Jumaat lepas bolehlah dikatakan sebuah hari yang cemerlang kerana mendapat dua (2), ya, dua (2) tawaran menulis. Mungkin anda tak memahaminya, tapi biar saya sedarkan anda; pada waktu ini saya sedang mengusahakan tiga (3) material--sebuah novela, sebuah kumpulan cerpen dan sebuah novelet. Dan sekarang, saya dapat tawaran untuk menyiapkan sebuah kumpulan cerpen dan sebuah novel (!). Untuk tawaran kumpulan cerpen itu, saya tidak akan menggunakan kumpulan cerpen yang sedang saya siapkan tadi tu, kerana penerbit mahu kumpulkan koleksi cerpen yang pernah tersiar sebelum ini, jadi saya memutuskan untuk menghimpunkan semua cerpen eceran saya (yang sebenarnya memang saya dari dulu telah kumpulkannya untuk dijadikan sebuah koleksi yang amat tebal seperti Ingin Jadi Pujangga oleh A. Samad Ismail) dan akan juga diselitkan cerpen baharu atau cerpen yang tidak pernah diterbitkan (cerpen di Wattpad atau mungin di blog-blog kini atau blog lama).
Tawaran kedua adalah peluang untuk menulis adaptasi novel. Saya berasa agak konpiden juga sebenarnya walaupun saya tak jumpa lagi cara menulis novel, tapi sebab ia sebuah adaptasi, jadi perihal cerita, jalan cerita, plot, semua sudah ada arah. Tak pasti bila ia akan mula ditulis sebab perbincangan belum dimulakan tapi saya membayangkan saya ada masa setahun untuk menyiapkannya.
Baik, bila kumpulkan semua, saya ada sebuah novela (sedang gilirannya untuk ditulis), sebuah kumpulan cerpen (sudah siap 90% la lebih kurang, hanya ada dua tiga cerpen untuk diselesaikan--tapi akan mula menulisnya selepas siap novela), sebuah novelet (belum mula langsung, tapi saya optimis untuk menyiapkannya sebelum tamat 2024, tapi kalau tak sempat, saya fikir boleh je anjak tahun depan hingga siap), sebuah kumpulan cerpen (koleksi eceran, saya akan sunting cerpen-cerpen lama ini untuk mengikut gaya terkini, sekiranya perlu. Saya perlu seragamkan semua cerpen dalam tone dan nada yang sama) dan sebuah novel adaptasi. Secara kesimpulannya, anda mungkin akan nampak banyak rilisan saya tahun depan, sekiranya tiada aral melintang.
Dan saya harap anda semua ambil perhatian dan mula mengumpul duit. Jangan kata saya tak cuba memberitahu dari awal lagi.