Lima hari (sekurang-kurangnya).
Malam ni semua tidur awal. Tapi aku masih tak tau nak sambung apa novelet nii.
Gibran nampak makin sihat, ada batuk sikit-sikit tapi dah semakin berkurangan tapi Ariana dah mula batuk-batuk lebih kerap dan malam ni nampak macam dah mula nak demam. Katanya dalam kelas Ariana pun ada dua tiga orang tak datang sekolah atas sebab yang sama juga. Aku ajar Ariana untuk tutup mulut dengan kain bila batuk tapi biasa la Ariana, kalau aku tak tengok, dia tak buat le. Rasanya mungkin berjangkit lagi dengan kawan kat sekolah agaknya. Balik sekolah tadi nampak pelitup muka pun dah bertukar. Tapi waktu tu macam belum mula batuk dengan kerap.
Waktu aku berjalan-jalan dengan Ariana tadi baru nampak dia mula batuk. Aku bawa dia ke kedai baju, beli anak tudung dan tudung untuk sekolah. Fedap juga aku entah mana entah anak tudung dia asyik hilang. Aku beli yang elok dua helai, lepas tu tinggal sehelai. Dulu siap beli yang ada lubang telinga, pun hilang. Masalahnya aku yang jaga pakaian Ariana pun boleh hilang. Selalunya memang aku yang pantau sikit pakaian semua orang dari basuh sampai la masuk dalam bakul. Agak lepa sikit, mesti berterabur dah.
Ingat nak beli kasut juga tapi kedai tadi nampaknya tak ada saiz Ariana. Sebab bukan musim buka sekolah jadi, apa yang ada, itu je lah yang ada - tapi kedai tadi memang okey sikit berbanding satu kedai yang sebelum ni aku pergi sebab terletak depan pasaraya borong tempat aku belanja barang dapur. Aku pergi lapan belas kali pun barang yang sama - yang dah habis pun memang tak tambah lagi stok baru. Ariana pun sibuk juga nak beli barang dia, sempat dia belek baru - kebetulan juga jumpa baju kegemaran dengan desain kegemaran dia yang tak ada kat Shopee. Lepas tu dia ambil seluar kecil juga. Kalau ikut, macam-macam lagi dia nak ambil tapi cepat-cepat aku pangkah. Tapi lain kali nak pergi tengok baju kegemaran dia tu sebab nampak macam ada banyak warna lain jugak.
Lepas habis beli kat kedai tu, aku ingat nak pergi mall pula tapi lepas tu tiba-tiba aku teringat yang aku ada plan untuk lalu Setia Taipan. Agak berapa minit juga la aku fikir kenapa kena lalu sana, lepas tu baru aku ingat aku nak pergi kedai buku. Aku baru ingat yang aku nak pergi sana sebab ada kemungkinan Svara edisi sepuluh ada jual sana. Aku baru ingat nak beli tapi bila aku sampai sana, tengok-tengok dah tutup. Aik, bukan kata tutup pukul lima ke, ni baru empat setengah petang. Semalam petang aku dah hampir nak keluar pergi walaupun masa tu dah hampir pukul tujuh malam sebab aku ingat dia buka macam kedai lagi satu buka sepuluh pagi sepuluh malam. Rupanya sembilan pagi sampai lima petang je dan Sabtu Ahad tutup. Walaupun banyak persoalan yang timbul dalam kepala tapi aku okey je lah, datang je lah esok sebelum pukul lima. Rupanya mereka lebih tahu, sebelum pukul lima dah tutup. Aku je yang lalai. Astogeee.
Jadi, aku terus pandu ke mall.
Di mall, aku menyaksikan kenaikan harga barang yang buat aku rasa, okey la aku gibap la nak makan sedap-sedap dan minum sedap-sedap (mula esok). Oh, rasanya aku tak cerita lagi ke pasal harga susu Gibran dah naik? Astogeee. Aku pergi kedai semalam tibeee-tibee susu Gibran sepaket dah jadi RM29.90. Hotak dieee naik terus sampai lebih kurang RM5. Tapi aku bersabar, lepas tu aku pergi Speedmart nasib baik harga masih lebih kurang lagi dalam sekitar sebelum ni. Tapi kalau satu kedai mula, aku syak lepas ni mesti semua pun ikut juga ni. Lagipula aku bawa Ariana ikut beli barang, mesti dia selit order sekali. Boleh pulak ada syampu dan sabun mandi jenama kartun kegemaran dia. Aku punya la catu dia nak beli jajan lepas tu dia pergi minta benda bukan berasaskan makanan pulak. Aku ingat dua kali juga aku masuk Urban Fresh sebab Ariana nak juga bendalah tu. Sebenarnya dia rilekss je minta tapi dia akan cakap berulang-ulang. Biasanya orang lain akan belikan sebab fedap dia asyik ulang cakap benda sama. Aku pula biasa aku memang tak fedap dia cakap ulang-ulang tapi selalunya bila dia ulang-ulang tu aku jadi lembut hati pula. Samalah macam perasaannya bila asyik buka troli kat Shopee, asyik ulang tenung bendalah tu sampai lembut hati terpedaya untuk beli. Aku dah lama tak buka Shopee sebab ni la ni. Tambah pula Shopeefood pun haram tengah tak banyak baucer dan promo. Lepas ni aku puasalah.
*
Aku dah rasa macam nak pakaikan Ariana pelitup muka je kat rumah ni asyik batuk-batuk. Aku pun rasa nak pakai sebab aku sorang je belum kena apa-apa ni. Tapi aku risau juga kalau Gibran yang jatuh sakit balik ni. Okey, esok mula bagi supplemen.
Isnin akhir September.
Ahad semalam tak banyak berlaku; masih buntu sambung bab tulisan dan saya habiskan dengan kemas rumah dan kemudian tonton Seinfeld dan Candy Crush dan juga baca cerpen, artikel dan puisi di portal internet. Lebih kepada menunggu untuk Isnin sebelum memulakan sesuatu.
Dan sudah Isnin tapi masih malas juga.
Ariana tak sekolah hari ni sebab semua bangun lambat (lebih kepada tukang kejut kami bangun lambat jadi saya, Ariana dan Gibran sambung tidur). Tapi sejak semalam Ariana sudah mula batuk-batuk walaupun kadang-kadang. Adik mula hingus, sementara batuk-batuknya juga kadang-kadang, hanya ketara waktu sedang tidur.
Setakat ini saya masih tak rasa apa-apa, kecuali sedkit malas. Sepatutnya semalam dah boleh mula berbelanja barang rumah tapi saya ambil keputusan untuk berbelanja hari ini. Tak tahulah sama ada hari ini akan berjalan dengan terbaik tapi americano ais saya rasa betul dan ia seperti mencerminkan hari ini. Mungkinlah sebab sekarang baru je pukul tiga petang iaitu kira baru bermula lepas makan.
*
Semalam malam aku rasa seperti perlukan mini proses penyembuhan (kahkahkah padahal nak ambil mood untuk mulakan Isnin esok) jadi aku keluar memandu ke restoran mamak, duduk pesan mi goreng ayam dengan kopi o kosong suam dan duduk berlama-lama di sana (tak sampai sejam - sebab restoran mamak ni dah kalut nak tutup. Pada era pasca pandemik ni memang restoran mamak pun mengecewakan kita dengan tak bukak dua puluh empat jam). Pukul satu pagi restoran dah tutup dan hampir keseluruhan kawasan memang dah hampir gelap. Sebelah lain banyak kedai dah tutup dan aku tak rasa akan habis cerita tentang waktu malam yang membosankan, bosan seperti tahun sembilan puluhan - walau bezanya ia bosan sebab pada ketika itu pukul sembilan sepuluh malam dah tutup kedai. Selepas beberapa mempunyai pilihan untuk datang ke kedai mamak, atau mekdi pada jam empat pagi dan makan nasi, aku rasa sekarang memang macam kembali ke zaman kanak-kanak - tak boleh keluar malam - walau sebab berbeza - tak boleh keluar malam sebab takde benda kat luar pun.
Sabtu dan mendengar RHCP baru (single kedua untuk album kedua pada 2022). Aku masih rasa Josh tak patut keluar, lantaklah kalau RHCP ada lima orang sebab persembahan langsung pun pakai ahli percussionist jugak.
Rumah di kampung dah dibersihkan. Mungkin akan ambil satu atau dua hari bila-bila nanti untuk balik menunggang cafe racer ke sana.
Tentang aku dan saya.
Jarang juga aku kongsikan hal berkaitan penulisan atau perkara kreatif lain di sini. Tapi kalau ikutkan pun, usia blog pun belum sampai setengah bulan dan masih ada banyak perkara lain yang aku kongsikan - dan memang itu matlamatnya, untuk menulis secara lewa dan hal-hal yang tak begitu penting - hanya untuk jadi sekadar sebuah catatan. Memang untuk catatan saja sebab kalau di tumblr, ia agak tak tersusun dan sebenarnya tak ada arah tuju sangat pun, ia macam separuh bahagian kreatif, separuh pengejek, dan sebahagian lagi benda yang aku tak mahu kongsikan di twitter.
Waktu tujuh puluh lima hari Gibran di hospital, aku fikir agak lambat juga untuk mulakan jurnal harian (walaupun sebenarnya ia agak logik juga sebab selain dari sibuk dengan monitor progres Gibran, melayan pemeriksaan doktor dan juga berteka-teki berapa lama agaknya sebelum dapat keluar hosiptal, awal-awal itu memang agak penat, Waktu kebenaran untuk menukar penjaga untuk setiap beberapa hari masih belum lagi dimansuhkan, setiap kali pulang dari hospital, memang akan habiskan kebanyakan masa dengan tidur dan berehat walaupun sebenarnya memang tak buat apa-apa di hospital) tapi aku mulakan juga walaupun ia sudah hampir ke penghujung.
Sewaktu Ariana di dalam hospital lima puluh enam hari, lagi tak sempat nak tulis apa-apa. Selain dari dah hampir berhenti mengemaskini blog secara berkala, itu adalah kali pertama mempunyai tanggungan penuh terhadap seseorang. Jadi, pada kebanyakan masa memang rasa seperti tak tahu tentang apa perkara yang patut dilakukan.
*
Semalam pergi juga ke Wayang Budiman dan boleh kata ini adalah sesi paling sedikit penonton aku pernah hadir. Banyak kerusi kosong tapi ada rasa sedikit initim. Lagipula bila sambung sesi Wayang Budiman ke sesi melepak di Rahmath. Rasa semalam mungkin paling banyak interaksi aku lakukan dalam satu masa di Rahmath kot. Walau tak ramai, tapi banyak juga benda yang dibualkan. Marvel, Malcom in the Middle, Breaking Bad, Better Call Soul, Love & Thunder, Starlord T'Challa, Hadiah Sastera Selangor, juri Hadiah Sastera Selangor, femtard, Allan Ginsberg, Hunter S. Thompson, Mat Kilau, zine, cerpen, esei, reviu dan kritikan filem et cetera. Aku lepak sampai hanya tinggal dua orang saja - aku dengan Beduk. Itupun dia yang kata nak gerak dulu sebab takut hujan. Sebab semalam memang aku dah bajet nak lepak sampai habis.
Tapi memang waktu aku memandu pulang tu hujan turun lebat. Aku baru ingat nak lakukan kerja-kerja menulis di anjung rumah mentua aku tapi hujan dan tempias tak begitu mengizinkan. Lagipun aku dah rasa penat juga sebenarnya. Jadi aku sambung tidur.
*
Vengeance (2009) arahan Johnny To.
Siri kedua (dan akhir) slot Sonata Kancah Jenayah untuk Wayang Budiman - secara ringkas ia berkenaan dunia jenayah bawah tanah mengenai pembunuhan, dendam, pembunuh upahan dan keluarga. Secara umumnya, beberapa perkara yang terlintas di dalam kepala semasa menonton filem ini - Memento, filem-filem arwah Mamat Khalid, As Tears Go By, Rogue, Thank You For Smoking dan mungkin beberapa drama bersiri random Hong Kong yang biasa mengisi slot jam enam petang di TV3 waktu tahun sembilan puluhan. Dua perkara yang saya gemar tentang Vengeance ialah babak tembak menembak di dalam hutan (dan juga dari awal babak mula sebelum tembak menembak bermula) dan juga humor (mungkin gelap) yang tidak secara langsung. Ia lebih bermaya berbanding humor secara langsungnya. Ada banyak humor tapi ia agak slapstik (atau mungkin tidak) atau tipikal untuk filem ini sebenarnya. Selain itu, ada satu syot yang saya gemar ialah pantulan imej pada televisyen lama yang tidak dihidupkan.
*
Untuk beberapa hari ini, saya sedang sangkut di satu bahagian tulisan saya (perkara biasa).
*
Saya mula membaca cerpen semula di portal-portal atas talian dan kali ini lebih adil. Sebelum ini, selain dari bacanya secara pukal, saya bacanya dengan laju - salah satu cara saya mengesan cerpen yang sedap dibaca - dan ia agak tidak adil saya fikir. Jadi, kali ini, mungkin saya akan cuba pendekatan berlainan. Entah kenapa saya rasa sekarang sedang punya ruang vakum untuk membaca cerpen yang menarik.
Saya fikir, saya sedang berada di tahap di mana saya tak perlu pedulikan entah apa yang akan jadi dengan penulisan cerpen-cerpen terkini tapi kebelakangan ini agak susah untuk membaca cerpen yang baik, dan tiba-tiba saya rasa seperti mungkin saya mahu menulis semula cerpen-cerpen yang mengubah lanskap dorman dan membosankan ini. Patutnya ketika ini saya hanya perlu menulis cerpen sebagaiman mengikut kehendak saya kerana saya sudah berada di mana saya tak perlu buktikan apa-apa, sama ada dari segi penulisan atau kehidupan peribadi. Ya, mungkin ini kali pertama mendengar saya menyatakan sikap dan ia kedengaran bongkak. Mungkin sebab saya dah fedap. Fedap sebab selepas beberapa tahun, ia masih berpusing ke arah kiblat lapuk. Mungkin akan ambil sedikit masa, tapi ya, ia akan berlaku.
*
Jangan risau jika nampak penggunaan 'aku' dan 'saya' dalam entri yang sama. Aku dan saya masih lagi orang yang sama. Haha.
Jumaat, aku (tak) jatuh cinta.
Aku masih diet lagi walau tak berapa ketat. Tak banyak beza sangat sebab aku malas nak bersenam, tapi ya, ia memang akan turun berat badan tapi lambat.
Waktu di lapangan terbang aku asyik fikir kafe apa yang ada di sana. Aku di balai pelepasan dan aku perhatikan kafe yang berada di sepanjang laluan. Aku nampak Gloria Jeans, CBTL dan Mc Cafe. Aku tahu Starbucks ada juga tapi rasanya ia berada di sebelah kawasan yang lain. Rasa macam tak jauh, tapi ada rasa macam ya. Nampak juga orang pegang cawan Dunkin tapi ni lagi tak nampak kat mana. Sebab tu balik aku asyik teringat Dunkin. (Ada satu benda aku geram dengan Dunkin kat Panda dan Grab ialah mereka tak letak logo besar-besar sebaliknya letak gambar donut-donut; yalah, macam mana nak bezakan dengan kedai yang random dalam aplikasi tu kalau tak letak logo sendiri besar-besar? Ia benda yang sepatutnya yang jadi poin jual kot berbanding gambar donut sebab kedai yang random je letak gambar makanan besar-besar sebab letak nama kedai bukan boleh menarik pelanggan pun sebab jenama tak cukup kuat. Ni jenama dah kuat tapi tak nak gunakan.)
Tapi lepas tu jadi rileks sket sebab nampak promo kaw-kaw dia - aku secara harafiahnya beli air dengan cawan besar hanya lima ringgit siap tolong hantar sampai depan rumah. Kira kalau aku keluar rumah dan pandu pergi sana lebih rugi berbanding pesan di aplikasi.
Tapi anak harun dia belah pagi tak boleh order pulak sebab kedai dia buka sepuluh setengah pagi kat Panda. Lepas tu aku tunggu pukul sepuluh setengah dia tak buka dan Panda suruh order untuk esok pulak. Lepas tu aku baru ingat dulu aku macam pernah tanya kat Dunkin cawangan tu yang waktu operasi diorang pukul berapa dan diorang cakap pukul dua belas tengah hari baru buka kedai (kalau tak silap la). Terpaksa aku order latte Tealive sambil beli Bang Bang Fresh Milk untuk Ariana. Tak, bukan untuk aku, sebab aku, aku akan order Bang Bang Milk Tea atau Bang Bang Oat Milk. Bang Bang Fresh Milk dan oat milk latte berserta semua diskaun dan promo total ialah RM10.01. Okey la.
*
Sebenarnya sebelum ni aku menjumpai cara minum tea latte kat rumah (teh susu je sebenarnya; latte mengikut lughah Itali ialah susu pun sebenarnya. Patutnya kena sebut penuh - cafe latte, baru la betul sebenarnya tapi lantaklah asal orang faham, kecuali pergi Itali la. Kita minta latte kat sana, mereka akan bagi susu panas je dekat korang).
Ariana dapat bekalan susu bantuan -ala macam masa sekolah dulu semua dapat susu kotak perisa coklat tu. Sekarang ni dah takde dah yang desain bekalan susu sekolah tu, sebaliknya memang bagi sebijik macam kat kedai luar tu, takde desain khas. Dan paling bestnya diorang dapat susu Dutch Lady. Aku tak tahu la semua budak dapat ke tak tapi Ariana dapat sebab dia dalam program pendidikan khas. Masa mula-mula dapat memang seronok la Ariana sebab memang dia minum susu tu perisa coklat - kira barang wajib beli dia kalau pergi kedai. Lepas tu entah kenapa, diorang tukar susu tu dari perisa coklat jadi susu penuh krim. Memang budak sekolah reti minum. Aku hangin je walaupun sebenarnya best juga sebab boleh buat latte tapi sayangnya aku takde mesin espresso dan aku malas nak fikir camne nak buat shot, jadi, jadi tak best juga lah sebab penuh jugak la peti ais sebab Ariana dah tak nak minum. Aku ingat siap bagi kakak aku sikit lepas tu aku minum sikit dengan teh (ha ni yang aku nak cerita sebenarnya). Seminggu biasa dapat lima kotak (sehari satu kotak, sekolah pula lima hari, total seminggu lima kotak) tapi lepas berapa lama, agak takde yang nak amik sangat atau memang ada lebih banyak, dia terus bagi satu peket enam kotak terus. Lama-lama penuh peti ais aku.
Entah kenapa hari tu rasa nak minum teh, jadi aku beli teh serbuk. Murah juga sebenarnya sebab aku beli yang kecik-kecik tu je, dalam dua ringgit ke empat ringgit je. Aku malas dah nak buat teh masala sebab malas nak masak. Dah la hari tu aku masak, aku tercurah cengkih banyak gila sampai mulut jadi kebas bila minum. Jadi, aku bancuh teh lepas tu aku fikir okey juga letak susu Ariana ni. Tapi susu tu sejuk, kalau campur teh (panas) dengan susu (sejuk) dia jadi suam. Jadi dengan geniusnya aku panaskan susu dalam ketuhar mikro. Tuang susu dalam cawan seramik dan panaskan dalam ketuhar mikro. Lepas tu tuang teh yang aku bancuh pekat-pekat. Menariknya, ia jadi macam caffe latte, kecuali menggunakan teh. Tea latte la jadi dia. Lebih kurang perasaannya minum teh tarik tapi tak manis. Kalau aku ada mesin espresso lagi senang sebenarnya. Sebab boleh panaskan susu guna stim dan lepas tu ekstrak teh guna espresso - aku macam pernah dengar orang ekstrak teh guna mesin espresso. Atau mungkin aku salah baca kot. Tapi kalau aku ada mesin espresso, boleh la aku cuba.
*
Gibran nampak macam nak mula demam. Aku harap dia tak demam dan cepat-cepat beri dia ubat. Sebab kalau dia mula demam, bermakna akan ada harapan berjangkit dengan Ariana dan akan jangkit semua orang dalam rumah. Aku memang dah mula dengar ramai yang sedang demam sekarang. Antara sedar dan tidak, sebenarnya cuaca sedang jadi lebih panas. Cuma nasib baik, tiada yang kena demam lagi dalam rumah, kecuali Gibran yang baru nak mula. Dan aku dah tahu dah nanti macam mana, Gibran demam jangkit kat Ariana, lepas tu jangkit kat semua orang, lepas tu nanti bila Gibran dah nak sembuh, akan jangkit balik sebab Ariana masih belum sembuh. Lepas tu ulang-ulang lah sampai semua sembuh dari demam.
*
Di lapangan terbang, adik ipar aku beritahu yang pendingin hawa kereta yang lagi satu (yang aku beri pada dia untuk buat kereta sewa) bermasalah semula. Aku sebenarnya baru nak tanya kat mana dia hantar betulkan pendingin hawa sebab macam nak hantar kereta aku pergi betulkan tempat lain pula - tempat yang dia nak rekemen. Kereta yang buat sewa tu sebelum ni pun memang dah bermasalah dengan pendingin hawa kejap panas kejap sejuk. Dah berapa kali dan dah berapa ratus juga habis untuk betulkan tapi jadi semula. Semalam katanya dah hantar dan kena caj dalam dua ratus enam puluh ringgit. Aku ingat nanti nak cuba hantar sana, mana tahu tiba-tiba boleh betulkan pulak dengan lebih murah. Kesian juga Gibran basah baju sebab peluh walaupun ambil Ariana dari sekolah tu kejap je.
*
Malam ni ke Wayang Budiman insyaallah. Aku ingat akan kena langkau lagi tapi nampaknya boleh pergi. Aku tak bajet nak balik pukul berapa tapi sebab malam ni balik ke rumah mentua lepas habis Wayang Budiman, aku bajet nak menulis dekat rumah mentua. Rumahnya lebih sunyi dan aku dah rasa macam nak menulis kat luar rumah je. Baru betul menulis dilatari oleh alam semulajadi dan malam.
*
🫡
Cara paling best untuk makan donut ialah celup dalam latte.
Aku ingat sekarang takde benda penting sangat aku nak cakap kecuali; beli iced latte (upsize) dan iced americano (upsize) dekat Dunkin Donut melalui Panda berserta i) kod diskaun bernilai RM12, ii) promosi penghantaran RM0.99 - jumlah bayaran ialah RM10.19.
Kalau tukar jadi hot latte, ia akan berjumlah RM9.09.
Yep, sekarang bolehlah kata bukan America saja yang runs on Dunkin Donut.
Kafe tengah malam buka dua puluh empat jam (kecuali pandu lalu).
Pagi tadi Ariana macam tak sihat jadi hari ni tak sekolah. Oleh sebab aku tengah tidur dan sedang mamai, dengar je tak sihat, aku terus sambung tidur. Lepas tu sepanjang hari aku tengok elok je budak ni. Takpelah. Esok sekolah. Sekali baru ingat esok pun tak sekolah sebab nak hantar nenek dia pergi umrah.
Jadi, lepas dengar Ariana tak sekolah, aku terus sambung tidur sampai pukul sebelas lebih atau dekat pukul sebelas. Aku tak ingat. Tapi bagusnya ialah kebanyakan benda dah setel semalam, jadi aku kira santai jugalah hari ni. Besday lah katakan.
Bangun tidur, suruh budak dua orang tu mandi, lepas tu buat susu Gibran (kot - lupalah), tanak nasi, goreng ayam (aku dah siap potong dan letak kunyit dari semalam dalam peti ais) dan kemudian bagi Gibran makan. Secara jujurnya aku lupalah apa aku buat hari ni, rasa macam tak produktif sangat. Petang tidur, dan selebihnya rasanya aku tonton Seinfeld kat Netflix. Rasa tiba-tiba macam kejap gila dah episod 18 untuk musim ke lapan. Rasa macam baru berapa hari lepas aku baru masuk musim ke lapan. Aku ingat dalam musim ke tujuh aku rasa macam lama laginya nak habis - walaupun sebenarnya sayang juga nak habiskan. Lepas tu tau-tau dah nak setel musim lapan (ada baki lagi empat episod).
Jadi, malam ni aku keluar dan duduk di kafe, menulis. Dah lama gila. Tapi macam tak sangka juga malam hari bekerja macam malam ni pun masih ramai juga orang.
Non Sanah Helwah (2)
Okeh, tahun ni lagi banyak ucapan hari lahir - sebab kena tag di Facebook. Hahaha.
Non Sanah Helwah
Esok ulang tahun hari lahir aku. Biasanya memang aku tak pernah beritahu sesiapa bila hari jadi aku (dan juga tak pernah ucapkan selamat hari lahir kepada sesiapa - jangan tanya kenapa, tapi ya, aku tak ucap selamat hari lahir - dan sebagai ganti, aku tak pernah beritahu orang bila tarikh hari jadi aku) dan tak pernah sambut pun hari jadi aku (dalam konteks ni ialah aku tak sambut tapi mungkin ada ahli keluarga yang menyambutnya, iaitu dengan buat kejutan kek atau kejutan parti atau kejutan ucapan, dan aku pun selalu cakap jangan buat apa-apa masa hari jadi aku). Aku rasa mungkin ada sekali je kot aku sambut - maknanya aku yang mengaturkannya sendiri - dan ia waktu aku berumur kurang dari dua belas tahun. Aku ingat tentang hari itu ialah hari jadi aku, dan aku fikir mungkin akan ada makan-makan tapi tak ada, jadi aku masak sendiri masakan kegemaran dan makan semuanya sendiri lepas tu rasa kenyang gila sebab masak banyak sangat. Jadi lepas dari hari tu, aku dah tak beria untuk sambut hari jadi. Dan bila semua orang mula punya akaun Facebook, secara automatik kita semua akan diingatkan dengan hari jadi kawan-kawan dalam akaun, aku rasa macam agak artifisial sebab dulu aku memang selalu ingat hari jadi kawan-kawan. Jadi, aku mula tak kongsikan hari lahir. Hanya orang yang ingat je lah yang akan ucapkan selamat, dan setiap tahun, ia akan berkurangan.
Hujung minggu di dalam mendung (dan sedikit hujan, tapi okey la asalkan tak banjir).
Okey, Sabtu hari tu pergi ambil gambar untuk kaver zine. Sebenarnya dah lama tangguh juga sebab asyik banyak sangat acara dan perkara yang nak kena buat. Dan sebenarnya Sabtu hari tu dah macam malas nak pergi juga sebab cuaca macam mendung. Dalam tengah hari macam tu dah mula hujan. Dalam pukul dua petang Sufian tanya macam mana. Aku cakap kita tunggulah. Sebab waktu yang dijanjikan ialah jam lima petang. Rasanya kalau tahu biasa nak ambil dalam waktu begitu, rasanya sebelum ni boleh setel awal sebab dalam pukul lima petang, hari bekerja pun aku dah tak sibuk. Tapi takpelah, aku tunggu sampai pukul empat petang dan tanya Puncak Alam hujan lagi ke.
Oleh sebab dah berhenti hujan, aku terus bersiap dan bawa motor dengan santai. Sebab motor pancit sikit sebab dah lama tak hidupkan. Kalau ikutkan motor dah berdebu secara harafiahnya. Patut aku beli selimut motor sebab letak bawah selimut kurang sikit berhabuk sebab motor jarang gerak. Lagi satu, bawa santai sebab lepas hujan dan juga jalan puncak Alam memang bengkang bengkok campur tak rata campur berpasir. campur lori besar selalu lalu. Aku pun hampir terbabas juga sebenarnya kat selekoh tajam, tapi nasib baik aku bawa perlahan dan sedar awal yang korner ni aku tak lepas ni. Apalagi, naik atas rumput la sikit lepas tu buat-buat macam memang nak berhenti.
Aku saja singgah Starbucks sebab nak beli air. Tapi hari Sabtu memang silap la sebab barisan panjang tambah lagi pulak diorang punya susun atur pekerja memang agak barai. Darah pengurus kafe dalam diri aku macam nak menggelegak juga tengok susunan macam tu. Cuma nasib baik memang ada sorang yang baca situasi sikit dan mula ambil pesanan dulu sebelum barisan sampai kaunter. Memang dari dulu taktik tak nak bagi pelanggan lari ialah ambil dulu pesanan untuk mereka yang beratur, dan ia bantu untuk cepatkan transaksi pembayaran dan kelicinan barisan.
Secara keseluruhannya, sesi ambil gambar tak ambil masa yang lama. Aku syak mungkin dalam sepuluh minit, atau mungkin lebih sikit. Sebab mungkin aku dan Sufian rasa dah okey. Jadi setel awal, kitorang melepak sampai maghrib kat kafe di Puncak Alam. Aku rasa kaver tu memang aku suka, warna hijau, cuma satu je aku tak sempat turunkan berat badan untuk bagi lagi cantik kaver tu. Tapi tak mengapa, hari ni aku mula jaga makan sikit. Semoga istiqamah.
Aku ingat yang lama masa hari Sabtu tu ialah beratur kat Starbucks, cari lokasi yang Sufian bagi dan juga lepak dengan Sufian. Aku macam biasalah dah mula pakai Google Map tapi bila aku ikut, tak jumpa tempatnya. Akhir sekali aku buka juga Waze. Tapi tempat dia memang best juga la kalau nak ambil gambar untuk motor atau kereta. Tak tahu macam mana Sufian jumpa tempat ni, tapi memang beberapa fotosyut untuk Laras 99 dibuat di sini.
Balik dari kafe tu, pelayannya ucap terima kasih dan dia mulakan sedikit perbualan kecil. Topiknya? Cafe racer aku le. Walaupun aku parkir agak jauh sebab parkir motor jauh, tapi ia tak dihalang oleh apa-apa pemandangan jadi boleh nampak dari kafe. Dia tanya motor aku ke, dan tanya model apa. Dan aku rasa memang dia minat cafe racer, selain sebab dia tegur tentang motor, dia tahu jenama motor yang berkenaan (oleh sebab dari jauh, dia ingat motor aku dari jenama lain, pengeluar cafe racer juga. Aku kata bukan, dan dia memang cam pengeluar cafe racer aku).
Oh ya, sepatutnya zine ini adalah jurnalzine atau travelog mini versi kemaskini dari versi zine yang sebelum ni ada aku hasilkan secara DIY-AF dengan cetakan terhad. Versi sebelum ni adalah cubaan aku untuk hasilkan zine - kerana sebenarnya ia agak pelik juga kerana aku bukanlah asing dengan budaya zine, dari zine underground hinggalah zine indie, aku melalui semuanya tanpa hasilkan zine sendiri. Jadi, pengalaman menghasilkan dan menjual zine adalah yang baharu bagi aku. Banyak perkara aku belajar dari segi penghasilan dan pengeposan. Yalah, punyalah lama aku setel zine versi DIY-AF ni, baru tadi kawan aku di Johor terima. Ya, guna pos biasa. Memang semangat zine tahun sembilan puluhan juga lah pakai pos biasa - nasib tak mempraktikkan lekat gam atas setem.
Jadi, aku faham jugalah lepas ni takde lah guna pos biasa sebab susah juga nak semak keberadaan perjalanan posnya. Lagipun harga setem berbeza juga mengikut destinasi dan berat. Mungkin sebab tu lambat. Dan juga aku belajar tentang harganya juga, Memang aku rasa harga zine naik dulu dari harga buku.
*
Ahad ada kenduri kesyukuran campur tahlil ringkas. Mak mentua aku akan mengerjakan umrah, jadi buat kenduri kecil. Kenduri kecil sekarang pun pakai dua khemah. Tapi jemputan untuk ahli keluarga dan ahli kariah surau je. Keluarga mentua aku memang biasa dengan kerja-kerja masak untuk walimatulurus atau kenduri, jadi semua benda memang senang dan sedia ada. Orang khemah pun diorang kenal. Aku je yang tak suka buat kenduri. Aku sampai rasa kalau Gibran nanti nak kahwin dan tak nak buat majlis pun aku sokong je dari belakang. Aku kalau kahwin lagi pun eh tak tak kahkahkah.
Emak mentua aku akan berangkat dengan adik ipar aku hari Khamis nanti. Mulanya aku fikir, mungkin tak apa lah kot kalau aku tak ikut hantar. Tapi lepas tu aku fikir balik, betul juga, sepatutnya emak mentua aku dapat panggilan haji tapi kemudian terbatal sebab pandemik. Jadi sebagai ganti, dia pergi buat umrah. Dan sepatutnya semua ahli keluarga kena pergi hantarlah. Dan aku cadangkan untuk ambil cuti je, sebab memang sebenarnya ia acara yang besar juga pun.
*
Hari ni baru aku sempat pergi kedai servis pendingin hawa. Dan kesudahannya tak dapat juga betulkan sebab mahal. Lebih seribu ringgit jugalah. Mula-mula kata nak isi gas je lah. Dalam enam puluh ringgit je. Tapi lepas tu nak isi asyik tak berjaya dan gas tolak balik keluar, dia cakap ada benda sumbat. Jadi kena buka segala benda. Kena tinggal juga kat kedai satu hari. Aku cakap takpe lah lain kali. Aku pun tak tahu bila lain kali dia. Nampak gayanya makin kurus la Gibran hari-hari masuk sauna tiap-tiap kali ambil Ariana dari sekolah.
Hari ni balik dari sekolah, masuk dalam kereta, Ariana terus cakap nak buang air besar. Dia cakap sakit perut. Jem jugak. Jangan la dia terlepas dalam kereta. Dah la kereta takde pendingin hawa. Astoge.
*
Aku buat dua poll untuk pilihan kaver - kat instagram dan twitter. Dekat twitter, majoriti pilih kaver yang homaj dari buku-buku Penguin. Agak tak sangka juga lah. Aku rasa konsep Penguin tu menarik juga cuma pada aku kena pilih foto lain la kot. Aku suka foto asal untuk kaver tu. Lagipun kaver inspirasi Penguin tu ada juga mirip dengan buku travelog lain. Jadi, memang aku berat sikit untuk pilih kaver yang asal. Dekat instagram semua pilih kaver yang sama macam aku suka, walaupun sebenarnya agak tak adil kat instagram sebab mereka tak dapat tengok gambar-gambarnya penuh. Sebab aku buat dalam satu muka surat story saja. Tapi berdasarkan total undian, memang jumlah undian kaver penuh tu yang paling banyak undian.
Buat kali pertama juga, aku mula letak sedikit pendekatan mencapub pada kaver belakang buku. Sufian memang dari awal tanya nak letak apa kat belakang. Aku memang tak fikir apa-apa kecuali letak blurb/uraian singkat. Lepas tu aku fikir, okey la, letak sedikit kata-kata pujian dari reviu-reviu buku-buku sebelum ni pun okey juga. Sebagai salah satu usaha menjual diri, dan juga buku. Selama ni ada rasa macam segan dan keinginan untuk ditemui secara semulajadi. Tapi ya, bak kata Buk, "Don't try."
*
Hari ni Gibran pertama kali makan sendiri. Tahu-tahu dia ambil Pringles (perisa keladi kot - yang warna ungu) secebis dan suap ke mulutnya sendiri. Gibran patutnya dah dalam umur yang dia dah lama makan sendiri. Tapi dia memang lain dari budak sebaya dia sebab dia tak suka ambil barang dan masuk dalam mulut. Dia suka ambil barang lepas tu buang atau campak. Memang dari bayi dia tak suka hisap jari atau ambil barang dan masuk dalam mulut. Memang baguslah sebab tak risau dia ambil apa-apa atas lantai atau tanah dan masuk dalam mulut. Tapi keburukannya, dia susah nak terima makanan. Walau aku suap, dan aku suap makanan biasa dia, pun dia akan elak. Walaupun dia tengah lapar atau tengah nak makan. Beria-ia ikut aku dari waktu aku ambil mangkuk makan dia siapa hentak hentak dua dua kaki tapi lepas aku siapkan makanan dia, dia sembunyi muka bila aku nak suap.
Jadi, ni ya, progres yang baik.
*
Draf pertama kaver zine.
Sebenarnya pagi ni macam mamai juga sebab aku siap pelik kenapa jalan pintas nak pergi pasaraya ni ada pasar pagi pula - sebab hari ni cuti umum ke - lepas tu aku baru ingat, hari ni hari Jumaat, bukan hari Sabtu, jadi memang ada pasar pagi setiap hari Jumaat dekat jalan pintas tu.
Shingles
Nampak di twitter tadi, ada orang kongsikan penyakit kayap yang dia hidap.
Walau sekadar gambar, tapi saya seperti boleh dapat bayangkan kesakitannya. Walaupun memang ada kemungkinan semua orang akan kena penyakit kayap tapi saya berdoa supaya semua orang dihindarkan penyakit itu. Seperti saya tuliskan dalam jurnalzine Sebuah Catatan Perjalanan Tentang Tanah Asing Bernama Kampung Halaman, saya pernah menghidap kayap. Saya bernasib baik kerana ia tak kronik. Walaupun bintik-bintik atau ruam yang saya tak begitu banyak tapi sakitnya memang bisa betul. Lagipula gambar yang saya tengok tadi, memang ngeri betul.
Saya juga pernah dengar di radio BFM yang Justin Bieber juga menghidap penyakit ini, cuma ia sudah melarat kepada penyakit lain. Saya tak begitu ingat detailnya tapi lebih kurang beginilah, dia kena kayap kat dalam telinga. Oleh sebab bahagian itu adalah bahagian yang tersorok jadi dia atau orang di sekelilingnya takkan nampak benda tu. Dan sebab kayap adalah berkaitan dengan saraf, ia telah terkesan pada pendengarannya juga (kalau tak silap, saya dah lupa langsunglah, kalau rajin, pergi la buka wiki dia. Lagipun saya memang tak peduli sangat dengan dia, nama dia pun saya letak dalam senarai mute di twitter, selain ernie. Jangan tanya kenapa).
Dah Rabu? Cepatnyeee
Sedikit perkongsian tentang kegemaran saya waktu memesan air di kafe; jika nak pesan minuman berais, cuba tukar susu (biasanya kafe akan guna susu penuh lemak) kepada susu oat kalau kafe itu ada pilihan susu. Walaupun saya memang sentiasa gemar latte berasakan susu soya, tapi jika mahu minum minuman espresso yang sejuk dan berperisa, memang saya akan pilih susu oat. Tapi biasanya akan ada caj tambahan (seperti contoh di Tealive tambah RM2.50, di Starbucks tambah RM2.10).
*
Walaupun tak begitu teratur, tapi saya perlahan-lahan sedang mula diet. Berat saya sudah kembali kepada berat dahulu jadi, nampaknya saya kena mula fokus diet untuk buang lima belas kilogram yang saya pernah buang dulu. Pada kebanyakan masa, saya memang rasa malas nak fikir sangat menu makanan, tapi dalam konsep diet, pilihan makanan adalah perkara yang paling penting. Jadi, sebab sekarang saya sedang malas sedikit, jadi saya cuba lakukan dengan minimal. Hari ni saya masih makan nasi tapi dalam nisbah yang sikit berbanding lauk dan sayur. Oleh sebab malas juga, saya terfikir untuk buat ayam goreng kunyit (yang masak sekali dengan sayur). Ada beebrapa bahan juga tak ada tapi sebab saya malas juga (haha) jadi saya buat apa yang ada saja. Dan kemudian secara tak sengaja saya jumpa cara goreng kunyit ayam yang sedap.
Biasanya kalau saya nak masak apa-apa, saya akan cari resepi di internet. Saya terjumpa ada satu resepi yang suruh gaulkan ayam dengan sos tiram dan kunyit, berbanding gaul ayam dengan kunyit dan garam. Semalam saya buat tapi sebab lepas tu saya gaul dan tumis sekali dengan sayur (kobis bunga) jadi tak perasan sangat rasanya. Hari ni ingat nak masak kobis bunga tapi lepas tu tengok kobis bulat saya baru guna suku saja, jadi saya ambil keputusan untuk masak kobis bulat. Lepas tu rasa macam malas nak gaul sekali dengan ayam goreng kunyit tadi, jadi, saya jadikan ia dua lauk. Lepas tu rasa kagum pulak dengan ayam goreng kunyit tu. Saya harap nanti anak-anak saya dah besar, mereka akan sentiasa tertanya-tanya kenapa babah mereka goreng kunyit lain dengan mereka punya goreng kunyit. Kenapa tak jadi macam babah masak? Sebab sekarang saya sedang alami perkara yang sama dengan mak dan juga ibu bapa mentua saya.
*
Pagi tadi saya mula bersenam sambil tengok Thor: Love & Thunder.
Reviu ringkas saya : ya, saya suka.
*
Patutnya petang tadi saya dan keluarga pergi ke kompleks beli belah tapi petang tadi saya habiskan dengan tidur. Jadi, lepas maghrib saya bawa Ariana keluar ke kompleks beli belah. Botol air Ariana dah rosak jadi saya nak belikan yang baru (patutnya nak beli kasut sekolah juga sebab dah nampak usang). Oleh sebab Ariana cuma guna barangan My Little Pony, jadi saya kena cari di tempat-tempat yang tidak lazim. Saya pun dah lupa botol air lama ni beli kat mana. Jadi, saya main agak dan pergi masuk Parkson. Banyak juga barangan My Little Pony. Saya sebenarnya hampir terpengaruh juga dengan Ariana dengan segala barangan My Little Pony ni. Kalau saya serius, silap-silap saya tergolong dalam Brony (sila cari sendiri ya apa tu brony).
Mungkin bukan perkara yang biasa saya lakukan pada hari Selasa.
Waktu mandi pagi tadi, saya ambil keputusan drastik untuk potong rambut saya.
Saya tak pasti kenapa, sejak kebelakangan ini, rambut saya makin teruk kusutnya. Ada waktu saya cuba luruskan rambut dengan jari dan ia tersangkut pada skala, mungkin tiga atau empat, dan bila saya periksa bahagian sangkut tu, ia sudah bergumpal. Paling sakit hati, saya fikir, mungkin pagi tadi sebab saya tak buat apa-apa tiba-tiba segumpal kecil rambut saya sudah gugur. Jadi, terpaksalah saya potong - sikit.
Saya tak begitu ingat bila saya mula bela rambut tapi rasanya pada tahun 2018. Saya ingat tentang kebenaran diberikan oleh syarikat untuk bela rambut panjang (asalkan kemas) dan saya terus tidak toleh belakang lagi - atau menoleh kepada kedai gunting rambut.
Rasanya waktu saya potong tadi taklah terlampau banyak atau panjang sebab saya cuma potong hujung yang bermasalah saja. Tapi lepas potong, saya rasa macam susah sikit nak siput rambut. Dan sebenarnya kalau tengok sekali imbas macam tak potong pun. Tapi oleh sebab saya sendiri yang rasa, jadi ia rasa mungkin ada beberapa perkara yang berbeza.
Tapi saya harap taklah sampai saya tergerak untuk ke kedai gunting atau salon, bagi merapikan atau menggayaka rambut saya. Dan yang lebih penting, harap tak rosaklah rambut saya lepas ni.
Macam Isnin biasa. Takde Monday Blues.
Bukit.
Rasa semalam macam dah hantar baju ke pengering dua bakul juga, hari ni tiga kali juga basuh baju. Mungkin macam ni la agaknya perasaan Sisyphus.
Hari terakhir cuti sekolah.
Beberapa minggu kebelakangan ini rasa sangat pantas, lagi-lagi waktu cuti sekolah. Aku dah jangka yang cuti sekolah akan berlalu pantas dan ya, hari ini hari akhir cuti sekolah.
Rasa banyak juga perlu diselesaikan hari ini, dari kerja rumah dan pertandingan cuti sekolah Ariana (walaupun bukan aku yang buat) hinggalah hal menguruskan rumah. Okey, setakat aku ingat, hari ni perlu basuh baju kemudian bawa ke dobi untuk keringkan (sebab ada dua bakul lebih penuh dan cuaca pula asyik mendung) dan beli barang dapur (aku syak sekurang-kurangnya kena pergi dua tempat/kedai/pasaraya sebab tak semua ada dalam satu tempat). Oh, tambah lagi kena isi minyak kereta dan isi kad Touch N Go. Mulanya macam nak pergi sendirian tapi kemudian Ariana ikut juga. Oleh itu bersedia untuk kena pow.
Aku ingat nak mula buat semua tu dari awal pagi lagi tapi lepas tu rasa malas, jadi aku kemas rumah dan tengok Seinfeld hingga episod akhir musim ke tujuh. Sebenarnya aku dah mula baca tentang persediaan untuk banjir dan Jabatan Kajicuaca juga ada keluar amaran yang air pasang besar akan berlaku selama lima hari bermula hari ini dan aku bercadang untuk kemas terus semua barang dalam persediaan banjir walaupun sebenarnya aku harap tak kena banjir lagi macam tahun lepas. Kalau tak, terpaksa aku tulis lagi satu zine tentang menyembuh (tapi bab ni aku dah bersedia - aku ingat nak naik cafe racer ke Kuala Lipis dan zine pula mungkin akan bertajuk Lagi Catatan Perjalanan Tentang Kampung Halaman Yang Bernama Tanah Asing; atau Lagi Catatan Perjalanan: Tanah Lipis). Jadi, esok aku harap awal pagi bangun, bersenam (pagi tadi dah mula bersenam walaupun jaga makan agak ke laut hari ni) dan kemudian kemas persediaan untuk banjir dari bilik ke bilik. Berdasarkan pengalaman banjir tahun lepas, satu perkara yang aku pelajari untuk buat lebih baik jika dilanda banjir lagi ialah untuk tidak tinggal sebarang barang langsung di lantai atau pada aras banjir. Sebab semua barang ini boleh terapung dan bila banjir surut, ia bersepah. Jadi, kali ini aku cuba untuk minimalkan barang di aras rendah dan hanya barang yang memang tak boleh dialihkan supaya bila tiba-tiba air masuk, tak banyak benda aku nak kena alih. Karpet pun aku akan mula alih. Juga beberapa barang yang aku fikir penting - iaitu sarung tilam kalis air (aku baca tahun lepas ada yang pakai sarung tilam kalis air jadi bila banjir, mereka terbalikkan tilam dan biar ia terapung). Aku ada juga terfikir untuk beli penahan air dan plastik bungkus kereta, tapi ada rasa macam mahal sangat. Kalau mampu, dah lama aku beli. Lagi satu, aku dah mula rasa nak naikkan semua soket plag. Aku tak tahu sebenarnya macam mana ia berfungsi ketika banjir tapi aku memang seriau tengok plag dalam banjir - takut arus elektrik mengalir dalam air banjir.
Aku harap esok dapat setel semua dan buat sedikit catatan tentang perkara yang boleh perbaiki untuk hadapi banjir.
*
Akhirnya dekat malam juga baru aku keluar dari rumah untuk buat semua benda yang aku patut buat pagi tadi. Isi minyak lepas tu isi kad Touch N Go lepas tu mula beli barang dapur. Habis beli barang dapur, aku tengok ada lagi beberapa barang kena beli tapi aku pergi ke dobi dulu sebab pasaraya ni depan dobi yang selalu aku pergi. Aku bajet mungkin kena pakai empat mesin pengering tapi waktu aku datang hanya ada dua saja yang kosong. Aku selalu ke dobi sini sebab tak ramai yang datang ke dobi ni. Pernah aku datang dobi waktu lewat malam dan tak ada sesiapa di sekitar kawasan ini (keseluruhan dua blok bangunan - tempat ini walau di tengah pekan tapi ia sedikit terasing mungkin sebab akses ke kawasan ini agak renyah). Aku memang selalu datang dobi waktu yang tak lazim sebab malas nak berebut dengan orang lain tapi taklah sangka sampai tak ada orang langsung keseluruhan dua blok bangunan ni. Aku syak sebab restoran mamak di hujung lot tak buka waktu itu jadi tak ada sesiapa mahu berada di sini pada waktu begini. Aku baru bercadang nak duduk dalam dobi sambil baca buku terus tak jadi. Aku duduk dalam kereta, kunci pintu semua, dan tengok mesin pengering berputar dari jauh.
Aku duduk di depan pengering dengan Ariana sambil tunggu ia habis berputar. Selang beberapa ketika, ada satu lagi mesin mula kosong dan aku masukkan semua baki baju ke dalam pengering. Walau pada awalnya rasa aku patut bahagi dua juga tapi aku fikir untuk jimat waktu, aku masukkan semua dan tambah lagi waktu untuk keringkan lebih lama. Selalunya sekali pusingan ialah dua puluh empat minit, jadi aku tambah lagi satu syiling dobi dan total tiga puluh minit untuk pusingan akhir ini.
Aku tengah duduk dengan tenang bila aku sedar bakul aku hilang satu. Ada dua bakul yang aku bawa ke dobi dan kedua-duanya aku letak tepi pengering. Aku terfikir juga jika bakul aku teralih ke sebelah sini tapi bila aku perhatikan ia bukan bakul aku kerana warnanya sudah agak pudar. Lepas tu bila aku perhatikan betul-betul, bakul aku sudah berisi dengan baju dan aku lihat ada haiwan tengah berdiri depan bakul aku.
Aku tegur itu bakul aku, dengan bersangka baik mungkin dia tersalah bakul. Tapi sebenarnya dia tak ada bakul dan dia pakai bakul aku untuk isi bajunya yang baru keluar dari mesin basuh. Oleh sebab aku tak pernah bedepan dengan situasi begini, aku hanya tunggu dia keluarkan bajunya dari bakul aku. Lepas tu dia tengok aku dan cuma kata oh yeke. Lepas tu dia tercegat kat situ. Aku pelik apa dia tunggu lagi. Kebetulan ada satu mesin pengering mula dikosongkan dan dia bawa bakul depan pengering dan masukkan pakaiannya. Lepas tu baru dia kata sorry dan pulangkan bakul pada aku.
Secara jujurnya aku tak tahu nak beri reaksi macam mana. Tapi aku terus duduk kat situ sementara haiwan tu terus keluar dari dobi dan tunggu bajunya dari luar.
Aku pernah terbaca juga tentang insiden di dobi yang dikongsikan pengguna internet yang lain - sama juga macam aku, dia tengah pakai pengering, cuma mungkin dia tinggalkan dobi untuk ke tempat lain, bila dia balik, dia keluarkan pakaian dari pengering dan dapati ada pakaian orang lain. Rupanya ada orang lain buka pengeringnya, masukkan pakaian sendiri dan tutup semula. Aku fikir ni lagi binatang perangai.
Mungkin lepas ni aku patut pergi dobi pada waktu aku selalu pergi sebelum ini - supaya tak bertembung dengan haiwan-haiwan begini.









