-pura menjadi muda. Berpura-pura menjadi belia. Seperti tiga puluh. Aku akan selalu terfikir, tiga puluh taklah teruk sangat dan ia tak terasa berusia seperti aku selalu fikir waktu kecil---malah aku selalu fikir dua puluh tujuh ada dewasa dan berusia. Begitu juga dengan tiga puluh lima. Tapi melewati umur-umur ini, baru aku sedar mengapa empat puluh adalah tahun terakhir kau menjadi belia. 

Menjadi empat puluh adalah bila tubuh tidak lagi berselindung untuk mendaki usia. Walau ia hanyalah permulaan. Dan ia bermula dengan rabun dekat. Ia akan jadi lebih teruk jika kau memang sudah rabun jauh sejak awal. Punya kedua-dua rabun pada waktu yang sama adalah sesuatu yang menjengkelkan. Harga kaca mata jadi lebih mahal dan kau boleh saja untuk abaikan dan pakai saja seperti biasa tapi tidak, ia takkan jadi lebih biasa. Kau akan kelihatan bersusah payah untuk melihat tulisan kecil. Dan kau masih perlukan cermin mata itu untuk lihat benda jauh. 

Menjadi empat puluh adalah menyedari segala hal yang kau sebenar-sebenarnya kau arif berbanding yang kau minat. Aku empat puluh dua tahun ini dan aku baru menyedari yang aku lebih arif dengan angka. Selepas empat puluh tahun. Walaupun aku tahu aku agak baik dengan subjek matematik, angka, dan biasa punya keputusan peperiksaan yang baik dalam subjek ini, tapi aku selalu fikir, kecenderungan aku ialah bahasa sebab aku tak pernah gagal dalam subjek ini dan bahasa Melayu aku (kalau tak silap) tak pernah dapat bawah dari A sejak dari sekolah rendah. Ia buat aku fikir yang aku gemar membaca dan ia seterusnya membuat aku fikir yang aku gemar subjek membaca. Sedangkan sebenarnya aku tak begitu arif dalam subjek membaca. Subjek pemasaran, teknologi maklumat, kewangan atau ekonomi, semua itu subjek yang perlu banyak baca dan orang kata subjek membaca lebih senang dari subjek mengira dan aku percaya. Tapi aku lupa, waktu SPM, aku hanya benar-benar belajar pada tahun terakhir sekolah menengah. Secara harafiahnya, tak belajar dan peduli tentang pelajaran, matapelajaran dari tingkatan satu hingga empat, dan hanya pada tingkatan lima, aku ambil buku dan mula belajar. Matematik moden dapat A1. Matematik Tambahan? 7D. Walau kau boleh kata gred lulus mungkin telah direndahkan, tapi situasi aku - Matematik Tambahan aku tak jawab semua soalan dalam kertas peperiksaan dan aku hanya belajar Matematik Tambahan pada tingkatan lima dan itupun tak semua - kerana aku berpindah ke sekolah baharu masa tu dan cikgu Matematik Tambahan tu dah buat silibusnya sendiri; sepatutnya sudah tetap pecahan tajuk mengikut tingkatan empat dan tingkatan lima tapi cikgu itu buat pecahan sendiri, menyebabkan ada subjek yang aku belum belajar di tingkatan lima, dia dah ajar tahun sebelumnya di tingkatan empat waktu aku belum berpindah ke situ. Dan ada subjek yang aku dah belajar di tingkatan empat, dia baru nak ajar di tingkatan lima. Dan bila masuk diploma, aku masih dapat A1 untuk subjek MAT140 walaupun mereka kata ia matapelajaran killer. Ramai tak lulus dan kena ulang sem sebab subjek ni. Begitu juga dengan subjek akaun. Aku dari aliran sains dan tak pernah belajar langsung akaun dan aku kena ambil subjek akaun beberapa kali di universiti dan tak pernah mengulang kertas. Cuma subjek kewangan, walaupun ia adalah subjek mengira, tapi sebenarnya ia adalah subjek membaca dan mengira sekali gus. Mungkin sebab itu aku tak pernah minat pada subjek kewangan dan terpaksa ambil banyak subjek kewangan masa ijazah sebab kampus aku tiba-tiba bercadang untuk buka pengajian yang aku pilih tapi elektifnya semua pelajaran kewangan. Tapi pada empat puluh dua, apa je kau boleh buat dengan kesedaran ini? 

Menjadi empat puluh adalah di mana kau akan dilihat cool oleh budak-budak muda jika kau dari dulu menongkah arus tapi akan jadi membosankan dengan kawan-kawan sebaya kau. Kau ada dua puluh tahun pengalaman untuk tak berbuat benda yang sama setiap kali dan kau akan kedengaran unik pada kawan-kawan kau yang hampir dua puluh tahun lebih muda. Dan kau takkan kekok dengan mereka seperti kau kekok untuk berbual dengan mereka yang sebaya dengan kau. Atau lebih tua. Atau mungkin itu hanya kau saja. 

Menjadi empat puluh juga, mungkin akan buat kau rasa seperti kau mahu jadi seperti Mieko Kawakami, walau idola kau, seperti setiap kalinya, adalah Bukowski. Si tua kutuk yang hodoh.

Menjadi empat puluh adalah, sekali lagi, menyedari tubuh kau telah mengkhianati kau setiap kali. Kau takkan sedar bagaimana ia bermula tapi bila kau menyedarinya, kau akan fikir tubuh telah mengkhianati kau. Kau tak lagi boleh minum kopi dengan selesa, kau takkan boleh minum susu tanpa perut bergelodak dan kau akan rasa semua benda terlalu manis dan terlalu masin. Kau tak pernah fikir hal-hal seperti gerd atau gastrik atau kembung perut selepas menjamah atau menghirup sesuatu tapi selepas empat puluh, kau akan mula menyedarinya walau sebelum ini kau tak ada masalah untuk minum lima cawan latte sehari. Atau sejag besar americano. Kau tak fikir tentang kolestrol sebab kau kurus (atau sekurang-kurangnya berada di paras BMI berhampiran). Atau tentang tekanan darah; jika ia terlalu rendah atau tinggi. Tapi selalunya tinggi. Adakah terlalu tinggi?

Menjadi empat puluh juga buat kau rasa asing dengan malam, dengan lewat malam. Kau tak rasa akan begitu mendampingi malam tapi malam akan mendakap erat waktu kau pejamkan mata. Bukan ketika kau bukakan mata. Tapi kau perlukan dunia untuk tidur ketika kau mengetik papan kekunci tapi menjadi empat puluh, kau yang akan bersama dunia untuk tidur bagi pengarang lain menempuhi malam dengan menekan papan kekunci. Tak ada insomnia untuk kau. Yang ada hanyalah kesedaran waktu yang cukup-cukup untuk kau bersiap ke tempat kerja. Dan begitu juga pulang kerja - hanya ada waktu yang singkat untuk kau bersiap ke tempat tidur semula. 

Menjadi empat puluh bukan lagi tentang kau. Ia tentang makhluk-makhluk kecil yang comel yang buat kau bangun pagi dan meredah trafik untuk ke tempat kerja. 

Cuma belum kurus macam tiga puluhan jee

Rasa macam tahun yang panjang, tapi sebenarnya baru habis April. Dan selalu fikir, tiga puluh adalah di mana aku rasa, aku akan buat dan terokai benda baharu sebab satu-satunya hal yang akan menahan kita dari melakukan dan mempelajari sesuatu adalah diri sendiri. Dan ya, aku lakukan itu dan percubaan itu mendefinisikan sedekad lebih seterusnya. Tapi agak mengejutkan bila aku fikir empat puluh akan buat aku jadi lebih perlahan dan tenang seperti mana aku memulakan empat puluh tapi aku dah mula rasa empat puluhan adalah ketika aku mahu lakukan lebih lagi berbanding tiga puluh. Maksud aku, tiga puluh adalah di mana aku menerokai kopi dan kerja-kerja belakang tabir di kafe-kafe, dan juga dekad memulakan perjalanan sebagai pengarang; dan kedua-dua ini adalah identiti yang aku bawa bertemu khalayak sama ada baharu atau lama. Dan tahun ini, aku mulakan dengan kembali bekerja di pejabat (dan juga lapangan). Sesuatu yang aku tak rasa aku akan punya tenaga untuk melakukannya pada sepanjang dua puluh, dan mungkin sebahagian tiga puluh, tapi agak bersemangat pada empat puluh. Aku terbaca pernah je seseorang berjawatan besar, berpindah kerja dan mengambil jawatan lebih rendah dan ia bukan menurun taraf, tapi sebaliknya kerana mahu berehat. Boleh juga kata prapersaraan. Lebih kurang begitu juga aku fikir bila masuk kerja pejabat sebab aku selalu anggap yang aku tak ada apa sangat yang mahu dikejar pada umur begini (sebab dah tak berjaya nak jadi apa yang dikehendaki, atau memang takkan berjaya dapat apa yang diingin---merujuk kepada kerjaya) jadi baik juga aku kerja je apa-apa dan anggap ia sebagai pekerjaan persaraan. Senang cakap, kerja yang tidak memerlukan tanggungjawab yang banyak sambil hidup dengan seminimal yang mungkin. 

Dan ia menyeronokkan. Cuma ada waktu aku tak boleh terlalu selesa. Atau mungkin aku terlalu ingin tahu. Jadi bila ada tawaran kerja lain, aku terima je sebab rasa nak tahu. Dan aku juga masih boleh patah balik jika aku. Dan itu juga yang aku lakukan. Selepas empat bulan, aku berhenti kerja, kerana dapat tawaran - gaji yang sama dan jawatan yang sama - di tempat lain. Tak ada beza sebenarnya tapi entah, aku tak tahu macam mana nak menolak dan aku hanya kata, ya.

Mungkin teringin tahu bagaimana kerja di sebelah sana selepas dah tahu bagaimana kerja sebelah sini.  Berbelah bagai juga walau tak tahu kenapa. Dan sebenarnya, aku tak rasa aku yang tiga puluh akan buat perkara macam ni. Aku yang sekarang, rasa teruja untuk terokai lebih pengalaman, dalam masa singkat, walaupun, entah, ia mungkin tak ada apa-apa makna. Tapi mungkin sebab aku percaya. Hal yang mirip adalah bila aku bertekad untuk beli pad, papan kekunci dan tetikus waktu di kafe sebab aku rasa seperti ada desakan. Walaupun aku rasa, aku boleh saja berpuas hati dengan apa yang ada ketika itu, tapi entah, aku rasa aku perlu beli entah apa, untuk beberapa kali, dan cakap pada diri sendiri, ya, ia perlu dibeli. Agak lucu juga, sebab beberapa bulan kehadapan, aku memang perlukan semua itu waktu kerja di pejabat. Tapi ia bukanlah alasan yang kukuh pun, sebab penggunaan peranti memang sentiasa diperlukan, tak kira apa alasannya. 

Dan sekarang, aku di antara transisi dari statistik kepada kesihatan. Dan entah mengapa, terselit di antaranya, ialah keinginan untuk sambung belajar. Ambil Master. Aku yang tiga puluh memang dah tahu, hampir tiada langsung keperluan bagi aku, untuk menyambung pelajaran. Sebab satu-satunya alasan, jika aku mahu menyambung pengajian ialah untuk jadi pensyarah. Di mana aku tak rasa aku akan layak atau sesuai jadi pensyarah. Tapi sejak beberapa minggu, aku terfikir apa pilihan yang ada untuk sambung pengajian, boleh ke melompat dari perniagaan kepada bahasa, tapi paling penting, ada ke waktu dan duit untuk aku sambung belajar? Semuanya aku rasa bila seorang kawan kata aku boleh jadi pensyarah sebab nampak layak/sesuai. Dan selang beberapa hari, ada kawan lain kata, pensyarah penulisan di fakulti tak pernah menghasilkan buku. Ia agak ironi di situ. Terasa ia seperti sebuah panggilan untuk menjadi pensyarah-penulisan-yang-menulis di situ. 

Cuma tak rasa ia mudah. Sebab hanya ada pengalaman tak formal sebagai seorang penulis. Tapi bila fikir, aku ada sasaran dua puluh tahun sebelum bersara untuk mengumpul kembali duit, aku terasa mungkin aku patut cuba. Tapi entah. Rasa macam, ia sebuah pertaruhan yang besar, sebab melibatkan jumlah wang yang besar bagi aku. Tapi tak tahulah. Ada waktu, kita tak merancang tapi semuanya telah dirancang untuk kita. 

Sebenanrya aku lupa ni bulan Polaroid.

Ya, sepatutnya ada sesuatu yang aku mahu kemas kini dalam entri tapi lepas tu tak tertaip. Ada dua, dan aku tak ingat dah salah satu. Mungkin nanti nanti aku taip yang satu aku ingat tu.

*

Tak pasti bagaimana tahun ini berlalu, tapi ia terasa lebih laju berbanding beberapa tahun duduk di belakang bar alpaka. Aku selalu fikir, bagaimana pantasnya waktu berlalu bila kita tak terikat dengan sistem waktu pejabat, lima hari seminggu, dua hari hujung minggu, dan waktu terasa seperti bebas dan aku selalu kata, eh dah Khamis/Jumaat? Tapi bila tahun ini aku memutuskan - yeah, kenapa tak, sedangkan pada umur 30 tahun aku buat sesuatu yang baharu yang mendefinisikan 10 tahun seterusnya - untuk kembali ke rutin-rutin pejabat, aku tak sangka, ia lebih pantas berlalu. Mungkin kerana lebih banyak waktu yang dihabiskan dalam seharian, jadi minggu terasa lebih laju. 

*

Dalam sela waktu ini, beberapa perkara yang mengganggu ialah kadang-kadang sukar tidur (berbanding selepas bekerja di pejabat, aku tak ada masalah nak tidur dan selalunya akan terus tidur bila aku kata nak tidur dan baring di atas katil). Walaupun tak kerap, mungkin entah sekali dua saja, dan mungkin itu sebab panas, tapi kesukaran tidur bagi aku adalah seperti menyatakan ada sesuatu yang perlu aku tulis. Dan sekarang, selepas CERPEN akhirnya dijual, terasa seperti desakan untuk menghantar manuskrip dan terbitkan buku lain pula walaupun tiada material yang dah siap. Okey, mungkin ada tapi manuskrip masih tergantung pada penerbit. Rasa macam nak je tanya tapi, malas. Jadi, aku fikir tahun depan je lah aku hantar kat penerbit lain. 

*

Ia sela yang agak panjang - mungkin kerana puasa dan hari raya, atau mungkin entah - dari kali terakhir menulis. Tapi bila fikir semula, ia selalu begitu juga, sama seperti skateboard dan membaca. Nak habiskan A Death In the Family tahun ni dan nak mula menolak papan luncur tapi tak berjaya lagi. Sama juga dengan praktis gitar. Oh, dan juga diet. Oh well, semua ini perlukan waktu.

*

Mungkin aku patut buat lagi zine sebab desakan nak rilis sesuatu. Mungkin patut buat zine tak-payah-fikir-panjang. Mungkin patut buat zine sumbat-je-lah-semua. Mungkin buat zine yang tak-payahlah-nak-desain-desain-banyak-sangat.

Waktu berlalu ketika kita menoleh

Okey, aku tak tahu macam mana nak cakap tapi lebih kurang beginilah - aku dah masuk kerja waktu pejabat semula. Macam tak banyak berlaku tapi banyak juga benda nak kena buat seharian. Dan semuanya kecuali mengarang. Mungkin kena macam tu kot baru akan ada banyak rilisan. Dalam sebulan dua nanti akan rilis buku baru. Kali terakhir rasanya Adrenalin pada Januari 2025 kan? Dan eceran? Mungkin 2023. Jadi eceran akan rilis juga dalam sebulan dua lagi. 

Tak, sebab bukan dunia aku ni aku rasa.

Tak ingat apa azam aku untuk 2026 sebelum ni, tapi aku cuma berharap untuk setelkan dua projek novel dengan cepat dan tolong ingatkan aku jangan ambil kerja menulis untuk orang lain lagi. Kahkahkah.