Mendung panas.

Mendung tapi panas berpeluh-peluh ni bingit jugak rasanya, macam, buat la pilihan nak hujan ke nak panas, asalkan jangan hujan lama-lama dah la, maksimum lima minit cukup. 

Awal.

Dah masuk Jun, rasa aku patut tidur sekejap lepas tu bangun awal untuk selesaikan hal tertangguh. Ia sudah Khamis juga pun.  

Mula semula.

Selain dari baca balik Bukowski, Hishamuddin, Ahmad Kamal, dengan mula baca entah apa lagi buku yang tak pernah dibaca sejak beli pada 2015, juga dengan segala buku yang Sufian kata elok baca, kena mula khatam balik dengar Deftones, lengkapkan dengar diskografi Max Cavalera dan Mastodon, dan sudah tentu, segala band dan personil yang patut saya patut dengar sejak.. emm.. 2000? 

Anda fikir saya punya masa untuk sakit kepala? Sebenarnya banyak tapi buat apa kot.

Tak pasti sebab tak jaga berat badan atau sebab faktor usia, senang juga asyik kena sakit kepala yang ringan dan random. Macam tak ada buat benda pelik tiba-tiba sakit kepala. Waktu menjangkau tiga puluhan dulu, aku selalu fikir ini memang normal kot. Tapi lepas tu bila dah berjaya kurus, hilang dah sakit kepala tu. Tapi satu yang aku boleh nasihatkan, kalau sakit kepala, makan je ubat. Makan paracetamol atau apa bendalah yang selalu makan untuk kurangkan atau hilangkan sakit kepala. Semakin meningkat usia, semakin tak boleh nak elak sakit kepala yang random ni. Dari sibuk fikir dan berehat (tak, bukan tak boleh berehat, maksud aku ada waktu bila sakit kepala, mesti benda pertama kita nak buat ialah bertenang dan rilek kejap bagi dia hilang), baik terus makan je panadol. Sama la macam nak demam. Agak dah mula rasa perit sikiiiit je kat tekak, terus makan panadol soluble. Bukanlah nak cakap ia mujarab seratus peratus, tapi senang cakap, asalkan kau bersedia, dan jangan ego, dan jangan rasa macam ni dulu kejap je, sakit kepala ringan camni takkan mengganggu sangat pun.  

*

Aku rasa dah cakap dah semalam tapi rasa macam nak cakap lagi jugak. Rasa nak kena berhenti menulis kejap, mula baca buku balik, lepas tu baru menulis balik. Sebab macam perlu cabaran baru, jadi kena tenang-tenang susun strategi. Tapi tak, aku tak hiatus. 

Dah baik demam, cepat juga.

Saya rasa demam kali ni cepat juga sembuh. Walau ada saki baki rasa tak selesa waktu bangun pagi (tapi bukan sinus) saya ingat hari ketiga saya dah boleh minum minuman berais tanpa ada efek (seperti demam makin naik atau selsema makin teruk). Mula rasa demam hari Sabtu, pagi Ahad bangun dengan sinus dan malam Isnin dah lepak Rahmath minum teh ais, teh o ais lemon dan teh o ais. Saya fikir mungkin sebab sekarang musim panas, jadi rasa macam membantu kot? Musim panas yang betul panas, saya fikir seronok juga kalau dapat menunggang jauh ke destinasi yang tak biasa atau biasa pergi cuma saya fikir kewangan agak mengekang (walaupun hanya menunggang motor). Tapi takpelah sebab dengarnya El Nino akan datang bulan depan dan musim panas akan berpanjangan. Ya, saya memang suka musim panas cuma mungkin ia akan menjengkelkan kerana jerebu tapi saya okey lagi berbanding musim hujan. Sebab ada banjir dan ketakutan untuk banjir.

*

Selepas habiskan masa dengan fokus menulis (walaupun sebenarnya taklah fokus sangat tapi itulah kefokusan saya) saya fikir saya bakal mengalami ketandusan idea atau mungkin banyak idea yang sama setiap kali, jadi saya fikir untuk berundur kejap dari menulis, untuk fokus pada hal yang lain seperti turun berat badan dan juga membaca. Agak jarang juga saya membaca kerana tak ada kesungguhan sangat, jadi mungkin ia menyumbang kepada keadaan saya yang tak ada idea baru sangat untuk menulis (walau banyak lagi draf yang belum selesai tapi itu saya akan siapkan secara santai - saya bercadang untuk menyiapkan tulisan bukan dalam bentuk manuskrip atau dalam medium buku dan kumpulan tulisan, saya fikir untuk selesaikan tulisan dan simpannya sebagai bekalan di masa hadapan jika saya mula mahu menulis manuskrip semula. Saya fikir kebanyakan koleksi tulisan selepas Kota Para Insomnia memang tak ditulis untuk manuskrip sangat pun sebab ia tak punya tema tertentu dan tak punya nuansa yang sama. Waktu menulis Wiski, saya memang pastikan ia punya tema, nuansa dan arah tuju yang sama, mungkin sebab itu ia lebih mudah dibaca. Sebenarnya ada juga rasa seperti persaingan antara kawan-kawan penulis cerpen lain tapi bila fikir semula, saya patut baca Bukowski dan Ahmad Kamal semula dan ingat kembali kenapa saya menulis pada awalnya.

Jadi selepas ini mungkin selepas ini tak banyak keluar kecuali Wayang Budiman dua minggu sekali atau mungkin kalau kafe baru sudah mula buka, hanya berada di kafe sajalah. Ada rasa macam kafe sebelum ni, saya akan habiskan banyak masa dengan membaca. Dan mula menelaah puisi Bukowski sebab macam tak jumpa puisi yang saya gemar (sebab saya kurang membaca puisi).  

*

Hari ni akan ke pesta buku pada sebelah petang. Saya janji beli satu je - Svara edisi 10 sebab masih tak punya salinan tulisan saya yang tersiar di dalamnya. Nak tahu juga bagaimana agaknya suntingan untuk cerpen saya. 

Semoga sembuh.

Walau minggu ni ada rasa banyak benda nak kena buat, kita mulakan dengan yang mudah dulu, sebab tak setel benda mudah ni, tak jadi apa la cerita dia. Mula-mula sekali, baik dari demam dan habiskan tulis novelet. Baik demam cepat suapaya aku boleh sambung tulis novelet walaupun kalau tak sihat lagipun aku sambung jugak. Ni kejap lagi aku nak beli panadol soluble sebab tadi keluar tak jumpa mana jual lepas tu bila balik, aku dah tak larat nak keluar semula. Ni la baru nak cari jap.

Ada rasa nak pergi pesta buku waktu hari bekerja, sebab ada rasa ia akan kurang sikit pengunjung dan bolehlah lepak borak walau biasanya tak ramai pun yang kenal. Tapi ada rasa nak setelkan novelet dan siap cetak untuk beri kepada beberapa kenalan dan kawan di pesta buku sebagai cenderahati (sebab edisi demo). 

Lepas setel demam baru la boleh fikir nak jelajah mana-mana sendirian ke apa ke. Sebab ada rasa nak pergi Melaka lagi, untuk hantar buku di Tegak Balai dan kemudian ke Corm sebab tak sampai lagi sana. Itu belum lagi masuk hal nak menunggang cafe racer ke tempat-tempat random. Paling kurang ada rasa nak pergi rehat dan rawat Dengkil nak makan yongtaufu (yang sebenar).  

*

Hari ni kalau ikut 9gag, adalah hari 148 streak dan jangka akan ada benda best berlaku tapi nampaknya aku banyak tidur je. Bangun awal pagi sebab sinus sakit dan aku selongkar apa je ubat-ubat dari klinik sebelum ni dan kemudian main bantai je yang ada label untuk tahan sakit. Dulu aku rajin nak google stok ubat-ubat yang aku dapat dari klinik-klinik ni sebenarnya ubat apa. Sebab pernah je aku terjumpa yang, contoh, dia tulis ubat selsema, bila aku google, fungsi dia untuk tahan sakit je (lebih kurang la, aku lupa la konteks sebenar tapi lebih kurang macam tu la sebab fungsi dia untuk sesuatu yang lain tapi dia label untuk aku faham lebih kurang je lah). 

Lepas makan ubat tahan sakit tu, dia reda sikit je tapi kira okey la jugak, dan lepas tidur petang, aku dah mula rasa sinus macam okey sikit, rasa macam tak bengkak atau tersumbat. Kalau tak, rasa macam lebam atau bengkak macam tu. Aku harap esok bangun pagi taklah sakit lagi sinus ni. Aku dah bantai minum halia dan madu ni sejak semalam. Madu baru mula hari ni la sebab baru beli, tapi dari semalam aku minum teh halia. Hari ni lagi la, aku beli teh ais power kat pasar malam (tapi aku datang petang, awal gilee) lepas tu balik aku masuk dalam ketuhar gelobang mikro (kahkahkah PRPM terjemah microwave) untuk panaskan dan tambah halia ketuk. Jangan sampai aku beli biji kopi Sumatra dan buat kopi jahe. Kahkahkah taklah sebab waktu demam tekak tak sedap nak minum kopi.

Tak sihat.

Ada rasa nak pergi pesta buku hari ni sebenarnya tapi bangun pagi dah kena sinus terus setel la nak pergi mana-mana hari ni. Lama juga tak sakit sinus ni, masa mula-mula kena aku punya pelik dan hairan kenapa sebelah muka aku sakit ni? Ni apa muka sakit? Sebab mana pernah muka sakit. Sakit badan ke kaki ke tangan ke biasa la, ni muka dah kenapa, dah la aku tengah memandu waktu tu bila sakit dia memuncak. Lepas aku jumpa doktor baru tahu tu la sinus. Sebenarnya aku pun tak tahu nak panggil sakit apa sebenarnya sebab sinus pun anggota badan sebenarnya. Dia macam kau sakit kaki lepas tu orang tanya kenapa tak datang kerja semalam dan kau jawab, kaki. Tapi orang semua faham je kalau sebut sinus maknanya sinus kau sedang sakit dijangkiti bakteria atau virus. Tapi sekarang aku tengah keliru juga aku sakit sinus ni sebenarnya resdung ke, sebab setiap kali aku google cara legakan sinus mesti dia cadang cara kurangkan resdung. Lepas tu aku dah malas, aku makan je la ubat tahan sakit entah apa ada dalam simpanan. Kurang sikit je. Ni pun masih sakit lagi sikit. Aku paling malas sakit camni sebab dia dah hampir ke sleep apnea. Malam tadi aku dah nak kena sikit dah. Nasib sekali dua je tersentak waktu tidur. Aku tinggikan bantal (kot)(sebab aku pun lupa nak kena tinggikan ke rendahkan bantal, tapi sebenarnya akhir sekali aku tidur ikut selesa je, tapi yelah, tinggi sikiiiit je bantalnya) lepas tu aku terus tidur, biasanya cuti sekolah macam ni aku tidur pagi ni aku terus tidur sebab tak nak tidur waktu penat. 

Aku harap lepas sehari dua ke esok ke elok la sikit. Boleh pergi pesta buku pada hari biasa.  

Lagi buku elektronik percuma.

Sebelum ni ada juga saya cuba-cuba untuk buat rekaletak dan suntingan ringkas untuk kumpulan cerpen oleh Saat Omar. Sebelum ni ada cuba untuk edarkan tapi sebab fail agak besar jadi sukar untuk kongsi melalui emel. Jadi lepas saya mengetahui pengkongsian melalui Google Drive jadi, saya tumpang sekali dengan Latif Borgiba Vol. 1. Untuk muat turun cerpen-cerpen Saat Omar, ketik pautan berikut:

Cerpen-cerpen Saat Omar




PBAKL2023 dengan buku elektronik percuma.

Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023, saya dan kawan-kawan ada rilis  buku elektronik percuma berjudul Latif Borgiba Vol. 1 menampilkan Saat Omar, Neesa Jamal, Adam Taufiq Suharto dan Beduk Logam selain saya sendiri, yang juga turut bertindak selaku jurusunting dan perekaletak. Untuk muat turun, boleh ketik pautan berikut:

Latif Borgiba Vol. 1

 

Selain itu, buku-buku saya, Wiski Pop (edisi tebal dengan tambahan cerpen, 2022), Kota Para Insomnia (2019) dan Sebuah Catatan Perjalanan Tentang Tanah Asing Bernama Kampung Halaman (2022) turut dijual secara fizikal di reruai 4145 Toko Sue, Dewan Tun Razak 4 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023. Turut dijual ialah novela Polaroid, juga tulisan saya di reruai 3141 Peanutzin x Moka Mocha Ink di Aras 3, Dewan Tun Razak 3.


 




#diarihospital

Aku baru sedar, ada banyak juga catatan aku buat di tumblr waktu Gibran di dalam wad. Memang sebelum buat blog baru ni (blog lama masih ada, tapi aku kunci sebab bila cuba taip alamat blog sekarang ni kat bar carian, ia akan bawa ke blog lama, jadi aku kunci dengan harapan diorang sedar la salah alamat blog, lagipun kat linktree aku dah letak alamat blog ni)  aku banyak kemaskini di tumblr sebab tumblr tu kira macam blog utama aku la ketika itu, dan aku ingat macam dah lebih empat puluh hari baru aku mula kemaskini catatan perjalanan harian Gibran di wad. Rupanya memang dari awal ada, cuma mungkin ada hari yang aku tak kemaskini, dan rasanya aku asyik ingat aku mula mencatat lewat mungkin sebab aku mula guna tanda pagar diarihospital agak lambat untuk semua entri Gibran di wad. 

Jadi tadi aku tatal sekali lalu, nampak macam aku ada catat dari awal lagi Gibran masuk hospital. Secara jujurnya aku ada rasa nak kumpul dan cetak, tapi untuk tatapan sendiri je lah. Kalau ada siapa nak baca, kena datang rumahlah. Atau kumpul sendiri lah kat tumblr. Senang je pun nak cari. 

Aku harap nanti pantai timur banyak kawasan rehat dan rawat supaya mereka faham keterujaan dan kegembiraan setiap kali berhenti di rehat dan rawat, serta mengetahui apa yang mereka terlepas sepanjang hidup di dunia ini. Dan lepas tu jangan pangkah Pertikaian Nasional lagi.

Aku syak kawasan rehat dan rawat Dengkil mungkin rehat dan rawat yang epik dan unggul sebab vendor dia lain macam. Aku tak tahu la macam mana nak terangkan tapi rehat dan rawat Dengkil ni biasanya aku lalu bila dalam lebuh raya untuk potong terus ke arah Shah Alam atau Klang. Jadi, dia bukan yang dalam laluan utama utara selatan kot walaupun kalau terus je boleh sampai ke rehat dan rawat jejantas Sungai Buloh. 

Tapi rehat dan rawat Dengkil ni memang lain macam. Aku rasa tempat ni antara rehat dan rawat yang paling terkini sebab nampak fasilitinya pun agak baharu dan rekabentuk dan lanskapnya agak luas dan lebih mesra pengguna, berbanding yang tradisional yang kira macam dalam fasa pertama dan percubaan untuk buat tempat rehat dan rawat. Ada beberapa rehat dan rawat yang selalu aku suka singgah (yang ke selatan la, sebab aku balik Johor) Ayer Keroh dan Pagoh, yang aku tak minat nak singgah Seremban. Ni masuk dalam senarai baru ialah Dengkil. 

Aku tahu dekat rehat dan rawat Dengkil ni memang ada jual Sate Kajang Haji Samuri. Walaupun ye lah, aku pernah je jumpa sate yang lebih sedap dari Sate Kajang Haji Samuri (dan dekat je dengan rumah) tapi pada aku Sate Kajang Haji Samuri ni masih lagi antara yang aku gemar makan. Dan kalau ada peluang, memang aku akan singgah dan beli je sebab memang dah tahu dia sedap je nak makan. Kadang kita kompleks sangat sampai rasa sesebuah juadah atau makanan tu dah biasa sangat sebab aras jangkaan kita sudah makin menaik,  walhal makanan tu kekal je macam mana sebelumnya. Walaupun ada satu ketika aku rasa bila Sate Kajang Haji Samuri sudah mula berkembang dan diglobalisasikan, ia rasa sangat kilang. Jadi semalam waktu aku lalu kat rehat dan rawat kat Dengkil untuk merehatkan tongkeng aku, aku beli la sate kajang. Benda yang paling aku suka tentang sesebuah premis atau kedai atau apa-apa perkhidmatan pun ialah khidmat pelanggan diorang. Oleh sebab aku memang berasal dari industri yang mementingkan khidmat pelanggan, jadi aku memang selalu menghakimi prestasi khidmat pelanggan setiap premis yang aku masuk. Dan waktu aku masuk dalam premis sate kajang ni, walaupun pada mulanya dia macam tengah sibuk buat kerja di kaunter (kebetulan aku nampak dia tengah cetak resit di terminal kredit/debit kad, bermakna dia dah tutup pembelian melalui kad) tapi lepas tu dia layan bagus betul. Kita boleh bandingkan, sama ada orang ni, memang benar ikhlas melayan kita, atau ikhlas melayan kita walau penat, sedang cuba ikhlas melayan kita walau tak penat, atau tak ikhlas nak layan tapi terpaksa layan ikhlas sebab dah emmang itu kerja dia, ataupun yang memang tak ikhlas dan tak nak layan kita. Jadi, pelayan di kaunter tu jenis yang ikhlas melayan pelanggan walaupun dah penat dan nak balik tutup dah. 

Dia tanya aku nak pesan apa. Aku terus tanya boleh ke pesan lagi. Dia cakap boleh je. Tapi aku sangsi la sebab aku dah nampak dia cetak resit tamat jualan harian kat terminal kredit/debit jadi aku tanya tutup pukul berapa. Dia pandang jam lepas tu cakap lagi lima minit. Aku pun terus tengok jam jugak, betul ke lagi lima minit tapi bukan aku tahu pun betul ke tak. Aku macam kesian juga nak pesan sebab dah nak tutup, campur lagi pulak kalau aku pesan untuk makan situ, nanti macam mana dia nak kemas pinggan apa semua. Tapi sebab aku dah berdiri depan kaunter, akupesan juga tapi untuk bawa pulang. Dia kata okey. Aku pesan lima cucuk ayam, lima cucuk daging dan lima cucuk kambing. Pelayan tu cakap, kambing dua boleh? Aku cakap boleh. Selalunya dalam situasi ni, aku akan minta maaf dan kata kambing hanya tinggal dua. Tapi pelayan ni memang jurujual yang bagus, walau dia tak minta maaf, dia terus bagi penyelesaian, dua cucuk boleh? Kira respek jugak la, sebab selalunya waktu begini (dah nak tutup kedai) biasa semua orang dah mula malas nak layan pelanggan. Tapi kedai ni memang dengan tukang masak (atau tukang bungkus, aku tak tahu siapa, tapi yang dekat bahagian ambil pesanan la) siap ceria lagi panggil dan beritahu pesanan aku dah siap. Laju juga diorang siapkan, mungkin sebab sikit kot. Dekat tempat aku ni, memang ada satu sate yang sedap gila dalam dunia tapi kadang-kadang bengkek juga cara dia layan pelanggan. Memang le dia tak buat benda-benda kurang sopan atau apa, tapi dia punya semangat dan kesungguhan tak ada. Ia bukan masalah hal quiet quitting atau bare minimun atau buat sekadar gaji, tapi ia lebih kepada bare minimum pun tak sampai lepas tu ada hati cakap dilayan dengan tidak saksama. Pada aku quiet quitting atau buat kerja sekadar dibayar memang okey je dan patut dinormalisasikan tapi ia bukan alasan untuk kau buat kerja ala kadar dan menyusahkan orang lain. 

Jap, aku baru sampai hal pertama kenapa aku kagum dengan rehat dan rawat Dengkil ni. 

Benda kedua ialah, lepas aku beli sate, aku macam biasa la cuba riki vendor dan kedai lain kat situ. Perkara pertama aku perasan telah buat aku rasa macam watdefak. Maksud aku, watdefak ada orang makan yongtaufu dekat rehat dan rawat. Bila aku cakap yongtaufu, ia bermakna yongtaufu yang sebenar yang dimakan dengan sup, bukan yongtaufu palsu yang makan dengan kuah coklat jenayah kemanusiaan tu. Kalau korang memang pemakan yongtaufu sebenar, mesti korang akan dapat teka sekali imbas orang tu tengah makan yongtaufu sebab hidang dalam mangkuk besar dan mangkuk besar plastik tu memang dah jadi pengenalan untuk makan yongtaufu. Alah mangkuk warna warni biasa je tu tapi sekali tengok tahu la orang ni makan yongtaufu. Terus aku cari kedai yang jual yongtaufu ni dan tengok dia niagakan makanan ni sebagai apa. Sebab orang dekat sini memang tak tahu itulah yongtaufu sebenar dan selalu tertipu dengan kuah coklat tak sedap tu, jadi ada kemungkinan dia akan iklankan sebagai steamboat. Tapi kedai ni bagus, dia memang tulis ni adalah yongtaufu dan dia lebih bijak sikit dengan memahami ketidakpandaian orang sini makan yongtaufu sebenar, jadi dia nyatakan juadah yontaufu ini sebagai yontaufu sup. Aku tak makan lagi tapi aku boleh beri lima bintang kat Google Review untuk papan tanda yongtaufu sup ni saja. Dan aku ada rasa nanti kalau aku boring, aku akan datang rehat dan rawat sini hanya untuk makan yongtaufu je. Yongtaufu yang SEBENAR! 

(Segamat)Klang(BatuPahat).

Sebenarnya aku dah agak asing dengan Batu Pahat sampai aku rasa dah tak ada poin sangat untuk nama blog tapi lepas fikir balik, Segamat lagi haram takde kaitan langsung dah. Hanya ada dalam memori je. Aku kadang terfikir nak pergi Segamat tapi lepas tu rasa jauhnya lahai. Secara jujurnya, aku rasa waktu buat lebuh raya utara selatan dulu tu, memang bahagian Johor dia buat kat tempat yang jauh dari bandar. Macam Muar, nak masuk lebuh raya dia, agak jauh jugak sebab dia dah hampir ke tengah daerah, sedangkan Muar memang bandar berpusat sebelah sungai. Sama lah macam Batu Pahat, nak masuk lebuh raya, ha kau dua puluh kilometer dari Batu Pahat baru jumpa tepat masuk tol. Kluang pun sama, tempat masuknya dekat Ayer Hitam. Jadi bandar-bandar macam Muar, Batu Pahat dan Kluang ni memang kurang jadi persinggahan, tak macam dulu, masa lebuh raya belum ada. Perhentian bas Batu Pahat tu kira macam tempat bersosial dan tumpuan. Kira kalau macam sekarang agak pelik juga la untuk budak-budak sekarang nak faham, sebab kau pergi melepak kat perhentian bas utama, nak buat apa kot. Ini mengingatkan aku masa aku berborak dengan Beduk, dia cakap dari dulu sampai sekarang, orang tempatan suka lepak kat Pengkalan Chepa, dekat satu jalan ni, depan lapangan terbang tu, untuk lepak dan bersosial untuk tengok kapal terbang naik. Aku mula-mula dengar macam, okey la kot, rupanya lepas dia terangkan lagi rupanya, kawasan tu macam jadi tempat beriadah, siap bawa keluarga, hanya untuk lepak dan tengok kapal terbang naik ke udara. Tapi aku faham la, memang kita perlukan sesuatu untuk kesihatan mental, walau ia hanya sekadar tengok kapal terbang naik. Atau kalau untuk aku dulu, pergi ke perhentian bas dan tengok bas lalu lalang masuk keluar perhentian bas sambil sedut asap bas. Kahkah. 

Dulu pernah jugak, ada satu waktu aku suka sangat melepak kat kompleks beli belah. Tak buat apa pun, duduk melepak je. Sebab satu negara suka melepak juga sampai keluar dalam televisyen isu budaya melepak. Pernah juga kawan sekolah aku cakap, dulu masa belum kenal dan sekelas dengan aku, dia cakap pernah ternampak aku awal pagi dalam kompleks beli belah duduk melepak. Dia cakap aku duduk termenung kat bangku dengan kawan lain, walhal kompleks beli belah tu dua puluh kilometer dari rumah aku kot. Dia pulak memang budak bandar, jadi taklah pelik kalau ada kat kompleks beli belah pagi-pagi sebab rumah dekat je. Tapi lepas tu aku fikir, mungkin sebab dia dah terbiasa dengan bandar dan tak ada rasa apa yang istimewa sangat tentang bandar, berbanding aku yang duduk di kampung, masih lagi rasa teruja nak lepak bandar walaupun sebenarnya aku boleh je duduk rumah diam-diam. 

*

Aku jarang pergi bandar Batu Pahat sebab ia tak berada di laluan aku setiap kali balik kampung. Aku akan keluar tol Ayer Hitam, lagi dekat dengan rumah aku. Dan sebab tempat aku pun dah banyak segala benda kedai, restoran dan entah apa lagi, aku ingat budak sekarang pun dah takde melepak lagi kat bandar sebab kampung diorang dah rasa lagi maju. Sebenarnya kampung aku ni pun kalau ikutkan dah naik taraf jadi bandar pun. 

Jadi kelmarin masa nak pergi hospital tengok mak, aku jem kejap sebab aku lupa kat mana hospital. Punya la lama tak pergi bandar sampai aku macam kena refresh jap ingatan, sebab hospital tu apa semua memang aku pernah pergi pun. Cuma dah berapa belas tahun lepas kot. Aku dah lupa banyak tempat kat mana dan macam mana nak pergi. Tapi tak lama sebab lepas tu aku dah mula ingat sikit-sikit. Tapi ada juga beberapa tempat yang aku rasa macam tak pernah lalu.

Macam balai polis daerah. Aku rasa aku patut lalu balik tempat ni, sebab ada rasa vibe macam filem diktator. Kalau korang tak tahu, balai polis daerah ni memang besar gila dan tinggi. Dia agak kontras dengan bangunan lain sebelah dia sebab memang tak ada bangunan tinggi pun sebelah dia. Depan dia ialah kawasan perumahan, yang memang semua rumah teres satu tingkat. Dia ibarat macam big brother yang tengah perhatikan rakyat dan teliti apa mereka buat dari bangunan besar di depan taman perumahan tu. Aku patut ambil gambar tapi aku tengah memandu. Lagi satu tempat macam aku best ambil gambar ialah kilang Munchys. Tapi jauh sikit dari bandar la. Dia ada vibe industrial sebab kilang atas bukit depan lampu isyarat. 

Sebenarnya banyak juga tempat aku nak pergi jalan-jalan macam aku taip dalam entri sebelum ni. Aku harap dapatlah nanti suatu hari aku boleh habiskan masa berjalan-jalan barang dua tiga hari kat satu-satu tempat tu dan lepak ambil gambar dan menulis pengalamannya.    

Sebenarnya aku dah mengantuk, nanti la aku sambung.

Jadi hujung minggu ni aku kata aku akan sibuk, ya betul, tapi sibuk dengan benda lain pulak. Dari segala macam kenduri atau rumah terbuka, haram satu pun aku tak pergi, sebab aku kena balik kampung, mak masuk wad. 

Petang Sabtu, kakak aku beritahu mak mungkin kena rujuk hospital sebab kaki dia bengkak. Tak pasti bengkak kenapa, tapi yang pasti dah dijangkiti kuman lah, sebab tu kena rujuk hospital. Ada kemungkinan kena gigit binatang ke serangga macam tu lah, sebab mak tak de jatuh atau ada alahan. Masa kat wad pun memang diorang bagi antibiotik. Jadi lepas dengar mak mungkin masuk wad, aku rilek je lah tapi lepas tu kakak aku ajak balik, jadi okey la, aku ambil keputusan untuk balik temankan kakak aku. Jadi malam Sabtu gerak, dalam pukul satu macam tu sampai. Itupun mula-mula tengah fikir nak terus pergi hospital ke, atau pergi rumah kakak aku yang lagi satu (mak aku duduk situ) sebab sebelum kitorang gerak tu, mak dah kat bahagian kecemasan (biasa la, kalau ada surat rujukan memang dia kena bawa ke bahagian kecemasan, nanti diorang saring la sama ada nak letak zon kuning ke merah ke). Berdasarkan pengalaman aku (di tempat lain dan lebih banyak penduduk dan pesakit - kahkah) ada rasa mungkin mak akan kena tunggu dekat kecemasan sampai pagi sebab biasa la menunggu dia memang tak sah kalau setengah hari. Tapi sekali tak sampai separuh perjalanan aku balik tu mak dah siap setel masuk wad da. Kagum kejap aku walaupun takde la kagum sangat. Lepas tu aku tanya kakak aku yang teman mak tadi ni macam mana, nak balik rumah dia ke nak pergi hospital terus. Dia cakap, malam ni tak payah teman mak, biar mak sorang je. Mula-mula dengar macam jem jugak, ada rasa macam vibe-vibe anak derhaka gitu, tapi rilekss, tunggu sampai bahagian esoknya (Ahad hari ni la). 

Aku tak tahu la macam mana nak terangkan cara proses berfikirnya, tapi lebih kurang macam ni lah. Penjaga kena sorang je dan hanya boleh tukar penjaga lepas tiga hari. Maknanya kalau kakak aku jaga, dia sorang je lah jaga terus menerus sampai tiga hari lepas tu baru boleh tukar (ni yang dia cakap malam tu, esoknya jururawat cakap dah tak boleh tukar penjaga langsung pulak), jadi untuk panjangkan hari, penjaga akan mula jaga bermula Ahad, sampai Selasa, sebab Rabu kakak aku tu dah kena masuk kerja. Kalau terus jaga malam tu kira dah masuk Sabtu (walaupun sebenarnya masa aku taip ni aku terfikir juga, kitorang gerak pun dah pukul sembilan malam, maknanya akan sampai sana lepas jam dua belas tengah malam, jadi dah masuk Ahad la). Jadi kesimpulannya, malam tu mak tinggal sorang dulu kat wad, nanti esok pagi kitorang datang. Aku tanya macam mak okey ke kena tinggal. Kakak aku cakap mak dah tido dah lepas minta abang ipar aku belikan kopi.

Kahkah sebenarnya hal kopi ni pun lucu jugak. Aku takde la fikir apa-apa sangat tapi sebenarnya memang pelik juga mak aku minta kopi. Kakak aku yang dengan aku ni la asyik ulang-ulang, mak ni pelik juga kenapa minta kopi, dah la malam-malam pulak tu. Tak, ceritanya, anak dia barista kot, pernah latih Coffee Master dan juga yang mentauliahkan calon-calon Coffee Master, jadi hal minum kopi tengah malam sebelum tidur ni bukan hal yang asing. Aku bukan lagi tahap bangun pagi kena minum kopi, aku dah tahap sebelum tidur kena minum kopi kot. Tapi lepas tu, kakak aku yang lagi satu tu baru buka cerita, rupanya baru-baru ni mak asyik minum kopi (sebenarnya dia minum Nescafe instant). Bila fikir balik, mak aku umur 80 tahun baru mula syok minum kopi (sebelum ni dia tak ada apa kecenderungan terhadap sesuatu minuman, dia selalu minum teh o kosong tipis je),  ni maknanya memang tak ada alasan terlalu lewat untuk memulakan sesuatu. Aku umur 30 tahun baru mula jadi barista, mak aku umur 80 baru mula entusias kopi (kahkah takde la, suka minum nescafe je).  Dan yang kelakarnya, mak aku mula minum nescafe ni sebab dia duduk rumah aku tahun lepas. Dia nampak nescafe instan yang warna merah tu lepas tu dia minta satu sachet. Aku bagi la. Sekali lepas tu waktu nak balik, dia minta beberapa lagi sachet. Aku takde la ingat kenapa pun, aku bagi je la. Lepas tu ada aku balik kampung, aku beli nescafe instan kat sana, mak nampak lepas tu dia minta. Macam biasa la, aku kan perlahan, jadi aku tak dapat tangkap lagi, sampai la kakak aku kat dalam kereta sebelah aku tu cakap kenapa mak minum kopi malam-malam. Esoknya kakak aku yang jaga mak tu cerita rupanya mak memang selalu minum nescafe. Lepas nescafe yang aku bagi tu habis, mak selalu minta kat sorang anak kakak aku, yang kebetulan suka minum nescafe. Budak tu suka minum yang sachet kuning jadi mak aku tahu tu nescafe, jadi mak pun pau cucu dia. 

*

Esoknya, aku bajet mungkin aku gerak seawal yang mungkin tapi aku pun malas, sebab semalam terus bantai harung balik kampung, sampai pun dah pukul berapa entah, pukul dua ke camtu, jadi aku pun bantai tidur sampai diorang kejut. Pendek cerita, tunggu diorang siap, dekat pukul dua belas tengah hari baru nak gerak. Siap ada tu aku dengan kakak aku sorang ni punya la tunggu dalam rumah ingat kakak aku lagi sorang belum siap, sekali dia tengah tunggu kitorang luar rumah. Oleh sebab dah lepas tengah hari baru kitorang sampai wad, aku dalam kepala dah siap fikir mak aku ni okey ke sorang-sorang, jangan-jangan tengah sedih ke nangis ke sebab kitorang tak sampai lagi. Rasa bersalah juga sebab kalau ikut pelan, boleh gerak awal pagi sebab kakak aku yang sorang nak jadi penjaga tu boleh je terus naik, sementara aku dengan kakak lagi sorang tunggu sampai waktu melawat. Kesudahannya, memang kitorang sampai waktu melawat. 

Lepas pergi hospital ni, aku syak semua hospital kat Malaysia ni memang gaya pengurusannya lain-lain lah. Kat sini, aku kena beratur sebelum masuk lobi, biasa kat lobi tu ada pos untuk pengawal, lepas tu apa-apa rujuk pengawal situ la, kira kalau yang suka tahan pelawat naik, kat pos tu la, tapi hospital ni, sebelum masuk bangunan lobi tu, dia bentang tiga meja, sorang satu pengawal kat situ, dengan buku log, tiga meja untuk tiga tingkat/wad yang berlainan. Dia dah la letak nama wad kat depan meja, jadi tak nampak sebab tertutup dengan pelawat yang tengah tulis buku log. Oleh sebab aku pergi parkir kereta, jadi kakak aku dua orang tu naik dulu bawa beg (ada empat beg, kahkah ikut nasihat aku la tu sebab aku memang kalau kena tahan wad, aku memang siap sedia untuk berkampung dan bawa segala benda keperluan dan keinginan kahkah), jadi aku naik sendiri. Sebelum ni, hospital Gibran, bila waktu melawat, ha naik la korang semua ke tingkat atau wad mana nak pergi, tapi depan pintu wad kena isi buku log. Kat sini, sebelum masuk lagi dah suruh isi buku log. Pengawal akan tanya dulu, nak pergi mana, katil berapa lepas tu dia tanya nama pesakit, lepas tu baru dia bagi tulis buku log. Itupun lepas dia periksa kalau ada pelawat lain dah naik melawat pesakit tu ke belum sebab dia hadkan dua pelawat ke setiap pesakit. Macam tadi, pelawat depan aku, dia tak dapat naik dan kena suruh orang kat atas tu turun dulu baru boleh naik. Pengawal tu memang dah siap dengan walkie talkie tanya pengawal kat atas. Haa, lepas naik wad tu, bukannya terus boleh masuk wad, kena cakap pulak kat pengawal depan wad tu nak pergi katil berapa. Pengawal tu akan tanda nama (dah tak suruh isi buku log sebab dah isi kat bawah) dan nanti bila aku dah setel melawat, kena cakap kat dia nak balik. Pehh lain sangat prosedur dia. 

Dah setel semua, aku pun masuk dalam wad. Aku memang bajet mak aku memang tengah sedih campur sakit la. Sekali dia rilekss je bersukaria. Aku tanya okey ke kena tinggal, tak apa ke, dia cakap okey je siap senyum senyum. Aku punya la rasa bersalah sebab datang lambat, mak boleh watlek watpis, tapi elok la sebenarnya, buat apa aku nak suruh dia sedih-sedih. 

*

Oleh sebab mak aku dh ada penjaga (kakak aku terus sambung cuti je lah sebab dah jururawat cakap tak boleh tukar) aku pun balik la sorang. Dah balik sorang aku ingat nak singgah banyak tempat, ingat nak singgah CORM tapi lepas tu aku batalkan niat dan aku cuma singgah banyak rehat dan rawat je sebab tongkeng sakit duduk bawak kereta lama-lama.  

Sibuk.

Setiap minggu aku akan menunggu untuk hujung minggu walau sebenarnya ia tak begitu bermakna apa-apa untuk aku, kecuali tidur lambat atau berjaga sampai pagi untuk duduk depan komputer. Tapi beberapa minggu kebelakangan ini rasa tak ada hujung minggu yang produktif, selalunya aku hanya rasa penat dan malas, malas terutamanya, dan lagi teruk kalau ia sekali dengan rasa tak bermotivasi. Hujung minggu ni aku rasa ada dua benda je aku rasa nak buat, pergi Wayang Budiman dan habiskan novelet (novelet dah sampai bab akhir, tapi sejak bulan lepas, aku sengaja lengahkannya sebab macam tak begitu yakin dengan idea yang ada. Sepatutnya aku duduk je menaip benda bukan-bukan sampai la aku dapat buat keputusan nak tulis apa atau nak pilih apa) tapi kedua-duanya tak dapat nak buat. Wayang Budiman sebab bertembung dengan acara lain jadi aku kena duduk rumah dan jaga Gibran, sementara Sabtu dan Ahad agak penuh dengan rumah terbuka dan kenduri kahwin yang aku sendiri tak tahu la nak susun macam mana. Ada rasa macam seharian akan berada di luar lepas tu dah penat untuk buat apa-apa bila balik rumah. Dan ada kemungkinan juga hujung minggu seterusnya sudah juga ada pelan sebab dah mula cuti sekolah. 

Dan aku masih belum lagi dapat keluar menunggang cafe racer ke tempat-tempat yang rambang. Lepas aku tengok kat aplikasi peta, semua tempat yang aku nak pergi agak jauh dan dah mula rasa nak memandu sendirian je. Semua jarak dalam lingkungan dua ratus kilometer dan ke atas. Maknanya aku memang kena rancang kalau nak pergi sana, mana aku nak pergi, apa aku nak buat, sebab kalau setakat seratus kilometer, masih boleh rilek lagi sebab tak lama sangat perjalanan, jadi sempat la nak lepak duduk dan fikir nak buat apa. 

Tapi tentatif untuk aku mungkin ringkas je la kot, ia berkaitan dengan buku, kopi, kemudian mungkin seni dan muzik, atau mungkin seni dan budaya, dan akhir sekali mungkin makanan dan minuman. 

Coldplay jeee kott.

Rasa tak ada siapa perasan, sebab aku pun jarang berborak dengan sesiapa atau kemaskini di media sosial; aku memang tak bercerita pasal Coldplay datang Malaysia pun. Sebab aku memang tak teruja atau berniat nak tengok pun. Rasa macam pernah hype juga dulu pasal konsert Coldplay, lepas aku ternampak ada satu entri kat Facebook pasal konsert Coldplay kat Bangkok (kot) tahun 2017 dulu, baru aku ingat memang waktu tu ramai-ramai macam beriya nak pergi tengok. Aku macam, dah la kat Bangkok, memang tak la aku nak pergi. 

Dan bila diorang umum tahun ni nak buat konsert kat Malaysia, aku lagi la haram tak peduli atau teruja langsung - siap pelik kenapa semua orang sibuk nak pergi tengok Coldplay, sebab, Coldplay je kot. Kahkah. Lagi bila aku tengok harga tiket, lagi la aku pelik, macam, ada ke orang nak bayar sampai ribu-ribu untuk, Coldplay. Kemon, Coldplay je kot. Kahkah.

Jap, aku rasa kena buat penerangan sikit kot.

Okey, oleh sebab memang aku melalui zaman Yellow, jadi kira aku berada waktu Coldplay baru bermula di peringkat antarabangsa, dan ketika itu memang banyak saingannya, itu belum kira muzik pop, muzik hip hop, muzik dari Amerika, muzik dari British, atau muzik rock atau muzik hibrid macam rap rock. Oleh sebab aku memang tak berminat dengan muzik dari British, jadi memang agak kuranglah aku teruja nak dengar muzik dari sana. Hanya ada beberapa je aku dengar, itupun satu dua lagu. Dan Coldplay boleh kata dari kategori muzik britpop, generasi seterusnya britpop tapi taklah segah band-band sebelumnya yang mula terkenal dari tahun sembilan puluhan. Jadi, ketika itu, Coldplay kira masih sama la dengan band-band baru naik, cuma ada la banyak lagu yang keluar radio berbanding band baru yang lain. Dan band-band yang lama macam Oasis, Radiohead atau Blur ni memang staple muzik britpop la banding dengan band-band seterusnya. 

Untuk generasi aku, memang ada banyak muzik lebih popular berbanding britpop, macam yang skema diorang dengar boyband dan girlband, ada yang dengar muzik Hong Kong atau Taiwan, yang underground dengar la grunge (tahun 2000 ke atas banyak gila band Malaysia main post grunge sampai naik menyampah aku dengan grunge), metal, garage rock (segala band yang nama mula dengan The) dan hip hop (semua orang dengar Eminem waktu ni). Britpop ada la jugak pendengar tapi mula naik ketika OAG mula buat lagu dalam bahasa Melayu. Itu je la pun. 

Dan selepas empat album, Coldplay dah ubah hala tuju dia, dah tak britpop sangat pun. Dah rasa sangat mainstream tapi yang bagusnya, ia buat Coldplay kekal relevan kepada pendengar baru. Mungkin ada yang masih ikut tapi aku rasa sekarang lebih ramai pendengar baru berbanding pendengar lama. Pendapat aku la, sebab dah aku memang tak ikuti Coldplay, sebab, Coldplay jeee kot. Kahkah. 

Takde takde, aku bukan bengkek tak dapat tiket ke apa, memang aku tak minat Coldplay sangat selain beberapa lagu je. Lagipun aku dah habiskan semua keterujaan aku waktu Deftones dan Soulfly datang buat konsert kat sini. Jadi apa band lain kegemaran aku yang datang lepas ni, aku dah macam tak kisah sangat kalau tak pergi pun. 

Oh, tapi aku masih bengkek dengan JAKIM sebab diorang le konsert Lamb Of God dengan Kreator kena batalkan. Terutamanya Lamb Of God, walaupun sebenarnya paling bengkek ialah konsert Kreator sebab aku dah sampai tempat acara bila terpaksa dibatalkan. tapi sebab aku memang dengar Lamb Of God (waktu tu) berbanding Kreator ada satu dua lagu je aku dengar, jadi bengkek lebih masa Lamb Of God. Dah siap beli tiket atas talian, sekali batal. Masa Kreator aku tak beli lagi tiket rasanya, sebab nak beli kat tempat acara je. 

Tapi takde la aku harap konsert apa-apa ni kena batal. Janganlah kita menjadi walaun yang busuk hati tak boleh tengok orang lebih sikit walhal dia pun haram tak reti apa-apa. Wallahu A'lam.


Selamat (Lewat) Hari Guru.

Walau agak lewat tapi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru, cikgu-cikgu, pengajar-pengajar, pensyarah-pensyarah kecuali cikgu-cikgu sekolah Ariana yang beriya tiap tahun buat sambutan hari guru dengan tema pot luck dan suruh budak-budak bawa juadah sendiri untuk budak-budak sendiri makan dan sambutan hari guru tahun ni Ariana bawa 29 bekas puding buah yang di mana cikgu-cikgu Ariana langsung tak keluarkan dan hidangkan kepada kawan-kawan bersama juadah pot luck lain walaupun sangat jelas Ariana punya bersusah payah menggalas beg sekolah dia yang penuh dengan puding buah dengan alasan sibuk dan lupa dan entah apa alasan bangang lain yang tidak menunjukkan tahap intelek seorang guru. Tahun depan dan seterusnya memang takkan bawa apa-apa lagi juadah untuk sambutan hari guru dan hadiah hari guru pun takkan bagi sebab tak ada seorang cikgu kat situ pun yang layak diraikan.

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan, terutamanya, selamat hari guru kepada guru-guru lama sekolah Ariana sebelum ni sebelum berpindah ke sekolah baru yang koman, di mana guru-guru sekolah lama yang sangat sabar walaupun sejam pertama persekolahan Ariana akan habiskan dengan mengamuk dan menangis tapi masih lagi sabar dan rajin beri kemaskini dan kongsi perkembangan Ariana, secara harian, ya, maknanya setiap hari akan kongsi apa Ariana buat di sekolah, tak macam sekolah baru yang sampai Ariana dah dekat tiga tahun kat sekolah tu baru tahun ni saya tahu yang Ariana tidur kat sekolah. 

Seperti saya nyatakan dalam entri sebelum ini, institusi kesihatan dan pendidikan memang perlukan satu bentuk perubahan besar-besaran dan mendalam, supaya segala bentuk kesalan yang saya luahkan ini tidak lagi menjadi norma di masa hadapan. 

Selamat Hari Guru. 

Masuk Melaka (ii).

Ada kemaskini sedikit gambar-gambar waktu perjalanan ke Melaka tempoh hari di tumblr. Tekan sini. Kat instagram nanti lah, ingat nak letak filter bagi cantik sikit nanti. 

Warna Delima.


Ada rasa macam kena tonton The Color Of Pomegranates (1969) arahan Sergei Parajanov sebab dua kali ia melintas (di Facebook dan di Twitter - di twitter ia agak menarik kerana ia sebenarnya bebenang untuk klip muzik Lady Gaga lagu judul 911 di mana ia punya homaj atau rujukan The Color Of Pomegranates). Tapi Black Orpheus (1959) hari tu pun tak habis tonton lagi.


Selasa.

Ada banyak waktu ketika saya habiskan masa menunggu di hospital buat saya terfikir jika ada sesuatu yang kita boleh buat atau cadangkan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan jabatan kerajaan. Saya sentiasa faham akan kenapa di jabatan kerajaan punya waktu menunggu lebih lama kerana jumlah pengunjungnya lebih ramai. Tapi saya fikir ini bukan alasan, kerana ia sudah berlarutan sejak beruluh tahun dahulu dan semua orang macam sudah redha dengan hal ini dan lali. Tidak, ini macam masalah berkaitan parkir hospital. Parkir hospital memang salah satu masalah yang saya fikir mana-mana hospital pun hadapi - tak cukup ruang, tak cukup kotak parkir. Bahagian kesihatan (dan juga pendidikan) adalah sektor yang paling kritis tapi selalu dengar ia seperti tak terlalu diberi perhatian. Sepatutnya, ruang parkir heruslah banyak, tak perlu berebut atau sampai perlu parkir di depan kenderaan lain. Hospital Shah Alam contohnya, patut sudah beberapa tahun lepas lagi memepertimbangkan untuk buat parkir bertingkat kerana mereka sudah tambah beberapa bahagian untuk parkir tapi ia masih tak cukup kerana masih ada yang akan parkir bersepah, parkir di depan kenderaan lain dan parkir di luar hospital. Saya faham ia berkenaan waktu puncak, maknanya hanya pada waktu kaunter dan temujanji berlangsung saja di mana hospital akan penuh dengan kenderaan, di mana waktu selebihnya, enam belas jam seterusnya, parkir banyak kosong. Tapi masalahnya, memang itulah waktunya yang paling penting, jangan fikir sebab waktu lain kosong jadi waktu yang di mana semua orang terpaksa berkumpul dan bersesak ini hanya untuk beberapa jam saja. Tak menjadi masalah pun jika punya ruang lebih untuk parkir. 

Itu baru masalah parkir, itu belum masalah menunggu nombor giliran.

Untuk temujanji jam lapan pagi, saya perlu hantar Ariana ke sekolah seperti biasa, jadi dalam jam tujuh pagi lagi saya sudah bertolak ke hospital lepas hantar Ariana. Saya dah tahu dah, walau kita sudah mahir dan tahu laluan untuk ke hospital atau mana-mana destinasi, kita patut buka juga aplikasi peta (macam Waze atau Google Maps, saya guna Google Maps) dan biar aplikasi peta tunjuk laluan ke destinasi kerana ia akan berikan laluan yang paling kurang sesak. Sama macam pergi Melaka hari tu, memang dia bawa ke laluan yang kurang sesak. Menurut Google Maps, saya akan tiba dalam tiga puluh minit ke empat puluh minit di hospital. Saya fikir agak baik juga sebab sebelum ni saya sampai lebih lambat. Dan saya sampai tadi di hospital mungkin dalam tujuh empat puluh pagi dan syukur parkir masih banyak kosong, itupun kalau saya tiba lewat lima minit, ia akan mula penuh. 

Tapi cuba teka pukul berapa saya dapat bawa Gibran jumpa doktor? Hampir jam sembilan pagi. Saya fikir saya tiba di kaunter nombor giliran mungkin sepuluh minit sebelum jam lapan pagi dan saya tahu memang saya memang akan menunggu lama sebelum selesai pendaftaran. Tapi saya tak sangka hampir jam sembilan pagi (rasanya sepuluh minit sebelum jam sembilan) baru nombor saya dipanggil.Selalunya saya akan mendaftar di kaunter Hasil Hospital Shah Alam dan jika saya tiba waktu yang lebih kurang sama, sepuluh minit sebelum jam lapan pagi, saya terpaksa menunggu setengah jam. Itupun dah rasa bingit. Hari ini saya tak perlu daftar di kaunter Hasil tapi perlu daftar di kaunter bahagian lain dan selalu saya nampak memang bahagian ini punya barisan yang sangat panjang. Nasib baik saya memang dah jangka dan set dalam fikiran saya memang lambat jadi tak bingit sangat tapi lepas tu macam bingit juga sebab sejam lebih menunggu. Saya jumpa doktor (hari ni jumpa dietitian) dalam lima belas minit sebab dalam jam sembilan dua belas minit saya dah keluar dari bilik doktor dan balik. Sebab bilik dietetik memang di sebelah kaunter, jadi saya boleh nampak, jumlah pengunjung atau pesakit yang menunggu, adalah berkali ganda lebih ramai dari waktu saya tiba tadi. Saya baru teringat, oh mereka datang untuk temujanji jam sembilan pagi. Nasib baik memang hari ni jumpa dietetik yang rasanya memang tak ramai temujanji berbanding jabatan lain seperti pediatrik atau pergigian. Kalau tak, selepas kaunter pendaftaran, saya kena tunggu lagi beberapa jam untuk jumpa doktor. 

Sebab tu saya paling tak gemar temujanji jam lapan pagi sebab saya tak boleh hadir lebih awal berbanding temujanji lebih lewat. Bayangkan begini, temujanji jam lapan, kaunter nombor giliran buka jam tujuh setengah pagi - maknanya orang dah beratur dari jam tujuh atau tujuh suku pagi. Dan saya pula hanya boleh sampai di hospital jam tujuh empat puluh pagi paling awal. Memang dah panjang barisannya. Kalau temujanji lewat, jam sembilan contohnya, saya boleh hadir jam lapan pagi dan berkemungkinan akan dapat jumpa doktor jam sembilan pagi - seperti dalam temujanji.  

Mendengar No Devotion.

 Ada banyak sangat band yang saya mahu dengar - sama ada baru mahu dengar, atau mahu ulang dengar betul-betul kerana sebelum ni hanya dengar sepintas lalu dan tak fokus langsung muziknya, atau mahu dengar semula kerana kali pertama dengar rasa macam tak masuk langsung sebab pernah beberapa kali punya pengalaman memahami album selepas beberapa kali ulang, atau mahu ulang dengar sebab ia pernah jadi album atau band kegemaran tapi dah lama tinggalkan, atau music fatique untuk sesetengah band di mana hanya dengar album lama dan beberapa album seterusnya dah tak mengikuti dan dengar, atau mahu dengar album atau muzik dari persona band yang buat projek sampingan atau perpecahan band yang menubuhkan band baru; agak banyak juga nak dengar - tak termasuk muzik yang baru mula nak kenali dan dengar. 

Saya fikir ini adalah masalah yang sama untuk setiap pembaca buku atau peminat filem - terlalu banyak material tapi terlalu sedikit masa; lebih-lebih lagi kalau memang meminati ketiga-tiganya. Syukur juga saya bukan peminat sukan, kalau tak, lagi banyak masa saya terbahagi. Tapi kalau ikutkan, sukan kegemaran saya masih papan luncur tapi saya fikir mungkin saya sudah hampir melepaskan minat itu walau dalam hati masih membara untuk ia setara dengan minat lain. 

Saya memang meminati muzik lebih berbanding menulis, cuma saya tidak berada di kelompok yang betul, menyebabkan perjalanan muzik saya agak tumpul dan jika saya ingin hasilkan muzik, mungkin saya perlu bermula secara sendirian, berbanding secara kolektif. Sementara sekarang, saya banyak bergaul dengan kelompok peminat filem, jadi ada kecenderungan untuk meneroka filem-filem yang mereka sering sebut dan anggap sebagai karya agung. 

Cuma sebab ia filem, dan saya ada kecenderungan untuk melihat setiap helai syot dalam filem, jadi saya perlu menonton dengan fokus. Mulanya saya gemar tonton secara sekerat-sekerat tapi ada yang mencadangkan, filem seharusnya di tonton sekali jalan, bukan tengok separuh-separuh. 

Sementara muzik, ia memang perlu dengar dalam banyak medium dan situasi. Dengar secara santai, dengar sebagai latar, dengar dengan fon telinga, dengar di dalam kereta, dengar sambil membaca atau meneliti seni album dan lirik. Saya fikir saya dengar lebih banyak muzik untuk tiga tahun kebelakangan ini dan banyak teroka muzik dan pemuzik yang baharu berbanding sebelumnya. 

Sekarang sedang dengar No Devotion. Ia bermula sebab  saya sedang mencari rujukan tentang judul atau apa-apa frasa berkaitan neraka untuk projek tulisan perjalanan ke Melaka tempoh hari dan saya teringat tentang lagu Heaven Fot The Weather, Hell For The Company oleh Lostprophets. Selepas Ian Watkins dipenjara dan mereka berpecah, saya sudah tak mengikuti mereka walaupun ada mengetahui band baharu yang mereka tubuhkan selepas itu. Sebab Lostprophets sendiri saya tak habis dengar keseluruhan album mereka (saya ada satu kaset Fake Sound Of Progress - itupun tak pernah dengar betul-betul). Selepas Lostprophets, mereka tubuhkan No Devotion bersama vokalis Thursday (juga band yang ramai peminat tapi saya tak pernah betul-betul dengar; dan entah kenapa saya sering tertukar antara Thursday dengan Thrice). Saya tahu muzik Thursday dan, sudah tentu, Lostprophets, tapi No Devotion adalah projek muzik yang berlainan dari kedua-dua band itu dan entah bagaimana genre pilihan mereka kedengaran menarik dan sesuai dengan suara dan tone permainan mereka. Saya fikir ini antara band yang mediocore yang mungkin takkan meletup dan tak juga jadi kultus tapi muzik mereka agak baik. Mungkin akan dengar No Devotion sampai habis dulu sebelum mula dengar semula Lostprophets. 

Masuk Melaka.

Sebenarnya ada beberapa perkara yang nak kemaskini tentang perjalanan ke Melaka semalam tapi hari ni agak sibuk dan esok pula kena bangun awal pagi, jadi tak banyak boleh ceritakan sekarang, cuma boleh kata perjalanan setengah hari ni memang seronok dan mengujakan. Ada rasa akan tulis jurnalzine (yang betul-betul zine sahaja, tanpa cetakan seperti buku, sebab ada rasa ia akan lebih pendek berbanding jurnalzine sebelum ini) sebab banyak terkesan dengan banyak perkara. Mungkin kerana kali ini perjalanan tidak berseorangan, jadi ada banyak perkara yang mungkin saya terlepas dapat dikongsi melalui pengalaman dan pemerhatian kawan-kawan.  

Saya fikir mungkin judul zine itu adalah Masuk Melaka, boleh kata ia merujuk kepada frasa yang selalu saya jumpa di media sosial, facebook terutamanya, di mana mereka akan menggunakan perkataan melaka sebagai ganti perkataan neraka. Saya tak pasti jika ia untuk bersopan, atau kerana tegahan agama (memang menurut beberapa pandangan, adalah haram menggunakan neraka atau syurga atau perkara-perkara yang serius lain sebagai gurauan atau mempermain-mainkannya), atau sekadar mengikut trend. 

Ada beberapa judul filem dan buku yang saya fikir untuk digunakan tapi saya fikir Masuk Melaka paling sesuai untuk judul zine dan judul-judul cadangan lain itu, saya akan gunakan sebagai judul bab-bab di dalam zine. Antara pertama yang saya terfikir ialah Isi Melaka - dari judul filem Isi Neraka. Dan lama sebelum saya terfikir untuk pergi ke Melaka untuk perjalanan ini, saya tiba-tiba terlintas dalam kepala - Melaka Ialah Orang Lain. Saya tak pernah tahu kenapa ia terlintas dalam kepala, tapi saya simpan idea ini, dan kebetulan rasa macam boleh juga masuk dalam zine. Lagi satu ialah Cinta Adalah Seekor Anjing Dari Melaka (ya, sudah tentu saya takkan melupakan pengaruh kuat penulisan saya sebagai homaj) yang kebetulannya, memang kami terjumpa seekor anjing di Melaka, yang kami rasa ia adalah seekor anjing yang sangat aestetik. 

Saya akan fikirkan judul-judul lain kemudian dan berharap untuk selesai tuliskan drafnya dalam masa terdekat sebelum saya terlupa banyak perkara tentang perjalanan ini. 

Esok

Esok akan memandu ke Tegak Balai bersama kawan-kawan. Saya fikir ini adalah satu-satunya perjalanan yang (akan) saya lakukan sepanjang musim panas (atau musim jarang hujan ni) walaupun saya sudah menanti musim ini sejak musim perubahan monsun dari hujung tahun lepas. Dan masih belum mulakan perjalanan bersama cafe racer. 

Bila fikir semula, saya patut lakukan jelajah seperti ini, dengan cafe racer, selang tiga bulan sekali. Kerana, berbanding buat perjalanan impromtu, baik saya rancang tentatif seharian supaya saya ada banyak tempat atau tempat bermakna yang saya mahu pergi. Atau sekurang-kurangnya saya tak habiskan waktu perjalanan itu dengan memikirkan apa yang saya patut buat. Dan untuk ke tempat yang lebih jauh, mungkin saya akan memandu kereta kompak.  

Kena pakai fon telinga nampaknya.

Yep, baru tukar layout blog dengan header. Baru mula dengar New Order (dan ulang dengar Joy Division tapi boleh kata mula dengar sebab tak pernah dengar dengan serius) dan boleh nampak pengaruh album kompilasi Substance (1987) pada header blog sebab aku rasa macam best jugak untuk buat minimal dan warna putih camni. Boleh jadi juga transisi dalam hidup untuk mula lebih banyak warna putih selepas hari raya hari tu rasa macam stail pakai baju warna putih (mutiara). 

Cuma ada beberapa lagi bahagian tak kemaskini, terutamanya widget kat sebelah kanan blog untuk letak senarai buku atau link blog orang lain (kalau ada). 

Baru teringat nak tukar header twitter juga, dan tumblr juga, cuma twitter punya header tak tau nak letak apa untuk gantikan segamatklangbatupahat. Mungkin buang perkataan tu dan terus letak gambar buku-buku kot.   

*

Akan cuba mula dengar Sigur Ros atas permintaan dan saranan rakan-rakan. 

Nota ringkas tentang muzik dan persembahan muzik yang saya jumpa sela waktu ini.

Sedang tonton (sebenarnya dengar sebab memanglah tengah buka youtube, tapi aku buka tab google doc untuk menulis) Sun Ra Arkestra - North Sea Jazz Festival 1979 bila tiba-tiba ia kedengaran menarik dan segera kembali ke tab youtube. Dalam persembahan Sun Ra sebelum ni yang aku tonton, ia memang tidak asing jika persembahan muziknya diselangi atau dilatari oleh tarian. Mereka guna kostum orang Mesir dulu, jadi ia memang tak boleh dielakkan untuk mereka berdansa. Cuma kali ini, yang menariknya, kesemua pemuziknya menari, meninggalkan instrumen mereka dan hanya ada seorang di bahagian dram, memberikan rentak yang minimal dan Sun Ra di mikrofon menyanyi. Dan kesemua mereka menari dalam bentuk bulatan dan menyahut nyanyian Sun Ra. Agak menarik juga. Saya sertakan klipnya di bawah, ia bermula sekitar minit 1:03:00 ke atas bila sedikit demi sedikit mula meninggalkan instrumen.




Selain itu, waktu menonton Anak Sulung Tujuh Keturunan tempoh hari, salah satu adegan yang menarik saya ialah babak nyanyian dan tarian (yang kedua tak silap saya, seingat saya macam ada dua kali persembahan tarian dan nyanyian) waktu Hamzah (atau Iskandar Alam) sudah dewasa dan setelah menjadi pendekar, beliau masih lagi gemar menari dan saya tertarik ada ketika puncak tarian itu ialah hanya kedua watak utama Hamzah/Iskandar Alam dan Siti Badariah (kot lupalah, Siti Badariah ke Ratna yang menari) yang berada di tengah menari, diiringi oleh.. jeng jeng jeng.. breakdown kompang. Peh, aku dengar waktu tu, rasa macam cis, memang nanti kalau aku ada band, memang aku akan terapkan kompang breakdown dalam muzik aku. Powerrr. 

Oh, sekali dengan semua orang tinggalkan instrumen dan menari atas pentas dalam bulatan. Mungkin boleh tarik makwe cun dari bahagian penonton untuk naik sekali atas pentas dan menari. Powerr. 

Macam biasa, jangan curi idea aku. 



Beberapa nota tentang malam yang panas.

1. Tengah mula dengar Sun Ra (dan Sun Ra And His Arkestra). Aku macam pernah ingat dulu, entah zaman sekolah atau atau zaman universiti, ada siapa entah tunjuk aku persembahan langsung (hitam putih rasanya) Sun Ra. Walaupun Sun Ra secara amnya bermain jazz, tapi klip itu menunjukkan persembahan mereka yang kacau bilau huru hara. Ia tersimpan dalam kepala aku tapi hanya simpan sebagai arkib dan tak pernah teringat nak dengar semula, sampai la minggu ni. Sun Ra ni memang banyak gila arkib muziknya sampai dekat wiki pun cakap memang antara yang paling banyak koleksi muzik, dan itu tak termasuk Sun Ra Arkestra yang diteruskan selepas kematiannya. Aku tak tau la nak simpulkan macam mana, tapi aku fikir, Sun Ra mungkin adalah orang yang tahu apa dia nak buat dan dia buat dan aku fikir aku patut buat je. Aku selalu fikir, macam mana teruk pun tulisan aku, aku fikir, aku kena terus menulis kerana aku menulis untuk menulis. Macam Bukowski la, dia selalu cakap dia selalu tulis puisi bukan sebab puisinya bagus tapi sebab puisinya teruk dan dia tetap perlu tulis semuanya. Jadi lebih kurang macam tu la motivasi aku bila menulis, sebab yang penting tulis je. Tugas menilai dan tugas mengkritik atau tugas menyukai, itu semua tugas orang lain.

Ada juga dengar balik Pearl Jam sebab aku tak pernah dengar Pearl Jam secara serius, dan aku rasa macam oh ada juga orang tak suka Eddie Vedder dan ejek dia menyanyi entah mende dia sebut.

Sama juga macam Dave Mustaine dan Kerry King, Kerry King terutamanya, ada je orang cakap entah apa dia punya solo. Walau aku pernah dengar memang Jeff Hanneman yang sebenarnya tulis lagu Slayer (entah la betul ke tak, malas nak semak tapi lebih kurang gini la, kira sumbangan Jeff lagi penting dari Kerry sebab Kerry just main solo huru hara je tapi kalau takde solo huru hara tu takde la Slayer, bengong). Aku terjumpa ni masa tengah menatal instagram dan ada video menunjukkan mamat entah mana ni tengah shred gitar laju gila tapi semua orang tak teruja langsung sebab ia bukan lagu, cuma memetik tali gitar dalam scale tapi laju nak mampus dan orang semua macam sinis gitu dan mula la sebut Kerry King dan Dave Mustaine. 

Dan lepas tu aku fikir, yelah, memang la betul diorang cakap tapi dah memang macam tu stail muzik diorang. Tu tak masuk segala klip pasal Metallica orang asyik kutuk Lars punya permainan dram. 

Tapi hujung-hujung, yang kena kutuk tu yang sebenarnya berjaya dan menyumbang sesuatu.

Tak, aku cakap ni bukan pasal aku kena kutuk, tapi aku yang tak sabar nak mengutuk orang sebenarnya. Kahkah.

2. Aku masak bubur untuk anak aku, lepas tu aku rasa sedapnya (sebab memang buat macam masak bubur orang dewasa, nak bagi dia lebih banyak nutrisi) lepas tu dah dua kali aku tambah makan ni. Tambah sikit emping cili, peh aku rasa patut dulu masa zaman bujang aku makan bendalah bubur ni je hari-hari. Jimat pun iye, entah entah kurus pun iye. Beli beras, ayam, kentang, bawang, kobis bunga, kiub ayam, lepas tu beli lada sulah dengan buat bawang goreng atau daun sup atau daun bawang. Setel makanan seminggu. Masak seminggu sekali, masuk dalam peti beku, lepas tu tiap kali nak makan, boleh padan dengan lauk apa-apa. Contohnya beli ayam goreng atau ayam kicap atau ayam rendang atau kari kambing atau kurma daging atau sayur kangkung goreng ke, pandai-pandai la, memang setel dah. 

Silap-silap nak diet nanti ni aku makan bubur jeee. Tapi tak ngam sebab karbohidrat ni, lambat turun berat. Tapi entah lah, aku cuba dulu.

3. Panas-panas ni harap aku tak lupa nak basuh lagi satu karpet dengan basuh motor. 

Nasib baik aku memang suka cuaca panas-panas ni.

Aku dah lama nak pergi pusat kitar semula sebab ada entah berapa banyak botol minyak masak terpakai yang aku ingat dari dulu nak jual tapi tak terjual-jual sampai la aku fedap dan nak hantar je bagi percuma ke pusat kitar semula. Jadi hari ni baru sempat nak pergi.

Oleh sebab tak pernah hantar minyak masak terpakai, jadi aku parkir kereta lepas tu jalan masuk dulu pusat tu secara berlenggang untuk tanya boleh ke terima minyak masak terpakai dan nak letak mana. Aku memang tahu diorang terima minyak masak terpakai sebab ada banyak kali aku lalu, kat senarai barangan kitar semula yang mereka terima tu memang ada nyatakan mereka terima minyak terpakai. Sebelum ni macam tak perasan ada terima, tapi lepas entah berapa lama dulu tu aku lalu dan nampak mereka terima, terus aku ingat nak hantar. 

Sebelum ni pernah juga aku letak dua botol minyak masak terpakai kat belakang rumah, tak sampai dua puluh empat jam terus lesap. Anak haram betul, padahal aku saja letak belakang rumah sebab aku tengah basuh lantai dan dapur, lepas banjir rasanya, dan aku biar jelah dulu kat belakang. Sekali esok tengok hilang dah bendalah tu. 

Jadi, aku masuk dalam pusat tu, nampak ada orang tengah duduk kat belakang pos pengawal dan aku tanya sini ada terima ke minyak masak terpakai. Dia cakap ya. Aku tanya nak letak mana. Dia cakap tu letak dalam kontena warna putih tu. Sebenarnya dia cakap, boleh letak kat putih tu. Aku tanya yang mana satu, sebab : satu, bendalah putih tu ada tiga (kira tiga kontena la), dua, semua bendalah putih tu tulis pakaian. Kalau korang biasa pergi Lotus, dekat depan kawasan pintu masuk tu biasa akan ada satu kontena putih untuk derma pakaian terpakai, ha, bendalah tu la. Jadi, aku terus blur kejap dan ulang tanya, yang mana sampai dia pun fedap, dia pun cakap, tak nampak ke putih tu. Aku tanya, yang ada tulis pakaian tu?Dia cakap haah, lepas tu aku tanya nak letak mana, dia cakap bukak je (entah pintu ke apa entah aku tak dengar sangat, aku dengar bukak je) lepas tu masukkan ke dalam. 

Aku pun mengiyakan je tapi aku bijak. Aku pergi riki bendalah tu untuk pastikan memang letak minyak dalam tu. Aku cari pintu ke apa benda yang aku boleh bukak untuk tengok apa dalam dia sebab bendalah tu tinggi, aku nak jenguk ke dalam pun tak lepas. 

Dalam aku tengah sibuk pegang-pegang pintu dia nak cuba untuk buka, ada orang lain dari kawasan bangunan tu pulak tegur aku dari jauh, dia cakap masukkan je dalam lubang situ. Kalau korang pernah derma baju, akan ada satu lubang atau ruang untuk masukkan ke dalam kontena tu (tapi tak boleh keluarkan, lubang dia corong ke atas, macam peti pos dulu-dulu kat pejabat pos, kena tolak bendalah tu ke atas laluan dia, sampai hujung nanti dia akan jatuh) dan aku rasa memang tak logik la nak letak minyak macam tu. Aku cakap la aku nak bagi minyak terpakai dan orang tu cakap eh minyak belah sini. Dia tunjuk ada satu bahagian kat bangunan pusat kitar semula tu untuk letak minyak terpakai. Dia macam ada tiga corong untuk kita tuang minyak dalam tong besar. 

Hari ni memang panas betul tapi nasib baik aku punya mood tak rasa cepat nak bingit tapi bengkek juga la, amende orang kat depan tadi tu cakap minyak masak terpakai letak kat kontena baju. Aku cakap kat orang yang kedua tadi, dia cuma cakap oh tak, minyak letak situ. 

Oleh sebab aku tahu dari gaya dia jawab tu memang takkan dapat jawapan kenapa orang depan tadi cakap suruh masuk dalam kontena baju terpakai. Aku pun malas nak bingit-bingit, aku balik semula ke kereta dan keluarkan beberapa botol minyak masak terpakai dalam kotak (aku ada dua kotak) dan bawa ke tempat minyak masak terpakai. Aku baru ingat nak tuang sendiri minyak tu tapi orang tadi tu cakap takpe, letak je situ. Aku macam, ha, okey lah, dan patah balik amik lagi satu kotak. Waktu tu baru dia cakap kenapa tak pakai troli? Lepas tu aku baru sedar ada troli. Selama ni aku hantar entah apa barang macam baju dengan plastik-plastik takde pulak orang tegur suruh pakai troli, beriya haa aku angkat satu satu pergi ke dalam. Tapi takpelah, lepas ni aku dah tahu dah. Masuk dalam dulu amik troli. Sebab aku ada lagi nak kitar semula baju dengan barangan elektronik. Bank kuasa aku dua-dua dah kembung tu elok la hantar pergi sana.   

Hampir Brony.

Okey, aku dah tahu dah, tadi masa tengah belek Shopee untuk cari pad tetikus, ada terjumpa juga satu set pad untuk papan kekunci juga. Bagus juga sebab memang sakit juga tangan sebab aku selalu letak pergelangan tangan kat hujung meja masa menaip. Ada juga aku tercari pad tetikus yang biasa penggemar anime(?) suka kot, sebab bahagian pad gel dia biasanya bahagian sternum watak perempuan anime. Tapi takat aku cari tadi aku jumpa yang punggung Shin Chan, yang rasa macam nak beli juga. 

Tapi lepas berfikir dengan waras, aku rasa tak payah beli sebab aku boleh je guna bantal (guling) kecil My Little Pony yang Ariana punya tu. Lagi stail. Ni aku tengah taip pakai bendalah ni la, cuma tinggi sikit, mungkin aku boleh cuba cari pulak bantal guling bayi yang rasa macam ada banyak dan pakai sebab tak tinggi sangat. Tapi untuk sementara ni boleh la pakai bantal Ariana ni dulu. Esok nanti dia bising la aku pakai bantak dia ni walaupun sebenarnya selalunya dia tak peduli pun bantal ni.   

Aku tak mahu hanya memuja sinaran rembulanku

Rumah Terbuka Aidilfitri Wayang Budiman dah selesai beberapa hari lepas. Tahun lepas aku tak pergi rasanya. Tak ingat kenapa. Tahun ni aku pergi sebab aku dah target tahun ni memang takde orang nak datang beraya kat rumah pun, jadi aku target nak pergi kedua-dua hari Jumaat dan Sabtu tapi yang pukul 8.15 malam je lah. Ada la jugak aku sumbang sikit lebihan kuih raya. Ada empat filem, kalau pergi semua sekali rasa macam tak berapa kena pulak sebab bukan bujang pun. Jadi aku tonton Anak Sulung Tujuh Keturunan (1982) - filem tragedi dengan skrip yang kuat, dan Cinta Kita (1995) seronok juga tengok filem pop begini, sayangnya filem pop Malaysia tak minat untuk terlalu serius. 

Dua-dua filem seronok aku tonton. Jadi terimalah antara adegan kegemaran aku dari Cinta Kita; Sofia Jane menari kepada Cinta Tak Karuan dendangan Amigos.



(Cis, kat spotify takde Amigos)

Lepas tonton Anak Sulung Tujuh Keturunan, ada rasa macam nak hargai lebih sikit filem-filem era studio yang biasa aku tak peduli sangat selain filem P. Ramlee. Aku akan mulakan dengan Chuchu Dato Merah dan Dang Anom (atas reputasi dan rekomendasi secara tak langsung kawan-kawan di Wayang Budiman).

Masih belum dengar EP baharu Yuna.

 Masih belum dengar EP baharu Yuna. 

Lupa bernafas.

Rasa macam elok dah ni beli pad tetikus, walaupun sebenarnya aku dah nak hampir habiskan fokus menulis. Novelet yang dah bertahun tak dapat judul, akhirnya aku dapat juga idea nak letak judul apa. Walaupun mungkin takde la menarik sangat tapi berbanding judul-judul lain yang aku terfikirkan selama ni, yang ini mungkin elok sikit dan lebih relevan dengan ceritanya. Kalau ikutkan, ni kira sedang usahakan bab terakhir sebab tak fikir nak panjangkan lagi sebab aku malas. Dan aku harap dalam seminggu dua ni bolehlah setelkan dan boleh fokus turunkan berat badan.

Antara tajuk-tajuk sebelum ni (jangan curi, mana tahu lain kali nak pakai pulak);

memento (me)mori

D I A M

Waktu Malam Melangkah Pergi Dan Meninggalkan Aku Bersama Sunyi Pagi

Eterniti Dan Seterusnya

Hiraeth

Di Atas Hujan Dan Mawar

Lebih Sunyi Dari Eterniti

Dandelion

Rumah Yang Tak Kupunya.


Bila baca balik, tak rasa mana-mana judul ini cukup kuat tapi sekurang-kurangnya judul yang baru aku terfikir masa memandu pulang dari Rahmath hari tu kira ngam la, walau tak cukup kuat. Aku rasa judul yang paling kuat pernah aku berikan untuk buku aku ialah Polaroid. Wiskipop bukan aku yang berikan judul, Insomnia pulak aku selalu jumpa orang yang salah eja walaupun insomnia rasa taklah susah sangat eja tapi boleh jadi macam mana diorang sebutkan di dalam kepala kot. Sebuah Pejalanan pulak walaupun aku suka tapi panjang sangat hingga orang tak boleh ingat. Yang novelet ni aku ada rasa orang tak ingat sangat juga walaupun tak panjang.

*

Aku baru sedar aku ada sleep apnea (aku rasa la, tak diagnos pun). Aku rasa aku pertama kali dengar tentang sleep apnea masa duduk kat wad lama dulu. Ada budak ni, umur setahun lebih ketika tu, biasanya akan pakai satu alat pernafasan masa tidur. Mak budak tu cakap kadang waktu tengah tidur tu, budak tu lupa untuk bernafas jadi kena pakai alat pernafasan waktu tidur untuk bantu kondisi dia tu. Aku mula heran juga macam mana lupa bernafas tu (teringat pulak dulu arwah member aku pernah terjumpa satu blog dengan nama profilnya - malasbernafas). Aku tak pasti la sebenarnya terma lupa bernafas tu betul ke tak sebab aku macam kabur sikit pasal hal sleep apnea tu, aku rasa macam dengar dari doktor tapi tak mungkin doktor nak berjoyah dengan aku. Ke memang ada eh. Paling kuat pun rasanya jururawat. Entah.

Berbalik kepada aku punya syak tentang kondisi sleep apnea ni, sejak beberapa bulan sebelum ni ada waktu aku susah nak tidur sebab setiap kali aku nak tidur, waktu baru terlelap dalam beebrapa minit, tiba-tiba aku tak boleh bernafas, hingga buat aku terjaga. Sampai ada rasa tidur tu sesuatu yang membebankan dan menyeksakan sebab aku tengah paksa diri tidur, lepas tertidur aku terhenti bernafas dan aku terjaga, bukan takat terjaga, tersentak dengan rasa macam kena sakit jantung (tapi sebenarnya bukan sakit jantung, lebih kepada macam terkejut sebab tak boleh bernafas jadi dada berdebar teruk).

Entah macam mana aku boleh terfikir hal sleep apnea semalam, jadi lepas google sikit baru aku faham. Kiranya waktu tidur tu bukan aku berhenti bernafas tapi sebaliknya saluran pernafasan tersekat sebab tu aku akan tersentak dan terbangun dan segera tarik nafas panjang.

Aku baca katanya sleep apnea tak ada penawar dan memahami apa sebenarnya sleep apnea ni boleh faham kenapa ia tak ada penawar sebab pada aku, ia cuma sebuah kondisi, bukan penyakit. Dan aku tahu dah, biasa kalau aku tengah gemuk ni, memang aku akan berdengkur. Maknanya memang ada masalah salur pernafasanlah kalau waktu gemuk. Aku mula perasan bila makin gemuk, makin kuat aku berdengkur. Bila aku berjaya kurus balik dulu, hilang terus semua dengkur tu. Dan bila aku berdengkur tu aku faham la maknanya aku dah mula gemuk balik la tu.

Biasa waktu gemuk ni memang segala jenis penyakit datang. Kadang bukan yang kronik, tapi ada macam sakit-sakit kecil dan sementara datang. Waktu kurus mana ada aku sibuk sangat pasal sakit kepala, pening, lenguh tangan atau mana-mana anggota badan.Patut gemuk ni dikatakan body negativity bukan body positivity sebab banyak sangat sakit-sakit kecil yang tak diperlukan. Ada juga beberapa kali aku tiba-tiba rasa sakit kat bahagian.. esofagus? Aku tak tahu nak cakap macam mana, tapi lebih kurang gini, pernah tak telan sesuatu yang sangat besar atau banyak sekali gus hingga rasa macam trakea dan esofagus macam kena regang lebih sikit untuk dia lalu dan kita pun macam ada kena bagi sikit bantuan untuk ia telan jatuh dalam perut? Lebih kurang macam tu la aku rasa kat bahagian tengah dada, di salur makanan tu. Aku cuba minum air tapi macam masih ada rasa benda terlekat atau tersekat kati situ. Pelan-pelan dia akan rasa sakit sikit sebab kira macam regang dia lama. Kadang ada waktu aku rasa macam makanan yang aku makan tu sebenarnya dah lebih dari isipadu perut sampai dia dekat aras sakur makanan tu tunggu untuk hadam. Rasa sakit tu kalau kat rumah boleh lah kaver sikit tapi kalau tengah lepak Rahmath, rasa nak balik dan terus bersenam dah.

Jadi, lepas habis taip novelet, aku akan jeda sekejap aktiviti menulis secara fokus (maksudnya aku akan lebih fokus hal menurunkan berat badan dan menulis secara kasual saja tanpa ada rasa bersalah dah seminggu tak bukak fail-fail tulisan. Biasanya waktu ni paling best nak kumpul draf atau idea-idea kasar, sebab ada waktu ia jadi tulisan yang komplit dalam tak sedar) sebab aku memang tak boleh buat beberapa perkara serentak. Maksud aku fokus beberapa benda serentak. 

 

Nota 1

Rasa macam kena catat kat mana-mana la aku punya senarai pemuzik atau artis yang aku dengar secara rambang sebab ada waktu macam kena ulang balik dengar. Setakat ni senarai main berkisar antara Khruangbin, Tinariwen,  muzik habibi funk dan lain-lain funk dari saluran My Analog Journal di youtube, dan sekarang atas cadangan youtube juga - The Yussef Dayes Experience, kemudian sekali dengar Yussef Kamaal dan juga Kamaal Williams. Oh konsert meja kecil NPR oleh Cuco. Dan paling penting rasanya ialah Luiz Bonfa. Mendengar dan melihat Luiz Bonfa bermain gitar buat rasa seperti segan juga mengaku pandai main gitar di mana aku tak rasa aku ada satu persen pun kemahiran permainannya. Buat rasa macam aku patut masuk kelas belajar gitar dan belajar gitar klasikal lepas tu bermain bossanova slash samba jazz dengan fusion lo-fi. Lepas tu bolehlah mengaku dah sesat dan cuba kembali ke asal-usul dengan bermain keroncong slash irama melayu fusion lo-fi. Aku harap takde la yang curi idea aku. 

Raya dah habis.

Aku syak raya tahun ni lebih kurang sama macam raya tahun lepas, ada sekali je tetamu datang beraya - itupun adik beradik ipar dan mak mertua aku. Kalau ikut, semalam lagi aku dah nak kemas semua cawan gelas apa sebab dah tahu dah memang tak ada lagi pun orang nak datang. Tapi aku bajet okey la biar lepas hujung minggu ni dulu walau hujung minggu ni aku plan ke Wayang Budiman. Wayang Budiman ada slot hari Jumaat (8.15 malam) dan hari Sabtu (11 pagi, 3 petang dan 8.15 malam) dan ingat nak pergi kedua-dua hari tapi belah malam je lah. Belah malam je pun tapi lepak kat Rahmath sampai subuh da. 

Dan macam biasa, aku ingat nak setel tulis novelet sebelum Wayang Budiman supaya boleh edar edisi demo tapi macam tak sempat jugak. Novelet ni lepas aku siap tulis cerpen panjang dalam manuskrip sebelum ni, aku dah mula rasa ia macam pendek dan pada penghujungnya macam kurang plot sebab aku cuba minimalkan perkataan supaya tak terlalu meleweh. Tapi jadinya macam kosong pulak. Mungkin patut cuba lewehkan dulu baru pendekkan semula.