Saya tak berharap untuk memulakan kontroversi

Mungkin selepas kejayaan di hadiah sastera tempoh hari saya terlupa untuk mengemas kini di sini tentang perihal anugerah itu kerana asyik menyembunyikan hal ini. Walaupun bernasib baik sebab ada kawan-kawan untuk berkongsi rahsia tapi masih kena jaga ayat supaya tak terlepas cakap. Rasa macam mungkin beberapa minggu awal dah tahu pasal kena hadir ke majlis itu dan diminta merahsiakannya, jadi ia rasa agak berhati-hati tak terlalu berkongsi kecuali dengan beberapa individu yang mungkin berkaitan. Oleh sebab sudah beberapa minggu berlalu selepas penganugerahan itu, mungkin sekarang dah tak rasa nak kongsi apa-apa sebab dah lupa. Cuma pasca majlis, ada satu hal yang asyik terfikir. Ia tak penting cuma, mungkin bagi saya, agak memikirkannya. Di dalam bio saya ada tertulis - juga, tidak pernah memenangi sebarang anugerah dan sayembara. Okey, untuk hadiah sastera baru-baru ini, cerpen saya terpilih untuk memenangi hadiah penghargaan, bermakna saya tak berjaya memenangi hadiah utama. Jadi, dalam konteks ini, adakah saya dah 'memenangi sebarang anugerah' atau belum? Kalau nak optimis, ya, dah menang la tu walau bukan hadiah utama, ia telah diraikan dan dah naik pentas, dan dah tersiar di media. Dan bila fikir semula, kira okey la, mungkin saya patut slash perkataan anugerah. 
Namun walaubagaimana pun, ada hal-hal yang telah saya sedari selepas berminggu hadiah sastera selesai dan saya fikir, secara moralnya, saya tak boleh lagi slash perkataan anugerah dalam bio, bermakna saya perlu biarkan saja. 
Secara jujurnya, ada dua perkara yang membuat saya mengambil keputusan begini dan mungkin ia bukanlah keputusan yang bermoral. Pertama kerana saya perlukan duit dan kedua, saya tak fikir saya mahu menjadikan hal ini lebih rumit. Tapi, sekiranya ada apa-apa bantahan dan memerlukan saya melepaskan wang kemenangan, saya akan ikutkan saja. Lagipun, saya fikir dalam satu klausa mungkin ada menyatakan - keputusan juri adalah muktamad. Tapi ya, saya masih terbuka untuk sebarang perubahan keputusan. 
Untuk memudahkan cerita, setiap kategori ada seorang pemenang utama dan tiga pemenang hadiah penghargaan. Dan menurut laporan juri, ia bukanlah rahsia, jika penghargaan ini diberi dalam turutan kedudukan, cerpen saya adalah yang berada di kedudukan terakhir  maknanya saya pemenang hadiah penghargaan ketiga (3). Ini kerana, menurut laporan, cerpen saya tidak terpilih pada mulanya, juri dah siap pilih pemenang utama dan tiga penghargaan dan cerpen saya tidak termasuk dalam senarai ini. Walau bagaimana pun, selepas senarai itu dihantar, mereka mendapati pemenang penghargaan 2 dan 3 adalah orang yang sama. Jadi juri perlu bersidang sekali lagi kerana mereka perlu memlih pemenang ketiga dan mereka memilih cerpen saya. Saya tak menyedari beberapa hal yang mungkin mereka terkhilaf (atau mungkin tak, entah saya tak tahu, mungkin saya terlepas pandang) hinggalah semalam. Syarat pemenang untuk semua kategori ialah seorang pemenang tak boleh memenangi dua (atau lebih) hadiah dalam kategori yang sama untuk satu-satu tahun itu. Sebab itu penulis yang memenangi hadiah 2 (dan 3) tadi hanya dapat satu hadiah saja. Tapi di dalam syarat, ia juga menyatakan dibolehkan pemenang memenang lebih dari satu hadiah dalam kategori sama jika ia diterbitkan oleh penerbit yang berbeza. Saya tak pasti jika ada aspek lain yang saya terlepas, tapi ya, cerpen penulis yang sama tadi (2 dan 3) diterbitkan oleh penerbitan yang berbeza. Jadi sepatutnya dia layak untuk ambil kedua-dua hadiah penghargaan itu. Dan sebenarnya saya tak menang apa-apa malam itu. 
Secara jujurnya saya tak pasti jika saya patut bangkitkan hal ini atau tidak, tapi buat sementara ini, mungkin lebih baik saya bawa bertenang dulu dan fikirkannya kemudian. Sebab ia masih agak awal waktu saya menyedarinya. Tapi satu hal saya pasti, tak ada apa-apa yang akan berubah di dalam biodata saya (sehinggalah saya memenangi anugerah lain atau sayembara, yang saya rasa ia takkan berlaku dalam tempoh terdekat ini. Atau mungkin inilah satu-satunya waktu saya memenanginya).

Haha

Sebenarnya bila kau memulakan seluarga sendiri, kau akan temui pertembungan antara dua budaya atau kebiasaan atau norma di antara kau dan pasangan. Ada banyak perkara yang kau fikir adalah norma, merupakan hal yang sebaliknya bagi keluarga pasangan. Aku pernah baca dalam NGL seorang isteri meluahkan rasa kecewa dan meluat untuk pulang beraya ke kampung suami kerana suasana perayaan di rumah keluarga suami terlalu membosankan. Tak meriah, tak terlalu bersungguh, tak ada hidangan yang banyak, dan tak bising-bising. Ia lebih menyerupai hari yang normal cuma semua orang ada di rumah dan sebelah pagi pergi solat Aidilfitri. Agak berbeza dengan keluarga isteri yang sangat meriah; malam raya paling kemuncak bisingnya dengan semua orang sibuk berbuat sesuatu dengan bersahut-sahutan. Dan semua orang ceria dan memenuhkan rumah dengan suara mereka. Jadi bila giliran isteri beraya di rumah keluarga suami, dia rasa sangat jengkel dan bosan. Walau pun pernah cuba untuk ubah dan meriahkan suasana, tapi gagal. Sebab aku pun faham, kenapa nak betulkan benda yang tak rosak?
Selepas mak dah tak ada, aku sebenarnya baru perasan beberapa hal antara adik beradik yang selama ni tak perasan sangat. Aku selalu fikir yang aku tak mewarisi apa-apa tabiat yang jelas dari keluarga, tapi bila dah melewati usia belia, ia akan mula kelihatan. Selalu waktu raya, antara hal yang lucu bagi keluarga aku ialah mak selalu tak akan terus bangun beredar walaupun dia atau siapa-siapa antara kami kata, jom. Sama ada mak sendiri atau orang lain tanya, dah? dan semua orang pun jawab, dah, mesti takkan bangun dari kerusi atau sofa, sebaliknya ia akan jadi beberapa kali 'jom' sebelum betul-betul balik. Kadang bila dah bangun dan dah jalan keluar rumah yang pergi beraya tu pun, masih tak habis lagi berborak. Dan aku mati-mati ingat (Mungkin adik beradik yang lain juga) mak je yang ada perangai tu. Rupanya aku pun sama juga. Dan kelakar juga bila ingat, sebab selalunya ia berlaku antara aku dan adik beradik je. Macam mak dengan adik beradik dia la. Kakak aku datang rumah dua Hari aku tak berborak sangat dengan dia, sebab aku memang tak pandai nak borak sangat pun sebenarnya, selalunya kakak aku yang lagi satu pandai berbual sikit, kitorang yang lain biasa mengikut je. Atau mungkin kakak sulung dan kakak kedua aku kot yang pandai sikit berborak dengan orang, aku dengan kakak ketiga aku selalu menyorok bila datang tetamu. Jadi kakak ketiga aku datang rumah dua Hari, aku duduk dengan dia tak berborak sangat, ada la tanya tanya sikit lepas tu kitorang diam. Tapi masa dia nak balik, baru la macam ada benda nak berborak pulak. Dia dah nak masuk kereta, aku pula tunggu kat luar lepas tu macam macam pulak nak tanya sampai kena bising. Lepas kakak aku gerak jugak akhirnya, aku masuk dalam rumah lepas tu kena bising - dua hari kat rumah (dan kebetulan aku cuti dua hari tu) takde pulak nak berborak dengan kakak dia, dah nak naik kereta macam macam pulak nak diborakkan. Aku gerak je lah. Lepas tu aku terfikir, macam betul juga, selalu waktu aku nak gerak dari kampung nak balik rumah, barulah ada borak macam macam, dengan kakak-kakak aku. Selalunya kalau nak gerak dari kampung tu, aku kena bagi lebih masa sikit jangkaan waktu gerak sebab aku tahu mesti lambat sikit punya. Kalau bajet nak gerak tengah hari, aku cakap nak gerak sebelum tengah hari. Atau nak gerak lepas Asar, aku cakap gerak sebelum Asar. 
Aku ingat anak-anak aku takde mengikut perangai aku sangat, lah baru sedar Ariana sebenarnya ada sikit la perangai ni. Ada masa dia akan dekat dengan makcik atau pakcik dia, tapi masa diorang ada, Ariana tak peduli pun, dia main sendiri, takde pun duduk main dengan makcik pakcik dia. Ha, sekali waktu makcik pakcik dia nak balik, baru la sibuk nangis mengamuk semua. Mula-mula geram juga sebab - lah orang tu ada ko tak main pun dengan orang tu, ni orang tu nak balik baru beria menangis dah kenapa. 
Ada lagi satu habit yang aku rasa melekat juga dengan aku, ialah takde nak bagitau awal-awal kalau nak pergi rumah sedara (waktu raya je la). Aku ingat ni macam hal normal bagi orang lelaki atau hal yang normal waktu raya, sebab kalau orang tu takde kat rumah, takpe la, balik je la atau pergi beraya rumah orang lain. Atau macam tersalah masuk lorong atau jalan, takpe lah, bukannya tak boleh payah balik atau lalu jalan lain, sekurang-kurangnya dapat tahu juga jalan yang salah masuk tu ada apa kat situ.