Sebenarnya dah beberapa waktu rasa nak putus asa; ia selalu datang dan rasa ia seperti berkala tapi aku tak pernah pasti kitarannya, cuma bila ia datang, aku akan rasa sepertti mahu berhenti menulis. Okey, bukanlah berhenti menulis, tapi berhenti untuk berada di dalam rutin atau ekosistem penulis. Menulis tapi lebih tertutup. Ada banyak hal yang menjengkelkan berlaku seperti hujan pada waktu petang. Pagi yang (tak terlalu) panas dan cerah tapi petang hujan. Pagi tadi aku nampak aku insiden kecil di jalan yang sesak. Tak pasti apa yang berlaku kerana aku sibuk memandang ke hadapan dan di jalan sebelah seorang pakcik sudah terjatuh dari motor. Seorang lelaki muda dengan segera berhentikan motor dan bantu. Tapi bila pakcik itu berjaya berdiri semula, pakcik itu memukul kepala (atau topi keledar) lelaki muda itu. Dan ia rasa sangat menjengkelkan. Aku rasa lelaki muda itu patut lepaskan saja motor pakcik itu terbaring semula dan terus pergi. Mungkin lelaki muda itu yang bersalah menunggang motosikal dengan berbahaya tapi aku paling benci orang yang fikir dia boleh buat apa saja bila dia berada di pihak yang benar. Atau fikir dia benar. Entah kau sendiri yang bawa motor macam gampang masa tengah sesak. Aku rasa nak ambil balik semula semua buku atau zine aku dari kedai-kedai dan simpan semua stoknya sendiri. Aku mahu jualnya sendiri, rasa jengkel mahu menunggu. Lagipun selepas beberapa tahun, rasanya macam mungkin aku dah tak patut beri masa untuk menunggu. Aku tak patut beri mereka apa-apa pun dari mula. Tapi ada beberapa hal yang perlu ditulis habis. Ada beberapa perkara yang datang mengganggu pada ketika aku patut mula melakukan sesuatu yang lain. Lagipula, aku ada dua manuskrip yang perlu disiapkan. Novelisasi filem Luka dan juga novel/novela Cincin. Cincin sudah hampir pasti ke mana aku patut hantar (sama seperti Gegelas Afrodisiak, dah hantar tapi masih tak pasti akan penerbitannya). Novel Luka pula seperti sesuatu yang agak mencabar sebab aku masih belum pasti arah tuju penulisannya (tak seperti Cincin yang sudah lengkap renungan, arah penerbitan dan juga arah penulisannya). Ia sangat mengganggu hingga aku habiskan lebih sebulan hanya untuk memikirkan tentang bagaimana ia harus ditulis. Lebih sebulan dan masih belum ada satu patah perkataan pun. Hingga fokus terganggu dan di antara itu, aku lengkapkan ilham dan renungan untuk sesuatu yang berbeza. Buku puisi dan buku foto. Ya, dapat sedikit idea bagaimana menggayakan dan arah tuju buku puisi dan buku foto. Walaupun ia kedengaran bagus untuk progress tulis novel kerana ia mempengaruhi sesuatu yang lain, dan sepatutnya ia begitu, tapi ia agak mengganggu bahagian yang lain. Aku sudah hampir pasti bagaimana puisi yang aku patut tulis, rujukannya, bentuknya, jumlahnya, rasanya, ceritanya dan semakan ringkasnya. Untuk dapat melengkapkan sebahagian lopong-lopoong ini sebenarnya suatu progres yang besar. Ibarat persoalan penting tentang menangkap gambar - apa yang kita mahu letak dalam bingkai? Dan kembali kepada buku foto, renungannnya juga hampir lengkap; aku dah ada idea, tema, jalan cerita, bentuk dan rupa. Tapi masih juga ada novelet yang masih mahu ditulis. Selalu aku fikir yang aku akan tulis lima novelet dan sekarang sudah tiga. Tak pernah ada idea yang lengkap tentang kesemua novelet ini tapi ia akan datang bila menulis. Untuk setakat ini, dah ada idea untuk novelet keempat tapi masih tiada idea langsung untuk kelima. Dulu ada, tapi dah keluarkan idea kelima itu.
Okeh, mari kita rumuskan hari ini, akan berhenti berada di mana-mana tapi akan terus menulis dan tentatif tulisan adalah begini (tanpa mengikut turutan rilisan)
1. Novelisasi filem Luka
2. Novel slash novela Cincin
3. Terjemahan Haram (zine ringkas dalam kuantiti terhad/lima cerpen terjemahan)
4. Novelet nombor 4
5. Kumpulan Cerpen Re:Insomnia (Kota Insomnia dalam cetakan baharu dengan tambahan tiga atau empat cerpen baharu)
6. Kumpulan Cerpen Pendek (betul cerita pendek yang pendek, dalam jumlah yang banyak) Ah, Anjing ________ (dah ada judul penuh tapi tak mahu reveal sebab mesti ada orang akan leakkan)
7. Kumpulan puisi —eros (bukan judul sebenar tapi mungkin akan jadi kumpulan puisi yang agak langka dari segi bentuk, dan kalau mereka dapat menekanya, temanya)
8. Buku foto (masih belum ada judul)
Kenapa ia diselang sebab 1 dan 2 adalah projek yang sedang aku fokus dan perlu diselesaikan. 3 dan 4 adalah rilisan atau projek yang nampak macam agak plausible untuk diselesaikan dan ia memang sepatutnya akan disiapkan dalam tempoh terdekat, kalau sempat, tahun ni, tak sempat, tahun depan. 5 hingga 8 pula agak rumit jadi belum ada garis masa dan ada juga yang mengambil masa yang agak panjang - ia projek yang sentiasa berjalan dan mengumpul material. Seperti contoh, 6 adalah projek jangka panjang dan ada sejumlah bilangan yang mahu dipenuhi sebelum boleh dikira selesai. 7 dan 8 adalah paling mengujakan kerana ia adalah idea paling terkini tapi prosesnya agak rumit, sebagai coontoh, 7 akan ada sasaran untuk 50 puisi dan setiap satu puisinya akan punya rujukan tersendiri dan berdasarkan dari penaakulan kelajuan menulis, setiap satu itu mungkin akan ambil masa seminggu. Seminggu ni kira sasaranlah. 8 pula lagi rumit kerana melibatkan fizikal, ia akan punya olahan dan masih berasas pada cereka, jadi ia memerlukan setiap bingkai foto seperti satu bingkai filem. 5 pula, walau dah tahu bentuk, kerana ia cuma kesinambungan buku asal, jadi belum ada cerpen yang mahu dituliskan.