Nota-nota.


Sebahagian dari nota catatan idea dan draf, ye termasuk buku hitam bawah pad nota yang tengah aku salin balik. Belah kiri sekali dua buah yang besar & kecik tu pun jugak. Tapi tak semua penuh la. Dan kebanyakannya perenggan rambang yang tak digunakan pun. Okey la, bukan tak digunakan, masih menunggu giliran digunakan.

39,525

 Sukacita saya ingin berkongsi pada semua yang membaca ini, akhirnya saya telah (hampir)(tapi kira lepas la) melepasi jumlah perkataan minima untuk sebuah novel. Ya, ini bermakna Mohd Azmen untuk kali pertamanya telah menulis novel, cuma disebabkan novel ini untuk sayembara, jadi ada jumlah minimum perkataan untuk melepasi kelayakan. Untuk itu, saya perlukan lagi 10,000 patah perkataan untuk melengkapkan manuskrip ini dan saya ada lebih kurang sepuluh hari untuk menyiapkannya (okey la, ia agak terang benderang kot nak hantar sayembara mana ni kahkah). Doakan kejayaanku!

Selepas siap manuskrip untuk sayembara, bagi meneruskan Tahun Menulis Novel Kebangsaan 2025, saya akan menyambung tulis novel seterusnya iaitu novelisasi filem. Saya sasarkan untuk buat ia novel pendek, mungkin sekitar 30,000 patah perkataan sahaja, atau paling panjang 40,000. Sekarang agak membuak juga keinginan untuk menulis kumpulan cerpen (benar, kumcer, bukan eceran) dalam skala kecil tapi itulah, ada lagi satu novel pendek dalam lingkungan 30,000 patah perkataan yang hendak ditulis. Tapi takpelah, kita lihat seterusnya bagaimana. Doakan kejayaanku!


Aku tak tahu la aku dah mula nyanyuk ke apa

Agak suntuk jugak la waktu untuk aku kejar masuk sayembara, tapi sebab sekarang nampak macam ada masa lagi aku nak kejar, jadi aku cuba keluarkan semua draf yang ada untuk kejar cukupkan jumlah perkataan. Yang aku geram ni, aku cuba cari draf ni tak jumpa pulak dan dua kali pulak tu. Okey, biasanya aku akan tulis idea atau serpihan idea dan panggil benda ni sebagai draf. Kadang-kadang untuk satu-satu idea tu akan ada beberapa draf. Maksudnya, katalah aku ada idea pasal satu babak ni (yang selalunya takde pucuk pangkal, tau-tau dah tengah-tengah) aku akan tulis beberapa kali bergantung pada keadaan atau kebetulan idea masuk. Jadi ia akan ada beberapa draf untuk satu babak tu dan selalunya aku akan kumpul dalam satu fail. Dan biasanya senang je nak cari sebab fail ni kalau tak aku letak dalam fail umum draf, aku akan letak dalam fail ikut judul karangan. Masalahnya semalam aku cuba cari ada satu babak ni untuk cukupkan jumlah perkataan tapi aku tak jumpa. Lepas tu aku teringat idea lain pulak, jadi aku cuba cari draf-draf idea tu tapi lagi sekali aku tak jumpa. Geram juga bila fikir aku memang ada tulis bendalah tu tapi kenapa tak jumpa draf-draf tu.
Buat masa ni aku bajet ada dua je kot; satu-memang fail tu dah hilang dari aku punya Drive. Atau dua-aku tak simpan dalam Drive. Selain drive, aku simpan idea dan draf-draf kat lagi dua tempat - buku nota dan telefon bimbit. Masa aku cari draf yang pertama semalam tu aku yakin aku letak dalam Drive, takde, jadi aku cari dalam telefon. Pun tak jumpa. Draf yang kedua, aku malas nak cari dalam telefon sebab banyak gila nak tatal satu-satu. Aku dah penat tatal satu-satu dari semalam untuk draf pertama. Ni lagi pulak yang draf kedua. 
Lepas tu kalau tak jumpa, maknanya aku kena periksa kat buku-buku nota aku. Betul, buku-buku nota, maknanya aku ada beberapa buku nota untuk catat idea. Dulu aku rasa senang nak simpan dalam buku noota. Lepas tu aku rasa senang nak simpan dalam telefon. Tapi aku masih buat dua-dua. LEpas tu bila dah sampai masa nak menulis draf tu, aku kena pindah ke drive pulak. Semalam aku ingat okey la, boleh kot aku habiskan beberapa jam untuk semak yang dalam telefon, lepas berapa jam tu aku rasa penat dan bila tengok, nahh aku ada lebih kurang 800 draf nak kena baca satu-satu dan kebanyakannya tak ada kaitan dengan yang aku tengah tulis. Astogeee. Ni belum masuk buku-buku pulak. 
Aku harap aku sempat la kejar tarkh akhir sayembara. 

Kemas kini (lagi)

Tak pasti bagaimana nak ceritakan beberapa bulan terakhir selepas menulis entri di sini - tak pasti sama ada ia terlalu banyak yang berlaku atau terlalu sedikit, tapi aku fikir paling senang untuk kemas kini ialah perjalanan penulisan setakat ini. 2025 tahun menulis novel Mohd Azmen bermula agak perlahan, dan tak semudah yang dijangka,. Masih lagi berusaha menyiapkan dua novel dalam progres yang agak perlahan. Tapi dalam masa yang sama juga dapat banyak idea untuk projek-projek lain yang rasanya agak keliru mana nak buat dulu, walau rasa takde la rajin sangat menulis. Tapi secara ringkas, memulakan bulan terakhir di dalam separuh pertama 2025, ini adalah beberapa projek penulisan di dalam perangkaan jangka pendek dan panjang:

1. Novelisasi filem Luka
2. Novel Cincin
3. litzin terjemahan (sebelum ni ada cadangan untuk buat terjemahan haram, ya, masih lagi terjemahan haram, cuma selepas Idris Hashim Vol. 3, cubaan menerjemah beberapa cerpen telah menginspirasikan idea untuk buat zine terjemahan (haram) bukan hanya cerpen, tapi dalam beberapa medium yang ada dalam bibliofil beliau iaitu cerpen, perca novel, puisi dan nonfiksyen)
4. Kumpulan cerpen Re: Insomnia (dengan tambahan 4 cerpen baharu, Insomnia ditulis dengan motivasi kumpulan cerpan, jadi sepatutnya kumpulan cerpen di dalamnya semua panjang-panjang, tak melebihi 7500 patah perkataan setiap satu cerpennya. Tapi tak semua cerpen di dalam Insomnia yang cerpan, tak silap dari 7 cerpen, hanya 3 saja yang cerpan. Jadi akan tambah lagi 4 cerpan, tapi rasanya akan jadi terlalu tebal tapi lantaklah haha)
5. Novelet nombor 4 (antara idea lama, akan ada 4 bahagian di dalam novelet ini)
6. Novelet nombor 5 (idea baharu tapi taklah segar sangat kot, premis idea macam Pandu)
7. zine kumpulan skrip (skrip pentas, skrip drama radio, skrip filpen dan skrip filem)
(akan dikira sebahagian dari zine-zine dan mungkin satu-satunya dalam vol. zine yang bukan novelet)(rasanya aku bukan siapa-siapa sangat kot nak hasilkan material bercetak untuk skrip, lagipula tak pernah dipentaskan semuanya, jadi akan cetak dalam cetakan terhad dan sikit, sesuai la buat zine, harap tak terlalu tebal, tulisan kecil)
8. Kumpulan mikrofiksyen (tak pasti nak klasifikasikan apa, tapi cerpen pendek, ya, cerita pendek pendek, sasaran 100 cereka mikro, jadi sekarang kena tulis lagi 60. Aku biasa memang letak jenis tulisan kat kulit muka, macam sebuah novelet, atau kumpulan cerpen, atau sebuah novel, jadi yang ni aku akan tulis kumpulan cereka. Oleh sebab tak begitu ada takrifan berapa pendek yang pendek itu atau berapa panjang yang pendek itu, aku cuma sasarkan tak boleh ada cerpen yang lebih 1000 patah perkataan-ya, ia boleh jadi 6 patah perkataan, 100 patah perkataan atau 500 patah perkataan tapi tak boleh lebih 1000 patah kata.)
9. Kumpulan cerpen (mungkin bertemakan atau berlatarkan kafe, dan ia dalam kepanjangan normal, aku target 15 buah cerpen untuk kumcer ini, entah kenapa semalam aku dapat idea, sebagai cerpenis aku patut menghasilkan sebuah buku, terutamanya buku cerpen, setahun sekali. Ia lebih kurang macam seorang penulis novel yang menghasilkan satu novel setahun. Ia tak ada manfaat pun tapi aku rasa aku kena cuba, tapi tak tahu patut mula tahun bila, tapi kalau ikutkan aku dah ada 2 kumpulan cerpen menanti untuk diterbitkan, satu dah kompom, satu lagi tak pasti, jadi itu dah kaver 2 tahun kahkah okey la aku target untuk ditulis suku akhir 2025 supaya sempat siap awal 2026)
10. Kumpulan puisi (ye, benar, aku target mula tulis awal 2026, dan siap pada pertengahan 2027 atau suku pertama 2027)
11. Novelfoto (ya tak salah baca, novelfoto)
12. buku cerita kanak-kanak (secara jujurnya aku tak tahu nak buat macam mana ni walau ada idea dia, tak tahu nak buat macam mana ni maksudnya tak tahu pasarkan macam mana selain tak tahu penerbit mana yang nak dan juga tak tahu nak buat buku fizikalnya macam mana, jadi boleh kata ini projek yang paling akhir atau paling tak begitu bercita-cita sangat)

Aku rasa aku patut asingkan la mana yang aku dah nak kena tulis dan mana yang bila aku rasa nak tulis, aku tulis.