Kalau ikutkan, tahun ni aku dah dua kali letak jawatan. Ke tiga kali?

Tak pasti aku dah tulis dalam entri sini ke belum, setakat aku nengok, macam belum. Jadi, selepas sejumlah waktu yang berlalu dan juga keinginan untuk berhenti mengarang sekali lagi datang, aku dah putuskan, aku malas nak menunggu penerbit sangat lagi. Lebih kurang macam ni, makin lama, aku rasa makin terpinggir gaya penulisan aku, jadi aku dah tak tahu mana penerbit yang sesuai untuk gaya penulisan aku yang aku fikir ia terletak di antara indie dan sastera Malaysia (aku kena letak sastera Malaysia sebab aku sebenarnya masih konfius kalau kat luar diorang ada beza-bezakan antara literature dengan yang bukan, sebab sastera Malaysia agak rigid dan elit). Jadi aku fikir, aku ambil keputusan untuk tidak peduli. Aku akan berhenti rilis material tapi akan tetap mengarang material. Maknanya, aku akan tetap terus menulis dan simpan je semua tu sampai la aku jumpa penerbit yang sesuai. Aku rasa mungkin tahun ni masih akan keluar atau habis tulis dua material - novelisasi filem Luka dan cetakan semula Kota (Para) Insomnia dengan tambahan empat cerpen baharu (sekarang tengah fokus pada Luka dan cuba habiskan dalam dua tiga bulan ni sebab masa sangat terhad bila aku dah mula kerja tetap sepenuh masa, dan juga kejar masa sebelum mula menyambung sarjana - semoga dipermudahkan Tuhan; dan empat cerpen baharu tu, aku dah siap tulis tiga cerpen dan tinggal nak tulis lagi satu - kalau ikutkan antara empat cerpen tu, idea untuk cerpen yang terakhir nak tulis ni la idea yang paling awal tapi paling akhir ditulis). Selepas Luka dan Insomnia, aku tak rasa akan rilis apa-apa dalam masa terdekat. Cincin dengan Afrodisiak pula, memang akan simpan je la kot, sampai la penerbit yang aku hantar hari tu beri kata putus dan kalau mereka putuskan untuk tidak terbit, aku akan simpan je la kot. Dan beberapa material yang aku dah rancang (dalam senarai bawah, ditebalkan), aku akan tulis je la bila sengkang. 


  1. satu novelisasi dari filem
  2. satu novel sebagai penulis upahan
  3. satu novel pendek (bukan novelet atau novela, walaupun aku target dalam 30000 perkataan lingkungan novela, ia bersifat novel dan aku mahu ia dianggap novel, cuma pendek sikit)
  4. novel pendek lagi satu (sama, target dalam 30000 perkataan)
  5. rilis semula Kota Insomnia dengan empat cerpen tambahan (supaya nanti bila  Insomnia cetakan baru ni dah habis, aku akan buat satu buku dengan 4 cerpen tambahan Wiskipop dan 4 cerpen tambahan Insomnia, bersama 4 cerpen yang tak pernah terbit lagi, yang aku belum tulis lagi)
  6. novelet nombor 4
  7. litzin terjemahan (bukan) Bukowski - perca novel, cerpen, sajak dan esei
  8. kumpulan cerpen bertema kafe
  9. buku skrip campuran (radio, pentas, filpen, mungkin filem)
  10. kumpulan puisi
  11. kumpulan cerpen pendek (ya cerpen yang tak lebih 1000 perkataan dan total cerpen 100, aku baru tulis 40)
  12. siri tulisan di atas poskad


Kecuali nombor 2, aku rasa yang ni aku kena buat dan siapkan juga sebab nak duit hahaha. Maknanya lepas setel novelisasi dan cerpen tambahan Insomnia, aku akan cuba fokus pada novel upahan disamping mengurangkan buku-buku tsundoku. Yep, aku dah tak begitu kerap membaca jadi aku kena baca semua buku yang dipinjam untuk pulang.

Tak, aku tak percaya ada semesta selari - kita cuma ada satu kehidupan dan inilah ia.

Sebenarnya dah nak taip sesuatu tapi bila fikir semula, tak perlulah. Ia cuma satu perkara yang aku terfikir tentang segala hal kejadian sebelum ini tentang bagaimana kalau dalam hidup aku, aku membuat pilihan yang tepat untuk seperti yang aku baru sedari sekarang - ketika di dalam empat puluhan dan sebagai konklusinya ialah hanya ada Norazman - personaliti tunggal di dalam tubuh (tapi bukan bermakna aku ada personaliti yang berbeza, cuma nama samaran saja) dan tak ada Mohd Azmen. 

Tak ada Wiskipop, tak ada Polaroid, tak ada Insomnia, tak ada Catatan, tak ada Eterniti, tak ada Pandu, tak ada Adrenalin, tak ada CERPEN MA, tak ada Luka, tak ada Afrodisiak, tak ada Cincin.

Sejujurnya, aku rasa tak ada perubahan sangat pun. 

Sebenarnya aku dah taip entri ni lebih awal dalam henfon tapi terhenti sebab kena buat benda lain, jadi ni aku nak sambung tapi dah lupa aku nak taip pasal apa sebab aku ingat aku rancang entri ni panjang sebenarnya jadi korang baca je la takat aku tulis masa tu sebab aku dah lupa amende aku nak cakap sebenarnya

 Jadi sekarang, selepas beberapa ratus ribu kali bertangguh, aku dah mula diet balik, walaupun tak begitu bersih sangat. Oleh sebab aku dah bertukar kerjaya dari biro statistik kepada pekerja baris hadapan, aku ambil peluang ini untuk ubah rutin. Dia lebih kurang macam ni, bila kau dah selesa kat tempat lama, memang agak susah nak ubah rutin dan akaan jadi satu hal lagi untuk kau terangkan pada orang sekeliling tentang apa yang kau sedang buat atau ubah. Lagipula, rutin yang biasa tu dah terlalu jadi kebiasaan, jadi ia agak sukar. Jadi bila aku bertukar tempat kerja, secara automatik, aku perlu ubah rutin, suka atau tidak. Sebab aku kena adaptasi dengan tempat baharu. Dan ia lebih mudah. Sebab kawan kawan dan kenalan baharu takkan banyak soal sangat sebab rasa segan dan kekok belum habis, inikan pulak nak tanya macam macam. Selalunya mereka akan tanya benda yang paling nak diketahui saja. 

Jadi, tempat baharu aku, di unit kewangan dan aku sorang je pekerja yang baru masuk dan pekerja lelaki tak ramai—staf lelaki seorang, penyelia atau ketua atau penolong-entah-apa ada lelaki 2 orang (bukan diorang je la dalam unit, ada ramai lagi tapi semua perempuan). Pejabat di tingkat dua (tingkat tiga bagi orang Melayu sebab tingkat bawah kadang kadang kita panggil tingkat satu) dan tak ada lif. Kat hospital ni sepatutnya ada tiga kafe sebab hospital ni besar, tapi satu kafe je yang bukak, dua lagi tutup sebab tamat kontrak katanya. Okey, di sini boleh rumuskan begini, kerja aku memang sentiasa berada di pejabat dan berada di kaunter penerimaan, takde lari lari keluar. Begitu juga staf lain, diorang semua akauntan, jadi kerja memang duduk je satu tempat dari awal pagi sampai habis pada waktu petang. Dan mereka memang tak keluar rehat - rutin diorang ialah beli makanan siap siap atau pesan penghantaran atau bawa bekal dari rumah, seawal 12 tengah hari dah boleh mula makan perlahan lahan kemudian waktu rehat hakiki jam 1 petang, diorang matikan lampu pejabat dan tidur kat meja masing masing. Aku nampak ini peluang untuk mula diet dan aku cuma buat makanan ringkas setiap pagi. Pagi aku kena bangun awal sikit, sebab aku kena goreng ayam untuk bekal aku. Sebab aku malas nak fikir, aku tetapkan makanan tengah hari aku setiap hari, kalau aku sempat bawa bekal, ialah telur goreng atau telur rebus atau telur dadar (tapi takat ni telur goreng je sebab malas nak fikir), ayam goreng dan timun jepun. Memang ringkas dan mengenyangkan. Cuma mungkin aku kena makan sarapan pagi sebab aku macam rasa perut masuk angin nak tunggu makan tengah hari - mungkin ni sebab masa perangkaan dulu, kitorang ada tabiat jam lapan pagi atau lapan setengah pagi, akan ramai ramai pergi sarapan (ye, stereotaip itu benar tapi aku ada je alasan tapi malas nak taip hahaha).

menjadi foti

Menjadi empat puluh adalah menyedari mengapa definisi belia berakhir pada umur empat puluh. Walau aku tak pernah begitu terfikir mengapa empat puluh masih belia, tapi aku selalu fikir mengapa tiga puluhan masih dikira belia? Dan bila melintasi empat puluh baru aku sedar empat puluh adalah di mana tubuh tidak lagi berpura-pura menjadi muda. Berpura-pura menjadi belia. Seperti tiga puluh. Aku akan selalu terfikir, tiga puluh taklah teruk sangat dan ia tak terasa berusia seperti aku selalu fikir waktu kecil---malah aku selalu fikir dua puluh tujuh ada dewasa dan berusia. Begitu juga dengan tiga puluh lima. Tapi melewati umur-umur ini, baru aku sedar mengapa empat puluh adalah tahun terakhir kau menjadi belia. 

Menjadi empat puluh adalah bila tubuh tidak lagi berselindung untuk mendaki usia. Walau ia hanyalah permulaan. Dan ia bermula dengan rabun dekat. Ia akan jadi lebih teruk jika kau memang sudah rabun jauh sejak awal. Punya kedua-dua rabun pada waktu yang sama adalah sesuatu yang menjengkelkan. Harga kaca mata jadi lebih mahal dan kau boleh saja untuk abaikan dan pakai saja seperti biasa tapi tidak, ia takkan jadi lebih biasa. Kau akan kelihatan bersusah payah untuk melihat tulisan kecil. Dan kau masih perlukan cermin mata itu untuk lihat benda jauh. 

Menjadi empat puluh adalah menyedari segala hal yang kau sebenar-sebenarnya kau arif berbanding yang kau minat. Aku empat puluh dua tahun ini dan aku baru menyedari yang aku lebih arif dengan angka. Selepas empat puluh tahun. Walaupun aku tahu aku agak baik dengan subjek matematik, angka, dan biasa punya keputusan peperiksaan yang baik dalam subjek ini, tapi aku selalu fikir, kecenderungan aku ialah bahasa sebab aku tak pernah gagal dalam subjek ini dan bahasa Melayu aku (kalau tak silap) tak pernah dapat bawah dari A sejak dari sekolah rendah. Ia buat aku fikir yang aku gemar membaca dan ia seterusnya membuat aku fikir yang aku gemar subjek membaca. Sedangkan sebenarnya aku tak begitu arif dalam subjek membaca. Subjek pemasaran, teknologi maklumat, kewangan atau ekonomi, semua itu subjek yang perlu banyak baca dan orang kata subjek membaca lebih senang dari subjek mengira dan aku percaya. Tapi aku lupa, waktu SPM, aku hanya benar-benar belajar pada tahun terakhir sekolah menengah. Secara harafiahnya, tak belajar dan peduli tentang pelajaran, matapelajaran dari tingkatan satu hingga empat, dan hanya pada tingkatan lima, aku ambil buku dan mula belajar. Matematik moden dapat A1. Matematik Tambahan? 7D. Walau kau boleh kata gred lulus mungkin telah direndahkan, tapi situasi aku - Matematik Tambahan aku tak jawab semua soalan dalam kertas peperiksaan dan aku hanya belajar Matematik Tambahan pada tingkatan lima dan itupun tak semua - kerana aku berpindah ke sekolah baharu masa tu dan cikgu Matematik Tambahan tu dah buat silibusnya sendiri; sepatutnya sudah tetap pecahan tajuk mengikut tingkatan empat dan tingkatan lima tapi cikgu itu buat pecahan sendiri, menyebabkan ada subjek yang aku belum belajar di tingkatan lima, dia dah ajar tahun sebelumnya di tingkatan empat waktu aku belum berpindah ke situ. Dan ada subjek yang aku dah belajar di tingkatan empat, dia baru nak ajar di tingkatan lima. Dan bila masuk diploma, aku masih dapat A1 untuk subjek MAT140 walaupun mereka kata ia matapelajaran killer. Ramai tak lulus dan kena ulang sem sebab subjek ni. Begitu juga dengan subjek akaun. Aku dari aliran sains dan tak pernah belajar langsung akaun dan aku kena ambil subjek akaun beberapa kali di universiti dan tak pernah mengulang kertas. Cuma subjek kewangan, walaupun ia adalah subjek mengira, tapi sebenarnya ia adalah subjek membaca dan mengira sekali gus. Mungkin sebab itu aku tak pernah minat pada subjek kewangan dan terpaksa ambil banyak subjek kewangan masa ijazah sebab kampus aku tiba-tiba bercadang untuk buka pengajian yang aku pilih tapi elektifnya semua pelajaran kewangan. Tapi pada empat puluh dua, apa je kau boleh buat dengan kesedaran ini? 

Menjadi empat puluh adalah di mana kau akan dilihat cool oleh budak-budak muda jika kau dari dulu menongkah arus tapi akan jadi membosankan dengan kawan-kawan sebaya kau. Kau ada dua puluh tahun pengalaman untuk tak berbuat benda yang sama setiap kali dan kau akan kedengaran unik pada kawan-kawan kau yang hampir dua puluh tahun lebih muda. Dan kau takkan kekok dengan mereka seperti kau kekok untuk berbual dengan mereka yang sebaya dengan kau. Atau lebih tua. Atau mungkin itu hanya kau saja. 

Menjadi empat puluh juga, mungkin akan buat kau rasa seperti kau mahu jadi seperti Mieko Kawakami, walau idola kau, seperti setiap kalinya, adalah Bukowski. Si tua kutuk yang hodoh.

Menjadi empat puluh adalah, sekali lagi, menyedari tubuh kau telah mengkhianati kau setiap kali. Kau takkan sedar bagaimana ia bermula tapi bila kau menyedarinya, kau akan fikir tubuh telah mengkhianati kau. Kau tak lagi boleh minum kopi dengan selesa, kau takkan boleh minum susu tanpa perut bergelodak dan kau akan rasa semua benda terlalu manis dan terlalu masin. Kau tak pernah fikir hal-hal seperti gerd atau gastrik atau kembung perut selepas menjamah atau menghirup sesuatu tapi selepas empat puluh, kau akan mula menyedarinya walau sebelum ini kau tak ada masalah untuk minum lima cawan latte sehari. Atau sejag besar americano. Kau tak fikir tentang kolestrol sebab kau kurus (atau sekurang-kurangnya berada di paras BMI berhampiran). Atau tentang tekanan darah; jika ia terlalu rendah atau tinggi. Tapi selalunya tinggi. Adakah terlalu tinggi?

Menjadi empat puluh juga buat kau rasa asing dengan malam, dengan lewat malam. Kau tak rasa akan begitu mendampingi malam tapi malam akan mendakap erat waktu kau pejamkan mata. Bukan ketika kau bukakan mata. Tapi kau perlukan dunia untuk tidur ketika kau mengetik papan kekunci tapi menjadi empat puluh, kau yang akan bersama dunia untuk tidur bagi pengarang lain menempuhi malam dengan menekan papan kekunci. Tak ada insomnia untuk kau. Yang ada hanyalah kesedaran waktu yang cukup-cukup untuk kau bersiap ke tempat kerja. Dan begitu juga pulang kerja - hanya ada waktu yang singkat untuk kau bersiap ke tempat tidur semula. 

Menjadi empat puluh bukan lagi tentang kau. Ia tentang makhluk-makhluk kecil yang comel yang buat kau bangun pagi dan meredah trafik untuk ke tempat kerja. 

Cuma belum kurus macam tiga puluhan jee

Rasa macam tahun yang panjang, tapi sebenarnya baru habis April. Dan selalu fikir, tiga puluh adalah di mana aku rasa, aku akan buat dan terokai benda baharu sebab satu-satunya hal yang akan menahan kita dari melakukan dan mempelajari sesuatu adalah diri sendiri. Dan ya, aku lakukan itu dan percubaan itu mendefinisikan sedekad lebih seterusnya. Tapi agak mengejutkan bila aku fikir empat puluh akan buat aku jadi lebih perlahan dan tenang seperti mana aku memulakan empat puluh tapi aku dah mula rasa empat puluhan adalah ketika aku mahu lakukan lebih lagi berbanding tiga puluh. Maksud aku, tiga puluh adalah di mana aku menerokai kopi dan kerja-kerja belakang tabir di kafe-kafe, dan juga dekad memulakan perjalanan sebagai pengarang; dan kedua-dua ini adalah identiti yang aku bawa bertemu khalayak sama ada baharu atau lama. Dan tahun ini, aku mulakan dengan kembali bekerja di pejabat (dan juga lapangan). Sesuatu yang aku tak rasa aku akan punya tenaga untuk melakukannya pada sepanjang dua puluh, dan mungkin sebahagian tiga puluh, tapi agak bersemangat pada empat puluh. Aku terbaca pernah je seseorang berjawatan besar, berpindah kerja dan mengambil jawatan lebih rendah dan ia bukan menurun taraf, tapi sebaliknya kerana mahu berehat. Boleh juga kata prapersaraan. Lebih kurang begitu juga aku fikir bila masuk kerja pejabat sebab aku selalu anggap yang aku tak ada apa sangat yang mahu dikejar pada umur begini (sebab dah tak berjaya nak jadi apa yang dikehendaki, atau memang takkan berjaya dapat apa yang diingin---merujuk kepada kerjaya) jadi baik juga aku kerja je apa-apa dan anggap ia sebagai pekerjaan persaraan. Senang cakap, kerja yang tidak memerlukan tanggungjawab yang banyak sambil hidup dengan seminimal yang mungkin. 

Dan ia menyeronokkan. Cuma ada waktu aku tak boleh terlalu selesa. Atau mungkin aku terlalu ingin tahu. Jadi bila ada tawaran kerja lain, aku terima je sebab rasa nak tahu. Dan aku juga masih boleh patah balik jika aku. Dan itu juga yang aku lakukan. Selepas empat bulan, aku berhenti kerja, kerana dapat tawaran - gaji yang sama dan jawatan yang sama - di tempat lain. Tak ada beza sebenarnya tapi entah, aku tak tahu macam mana nak menolak dan aku hanya kata, ya.

Mungkin teringin tahu bagaimana kerja di sebelah sana selepas dah tahu bagaimana kerja sebelah sini.  Berbelah bagai juga walau tak tahu kenapa. Dan sebenarnya, aku tak rasa aku yang tiga puluh akan buat perkara macam ni. Aku yang sekarang, rasa teruja untuk terokai lebih pengalaman, dalam masa singkat, walaupun, entah, ia mungkin tak ada apa-apa makna. Tapi mungkin sebab aku percaya. Hal yang mirip adalah bila aku bertekad untuk beli pad, papan kekunci dan tetikus waktu di kafe sebab aku rasa seperti ada desakan. Walaupun aku rasa, aku boleh saja berpuas hati dengan apa yang ada ketika itu, tapi entah, aku rasa aku perlu beli entah apa, untuk beberapa kali, dan cakap pada diri sendiri, ya, ia perlu dibeli. Agak lucu juga, sebab beberapa bulan kehadapan, aku memang perlukan semua itu waktu kerja di pejabat. Tapi ia bukanlah alasan yang kukuh pun, sebab penggunaan peranti memang sentiasa diperlukan, tak kira apa alasannya. 

Dan sekarang, aku di antara transisi dari statistik kepada kesihatan. Dan entah mengapa, terselit di antaranya, ialah keinginan untuk sambung belajar. Ambil Master. Aku yang tiga puluh memang dah tahu, hampir tiada langsung keperluan bagi aku, untuk menyambung pelajaran. Sebab satu-satunya alasan, jika aku mahu menyambung pengajian ialah untuk jadi pensyarah. Di mana aku tak rasa aku akan layak atau sesuai jadi pensyarah. Tapi sejak beberapa minggu, aku terfikir apa pilihan yang ada untuk sambung pengajian, boleh ke melompat dari perniagaan kepada bahasa, tapi paling penting, ada ke waktu dan duit untuk aku sambung belajar? Semuanya aku rasa bila seorang kawan kata aku boleh jadi pensyarah sebab nampak layak/sesuai. Dan selang beberapa hari, ada kawan lain kata, pensyarah penulisan di fakulti tak pernah menghasilkan buku. Ia agak ironi di situ. Terasa ia seperti sebuah panggilan untuk menjadi pensyarah-penulisan-yang-menulis di situ. 

Cuma tak rasa ia mudah. Sebab hanya ada pengalaman tak formal sebagai seorang penulis. Tapi bila fikir, aku ada sasaran dua puluh tahun sebelum bersara untuk mengumpul kembali duit, aku terasa mungkin aku patut cuba. Tapi entah. Rasa macam, ia sebuah pertaruhan yang besar, sebab melibatkan jumlah wang yang besar bagi aku. Tapi tak tahulah. Ada waktu, kita tak merancang tapi semuanya telah dirancang untuk kita.