Sebagai peringatan, mungkin semua hasil penulisan untuk separuh akhir 2024 ini dikuasakan oleh Slowdive, Deftones album Diamond Eyes dan juga playlist shoegaze, dreampop, ethereal wave yang rambang di youtube.
Bukowski ada 73 material/rilisan termasuk kompilasi, koleksi dan posthumous. Aku tak sampai 10% pun dari jumlah ni.
Kemaskini perancangan setakat ini kerana tiba-tibaaa ada perubahan. Punya la banyak fikir sampai ada perubahan. Okeh, untuk 2024, rancangan menulis ada seperti berikut dan mengikut turutan yang patut disiapkan.
1.Novela
2. Kumpulan cerpen.
3. Novelet.
Kalau ikut ni, memang rasa baki 2024 akan rasa sangat pendek sebab banyak nak kejar walaupun sebenarnya dah tulis separuh dari tiga-tiga projek ni (atau mungkin dua per tiga tapi ia akan rasa seperti setengah sebab novelet langsung tak mula lagi. Novela mungkin lagi separuh. Kumpulan cerpen pula tinggal dua buah cerpen saja yang perlu disunting, perkemas atau ditulis semula, tapi aku kena setelkan ikut turutan dan tidak lompat-lompat dari satu projek ke projek lain sebab aku memang tulis macam tu). Novelet mungkin satu-satunya yang akan aku swaterbit dan punya logo sekutu.
Novel atau puisi?
Beberapa hari lepas, berbual dengan seorang kawan dan dia komen tentang cerpen saya (atau mungkin tulisan, secara umumnya), dia kata tertarik dengan stuktur (saya fikir ini berkaitan tentang stuktur ayat kot, bagaimana saya kraf ayat, untuk jadikan ia dibentuk berkesinambungan dari satu perenggan ke perenggan yang lain) dan menarik jika saya kekalkan stuktur ini dalam bentuk novel. Sementara itu, terbaca juga sebuah pos tentang bagaimana saya mungkin punyai kebolehan untuk menulis puisi seperti Bukowski (jika saya mula menulis puisi la). Lepas tu saya pun buat undian di twitter dan instagram. Walaupun undian ini tak bermakna apa-apa, sebab selalunya saya memang dah set apa yang saya nak buat lepas ni (lepas ni nak selesaikan satu kumpulan cerpen, satu novelet dan satu lagi kumpulan cerpen tapi tak sebanyak seperti kumpulan yang cerpen tadi) iaitu menulis novel, tapi saya fikir proses menulis novel akan jadi lebih perlahan dan teratur, jadi pada waktu yang sama, mungkin saya boleh menerokai puisi dalam masa yang sama. Lagipun, puisi, boleh kata saya selalu menelaah bentuk dan hala tuju yang saya mahu, cuma melaksanakannya saja agak sukar. Mungkin sebab saya kurang membaca puisi.
Novel mungkin dekat dengan saya, (malah saya habiskan masa beberapa tahun ini untuk mengkaji bagaimana saya boleh tulis novel, dengan menulis beberapa novelet) tapi agak sukar untuk menemui cara yang sesuai menulisnya. Mungkin kerana saya mahu ia ditulis dengan segera, walau ia sangat berbeza dengan gaya saya menulis (saya seorang pantser; duduk dengan idea dan mula menulis---kebanyakan plot yang saya tulis memang apa yang saya fikirkan ketika itu). Mungkin saya akan cuba buat novela (lagi sekali) sebelum mula menulis novel.
Puisi pun agak menarik minat saya untuk menulisnya sebab boleh kata tiada yang menulis puisi seperti yang saya suka. Tak, ini bukan bermakna tak ada penulis puisi yang baik, cuma gaya penulisan puisi yang saya gemar, belum jumpa lagi. Bukanlah tak jumpa langsung, ada beberapa yang saya jumpa, tapi malangnya, jenis puisi yang saya gemar ini, bukan ada pada keseluruhan buku atau gaya kepengarangannya, hanya terselit di dalam timbunan puisi yang mereka tulis. Sebab itu saya terpanggil untuk menulisnya, tapi genre kegemaran saya ini, sangat mudah dan ringkas untuk membacanya tapi sangat sukar menulisnya.