Puaseeeee

Dah potong rambut Gibran semalam. Aku memang nak biar je rambut budak ni panjang sebab tahu dah muka dia ni tak sesuai rambut pendek tapi katanya dah panjang, nampak macam tengah demam jadi ye lah aku potong la sikit tapi macam banyak jugak rambutnya walaupun aku potong sikit. Jadi sekarang dah pendek sikit, tak nampak macam demam, nampak macam baru baik demam.

*

Patutnya aku kena hantar beberapa cerpen kepada penerbit (empat sebenarnya) tapi setakat ni memang tak gerak sangat. Aku tak tahu la kenapa, aku cuba bagi segar sikit dengan peram dan buat benda lain macam selongkar balik tulisan lama untuk guna semula (dan setakat ni aku kumpul banyak draf dan potongan ayat yang mungkin akan masuk dalam projek cerpen pendek) dan selainnya aku habiskan dengan sakit-sakit badan. Aku tak tahu la kenapa, tapi sekarang aku dah tak larat nak berjaga malam. Habis berjaga malam, badan akan sakit dan aku kena pulihkan balik tenaga dengan dua kali kitaran tidur. Tak faham juga sebenarnya sebab aku cuma duduk depan komputer sepanjang masa dan aku tak keluar ke kafe pun. Minggu lepas ada rasa macam badan tak sedap jadi malas nak keluar dan aku habiskan dengan menulis sampai pagi (dua hari je pun). Aku ingat paling teruk masa aku tak tidur sampai la pukul lapan pagi. Waktu tu badan dah rasa sakit. Pelik aku. Apa bezanya kot sebab bukannya berjaga dua puluh empat jam sebab sebelum tu memang tidur. Entah lah, mungkin ini adalah petanda untuk kembali jaga makan.

Aku mulakan dengan puasa. Aku bajet mungkin seminggu puasa untuk bagi reset balik perut sebab sekarang aku rasa penat bawak perut (kahkah) dan juga perkumuhan tak begitu lancar. Jadi bagi perut selesa sikit lepas puasa lepas tu baru mula bersenam dan jaga makan. Selain dari badan dah bagi isyarat, aku juga dah mula rimas sebab hari tu aku cakap takkan bercukup selagi berat tak turun jadi ni sekarang misai dah mula buat rasa rimas. 

Aku bajet dah nak mula berhenti minum susu sebab kebelakangan ni asyik banyak minum susu dan mula minum air kosong je. Dan juga kopi tanpa gula dan susu atau perisa. Tapi hari ni ada promo lima puluh persen harga pumpkins spice pulak. Aku tengah berbelah bagi juga ni. Okeh la malam nanti aku pergi la, kira last la. Okeh beli dua cawan. Eh.  

Saja je tak nak sebut multiverse.

Aku selalu rasa yang semua video klip Joji berkait antara satu sama lain walaupun setakat sekarang masih belum jumpa pautan antara dari satu ke satu video yang lain. Aku fikir semua peminat dia juga sedang tunggu macam mana semua video ini berhubung dan bersambung hingga jadi satu cerita yang logik. 

Tapi beberapa hari yang lepas aku mula fikir yang video klip Joji adalah seperti DCEU - karakter-karakter dari DC dalam semesta yang pelbagai dan tak ada keperluan untuk menyatukan semua dalam satu kisah yang sama - semua bergerak dengan sendiri dengan cerita sendiri dengan kemungkinan akan bersilang dengan mana-mana karakter atau semesta yang berlainan. 

Dan bila fikir semula, ya, watak-watak dalam tulisan aku juga aku tulis begini - di dalam semesta yang sama tapi tak semestinya akan bertemu atau bersilang atau punya penghubung cerita.  

Test

Okey, aku dah cuba untuk kemaskini blogspot kat Ipad lama aku tu tapi nampaknya tak boleh. Mula-mula cuba guna aplikasi Blogger tapi lepas aku log keluar akaun lain untuk masuk akaun aku ni, dah tak boleh masuk. Lebih kurang error yang sama masa pakai tablet murah sebelum ni, rasanya dia macam tak boleh akses ke pautan untuk log masuk ke akau Google. Aku cuba pakai pelayar, dari Safari sampai ke Chrome, semua tak boleh log masuk - Safari nak masuk ke laman untuk login Blogger terus dia cakap pelayar tak disokong. Aku cuba Chrome pun sama. Edge dengan Firefox takde dalam Ipad tapi bila cuba muat turun, dah tak disokong juga. Hanya ada satu aplikasi yang boleh masuk ke laman log masuk Blogger - aplikasi Google tu sendiri (dulu sebenarnya aku pelik juga ni berapa banyak la Google nak buat aplikasi sampai Google pun nak aplikasi juga ke) tapi tak boleh tulis pos baru. Bila aku tekan untuk buat pos baru, aku cuma boleh taip tajuk je, isi pos tak muncul tempat untuk taip - cuma ada laman kosong je. Ni aku tulis pos kat komputer.

Setakat aku belek guna aplikasi penting utnuk tulis, Drive dengan Docs setakat ni nampak macam oeky malah aku siap kagum tengok cantik betul paparan dia walaupun Ipad ni dah dekat sepuluh tahun. Gila juga sepuluh tahun tapi masih lagi boleh berfungsi (walaupun sebenarnya taklah semua, terutamanya fungsi yang penting dan popular - macam Youtube dah tak boleh buka aplikasi dia, kena pakai pelayar, itupun lambat dan kadang-kadang tak boleh buka, Airdrop takde, apa lagi eh, aku tak ingat sangat. 

Skrin dia yang pecah aku dah selamat letak pita pelekat dan letak pelekat gambar. Dah jadi hipster sket. Sekarang tengah tak sabar tunggu papan kekunci. 

*

Aku tengah fikir nak tukar ke prabayar atau pasca bayar yang lebih murah. Rasa selepas aku riki banyak benda, rasa mungkin aku patut ambil pasca bayar juga - yang paling murah - empat puluh ringgit. Jap, ingatkan aku untuk ambil pascabayar Umobile jugak. Sebab aku konfius sikit nak tukar Celcom ke kekal dengan Umobile.

Mengecas tenaga untuk tulis seribu cerpen dan satu novelet.

 


Goooooo eeeeeeeeasy on meeeeeeeeeee eeeee eeeee

Dekat berapa belas juta kali jugak nak mula diet tapi tak mula-mula. Jadi aku ingat kita mulakan dengan puasa dulu lah untuk beberapa hari. Semoga dipermudahkan.

*

Aku dah beli papan kekunci untuk Ipad. Walaupun entah kenapa macam susah, dekat berapa belas kali aku cuba tambah nilai Shopee Pay tapi tak berjaya, akhirnya berjaya juga (kena guna cara lain untuk tambah nilai). Aku harap ini juga dipermudahkan. Tazabar nak tunggu papan kekunci sampai (dan juga barang lain sebab pos dari China, kompom lambat).

Sebenarnya aku mirip dengan ramai orang.

 Aku tak pernah cerita kot yang Ariana suka sangat tunjuk-tunjuk dan panggil "Babah!" kat lelaki dewasa yang random. Panjang cerita dia.

Dulu Ariana masa mula nak cam orang, dia akan tengok gambar dalam telefon lepas tu akan tunjuk kat kitorang, sama ada "Mama!" atau "Babah!" Kira nak tunjuk la dalam gambar tu ada aku atau mak dia. Ada sekali tu, dia tunjuk entah gambar perempuan mana lepas tu tunjuk dan cakap "Mama!" (sebab figura yang agak sama). Sudah tentu mak dia akan cakap "Bukanlah!" lepas tu kitoang gelak. Sebab dia nampak kitorang gelak, dia ingat benda tu lucu jadi selalu dia akan buat walaupun dia tahu tu bukan mama dia. Lama-lama, bila keluar dia suka tunjuk orang yang mirip macam mama dia lepas tu tunjuk dan cakap "Mama!" sebab nak buat kelakar lah. Sekarang ni sebab tengah rapat denga aku, jadi dia buat pula kat aku. Kadang aku takde pun (masa keluar dengan mak dia) pun Ariana buat macam tu. Mula-mula kitorang rasa benda tu normal je jadi layankan je lah Ariana. Kadang aku ye kan je. Walaupun orang yang dia tunjuk tu sebenarnya gambar Aeril Zafril. 

Lama-lama kiotang terfikir, bahaya juga Ariana buat macam tu. Bayangkan, kalau kau tengah jalan dengan gilfren atau isteri, tiba-tiba ada budak perempuan tengah dengan mak dia jalan sebelah kau lepas tu dia jerit "Babah!" sambil tunjuk kau. Apa tak kalut kau tak pasal-pasal kena tuduh dah ada anak (lain)? Dah la lepas tu budak tu asyik ulang-ulang dan budak istimewa pulak tu. Nayaaa.

Sekarang aku dah cepat-cepat suruh Ariana jangan cakap macam tu kalau dia buat. Atau kadang-kadang aku reverse uno pulak kat Ariana. Nampak budak perempuan je aku jerit "Ariana!" sambil tunjuk budak perempuan tu. Kahkah. 

Okey la kot kira banyak la jimat.

 Okey, dulu pernah ada idea untuk menulis Mendengar Adele. Ia tercetus beberapa tahun lepas bila lagu-lagu Adele sedang popular dengan tema yang agak mirip jadi saya fikir mungkin saya patut dengar keseluruhan album Adele dan tulis sesuatu tentangnya, sama ada ia cerpen, esei, puisi atau mungkin lirik lagu - tapi kecenderungannya ialah cerpen. 

Sekarang saya sedang mendengar Sade dan ia kedengaran lebih menarik untuk menulis sesuatu dengan tajuk Mendengar Sade tapi Mendengar Adele kedengaran lebih sedap. Kira omputih cakap have nice ring to it. Tapi sebab saya pun tak habis dengar mana-mana album dan ada satu dua album Adele yang saya tak rasa mampu hadap sekali jalan, dan juga sebab tengah sibuk nak tulis benda lain, jadi itu kita fikir kemudian.

*

Sekarang saya seperti sedang bertarung dengan keinginan. Yep, Keinginan lawan keperluan. Ceritanya begini, ada dua perkara mempengaruhi saya tentang hal ini - Beduk beli tablet dan bengkok jugak nak lepak Starbucks setiap kali nak menulis. Okeh, biar saya huraikannya.

Beduk beli tablet murah kerana katanya ia sangat berguna untuk dia membaca ebuku. Ada banyak ebuku yang dia dapat dari internet jadi ia memang bermanfaat untuk dia lah sebab tablet tu murah dan dia juga boleh buat perkara lain yang minimal dengan tablet tu seperti fungsi tablet lain. Jadi, ada beberapa kali saya singgah ke kedai komputer dan telefon untuk lihat tablet yang murah. Kebanyakannya memang sangat mahal dan bukan dalam lingkungan bajet saya - semua harga hampir dua ribu ringgit. Ada juga saya jumpa yang murah. Dalam lingkungan sembilan ratus ringgit dan saya memang agak teruja juga nak beli. Tapi basib saya sabar dan buat sedikit carian di internet tentang tablet itu. Yep, antara carian yang popular ialah macam mana nak lajukan [model tablet yang saya nak beli] dan kenapa [model tablet tadi juga] jadi lambat. Walaupun pada awalnya saya seperti menafikan, tapi kemudian saya fikir, mungkin sebab tu murah (walaupun masih lagi nak menafikan, mungkin kalau untuk aplikasi dan penggunaan asas okey kot tak lambat). Jadi seterusnya saya cuba cari di Shopee walaupun saya yakin saya takkan beli juga di Shopee. Ada banyak tablet murah tapi seperti mana segala barang lain yang saya beli di Shopee, perkara pertama saya lakukan ialah periksa komen dari mereka yang bagi penilaian rendah - satu bintang. Okeh, tak jadi beli jugak, Lepas tu saya teringat yang saya nak tukar pascabayar saya kepada prabayar sebab nak kurangkan komitmen. Jadi mungkin saya boleh periksa kalau ada yang berikan tablet dengan pelan pembayaran bulanan. Setakat saya semak, Maxis saja yang tawarkan. Atau Maxis saja yang tawarkan Ipad. Ya, waktu ini saya punya tumpuan dah bertukar kepada Ipad sebab nampaknya ini saja yang rasa berbaloi. Tapi masih mahal juga. Lepas tu saya teringat Machines juga ada tawarkan pelan pembayaran bulanan. Lepas saya baca satu-satu, saya dapat simpulkan Ipad paling murah dan paling popular orang beli ialah Ipad 9th Generation (untuk 64gb RM1599 kalau tak silap, gb seterusnya 256gb dengan harga RM2499 kalau tak silap juga) dan saya tak mampu nak beli Macbook Air dah (kahkah dulu nak beli Macbook Air sebab dia murah sikit dari Macbook biasa. Sekali sekarang Macbook Air pun tak mampu dah).

Jadi, kita kembali kepada petak pertama.

Jadi pagi tadi saya teringat yang saya dulu pernah beli tablet murah. Tak ingat, tapi rasanya dalam dua atau tiga ratus. Ini ketika tablet baru popular seiring dengan Ipad baru mula popular. Mungkin dalam setahun dua sejak Ipad diperkenalkan dan pasaran sudah mula dibanjiri tablet yang murah. Untuk waktu itu, tablet tu kira asal boleh tengok youtube sikit-sikit dan ada kad memori untuk letak lagu atau filem pun dah kira ngam la. Kalau ikut spesifikasi sekarang, saya tak tau nak buat apa dengan tablet ni. Dulu sama la konon nak menulis kat tablet tapi lepas tu macam susah juga sebab takde Office la, kena pindah fail sana sini jadi pening. 

Tadi saya selongkar juga rumah untuk cari tablet tu mana tahu boleh pakai. Setakat saya cuba tadi, rasa boleh simpulkan memang dah ketinggalan dan tak ada kemaskini yang baru jadi banyak aplikasi dah tak disokong. Nak buka youtube kat pelayar pun lambat sangat. Nak baca ebuku pun macam tak konpiden.

Saya macam dah fedap juga sebenarnya. Sebab rasa macam terhad juga tempat nak pergi keluar untuk menulis sebab komputer riba saya bateri dah rosak jadi setiap kali memang perlu pasang plag untuk hidupkannya. Dan rasa pergi kafe macam mahal juga kosnya (walaupun sebenarnya bila fikir semula kalau pergi kafe saya beli cuma satu air saja sepanjang berada di kafe, kalau di restoran mamak contohnya, kejap lagi mesti la saya makan mi goreng ayam atau roti banjir atau nasi kandar, maksudnya lagi keluar duit berbanding duduk di kafe. Tapi kalau lepas balik kafe kalau lapar pun saya singgah makan juga. Jadi okey lagi kot. Oh ya, lagi satu nak cari plag kat kafe tu pun satu hal juga. Oh, dan kalau kafe tu jauh, pun satu hal jugak).

Akhirnya saya tergerak untuk cuba semula Ipad lama saya - Ipad 4, ni beli pada tahun 2012. Ada banyak rosak, skrin dah pecah, pembesar suara dah rosak - tak ada bunyi langsung, perlu pakai fon telinga. Tapi kemudian saya cuba aplikasi Google Drive dan Goole Docs nampaknya boleh guna sepenuhnya. Dan kalau ikutkan, ia masih elok lagi cuma dah teruk la rupanya. Bateri pun dah kong. Tapi lepas tu saya fikir, okey lagi kot ni. Sebelum ni saya fikir macam leceh nak pakai Ipad ni sebab saya nak guna Office dan tak ada papan kekunci. Tapi sejak saya dah pakai Drive dan Docs jadi rasanya boleh guna balik Ipad ni. Cuma untuk bateri ni memang kena sentiasa pakai kabel dan bank kuasa, mungkin boleh tahan rasanya. Boleh pakai fon telinga sebab dia masih guna cucuk (boleh juga guna bluetooth tapi nak pakai untuk papan kekunci nanti). Jadi sekarang saya perlu beli papan kekunci dengan sokongan bluetooth. Dan skrin-skrin yang dah pecah seribu tu, nasib baik kat tengah tak pecah (sangat). Sebelum ni dah tutup dengan pita pelekat jernih. Baru ni ada lagi pecah, entah macam mana pecah, tu yang buat lagi malas nak pakai. Tapi rileks, kita letak pita pelekat lagi. Lepas tu, nanti saya akan tampal pelekat bercorak (band atau logo) untuk menutup retak tadi. Dan badan Ipad yang calar balar pula ada bekas sekali dengan papan kekuncinya. Barulah nampak seperti penulis yang sedang berontak/berjuang/bergelut. Doakan saya!

Sekarang saya macam antara yakin tak yakin nak beli papan kekunci sebab mahal sikit untuk barang yang dah keluar sepuluh tahun lepas. Entahlah, saya tawakallah.



Pejabat.

Sepatutnya ada beberapa cerpen perlu diselesaikan tapi nampaknya sejak seminggu lepas masih belum siap. Novelet pun belum siap. Bukowski pun tak baca lagi. Deftones hari tu je la dengar dua album (kot).

*

Gibran dah mula batuk-batuk. Aku tak tau la mana datangnya. Ye aku tahu dari Ariana tapi dari mana la Ariana dapat. Dari sekolah rasanya. Kadang-kadang rasa malas nak bagi Ariana pergi sekolah sebab senang berjangkit penyakit. Sebab lepas tu Ariana jangkit pada Gibran pula. Ni pulak dah mula hingus.

Semalam ada temujanji dengan hospital dan klinik sehari suntuk. Oleh sebab sebelum ni asyik tunda temujanji dengan hospital (sebab demam, lupa dan sebagainya), akhirnya temujanji yang terkini jatuh hari yang sama dengan temujanji klinik kesihatan. Aku tak tahu kenapa tapi biasanya jururawat di klinik kesihatan akan jarakkan tarikh antara temujanji hospital dan klinik. Patutnya dari hari tu temujanji ni selang dua bulan rasanya, ni dah jadi hari yang sama. (Macam tarikh seterusnya, klinik dah bagi selang sebulan lepas aku cakap bila tarikh temujanji hospital). Jadi dari awal pagi aku dah keluar (walau lambat sikit dari biasa keluar hantar Ariana pergi sekolah tapi tak banyak beza pun).

Sebelum pukul tujuh pagi aku dah keluar, walaupun temujanji pukul lapan pagi sebab aku tahu memang akan sesak sikit jalan sebab bertembung dengan orang masuk kerja dan juga untuk rebut parkir di hospital. Aku tak tahu kenapa tapi parkir hospital ni memang rasa cukup besar dan lapang tapi bila waktu puncaknya tak cukup langsung. Aku semak betul bila kereta parkir berganda, tu belum masuk yang memang tak ada akal fikiran tutup laluan keluar (aku pernah kena, pemandu tu konpiden gila parking dekat sebelah laluan keluar, dia ingat semua orang pakai Kancil ke, ada pemandu lain dah tunggu situ mungkin dekat dua jam. Dia pergi bagitau pengawal keselamatan buat pengumuman, aku bagitau juga dan suruh buat pengumuman, pun tak datang). Aku rasa patut dari awal lagi dia buat parkir bertingkat. Ni tak, orang parkir kereta sampai melimpah luar jalan. Tu belum lagi waktu balik, aku baru sampai kereta, kereta belakang dah bagi signal siap-siap nak amik parkir aku. Cuba kalau dulu waktu duduk wad aku saja balik kat kereta nak rilek ke nak hidupkan enjin je ke atau pesan penghantaran dan nak makan dalam kereta ke, kan rasa tak best.

Jam tujuh setengah pagi aku dah sampai hospital dan dapat parkir yang selesa sikit walau kena jalan (tak lah jauh tapi sebab balik tu hujan jadi kalau aku redah sempat kuyup la aku anak beranak). Tujuh setengah pagi untuk temujanji lapan pagi ni kira lambat juga. Walaupun sampai kat bahagian pediatrik ngam pukul lapan pagi, tapi depan aku dah banyak giliran lain. Masa daftar tadi pun dah ramai jadi memang agak akan lewat juga la. Kalau petang takde temujanji lain bolehlah watlek watpis, aku memang dah suspek satu hari suntuk aku keluar ni. Jadi, pendek cerita, kat pediatrik sampai pukul sebelas pagi. Lepas tu kena sambung farmasi pulak. Aku sebenarnya paling tak minat nak kena pergi farmasi hospital sebab beratur panjang sangat dan kebetulan juga sebelum ni memang tak pernah perlu sampai ke farmasi. Cuma kali ni je terkena. Dekat sejam juga menunggu. 

Jadi pukul dua belas tengah hari lebih juga baru balik dan sampai rumah. Kira masa suntuk juga sebab ni waktu aku mandikan dan bagi makan pada Gibran, sebab pukul satu lebih dah nak kena keluar balik untuk temujanji klinik kesihatan jam dua petang. Klinik kesihatan ni pun satu juga dia punya temujanji, memang sekali dia set temujanji ramai betul. Aku sampai klinik dalam satu setengah petang - kira awal gila sebab orang takdenya nak tunggu awal dekat klinik sebab panas gila kot. Sebenarnya ada je sampai awal dari pukul satu tapi semua tunggu kat dalam kereta la. Sebab kereta aku pendingin hawa dah rosak jadi memang kena masuk dalam klinik la cerita dia. Walaupun aku sampai paling awal, tetap aku paling lambat masuk sebab semua perangai macam scalper (haha) buka pintu je terus semua berebut masuk. Tapi nasib baik la tak lama tunggu. Dalam sejam dah setel. Dan nasib baik juga pagi tadi doktor dah tanya soalan pelik dan tak lazim (sebab bukan doktor yang tahu fail Gibran jadi dia tanya macam-macam), jadi sebelah petang dengan jururawat kira lancar juga la aku kongsikan hal Gibran.

Kalau ikutkan, Gibran kira lambat sikit perkembangan dia berbanding usia. Berat pun turun dari 10.8 kilogram masa kali terakhir datang, sekarang 10 kilogram je. Kalau ikutkan rasa macam pening juga aku jaga budak dua orang ni tapi itu pun sebenarnya tak sampai tahap paling minimum pun. Aku rasa macam kena gandakan usaha untuk jaga Gibran dan Ariana. Sebelum ni memang aku harap untuk dapat tingkatkan perkembangan diorang tapi tak banyak sangat progress sebab aku rasa macam tak menang tangan juga nak uruskan semua dengan bantuan yang minimal (sebab memang patutnya aku kena uruskan semua).

Aku tak tahu la nak cakap macam mana, tapi kalau ada yang baca ni juga berada dalam situasi yang sama, yang penting jangan mengalah. Biarlah kalah setiap hari tapi yang penting jangan putus asa. Yang penting kena buat - jangan cuba, buat je. 

Lepas tu balik klinik aku tak terus balik rumah sebab nak cari puting botol Gibran. Budak bertuah ni pergi gigit puting dia sampai koyak teruk (puting yang mahal pulak tu, yang murah tak nak gigit sampai koyak pulak). Tapi lepas tu satu-satunya tempat yang jual puting tu tutup pulak (sebenarnya aku macam dah teringat ada satu lagi tempat banyak gila jual puting botol ni tapi aku lupa kat mana, penat aku fikir semalam tapi tak boleh ingat - cuba cari dalam whatsapp pun tak jumpa). Tutup bukan sebab tak berniaga hari itu, tapi terus tutup kedai. Lepas tu baru tahu diorang pindah kedai. Waktu ni aku dah kat Lotus untuk beli barang dapur dan juga untuk minum iced coffee Dunkin'. Jadi lepas dari Lotus, aku pergi kedai tu. Kalau ikut aku baca, dia kata berdekatan kawasan yang ada kedai jual kambing bakar (1). Aku ingat aku jalan kawasan sekitar tapi tak jumpa, aku belek balik instagram kedai bayi tu dan nampaknya aku salah baca. Dia dah pindah ke kedai jual kambing bakar (2). Jadi aku masuk kereta dan pandu ke blok seberang jalan ke tempat dia cakap tu. Lepas tu aku jem kejap sebab sebenarnya aku tersalah baca pos yang tengah tunjukkan tempat lama (sebab tengah buat jualan pindah kedai jadi dia tunjuk arah ke kedai lama - betul juga, belum pindah buat apa tunjuk tempat kedai baru). Aku baca lagi sekali pos terkini dan dia tunjuk memang kedai baru adalah di kawasan kedai kambing bakar (1). Jadi terpaksa aku patah balik lagi sekali ke tempat awal tadi dan cari semula. Aku ingat aku parkir dalam seratus meter juga dari kedai sebab aku ingat memang dekat betul dan jalan kaki dari sana. 

Waktu nak balik, jalan dah mula sesak dan aku dah rasa hari ni macam kerja pejabat sebab keluar awal dan balik pada waktu yang sama dengan diorang. 

*

Aku beria nak beli puting sebab Gibran asyik tumpahkan susu dari botol dia kat lantai dan satu rumah jadi melekit. Aku rasa semak sampai malam semalam aku basuh rumah. Jadi, aku bersihkan rumah dan basuh baju empat pusingan (baru beli sabun basuh baju jadi semua baju kotor berkumpul banyak gila). Sebenarnya aku dah bajet dalam selang beberapa minggu patut basuh lantai. Tapi hari tu lepas beli puting botol Gibran, nampak lantai macam okey sikit. Tapi lepas dekat sebulan, lantai jadi kotor dah lagi-lagi dengan susu, jadi aku terus la basuh lantai malam-malam buat. Lagipun sekarang malam-malam rasa bahang, jadi cepat la sikit kering. Aku tak tahu la berapa lama tahan ni lantai ni sebelum kena basuh balik. 


Sarapan.

 Ridhwan Saidi tanya saya tentang sarapan yang paling diingati, pada Ahad lepas.

Hari Ahad lepas, selalunya pada hari Ahad saya jarang berada di luar kerana hari Ahad lazimnya adalah waktu saya malas nak pergi mana-mana dan habiskan dengan keluarga selain dari bersedia untuk Isnin. Cuma dalam waktu maghrib, Beduk tanya jika saya mahu datang lepak Rahmath. Ada Bob dan Ridhwan juga katanya. Saya ketika itu berada di rumah mentua dan saya tak fikir akan datang dengan cepat. Tapi sebagai lelaki alfa (kahkah), saya maklumkan pada isteri yang saya akan keluar melepak di Rahmath lepas balik dari rumah mentua (ya, bukan minta izin tapi terus cakap nak keluar je sebab selalunya Ahad malam adalah waktu untuk membuat persiapan untuk Isnin. Tapi juga, sebagai lelaki alfa - kehkeh - saya menyiapkan anak-anak dan beberapa keperluan lain sebelum keluar). 

Saya tiba di Rahmath mungkin dalam jam sembilan malam. Dan dari topik ke topik rambang, tiba-tiba Ridhwan tanya tentang sarapan pagi yang paling diingati. Saya tak begitu faham konteksnya tapi Ridhwan kata ia berkaitan filem pendeknya - Menjadi Laila Dan Sairah. Sebab saya belum tontonnya jadi saya tak dapat nak kaitkan (lagipun saya terus jawab baru saya tanya kenapa).

Saya sebenarnya tak fikir jika ada sarapan yang akan menjadi perkara yang saya mahu ingati sangat sebab saya bukan suka sangat sarapan sebenarnya. Saya fikir separuh dua puluh tahun pertama (atau mungkin juga tiga puluh tahun pertama) saya tak membudayakan sarapan. Tapi sarapan pertama yang terlintas dalam kepala saya ialah adik kawan saya makan magi untuk sarapan. Saya tak ingat macam mana saya boleh berada di rumah kawan saya pada waktu pagi (kawan saya juga jiran selang beberapa rumah, jadi sebenarnya taklah pelik sangat kalau tiba-tiba ada kat rumah dia sebab dekat je) tapi saya berada di situ pada hari persekolahan dan tengok adiknya masak magi untuk sarapan pagi. Mungkin ia terlekat dalam fikiran saya kerana ia agak rambang juga untuk masak magi awal pagi semata untuk dijadikan sarapan. Lepas tu, mungkin saya ingat tentang sarapan di McD di atas Genting pada awal pagi bersama kawan-kawan. Saya tak ingat kenapa tapi rasanya kami keluar naik Genting awal pagi untuk ambil gambar sebelum singgah di McD kerana kawan saya kata dia gemar makan sarapan McD. Saya pula sampai sekarang tak minat sarapan McD sebab saya fikir menunya membantutkan daya imaginasi. Tapi ketika itu saya fikir mungkin kali pertama saya makan sarapan McD. Seterusnya saya teringat ada satu peristiwa tentang ada satu pagi saya nak pergi beli nasi lemak kerang tapi gerai tu tutup jadi saya jalan kaki pergi restoran mamak dan pesan roti canai tapi lama betul nak siap, rupanya doh habis jadi diorang buat dulu doh. Saya ingat sebab saya tulis cerpen tentang peristiwa ini. Ini mungkin salah satu dari fasa di mana saya rajin makan sarapan sebab nasi lemak rendang kerang tu boleh tahan juga. Lepas tu saya ingat tentang nasi lemak hijau di rumah kawan saya. Saya ingat tentang tumpang bermalam di rumah kawan saya yang berdekatan dengan laut dan esok pagi bangun, ibunya masak nasi lemak hijau yang sedap. Punyalah sedap sampai saya segan nak tambah. Lepas balik baru saya cakap kat kawan saya. Dia kata kenapa tak cakap, dan kata saya patut tambah je. Lagi kalau tahu, mungkin mak dia akan bungkuskan saya nasi lemak hijau itu. Oh, ini juga pertama kali makan nasi lemak hijau.

Sebenarnya saya boleh kongsikan lagi satu (tentang sarapan di rumah mentua selepas kahwin - saya kata saya tak sarapan dan mak mentua saya macam skeptik dengan saya) tapi kemudian rasa macam banyak pulak dari satu ke satu saya kongsi sedangkan pada awalnya saya cakap macam takde yang diingati sangat. Saya fikir Beduk mungkin teruja tentang apa jawapan saya sebab dia tak rasa ada sarapan yang betul-betul dia ingati.  

Jeda.

Akan langkau kemaskini mungkin untuk beberapa ketika, bukan sebab tak ada benda nak tulis, cuma malas je.  

Aku ingat nak dengar Deftones dengan baca Bukowski balik ni.

Adderall

Sebenarnya aku lupa nak tulis pasal apa hari ni, tapi siang tadi memang banyak kali snooze dan tunda semua benda tapi ia berakhir dengan okey. Maknanya ia macam hari biasa cuma bermula lewat. Kira produktif dalam erti kata paling minimum dan tak boleh dibanggakan.

Malam ni patut aku ambil peluang untuk pergi menulis di kafe tapi bila keluar memandu tadi (ya aku dah siap berpakaian dan keluar memandu) aku nampak kilat dan langit agak cerah - macam petanda akan hujan, hujan yang agak lebat (tapi setakat dua jam yang lepas, masih belum hujan). Jadi, aku tak terus ke kafe di lebuh raya persekutuan, sebaliknya isi minyak dan ke kafe terdekat dan juga 7Cafe - sebab aku masih teringat hal pumpkin spice dengan bagel kayu manis.  Dan ia bukan pengalaman yang menyenangkan. Dan ia juga buat aku terfikir lagi sekali tentang bekerja di kafe.

Mungkin lebih kurang macam ni la perasaan Rafizi agaknya.

Pada kebanyakan kafe yang aku kunjungi, memang banyak perkara yang tidak memuaskan dan ia sangat menjengkelkan. Aku tak pasti untuk salahkan siapa - latihan tak cukup, beban kerja yang banyak, generasi ni tak peduli dan sedang quiet quitting, atau memang generasi ini terlepas banyak perkara, gaji tak setimpal, jangkaan yang terlalu tinggi, atau mungkin semua. Entah. Ia buat aku rasa macam, elok la melingkup sebab aku bukan sebahagian dari masalah sekarang. Tapi kemudian, lancau betul praktis sekarang ni. Lepas tu kalau aku kembali bekerja di kafe, ia akan jadi sesuatu yang menjengkelkan dan memenatkan sebab terlampau banyak perkara yang hendak diperbetulkan. Dan lebih malan lagi sebab ia bukan posisi aku untuk buat semua tu.

Beberapa hari lepas, aku fikir mungkin bila tiba waktunya, aku berharap untuk bekerja di kafe pada syif yang tidak lazim - syif nokturnal supaya aku boleh imbangkan masa dengan keluarga, walaupun ia sebenarnya agak rumit; dan juga bekerja di kafe kawan-kawan dan kenalan berdasarkan keperluan semasa. Tapi beberapa kali mengunjungi kafe buat aku rasa; fakof la bendalah ni. 

Pengikut perlu tahu (1)

Beberapa perkara rambang yang perlu saya kemaskini;

  1. Dah habiskan baucer kat Panda, dah jadi bodoh macam Grab pulak rasanya.
  2. Bagel kayu manis 7Cafe dan latte rempah labu panas dengar macam satu kombinasi baik walaupun malasnya nak pergi keluar sebab dua-dua jarak jauh dan juga sebab poin atas.
  3. Kat Petron hari tu ada nampak gula-gula Hudson, ada beberapa perisa, aku rasa semua perisa ada; kecuali perisa kegemaran aku sekarang - buah pala. Tak sabar nak letak tajuk buku :

g u l a 

     g u l a

b u a h

      p a l a 

 

2022

Walaupun tahun ni masih belum tamat tapi aku boleh rumuskan 2022 tak best sangat. Walaupun ada beberapa perkara yang menerobos sepanjang tahun ini dan masih lagi ada baki beberapa bulan (yang mungkin mengujakan - secara peribadi atau secara umum) tapi buat masa sekarang, hari ini, pagi ini, jam ini, saat ini, aku rasa tahun ni tak best sangat. Dan walaupun aku rasa tahun ni tak best sangat, aku pasti aku akan lupakan tahun ini seperti mana aku aku dah lupa entah apa yang aku rasa tentang 2009. Atau 2017. Atau 2003. Atau 2012. 

Mungkin aku akan ingat, yep, lagi satu tahun yang tak mengesankan memori.

Kalau aku lupa kenapa kena keluar menulis kat kafe, suruh aku baca pos ni.

Selepas beberapa lama tak duduk di kafe waktu tengah malam hingga awal pagi, jadi semalam aku keluar dan memandu ke kafe di Lebuhraya Persekutuan untuk menulis. Aku keluar agak lewat, walaupun aku ingat pada jam dua belas setengah malam, aku dah nak bangkit dari katil untuk bersiap tapi lepas sejam baru sampai sana (walaupun trafik okey. Sebenarnya boleh kata ada rasa sedikit berhati-hati memandu sebab kelmarin ada kemalangan tiga belas kenderaan - pemandu mabuk berlumba dan mula jadi beberapa siri kemalangan, dari jam lima pagi hingga tujuh pagi - termasuk sebuah kereta peronda polis. Kawan aku pun ada kata juga ada kemalangan maut motosikal merempuh penghadang jalan tempoh hari).

Selepas beberapa minggu tak keluar duduk menulis di kafe, ada sedikit rasa skeptik tentang menulis di kafe tapi ya, selepas aku duduk di sana, aku dapat rasakan masa berlalu terlalu cepat. Mungkin juga sebab aku berjaya fokus (cuma kadang-kadang asyik terpandang orang lalu depan meja. Maaf la siapa yang lalu tu, kalau aku terbagi pandangan badi). Selalunya dalam pukul tiga aku rasa macam dah penat atau dah lewat, tapi semalam pukul empat pagi aku rasa macam segar lagi. Walau tak banyak yang aku tuliskan tapi ia progres yang baik sebab akhirnya muka surat yang tertunda akhirnya tertulis juga. Walaupun ada kemungkinan aku akan edit juga tapi okey la. Semalam juga aku terfikir untuk buat edisi baca, satu edisi sebelum edisi DIY-AF. Mungkin dalam lima cetakan walaupun aku tak tahu nak bagi kat siapa atau bagaimana nak pilih. Aku cuma terfikir nak bagi Beduk je la kot. Sebab Beduk baca laju. Edisi DIY-AF mungkin dalam sepuluh cetakan. Lepas tu baru aku fikir nak cetak dengan sewajarnya, mungkin dalam lima puluh cetakan. 

Dalam pukul empat setengah pagi aku gerak balik walaupun sebenarnya nak lepak sampai subuh. Tapi aku ingat cukup la kot sebab nak balik jauh jugak, lepas tu nak singgah 7Cafe beli bagel walaupun lepas tu 7Cafe yang aku nak pergi tu tak bukak, hareyyy, aku nak pusing pergi 7Cafe lain dah tak ada tenaga. Tapi lepas tu pukul tujuh pagi jugak aku tidur. 

*

Hari ni Hafiz Hamzah ada hantar mesej di twitter tentang progress buku yang aku ada cadangkan dengan dia. Setakat ni aku belum lagi sambung draf-draf, tak pasti akan tambah lagi ke tak, tapi aku bercadang untuk selesaikan dulu semua draf dan dapatkan bentuknya sebelum bagi pada dia. 

Hari ni juga pengumuman bubar parlimen (yang aku jangka akan bubar tahun depan tapi aku juga dah syak yang aku akan salah jangka). Adakah ini petanda aku kena tulis lagi sebuah travelog mini? Setakat ni secara berlucunya aku nyatakan akan tulis Lagi Catatan Perjalanan Tentang Tanah Air (Secara Harafiahnya). Faham kan? Tanah (dan) Air? Tanah (dipenuhi) Air? Tanah (ada) Air (banyak)? Dan juga secara berlucunya saya dedikasikan bab pertama dengan pembukaan begini;

"Pilihan raya kepala pakek dia, tak pernah kena banjir memang la. Dah la aku balik nak naik cafe racer je ni."


Tak, saya tak mungkin jadi sasterawan sebab saya sad-terawan.

 Kahkah.

Dah la tadi malam-malam buta aku pergi tengok Lebuhraya Ke Neraka masa sidai baju sebab aku ingat ni pun sama macam cerita-cerita kelakar arwah Mamat Khalid.

Aku bawa tempat sidai baju masuk dalam rumah sebab luar asyik hujan dan baju pulak banyak tak sidai. Lepas sidai baju, penyidai baju tu aku letak depan pintu. Balik dari 7Cafe tadi pukul 2 pagi, aku bukak pintu lepas tu terkejut ingat ada orang berdiri depan pintu, rupanya baju-baju yang aku gantung pakai penyangkut baju. Walaupun aku skeptikal tapi terkejut tetap terkejut. 

Kemaskini perkara rambang.

Antara beberapa perkara terngiang dalam kepala saya beberapa hari ini; gula-gula buah pala (susah betul nak jumpa), persembahan Wings waktu Juara Lagu tahun 1989, bagel 7Cafe dan bunyi air diceduk (terngiang waktu memandu).

Wayang Budiman (Realiti Cahaya Ranggoli) : Koozhangal

Menonton Koozhangal, sama seperti filem-filem lain di Wayang Budiman, saya tak pernah letak apa-apa jangkaan atau selidik lebih awal tentang filem-filemnya. Ada pernah juga saya lupa langsung apa tema minggu itu dan pergi mula tonton dengan tak jangka ia sebuah filem thriller slash gangster slash pembunuh upahan (kebetulan ia bermula dengan babak kekeluargaan). Begitu juga kali ini, cuma kali ini saya fikir Koozhangal memang sebuah filem yang menarik - samada di atas layar atau di sebalik penggambarannya. Melihat latar cerita pada awal, saya tak jangka sangat jika ia baru rilis tahun lepas (2021) kerana ia punya latar yang sama seperti kebanyakan latar kehidupan masyarakat Tamil India. Cuma ya, saya tak jangka ia dari dekad-dekad lama sebab gambar-gambarnya nampak cantik, mungkin sekitar 2000 atau paling lewat 2010 (hanya kerana berdasarkan latar masyarakat - ia buat saya fikir, 2022, malah selepas pandemik pun, kehidupan masyarakat di sana masih lagi jauh dari modenisasi, seperti contoh telefon, pengangkutan awam, pengangkutan persendirian, akses kepada air dan elektrik, termasuk juga bidang pekerjaan - atau mungkin lebih tepat - bagaimana untuk menyara diri, semua ini seperti tahun tujuh puluhan). 

Saya juga terfikir tentang sistem kasta (selepas tonton, kerana saya tak tahu sebenarnya ada satu keluarga dalam filem ini sebenarnya menggambarkan kasta paling rendah, hinggalah waktu sesi perkongsian), selama ini tanggapan saya tentang kasta, mungkin bolehlah dikatakan ia tentang kelas pekerjaan atau kelas kekayaan, begitulah. Tapi sebenarnya tidak. Saya tak baca lebih lanjut tentang kasta lagi, jadi mungkin belum tiba waktu untuk saya terangkan. 

Filem ini bertema drama atau realisma, atau sekurang-kurangnya pada awalnya waktu saya habis tonton, cuma kemudian dalam sesi perkongsian, Beduk ada nyatakan yang ia cuma terselit unsur spiritual dalam beberapa adegannya. Saya terfikir akan drama-drama seperti Tanah Kubur, atau mungkin juga beberapa sinetron atau drama Indonesia berkisar tentang hal yang sama; bagi saya ia juga sepatutnya dalam kategori kerohanian tapi ia tak terlalu halus dan bersahaja. Di dalam filem ini, bila fikir semula, memang nampak ada beberapa adegan kerohaniannya (bagi agama Hindu) yang digambarkan dengan tidak memaksakannya dan diadun dengan jalan cerita dengan baik. Ia buat kita terasa seperti ia memang sebahagian dari realisma walaupun ia kedengaran mistik.  

Perkara lain yang turut saya perhatikan ialah hidangan makanan dalam filem ini - nasi dan (mungkin) kari atau dal. Tak nampak sayur atau protein, hanya nasi dan kuah pekat (yang agak menghairankan saya pada mulanya kerana saya asyik fikir kepelbagaian makanan dalam budaya India - tapi mungkin juga saya sedang lapar dan terfikirkan mereka akan makan nasi kandar). 

Sepanjang filem ini pada saya semua punya syot yang cantik, malah saya rasa setiap bingkai dalam filem ini memang disusun dengan cantik. Ada juga dikongsikan fakta, ada satu syot itu dibuat secara langsung selama lima belas minit. Semua ini saya fikir mungkin kerana mereka tak tergesa-gesa untuk menghabiskan penggambarannya. Oh, mungkin saya tak nyatakan, latar ceritanya ialah pada musim kemarau di tanah gersang. Filem ini panjang sejam lima belas minit, tapi jumlah hari penggambaran ialah tiga puluh hari dan setiap hari penggambaran akan bermula jam sepuluh pagi hingga jam tiga petang; bagi menangkap keadaan matahari dan suasana bahang itu. Saya boleh bayangkan jika saya tonton filem ini waktu musim panas, ia akan rasa merengsakan. Cuma sebab sekarang musim hujan, dan kebetulan sebelum keluar rumah tadi dah mula gerimis (saya dah tolak keluar cafe racer dari perkarangan rumah bila rasa gerimis halus, terpaksa tolak masuk balik dalam rumah dan pergi Wayang Budiman naik kereta) jadi saya cuma boleh bayangkan saja (tapi penonton lain berpendapat dapat rasa betul bahangnya).  

Oh, satu lagi perkara yang saya belum sebut tentang filem ini ialah tentang bagaimana saya pelajari satu lagi tahap kesunyian iaitu mendengar air diceduk perlahan-lahan. 

Dah mula dah rempah labu.


Hari ni produktif betul ya, dua bilik aku kemas bagi persediaan untuk banjir. Tak plan apa-apa pun hari ni tapi rasa demam dah kebah sikit, jadi aku dengan konpidennya terus kemas segala benda dan nampak kosong sikit. Ada banyak lagi juga nak kena buat tapi paling utama ialah kemas bilik baca slash bilik tulis slash bilik buku sebab aku pun tak tahu macam mana nak kemas sebab ada rasa kena kosongkan meja tulis sebab ada kemungkinan kalau banjir lagi, kompom runtuh. Aku bajet nak beli kotak plastik 45 liter tu (dalam lima atau enam kotak) dengan meja bankuet (satu cukup kot ganti meja tulis aku tu). Lepas tu kalau banyak duit, aku nak beli rak besi yang besar. Ni dah lama juga nak beli cuma aku dapat beli satu untuk buat rak buku. Tak boleh la beli rak buku Ikea kalau dah kena banjir ni. 

*

Badan rasa macam okey sikit lepas aku sibuk kemas rumah. Takde berpeluh sangat tapi lepas-lepas tu dah rasa okey dah. Ariana pulak makin panas badan dia. Dia dah nampak macam mula tak boleh kena suruh suruh. Aku suruh makan tak nak (walaupun lepas tu makan), aku suruh mandi tak nak, sampai kena paksa (walaupun memang selalu dia kena paksa mandi pun), tapi pergi mall nak pulak. Aku cakap nak bawa pergi klinik pun tak nak. Terpaksa la pujuk, okey kita pergi mall. Lepas tu aku cakap kita pergi klinik dulu lepas tu pergi mall. Dah sampai klinik cakap kita pergi mall esok lah sebab dah tutup ni, kita pergi 7Eleven je lah. Tapi stenbai la esok ni dari celik mata esok ni sampai la malam mesti dia asyik sebut nak pergi mall selagi tak dapat. 

Aku bawa Ariana pergi klinik sebab dah dekat seminggu juga demam dan petang tadi nampak macam teruk juga gayanya. Badan makin panas. Lepas mandi, aku bawa pergi klinik. Aku baru perasan klinik ni dah tak dua puluh empat jam. Biasa aku pergi klinik ni (walaupun jauh sikit dan walaupun sebenarnya ada cawangan dia yang lagi dekat dengan rumah, tapi selalu aku konpiden sikit dengan cawangan sini) memang paling mantap la perkhidmatannya, tambah lagi dua puluh empat jam. Sekarang dah sampai pukul dua belas je. Memang segala benda lah dah takde dua puluh empat jam sekarang. 

Aku pergi dua orang je dengan Ariana, tak tau la aku yang tak biasa pergi kaunter ke aku mamai ke aku sibuk main telefon ke, tapi aku memang tunggu je nombor giliran tapi tak keluar-keluar nombornya tapi lepas tu tiba-tiba kerani atau jururawat atau staf klinik panggil aku (nama Ariana la) cakap doktor dah panggil dalam bilik. Dua tiga kali juga la macam tu - sebab masa jumpa doktor, dia suruh buat ujian darah sebab dah seminggu demam. Jadi lepas buat ujian darah nanti dia akan panggil balik masuk bilik doktor. Tu pun aku tak dengar sampai orang panggil. Jem kejap aku. 

Jadi, ujian darah Ariana dua kali juga aku suruh doktor terangkan sebab mula-mula dia cakap darah putih ke hemogoblin ke apa entah semua cantik, cuma dalam darah ada virus. Lepas tu cakap okey lah, dia bagi ubat demam, ubat batuk apa semua tu je. Lah, tadi dia kata kalau dari ujian darah ada jumpa apa-apa, dia bagi antibiotik apa semua tu. Rupanya kalau virus ni dia bagi ubat demam paracetamol biasa je. Kalau ada bakteria dalam darah la baru dia kena bagi antibiotik apa semua tu. 

Dan sekarang ni memang musim demam la sebab doktor dah cakap siap-siap, ubat mungkin dia tak bekalkan semua sebab mungkin stok habis. Masa pergi kaunter bayaran slash farmasi dia tu, memang dia bagi satu ubat je - ubat demam paracetamol. Yang lain semua habis. Dia bagi preskripsi untuk aku beli kat farmasi luar. Okey la jimat sikit la.

*

Ariana nampak macam lemah juga. Dalam klinik tiba-tiba dia nak baring tidur. Dah la aku duduk kerusi kongsi dengan orang sebelah. Nasib baik orang sebelah nampak dan bagi ruang untuk Ariana baring kat riba. Lepas tu masa kat dalam 7Eleven tiba-tiba dia nak dukung. Hahaha. Tadi masa timbang kat klinik tadi berat dia dah 27.5 kilogram. Tapi tadi nak jugak makan aiskrim. 

*

Aku buat cukai jalan motor tadi kat pejabat pos. Walaupun aku memang dah pakai pelitup muka dari awal-awal keluar rumah, aku baru perasan ada notis dalam pejabat pos kata pelitup muka wajib pakai dalam pejabat pos. Dan kat klinik tadi pun sama, wajib pakai dalam klinik. Aku ingat semua dah watlek watpis je sebab kata boleh tak pakai, tapi ye lah, bergantung kepada premis juga untuk tentukan. Sebenarnya dulu aku dah bajet dah, kalau dah tak wajib pakai pelitup muka pun, aku akan tetap pakai. Tapi lepas tu sekarang, kadang-kadang aku pakai, kadang-kadang tak jugak. Tapi pada kebanyakan masa, aku cuba ingatkan diri untuk sentiasa pakai la.

Rasa macam overdose ubat demam terus aku tak makan ubat langsung hari ni.

Dah habis tengok The Sandman walaupun sebenarnya nak tengok benda lain dulu tapi rasa macam elok tengok The Sandman jadi aku tengok sampai habis. Rasa macam nak baca komik dia tapi malas nak cari.

Okey, sekarang dah boleh mula tengok The Simpsons dan juga Star Trek. Hari tu memang dah mula tengok beberapa filem Star Trek yang terkini, rasanya yang lama belum tengok lagi. Ada juga tengok siri pilot-nya. Kebetulan memang kebanyakan siri dan filem Star Trek ada di Netflix. Sebenarnya hari tu aku nak tengok Star Wars, ye, aku tak pernah tengok Star Wars, satu pun tak pernah tengok penuh dari awal sampai habis. Dulu kecik-kecik tengok kat televisyen aku tak rasa aku tengok sampai habis atau dari awal. Sama juga dengan Lord Of The Ring, walaupun aku ada The Hobbits  yang aku tak pernah tengok jugak. Cuma LOTR ni takde kat Disney+ & Netflix jadi tak boleh tengok lagi walaupun hari tu aku dah stenbai depan televisyen nak pasang, sekali takde da.

Malassss.

Buka balik senarai main Spotify tahun 2018 lagu yang paling kerap aku mainkan, dan rasa macam kebanyakannya dah aku tak dengar. Paling atas dalam senarai ialah lagu Mocca - Dan Akhirnya, yang aku dah lupa langsung dah pasal lagu ni. Setakat ni rasanya senarai main kegemaran mengikut tahun ialah tahun 2020, ironinya tahun 2020 fail tulis aku kosong. Langsung. 

Biasanya aku akan letak segala draf atau kerja-kerja yang belum selesai atau yang sudah selesai (tapi jarang) dalam fail mengikut tahun. Ada tahun yang langsung tak ada kerja yang selesai, sementara ada yang selesai tapi tak pernah diterbitkan, tapi tahun 2020 langsung tiada fail dalamnya, bermakna memang aku tak menulis langsung atau berfikir tentang menulis pun (rasanyalah, sebab memang fail tu kosong, kecuali kalau aku semak balik dalam akaun tumblr).

*

Ariana demam kuat malam tadi. Beberapa kali terjaga malam tadi. Tapi pagi tadi dia bangun awal, pukul empat pagi dia dah bangun dan buka televisyen. Aku sebenarnya macam tak demam tapi badan rasa lenguh-lenguh macam tengah berperang dengan penyakit. Aku bangun teman Ariana tengok televisyen walaupun dia suruh aku duduk kat meja komputer masa aku nak duduk sebelah dia. Ya, aku tahu la aku tak duduk menulis sangat beberapa hari ni tapi takyah la suruh duduk situ haha. Dia tengok dalam sejam kot sebelum masuk tidur balik. Aku terus kemas rumah, sebab memang aku bercadang nak bangun awal untuk basuh pinggan dan sidai baju yang patut aku buat semalam dan kelmarin. 

Lepas setel semua, aku tidur balik dan tak sedar bila budak dua orang tu bangun. Ariana nampak macam kurang sikit panas dia walau nampak masih belum aktif sangat. Tengok televisyen pun kejap kejap baring. Takde lompat lompat atas trampolin. Aku risau jugak budak ni tak makan sejak semalam. Balik sekolah aku rasa dia makan benda ringan je kot. Jadi hari ni aku masak nasi dan panaskan balik ayam goreng spicy semalam, tapi sebelum tu aku tanya banyak kali dia nak makan ke tak. Lepas dia cakap nak makan baru aku sediakan. Tapi rasa dia tak selera sangat, mungkin sebab lidah rasa pahit atau memang masih tak selera sangat, dia makan satu ketul ayam je. Biasa dia akan habiskan tiga-tiga ketul ayam lepas tu cakap nak lagi. Tapi kira okey la sebab dia dah nak makan dah.

Sementara itu, aku pulak order Taco Bell untuk, err, tiga orang? Haha

Aku dah rasa macam bengkek juga sebab dah dua kali juga aku order dan tolak dari akaun bank tapi order tak jadi sebab kat app dia tiba-tiba keluar mesej unexpected error dan order tadi macam aku belum bayar apa-apa. Lepas tu aku komplen dekat Get Help panda, diorang dengan konpiden cakap yang diorang tak terima duit aku jadi tak ditolak. Aku bingit la sebab duit akaun dah kena tolak. Banyak kali aku ulang sebab aku dah perasan taktik diorang, dia akan cakap pesanan tu tak diteruskan sebab panda tak dapat duit tu, kira panda tak tolak duit tu. Aku memang haram la nak percaya sebab aku dah tau sistem dia macam mana. Pembayaran tu memang berjaya pun dan akaun ditolak, diorang senang je cakap sementara ni guna la tunai ke atau boleh buat pesanan baru. Secara jujurnya aku faham diorang cuma nak cakap belah diorang takde masalah, mungkin waktu pembayaran tu bermasalah sebab pembayaran guna terminal pihak ketiga, dan diorang boleh nampak pun pesanan tu tak diteruskan, padahal duit aku dah kena tolak. Patutnya, diorang boleh pendekkan dengan beritahu belah diorang semak transaksi tu tak ada, maknanya tak sampai kat diorang dan untuk setelkan perkara ni, boleh buat laporan kat bank untuk pastikan diorang tak hantar duit kat panda. Ni takdeeee, dah lama aku taip panjang-panjang baru nak cakap boleh lapor kat bank. Maksud aku, kau nak cakap kau tak amik duit aku tapi akaun aku dah kena tolak kot anak haram. Dah nama pun khidmat pelanggan, ia bukan kau vs pelanggan, tak, ia sebenarnya ialah kau dan pelanggan fikirkan penyelesaian untuk semua pihak sebab kapitalis dan konsumerisme ialah bangsat. 

Nak demam tapi tak nak sebenarnya.

Aku baru tahu ni, menu sarapan kat McD, nasi lemak dia takde ayam. Kiranya nasi lemak ayam cuma ada lepas habis waktu sarapan. Yalah, maksud saya, apa poin makan nasi lemak kosong kot waktu pagi-pagi?

*

Hari ni budak dua orang tu bangun awal gile.  Aku sedar-sedar pukul lima pagi budak dua orang tu dah takde atas katil lepas tu pintu bilik dan televisyen semua dah terbuka. Oleh sebab budak dua orang tu dah bangun awal, jadi aku siapkanlah juga Ariana pergi sekolah tapi pukul enam pagi la lepas aku bangun. Pelan-pelan aku masak air, goreng nugget, gosok baju lepas tu siapkan Ariana dan hantar. Biasanya rutin Ariana memang tak boleh diganggu, kalaupergi sekolah, kena naik kereta yang spesifik dan kena Gibran ikut juga. Tapi hari ni saja malas sebab kereta lagi satu ada kat rumah dan tinggal Gibran kat rumah dengan mak dia. Sebab lepas tu aku pun dah sibuk nak pergi kafe beli air.

Aku sampai sebelum kafe buka tapi aku masuk lepas beberapa pelanggan masuk. Aku ingat hari Isnin macam mandem sikit, sekali tak putus pelanggan masuk kafe dari seorang ke seorang sampai aku ingat aku duduk dekat setengah jam juga la kot sementara nak tunggu habis orang beratur. Itu pun kejap, aku sempat borak sikit dengan budak-budak ni lepas tu aku perasan belakang dah ada orang lain beratur. Aku sempat tanya rajin pulak budak-budak ni pergi konsert minggu lepas. Oleh sebab lambat sikit tweet pasal Hikaru Riders tu muncul, kalau tak memang aku dah tanya sekali dah pasal insiden meludah tu.  

Member siap ingat aku datang awal-awal pagi ni sebab Pumpkin Spice dah mula jual. Aku mana la tahu, walaupun aku tahu memang dah nak dekat waktu untuk pelancarannya. Aku ada rasa malas nak minum awal-awal tapi aku dengar macam tahun lepas juga stok dia. Jadi memang ada harapan minum banyak la ni cerita dia.

Lepas tu aku pergi McD untuk beli bubur. Tu yang aku tahu pasal nasi lemak pagi takde ayam. Okey la aku beli je bubur sebab menu lain memang tak menarik langsung. Lagipun aku dah beli donut tadi, makan sambil celup dalam latte soya, memang feel betul. Aku syak esok ni ada juga aku bersarapan (tapi lewat tengah hari sebab tunggu menu sarapan habis) nasi lemak ayam goreng spicy dengan oatmilk pumpkin spice panas. Power, power.

*

Lepas balik ambil Ariana dari sekolah terus aku beli nasi lemak ayam goreng McD, kira balas dendam pagi tadi la. Aku beli ayam goreng untuk Ariana, sampai malam dia tak makan. Petang lepas habis sekolah, dia tidur (begitu dengan ahli keluarga lain, semua tidur) tapi lepas bangun tidur, dia mula demam. Badan makin panas dan tak nak makan. Tak lama lepas tu dia sambung tidur balik sampai malam. 

Aku keluar juga lagi cari ubat untuk Ariana. Esok ni kompom tak sekolah. Setakat ni kat rumah yang masih bertahan cuma aku dengan Gibran. Aku dah nak mula juga demam selsema tapi macam biasa la, belum mula lagi aku dah bantai makan ubat. Gibran hari tu batuk-batuk dan hingus sikit pun aku terus bagi makan ubat dan sekarang, dia paling sihat dalam rumah. Kesian juga dia kena main sendirian sebab Ariana demam.

*

Rasa macam tak percaya September dah habis.

Baik aku tidur je lah.

Izinkan saya sekali lagi bising pasal kehidupan malam pasca pandemik walaupun dah banyak kali juga saya kongsikan tentang hal ini. Waktu malam (hingga awal pagi) pasca pandemik sangat membosankan.

Pukul empat pagi aku keluar memandu, tapi bosannya lah malam kat sini. Tak banyak benda yang buka. Restoran mamak pun lesu, ada yang dah nak tutup, ada yang tak buka. Pergi 7Cafe pun tak bermaya. Aku dah tak tau nak pergi mana dah. Ada 7Eleven nampak macam buka tapi pintu berantai pula. Rasa macam, hei, mana la makcik jual goreng pisang pukul tiga pagi. Tapi tadi ada la nampak orang jual kuih pukul lima pagi - agak kagum juga sebab hari ni hari Ahad. 

Dulu sebelum pandemik, aku boleh keluar entah pukul berapa dan masih ada lagi tempat nak pergi. Tapi sekarang, kebanyakannya jauh-jauh. Nak pergi Starbucks pun tak ada tenaga. Paling dekat kena memandu dua puluh minit dekat jalan yang sunyi dan seram. Yang best sikit, kena memandu, entah, empat puluh minit kot.  

Aku ingat nak beli panadol sebab ada rasa macam nak mula selsema, tapi semua tempat dah habis. Tadi ingat nak beli latte ke americano ke kat 7Cafe pun malas sebab macam tak best. Aku rasa memang aku lebih suka Family Mart kot. Tapi Family Mart dah tak jumpa yang dua puluh empat jam sekarang. Jadi, kesudahannya aku balik rumah makan nasi.

Waktu memandu pulang, punya bising aku komplen bendalah ni dalam kepala sampai aku lupa nak pasang lagu kat stereo.

Bio.

 Selepas beberapa lama tinggalkan beberapa laman sosial, bila tengok semula bio rasa ia macam penanda buku, menanda aras atau kehidupan semasa ketika itu. Kecuali yang saya rajin kemaskini, yang bio-bio lama saya biarkan sebab ia rasa nostalgik. Macam dekat blogger - ia sebenarnya ketika lagu Move Like Jagger tengah popular.

Bermula Oktober.

 Dah habis tonton Seinfeld (dan juga beberapa carian berkaitan tentangnya - The Over-Cheer, Curb Your Enthusiasm episod Seinfeld, Comedians In Cars Getting Coffee yang menampilkan Micheal Richards dan Julia - aku sampai rasa macam nak buat siri macam ni, naik cafe racer atau vespa dan bawa tetamu pergi kafe lepas tu borak-borak. Kebetulan semalam aku lepak dengan Beduk, dua orang je kat Rahmath, lepas aku habis keringkan baju kat Laundrybar dan bila fikir balik, berbual dua orang macam ni memang agak fokus sikit dan lagi-lagi kalau kawan. Semalam juga Beduk kongsi tentang terapi berjalan, juga memetik sedikit dari D.U.B.L.I.N. tentang tradisi berjalan, dan dia kata kebelakangan ini hujung minggu dia akan habiskan dengan berjalan kaki di Kuala Lumpur. Berbanding aku, aku lebih minat untuk menunggang cafe racer dan kemudian baru berjalan di jalan-jalan dan lorong yang asing. Tapi secara asasnya ia perkara yang sama, terapi berjalan di wilayah yang asing tanpa tujuan).

Sekarang dah boleh dah mulakan tonton The Simpsons (34 musim - dengan musim ke 34 baru bermula episod pertama pada 25 September). Juga, nak mula tengok Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Daredevil, Breaking Bad, Disenchantment, aduh apa lagi entah, banyak juga dalam senarai.

*

Dalam perkembangan lain, novelet masih sangkut, dengan lagi tiga bab untuk dihabiskan dan sejak seminggu lepas masih tak tahu nak tulis apa. Aku ingat dah berapa kali juga tukar desain untuk cetakan walaupun belum habis tulis. Jadi, terpaksa bermula juga untuk tulis kumpulan cerpen sebab dah target untuk siap sebelum habis 2022. Rasa macam yakin sikit sebab walaupun tak mula tulis tapi draf dan idea kekal kemaskini sebab kadang-kadang memang akan terlintas tentang idea-idea draf dan berkembang dari situ.

*

Tak boleh ingat Oktober tentang apa tapi asyik teringat Pictures of You.

Ada orang kata ianya Sadtember

Hari ni pasang diskografi Coolio di Spotify. Selamat jalan, Coolio.

(Bukan peminat tegar atau peminat rapat cuma dulu pernah satu masa asyik ulang Gangsta's Paradise di kaset runut bunyi Dangerous Minds. Oh, dengan C U When U Get There juga.)

*

Rambut dah mula rasa okey lepas aku pakai tonik rambut dan juga minyak argan. Juga dah mula ikut saranan di twitter untuk syampu rambut selang sehari (cuma sebab aku malas nak ingat selang sehari dah syampu ke belum, jadi aku putuskan untuk syampu rambut setiap Isnin, Rabu dan Jumaat saja - senang nak ingat). Setakat ni masih belum nampak lagi kurang gugur rambut tapi harap kuranglah rambut gugur dan mula tumbuh rambut baru. Bonus kalau tumbuh jambang juga. Sebenarnya pelan-pelan juga jambang nak tumbuh ni, ada rasa macam sepuluh tahun juga tunggu jambang tumbuh. Sekarang aku sedang dalam fasa tak bercukur misai, jambang, kumis, janggut, segala benda bulu di muka lah hingga turun berat badan. Walaupun ada rasa macam malas betul nak jaga berat tapi aku buatlah pelan-pelan.

*

Ariana tak sekolah lagi hari ni, tapi esok kena ke sekolah sebab nak ambil laporan esok. Sebenarnya Ariana taklah teruk sangat demam, cuma batuk-batuk, itupun nampak dah kurang, tapi semalam malam nampak macam makin panas badan dia, dan malam tadi aku cakap esok sekolah pun beria juga dia tak nak pergi. Jadi aku set hari ni pun tak payah pergi sekolah. Lepas tu hari ni elok je dia, cuma kadang-kadang batuk. Kadang-kadang tu kira okey la. Selera makan pun masih okey lagi. Gibran pun okey, dah tak batuk sangat, tapi aku terus bagi ubat pada dua-dua budak ni, sampai dah habis dah ubat ni. Ni kalau pergi klinik mahu beratus. Haha. Oleh sebab dah belajar dari pengalaman lepas, asal nampak je siapa-siapa mula nak sakit, aku terus bagi ubat ikut sukatan dan waktu.

*

Minggu ni rasa macam asyik nak beli makanan dan minuman je. Aku rasa dah nak kena mula catu dan paksa diri sendiri untuk elakkan beli penghantaran. Tapi tu lah, ni je la kot masanya penghantaran murah gileee (RM0.99) dan juga ada promo yang jimat gileee. Sabar je lah aku. Okey la order americano je. Tapi beans aku beli dari CBTL pun tak habis lagi. Aku ingat nak mula belajar minum dark roast sebab kebanyakan kafe dan juga penjual biji kopi nampaknya tak pandai minum dark roast. Macam ni agaknya perasaan Alfred Peet tahun 1968 dan sebelumnya.