Wayang Budiman (Trilogi Demam Disko): Tony Manero (2018)


Saya fikir tubuh saya dari awal pagi tadi dah bagi isyarat yang saya sedang tidak mengamalkan hidup sihat. Sebelum ni ada juga dia berikan tanda dengan bunyi dengkur waktu saya tidur, dengkur yang kuat dan mengganggu, dan pagi ini, tubuh saya beri lagi beberapa signal yang menyakitkan. Saya sedang duduk di sofa dalam posisi agak ganjil bila posisi itu buat sebelah badan saya kejang. Punyalah sakit kejang itu hingga saya mula rasa sangsi jika sebenarnya saya sedang diserang strok. Sebab bukanlah sesuatu yang janggal jika mereka sebaya saya dah mula diserang strok. Jadi, selama ini saya hidup dengan gaya hidup aktif, sekarang saya sudah mula pasif. 

Kejang di sebelah bahagian kanan badan rasa sangat sakit dan saya terpaksa berbaring selama beebrpa minit untuk melegakannya walaupun ia perlahan-lahan menjalar ke bahagian lain. Tapi nasib baiklah selepas beberapa minit (tak pasti berapa lama sebab punya la sakit sampai rasa macam lamanya) ia hilang. Tapi lepas tu sebelum ke masjid untuk solat Jumaat, tiba-tiba bahagian kaki soket paha dan pinggang - di sebelah kelankang rasa macam kejang dan sengal. Wah, dua sekali signal terus tubuh saya beri walaupun saya dah kata bermula tahun baru saya akan kembali diet dan turunkan kembali dua puluh kilogram dalam masa tiga bulan.

Dan paling tak best, waktu mula tayangan Wayang Budiman saya mula pening dan sakit kepala. Macam masuk angin. Bila fikir hari ni saya makan nasi lemak dan makan maggi, jadi tak sepatutnya masuk angin. Oh, makan wafel juga. Saya syak mungkin sebab minum americano dari Dunkin. Americano Dunkin sebenarnya bukan untuk pemula. Saya mungkin dah jatuh tahap pemula sebab dah asyik minum gula dan jarang minum kopi tanpa gula. 

Saya fikir kalau tengok poster malam ni pun nampak macam pening, rasanya ni mungkin petanda awal nak bagitau nanti malam pening kot. Kena buat poster malam esok cantik sikit. Biar tak pening. 

Memburukkan lagi keadaan, saya dah sedar tak boleh habis secawan (besar) americano, jadi saya simpan, tidur, dan kemudian sebelum ke Wayang Budiman, saya bawa sekali, kira nak minum waktu memandu. Hasilnya, saya jadi mual, pening dan angin. Saya ada syak juga mungkin saya sedang morning sickness, tapi berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya takkan terjangkit oleh morning sickness walaupun tempoh waktu saya mual itu sama seperti waktu selalunya morning sickness (ya, bukan awal pagi, tapi awal malam). Jadi, saya menonton Tony Manero dengan rasa tak selesa, dan nasib tak baik saya, Tony Manero ini juga bukan filem yang sesuai ditonton dalam keadaan begini. Ia buat saya rasa lebih mual, pening dan angin (saya siap cuba untuk buang angin dengan sendawa tapi tak lepas) cuma nasib baik kebanyakan adegan yang agak explicit itu tak berterusan. Tapi yalah, dah nama pun Trilogi Demam Disko, saya jangka ia akan punya mood seperti Saturday Night Fever (akan tayang malam esok) rupanya tidak. Ini filem tentang psikopat dalam latar pemerintahan diktator Pinochet. Memang ia premis yang baik, tapi saya terpaksa jujur dengan moderator pada sesi borak santai yang saya sedang menonton filem ini dalam keadaan pening dan ia tak membantu saya sepanjang tayangan filem ini. Ramai hadirin juga berpendapat sama. Ada yang menyatakan teknik kamera yang bergerak buat mual, ada juga banyak adegan yang begitu dekat dengan watak psikopat (dekat secara harafiahnya, maksudnya waktu psikopat watak utama sedang melakukan sesuatu yang perkara yang memualkan, ganas atau lucah, kamera kan dibawa begitu dekat dengan watak psikopat itu, seperti menunjukkan bahawa tiada pilihan untuk kita selain menyaksikan semua perkara ini). Sebelum ini saya pernah secara bergurau dengan kawan-kawan di Rahmath tentang mungkin suatu hari nanti kita patut buat filem yang memening dengan menggunakan teknik syot vertigo, putaran tiga ratus enam puluh darjah dan dutch angel sepenuhnya sepanjang filem. Tapi Tony Manero (2018) menunjukkan ada cara yang lebih senang untuk buat penonton mual dan pening.

Antara rujukan lain ada adegan yang sama seperti Joker (2019) waktu Jaoquin menari di dalam tandas awam. 

*

Malam ini di Rahmath saya tak bercadang untuk lepak terlalu lama sebab saya sedang mengejar untuk menyiapkan tulisan saya. Selain itu, saya asyik teringat-ingat mi goreng ayam di restoran mamak yang lain jadi saya pulang lebih awal. Cuma saya beritahu pulang awal sebab pening lagi, walaupun dah reda sikit, sebab lebih senang menerangkannya berbanding untuk ceritakan saya nak balik menulis dan nak beli mi goreng ayam tempat lain. Tapi kesudahannya tak sempat juga nak beli mi goreng ayam sebab restoran mamak tu dah tutup dah. Saya fikir kita perlu kembalikan zaman kegemilangan mamak dua puluh empat jam sebab mamak yang buka dua puluh empat jam sekarang ni masak tak sedap. Rahmath okey lagi, tapi jauh. Ya, jangan tanya kenapa saya tak beli saja kat Rahmath tadi. Inilah namanya cabaran hidup. Tanpa kepahitan, manakan dapat kita hargai kemanisan.  
 

Lagi satu, aku syak macam nak dapat anak lagi je ni.

Punya sibuk nak kejar tarikh akhir hantar draf, campur lagi dengan sibuk pergi hospital, aku harap sempat la setel sebelum tahun baru. Dah rasa malas nak pergi Wayang Budiman sebenarnya sebab nak kejar habiskan tulis. Aku sasarkan sebelum tahun baru dah siap semua draf. Takat ni patut kena siapkan empat draf, satu dah setel, satu lagi dah setengah tapi dah mengantuk. Esok aku cadang pergi solat Jumaat, lepas tu sambung tulis kat rumah, malam pergi Wayang Budiman. Lepas kejap Rahmath lepas tu balik sambung menulis.  Tapi aku syak petang lepas solat Jumaat mesti aku bantai tidur. Ni yang malas jadi gemuk ni asyik banyak tidur dan makan. Tapi biasanya gemuk-gemuk la tulisan jadi sedap. Dah kurus biasanya kurang sikit, jadi bila kurus kena fokus lebih sikit dekat mempromosi dan menjual (jual buku dan jual diri). Campur lagi aku dah pandai buat poster, memang siap sedia la aku buat poster letak gambar aku banyak-banyak. 

Aku sasarkan tahun depan bulan tiga dah kurus. Kalau turun dua puluh kilogram, aku potong rambut. Aku syak tak dapat ni dua puluh, sebab biasa aku tengok, dia akan sampai mungkin lapan belas, sembilan belas je.


Temujanji.

Semalam dengan kelmarin kebetulan ialah temujanji untuk Ariana dan Gibran dengan hospital; Gibran dulu, hari Rabu dan lepas tu Ariana hari Khamis. Kebetulan sebab berderet harinya. Ariana punya temujanji dengan pediatrik, memang setahun sekali je jumpa. Gibran pulak Rabu tu temujanji yang pertama dengan ORL (panjang sangat nak eja) sebab sebelum ni pediatrik rujuk dia kat ORL sebab nampak Gibran masih belum pandai cakap lagi. Jadi lepas beberapa kali tangguh (aku tak ingat sebab ada beebrapa temujanji lain termasuklah ORL ni terpaksa tangguh - sebab kena Covid dan ada sekali aku langsung tak ingat ada temujanji) Rabu tu kali pertama jumpa doktor dia. Aku mula-mula rasa okey je kot aku datang sendirian dengan Gibran, tak perlu semua satu keluarga ikut, tapi akhirnya aku rasa okey la bawa semua satu keluarga. Nasib baik juga sebab kebetulan ada borang dia suruh isi tapi haram aku tak ingat jadi kalau aku sorang memang kelam kabut juga. Dan kebetulan doktor ORL ni tak kisah kitorang masuk satu keluarga, sebab senang sikit dia nak buat selidik. Biasa jumpa kali pertama memang macam konsult je. Yang bagusnya, Gibran walaupun dah tak takut orang, biasanya dia akan tetap takut dengan hospital, doktor dan jururawat. Aku tak tahu la macam mana dia boleh bezakan tapi aku syak dia memang dah mula sedar la. Tapi sebab Ariana ada sekali ikut main dalam bilik doktor tu (memang bilik doktor tu ada banyak permainan), Gibran jadi rileks dan senang nak jaga. Lagipula bila kesemua ahli keluarga ada, jadi dia selesa dan doktor pun senang nak kumpul maklumat. Ada juga terselit tanya pasal Ariana tapi tak banyak.

Yang kelakarnya ialah bila esoknya, Khamis, aku berdua je dengan Ariana pergi temujanji Ariana dengan pediatrik. Aku memang suka datang awal siap sebelum tujuh setengah pagi dah beratur, itu pun panjang juga. Tapi sebab berdua dengan Ariana, jadi senang la nak kawal. Tak lama sangat sebelum jumpa doktor pediatrik. Sebagai bapa Gibran, aku kira femes juga la (kahkah) dengan doktor pediatrik. Takde lah, rasanya mana yang ada waktu Gibran dalam wad mesti ingat Gibran. Dah la nama pelik, duduk pulak dalam wad lama, mana la orang tak ingat. (tapi sampai sekarang kebanyakan orang tak pandai sebut nama Gibran, diorang akan panggil Jibran. Pada aku, nama Gibran patut dipanggil dengan suku kata Gi-Bran. Tapi tak kisahlah. Nak panggil Gib-Ran pun boleh, tapi leceh dan senang sasul sikit la.) Tapi tadi memang tak ada yang cam sebab aku pun datang dengan Ariana. Tapi tak bermakna tak ada orang cam. Tunggu aku sambung.

Doktor pediatrik biasa la dia akan tengok dan tanya-tanya je. Patut setel tak payah buat apa-apa kecuali dapatkan tarikh temujanji seterusnya. Tapi doktor ni rajin pulak bertanya dan nak rujuk Ariana pada ORL sebab dia nampak Ariana tak boleh bercakap. Aku tak tau macam mana nak elak sebab bukan pasal nak elak pun tapi sebab semalam kebetulan dalam bilik doktor pertuturan pun dia cakap okey je. Aku lupa sebab ORL dulu dah discaj Ariana sebab dah nak masuk sekolah jadi tak perlu sambung lagi dekat ORL. Aku cakap dah discaj sepatutnya dah okey, tapi doktor macam berbelah bagi juga. Akhirnya aku kata okey la boleh la kalau nak rujuk. Jadi, lepas pediatrik patut boleh terus balik, terpaksa pergi ORL dulu untuk pastikan temujanji. Bagi surat rujukan kat kaunter depan, tapi lepas entah berapa lama aku tunggu, jururawat kat depan cakap ni dah umur sembilan tahun kan, kena pergi terus kat bilik doktor. Memang aku terpaling tahu kot. 

Aku ingat bilik yang dia suruh pergi tu memang kawasan bilik doktor semalam. Jadi bila aku ketuk pintu bagi salam, dia terkejut eh kenapa datang. Bukan semalam dah datang ke. Aku cakap la ni untuk kakak dia pulak. Lepas tu dia cakap, kenapa pulak pediatrik rujuk ke sini. Kan dah discaj. Aku cerita la balik situasi kekok tadi dalam bilik doktor pediatrik. Dia cakap okey kejap lepas tu cari kawan dia yang sebelum ni uruskan kes pertuturan Ariana (semalam dia pun ada tapi dengan konpiden je dia cakap Allah tak ingat lah, busyy busyyy). Lepas tu doktor pertuturan ni kata, okey lah betul memang dah tak ada apa yang kita boleh buat dah sebab memang dah habis dah semua teknik bagi kat Ariana (bunyinya macam kasarkan, tapi tak, sebab aku faham maksud dia dan intonasi dia pun memang menyebelahi aku) dan doktor yang uruskan sebelum ni kira yang paling terer la kat situ. Jadi aku kata, okey la batalkan je lah. Tapi doktor tu kata tak boleh sebab dah keluar surat rujukan. Jadi, dia cadangkan, buattemujanji bertindih sekali dengan Gibran, buat satu sesi lepas tu discaj. 

Secara jujurnya, aku tak tahu la korang faham ke tak situasi ni kalau korang belum ada anak. Aku ringkaskan camni la. Masa anak masa kecil, memang dia akan selalu ada temujanji dengan hospital dan klinik kesihatan untuk periksa kesihatannya. Makin lama, sepatutnya makin kurang la temujanji. Macam contoh, patut dah jadi setahun sekali. Tapi ia jadi makin banyak, kalau doktor kanak-kanak tadi jumpa masalah tumbesar dalam diagnos, macam cakap lambat ke, tak jalan lagi ke, tak respon ke. Jadi diorang memang kena rujuk ke jabatan lain untuk buat pemeriksaan. Ini bermakna temujanji dah bertambah. Itu kalau kena rujuk satu jabatan. Kalau kena rujuk banyak jabatan, maknanya makin banyak temujanji. Ni baru temujanji pertama, belum lagi temujanji susulan. Dan semua ni bukan boleh buat temujanji bagi kumpul dalam tarikh sama sebab kekosongan berlainan. Jadi, untuk ibubapa, jika ada temujanji, memang kena ambil cuti sebab tak ada temujanji pada hujung minggu. Macam aku cakap tadi, kalau ada banyak temujanji, cuba la kira berapa banyak cuti nak kena ambil. Kalau korang kerja syif okey lagi kurang-kurang boleh ejas hari cuti. Kerja pejabat? Memang kena ambil cuti la cerita dia. 

Begitulah ceritanya. 

Tak kisah pun sebenarnya. Saya memang awanama.

Sebelum ni pernah ada barista tuliskan nama saya sebagai Tetamu Malam (sebab saya datang pukul satu pagi) di atas cawan kertas. Saya syak dia memang tak ingat nama saya, tapi segan nak tanya. Rupanya betul dia tak ingat nama saya. 

Buruk dan adik beradik.



Anak kucing empat ekor ni suka dah datang rumah, siap masuk dalam rumah. Oleh sebab Gibran suka gila budak empat ekor ni masuk rumah, jadi dibenarkan kejap la kucing masuk rumah. Aku memang dari dulu suka bela kucing tapi tak pernah dapat bela sebab dari kecil sampai besar tak pernah duduk serumah dengan rumah mesra kucing. Aku ingat paling teringin sangat aku nak bela kucing mungkin masa sekolah rendah, siap buat rumah kucing luar rumah sebab mak aku tak bagi kucing masuk rumah. Aku tak ingat sangat macam mana aku bela kucing tu, tapi waktu tu kucing memang bersepah dan entah berapa kali dah aku asyik dapat kucing beranak dalam rumah. Ada juga aku beria nak bagi kucing minum susu (waktu tu aku masih minum susu tepung Everyday sebab keluarga aku gunakannya sebagai krimer) tapi haram dia tak nak minum, rupanya sebab tawar, kena campur susu pekat sikit bagi manis baru kucing tu nak minum. Ada juga benda kelakar masa kononnya aku bela kucing tu, emak dan abah aku marah sebab bawah katil ada tahi kucing. Siap suruh aku bersihkan sebab kucing aku. Aku pun iye la pergi tengok sekali dengan diorang dan siap alih katil lepas tu aku tak nampak pun mana tahi kucing. Lagi sekali kena marah sebab aku cakap tak nampak, lepas diorang tunjuk kat aku, aku terus cakap, tu bukan tahi kucing. Tu tanah liat (secara harafiahnya tanah - aku tak ingat kenapa, tapi mungkin aku terpengaruh orang buat pasu ke apa ke, aku korek tanah belakang rumah lepas tu cuba buat piring la cawan kecil - tapi semua memang dalam skala kecil je, bukan macam pinggan besar, ye lah aku pun kecik lagi. Jadi lepas aku main tanah liat tu entah jadi benda apa entah, aku sepah dalam rumah dan campak bawah katil kot) dan aku pun ambil je bendalah tanah liat tu buang. 

Dalam empat-empat anak kucing ni, aku paling minat yang gambar sekor ni. Aku panggil dia Buruk. Aku taklah nak namakan dia dan kucing-kucing lain sebab semua ni bukan kucing aku pun. Kadang-kadang je diorang datang, sebab dah lapar. Aku ingat diorang selalu melepak rumah selang rumah sebelah. Jadi malas nak cakap ni semua kucing aku. Tapi ada satu waktu dulu, rajin diorang lepak dan malam-malam tidur kat depan rumah aku. Kadang-kadang main dekat tingkap. Ni sekarang mak bapak kucing ni pun datang sekali tumpang makan. Aku rasa la mak bapak diorang, tapi bila makan berebut dan nak bergaduh jugak. Masa makan sempat lagi menten menderam. Aku macam, dah tengah makan kot, bukannya tengah berebut atau tak dapat. Tapi lantaklah. Tapi sian juga sebab aku bukan bagi makanan yang wajar pun. Lebihan makanan aku dan keluarga je. Tapi biasa Ariana makan memang tak bersih, jadi memang banyak sisa ayam lagi nak bagi. 

Buruk ni aku panggil dia camtu sebab aku rasa pernah ada orang cakap dia pernah bela kucing warna macam ni dan namakannya Buruk sebab warna bulu dia tak cantik. Sebijik macam Buruk la. Jadi sebab tu aku panggil dia Buruk walaupun dalam empat-empat ni paling aku gemar la. Lagi pula Buruk ni biasa kalau aku buka pintu rumah, dia tak rajin masuk. Kadang dia usha je adik beradik dia yang lain dah sibuk-sibuk terus masuk masuk. Dia rilek je depan pintu. Tapi kadang masuk jugak. Selalunya kalau waktu makan, mesti dia yang asyik kena ketepikan dengan anak kucing lain. Jadi kadang-kadang aku lebihkan Buruk sikit. 

Aku ada rasa macam nak belikan makanan kucing tapi nanti lah. Aku pun makan berkira. Kahkah. 

Lepas tulis ni, okey la boleh tulis balik novel.

Tiba-tiba hujung tahun ni rasa malas nak buat novel pulak. Kahkah. Memang agak selalu jugak aku suka alih-alih draf dari satu ke satu benda lain. Dari manuskrip ni aku tarik ke manuskrip lain lepas tu pindah lagi semua jadi manuskrip lain. Senang cakap, selagi aku tak habis menulis, selagi tu segala draf ni ada kemungkinan untuk jadi apa-apa pun. Boleh jadi sebab aku baru habis baca Pascasejarah, jadi ada nampak kelemahan cerpen-cerpen disampulkan sebagai sebuah novel. Sebenarnya memang aku bercadang untuk gabungkan banyak cerpen untuk disampulkan sebagai novel sebab aku memang tak pandai tulis novel, tapi inspirasi gabungan cerpen ini ialah Seinfeld dan err.. How I Met Your Mother. Dia akan seperti sitcom tapi dalam bentuk tulisan/novel. Kira sebenarnya kalau aku rajin, aku boleh cuba tulis cerpen-cerpen ini secara bersiri dan pos di blog atau wattpad, hingga cukup jumlah dua puluh ke lebih kurang, aku kumpulkan dalam novel. Lepas tu sambung lagi buat cerpen bersiri ni. Memang pernah ada orang buat. Dan aku pun bajet dalam satu cerpen lebih kurang dua ribu perkataan, maknanya untuk capai minimum patah kata sebagai cerpen, empat puluh ribu perkataan. Bezanya dengan Pascasejarah atau Naratif Ogonshoto ialah ia akan sentiasa punya watak-watak yang sama setiap kali; seperti kita tengok sitcom. Rasanya aku kena letakkan nota dalam fail novel tu supaya aku tak lupa arah tuju tulis novel ni lah. Kalau tak, terlupa aku. Kedua-dua Pascasejarah dan Naratif, pada aku kekuatannya ialah cerita. Setiap cerita (cerpen atau bab) dalam novel ni memang menarik (walaupun ya, Pascasejarah punya menarik itu boleh disoalkan kerana banyak ambil mitos Greek untuk disadur atau diolah mengikut keperluan cerita) tapi kelemahannya pula ialah oleh sebab ceritanya sentiasa beralih dari satu ke satu watak, ia akan jadi mengganggu tumpuan. Kerana bila kita label sebagai novel, kita sudah set dalam kepala, ia sebuah cerita yang panjang dengan watak yang berulangan. Tapi novel berbentuk cerpen ini, ulangan watak hanya untuk imbas atau sebagai bentuk sejarah. Berbeza dengan novel berbentuk cerpen sitcom, ia ada watak yang sama, cuma, setiap bab (atau cerpen) adalah pegembaraan baru dengan kesinambungan hal lepas dari watak yang sama. Atau kalau tak nak ada kesinambungan pun boleh, tetap watak yang sama.  

Penghargaan buat Blade Runner 2049.


 

Lagi siri-siri poster saya. Whatsapp 0172644521 untuk membeli. Aku dah sampai hafal dah nombor Laras.





 

Segereeeeeeeeee

Tema semalam mungkin ialah makan maggi. 

Aku baru sedar kos pos ke Sabah Sarawak dah naik. Semalam aku pos buku ke Sabah dan aku agak terkejut bila ke Poslaju, beli bungkusan parcel tu dan dia kata harga RM14.30. Aku macam dua kali juga ulang tanya berapa harga dan tanya kalau ada parcel yang kecil sikit dan sia kata itu paling kecil (sebab dia dah timbang dan nampak apa barang yang aku nak hantar). Lepas tu aku macam, eh berapa kos pos yang dalam iklan Laras yang selalu aku kongsi dan retweet tu? Lepas tu aku baru sedar Laras letak pos ke Sabah Sarawak RM16. 

Peh, ibarat nak beli barang lima ringgit tapi kos pos tiga kali ganda harga barang. Aku dah lama tak pos barang pun sebenarnya. Dan kali terakhir pun yang aku betul-betul ingat tentang hal kos pos ke Sabah Sarawak ialah RM10 dan aku rasa pernah baca ada orang komplen cakap mahal. Aku tak pasti la kalau kenaikan kos pos baru ni ada ramai orang bising ke tak sebab rasa macam tertimbus dengan segala hal kenaikan taraf hidup sementara gaji dan pendapatan serta manfaat masih takuk yang lama kerana dua tahun kebelakangan ini berada di bawah kerajaan yang tak kompeten. 

*

Aku dah rasa kena kemaskini balik semua akaun sosial media aku ni kerana aku asyik lupa nak kemaskini tumblr dan lain-lain. Selalu kemaskini instagram dan twitter jadi ada rasa ia macam bercelaru sikit. Blog mungkin akan kemaskini secara harian untuk semua perkara bercampur aduk, tumblr mungkin untuk nada lebih serius dan kompilasi semua hal berkaitan penulisan atau lain-lain hal seni, oh dan juga hal kopi. Mungkin sekarang tak la kot tapi kalau ada rezeki, jadi akan buat entri tentang kopi secara berjela di tumblr. Instagram dan twitter mungkin untuk kemaskini ringkas.  

*

Setakat ni macam agak perlahan juga jual buku, mungkin sebab belum gaji?

Semalam aku ingat nak pergi menulis di kafe Puncak Alam. Memang ada rasa skeptikal sikit dengan kafe sana sejak dapat rasa servis dah mula jahanam macam di Setia Alam. Tapi sebab nak jumpa Sufian untuk ambil buku dan berikan sedikit maklumbalas dari pembaca, aku ingat elok la aku datang awal, menulis sampai petang. Tapi akhirnya aku yang sampai lambat. Bila dah sampai lambat, maknanya aku borak, ambil buku lepas tu balik la jawabnya. Ada teringat nak menulis dulu, lepas tu aku baru ingat, nak kena pos buku, jadi aku terus balik. 

Aku ingat kafe sana sibuk sekali lengang betul. Aku ingat memang ada juga orang kata memang dah jatuh sikit jumlah pelanggan tapi rasa macam kenapa lenggang. Lepas tu aku baru sedar, aku ingat semalam bukan Ahad, tapi hari Isnin. Aku agak Ahad akan ramai gila orang. Lagi pula sedang hujung bulan, waktu orang dah gaji. Rupanya ye lah, gomen dah gaji awal lagi hari tu. Dan Isnin pula cuti ganti untuk Krismas. Jadi memang lengang. Aku patut duduk dari awal pagi sampai malam sebab memang keadaan agak tenteram untuk menulis. 

Jadi, aku terus balik rumah sebab nak ambil lagi satu buku untuk pos, dan pergi poslaju. Aku tak pasti sebenarnya pejabat pos buka atau tutup dan poslaju buka atau tutup. Ada rasa buka je pejabat pos. Tapi akhirnya aku pergi poslaju sebab kebetulan boleh melalui jalan tu untuk usha bukak ke tak dan aku nampak buka sebab memang ada orang tunggu di kaunter. Aku pada awalnya nak ke pejabat pos sebab nak tengok kalau ada pilihan lain untuk pengeposan parcel yang Pos Malaysia tawarkan. Mula aku tak dapat tangkap juga, kat pejabat pos ada satu lagi jenis parcel (warna merah dan biru) tapi dalam bentuk yang sama macam poslaju (warna oren). Lepas tu aku asyik terfikir kenapa kena ada dua perkhidmatan yang sama? Lepas dah lama baru aku palatao, ye lah, yang oren tu Poslaju - memang untuk perkhidmatan Poslaju, yang merah biru tu dari Pos Malaysia sendiri. Kira kalau nak senang faham dari segi palatao, Poslaju dan Pos Malaysia (pejabat pos) entiti yang berbeza. Kira kalau pergi pusat poslaju tak boleh perbaharui lesen atau cukai jalan, kena pergi ke pejabat pos. 

Aku ada rasa yang pos Malaysia punya parcel (merah atau biru - bukan merah dan biru, aku tak ingat mana yang pergi semenanjung, mana yang pergi Sabah Sarawak) macam murah sikit. Sebab tu macam nak pergi pejabat pos. Tapi dah alang-alang kat Poslaju, aku pergi je la poslaju. Poslaju sekarang memang laju betul. Aku syak dari dulu pun laju jugak, Petang lepas waktu pejabat aku pos ke Kuala Lumpur dan Kedah, esok dah sampai. Aku macam biar betul kot. Lepas tu ada juga yang kata JNT pun dah laju. Aku memang skeptik dengan JNT sebab segala video yang tular dulu tu la - kahkah. Tapi mungkin laju la kot sebab ada kemungkinan yang segala perkhidmatan parcel dah laju sebab dah tak perlu hantar barang Shopee. Sebab tu Shopee Xpress jahanam, sebab dah tak ada kurier lain dah. 

Lepas setel di poslaju, aku lepak Rahmath sampai malam lepas tu balik rumah tak menulis. Aku siap tidur awal. Aku siap tak ingat bila aku masuk tidur. Awal pagi bangun, duduk berlengah banyak, lepas tu duduk kejap depan komputer riba lepas tu dah, masuk tidur balik. Hari ni tak produktif sangat. Rasa kena paksa diri keluar dan menulis kot. 

Feliz Navidad!

Selepas berfikir sejenak, kebetulan tiba-tiba terlintas hal papan luncur, aku fikir paling elok bahagian laman depan rumah aku tu aku simen je lah semua. Aku selalu fikir untuk biarkan sebahagian laman depan rumah biar berumput untuk bagi sedikit ruang untuk anak-anak bermain. Tapi lepas tu aku fikir, budak-budak ni elok la aku bawa pergi taman permainan je sebab tak jauh pun dari rumah, jalan kaki berapa saat dah sampai (sebab rumah aku dah dekat bahagian hujung). Sampai la sekali lagi aku fikir, elok juga aku simen je lah bahagian depan rumah ni sebab senang juga aku nak bersukan (main skate). Selama ni tak berapa istiqamah, malah aku ingat entah bila kali terakhir main skate, mungkin masa Ridhwan rajin main skate dulu. Kadang ada rasa nak main skate depan rumah tapi aku kena alih segala kenderaan, kereta, motor, ampai baju, jadi rasa leceh. Sampai la kelmarin aku terfikir, dah gemuk sangat ni, patut aku dulu dah bajet nak turunkan berat badan supaya senang sikit nak skate lepas tu lupa. Jadi, kalau aku simen sebelah bahagian berumput tu, senang la nak skate. Cuma kultus matahari sikit la.

*

Hari ni patut menunggang cafe racer ke Nalasukma, tapi sebab bangun pagi tengok cuaca mendung (sikitttt je - biasa waktu macam tu dah keluar matahari, walaupun terang tapi matahari tak keluar terus aku jadi syak wasangka) jadi aku memandu je lah ke sana. Kalau ikutkan, memang ada sikit gerimis dalam perjalanan tapi yang paling penting aku ingat, sebab kereta Mosyuki terkandas di tepi jalan. Kebetulan dia rasa nak lajak ke depan sikit, arah bertentangan dari aku datang, dan kebetulan aku lalu, nampak dia kat luar kereta. Patah balik dan tolong tolak kereta, Lepas tu ke Nalasukma dan lepak sampai petang. Lama juga meninggalkan hal-hal kopi sampai aku dah tumpul juga deria rasa, lagi pula asyik minum benda manis. 

Waktu pulang, lagi sekali aku tumpangkan, dan tunggu hingga penunda kereta sampai. 

Rasa hari ni macam banyak juga borak walau tak berapa kekok sangat. Semua hal yang random tapi saling berkait dengan minat masing-masing. 

*

Ada baki beberapa hari je tahun ni, nampak gayanya kena percepatkan sikit menulis. 

Rumah jadi tunggang langgang sikit sebab aku malas mengemas sebab asyik keluar dan asyik cuba fokus menulis. Aku target memang nak biar je dulu sebab minggu depan baru ingat nak mula kemas. Tapi rasa boleh la ni kot kemas sikit. Bagi lebih jelas sikit berfikir. Aku tak tahu la semua yang lain macam mana, harap semua bertahan lah.

 

Dua poster untuk semalam dan hari ini. Rasa macam patut juga aku buat poster untuk ucap Feliz Navidad dan pos kat Facebook. Tapi poster Wayang Budiman pun tak buat lagi. Patut buat Wayang Budiman punya poster sebab akan ada dua hari tayangan dengan tayangan hari kedua ada dua buah filem akan ditayangkan.



 

Mencari Rahmath.

Tiba-tiba aku boleh terfikir hal nak menulis travelog lagi dengan menjelajah ke seluruh pelusuk tempat yang ada Rahmath Bistro - hanya semata-mata tajuknya - Mencari Rahmath. 

Masalahnya, aku cuba cari maklumat ada berapa banyak Rahmath Bistro kat Malaysia je dah gagal. Memang dia tak ada laman web korporat, atau laman Facebook sendiri. Setakat carian di Google, cuma beri tiga tempat yang aku dah tahu kat mana. Ke memang diorang ada tiga cawangan je. Lepas aku google lagi sekali, aku cuma jumpa empat tempat je. 

Setel hari pertama. Ke kedua?

Setelah agak lama tak menunggang cafe racer, hari ni aku ke Dos Cafe dengan cafe racer. Walaupun macam biasa sentiasa ada rasa tak yakin, aku redah je. Lagi-lagi masa nak panaskan enjin tiba-tiba bateri macam nak kong. Nasib boleh hidup dan selamat sampai.

Dos Cafe terletak di Seksyen 9, Shah Alam dan aku agak cam juga kawasan ini sebab dulu pernah kerja di kafe Plaza Shah Alam. Sebelum gerak, aku buka Google Map dan tengok kat mana kawasan dia dan segera tahu lah. Jadi sepanjang perjalanan aku tak buka peta dan tak pakai fon telinga pun. Sebelah lot Dos Cafe ada parkir motor yang luas, memang syok juga.

Ada dua sebab aku datang ke sini, buat kali pertama, walaupun memang dah dari sejak beberapa tahun lepas aku bercadang untuk datang (tapi memikirkan Shah Alam, aku rasa malas, tapi lepas datang, okey la Shah Alam belah sini) cuma baru hari ni dapat sampai. Tujuan utama memang untuk berada di sekitar acara penjualan Wiskipop edisi tebal secara bersemuka dan kedua sebab nak merisik untuk masuk kerja di Dos Cafe. Lain-lain tak fikir sangat, tapi lepas tu ya, aku kena berasimilasi dan bersosial dengan orang lain dan buat aku sedar skill komunikasi aku agak tumpul dan kena perbaiki - mungkin sebab dah lama sangat tak jumpa orang asing. 

Secara jujurnya aku pun tak tahu kenapa aku nak masuk ke dalam bar balik; mungkin sebab rasa dah lama sangat tinggalkan kopi, atau mungkin aku patut menimba semula pengalaman tentang kopi, atau aku patut kembali berada di khalayak untuk memahami situasi; entah; tapi rasanya ia macam perkara yang harus dilakukan untuk tahun depan. Mungkin sebab aku boleh mula kembali berada di dalam situasi yang selamat. Setakat tadi, perbincangan nampak berjalan baik dan akan ditentukan esok. Aku pun tak fikir lagi bila patutnya aku nak melapor diri dan bagaimana jadual aku patut disusun. 

Tadi juga jumpa beberapa kenalan baru, jumpa Jayzuan, dia memang sangat ramah. Dia memang tak ada masalah untuk berbual dengan orang asing dan sangat terbuka dalam perbualannya. Tak rasa janggal berbual walaupun kali pertama berjumpa. Aku je yang kekok, bukan saja dengan dia, rasa dengan semua orang pun iya juga. 

Oleh kerana rasa bateri sosial sudah agak hampir habis, lepas habis acara aku terus balik. Tapi sebenarnya tak terus sangat pun. Sebab tiba-tiba cafe racer tak nak hidup. Aku dah boleh agak punca dia sebenarnya. Aku rasa aku tertekan suis lampu tambahan dan ia terbiar menyala untuk waktu yang lama juga. Memang aku sengaja biarkan suis itu boleh nyalakan walau tak hidupkan enjin, aku fikir itu salah satu cara nak periksa bateri kong ke tak. Sekali rupanya ia boleh buat bateri kong kalau terbiar hidup. Aku tak tahulah kalau aku yang terhidupkan aku ada orang gatal tangan pergi tekan suis.

Masa aku sedar lampu menyala, aku matikan dan periksa kalau odometer masih boleh hidup kalau aku hidupkan kunci. Memang odometer hidup, tapi aku tak cuba hidupkan enjin. Tapi nasib baik aku tak terus cuba sebab macam gelabah juga sebab acara tak habis. Sekurang-kurangnya bila acara dah habis, aku tenang sikit sebab bersendirian. Jadi odometer elektronik hidup tapi tak boleh nak hidupkan enjin. Oleh sebab cafe racer ni tak ada penghidup enjin guna kaki, hanya ada penghidup elektronik, aku hanya terfikir satu cara saja - iaitu hidupkan dengan tolak. Cafe racer ni dah la berat, walaupun kat situ macam curam sikit tapi tak cukup kuat untuk tolak, lagi pula model ni memang terkenal dengan brek sangkut. 

Tapi aku cuba juga. Aku masuk gear satu, tarik kelac lepas tu tolak dan lepas kelac. Tak hidup. Lepas aku cuba beberapa kali tapi masih tak berjaya, dah rasa nak panik dan putus asa juga. Tapi rasa macam ketika tu masih awal lagi, belum sejam menolak (haha) aku cuba lagi sekali. Lepas tu aku baru teringat, yelah, kalau guna gear satu memang susah nak hidup kot. Jadi aku guna gear dua. Alhamdulillah, sekali cuba je dah hidup. Tapi sepanjang perjalanan cuak juga sebenarnya. Tapi macam biasa, redho je lah.

Esok pula nak ke Nalasukma dan aku fikir okey lah, naik cafe racer lagi. Harap esok pun tak hujan jugak. Lepas ni harap aku lebih banyak menunggang cafe racer dan paling penting, baiki brek - depan dan belakang. 

Hujung tahun sibuk.

Selebih minggu ini dan seluruh minggu depan saya bercadang untuk habiskan dengan menulis manuskrip. Dalam perancangan ialah lapan buah cerpen (sepatutnya berbentuk draf tapi saya teruskan hingga selesai, untuk berikan bentuk dan hala tuju). Ada dua yang sudah selesai, ada dua lagi yang sudah selesai tapi belum lagi melalui semakan, dua lagi dalam bentuk draf yang mencari plot dan jalan cerita, dan akhir sekali, ada dua dalam bentuk draf kasar. Secara kasarnya, ada empat cerpen perlu diselesaikan, dan saya berharap untuk selesaikan dalam masa empat hari - satu hari untuk setiap cerpen. 

Sekiranya ini berlaku, saya ada sedikit masa untuk selesaikan novelet. Novelet hampir ke penghujungnya tapi saya masih terfikir tentang plot yang sesuai. 

Dan tahun baharu, boleh fokus perkara lain pula.  

*

Tahun 2023 saya bercadang untuk dengar muzik keras saya, dengan beberapa pengecualian band-band kegemaran. Saya harap Spotify Wrap saya tahun depan didominasi oleh muzik berat keras dan groove.

Sekadar beberapa siri poster yang saya reka kebelakangan ini.







 

Astoge, lama juga tak kemaskini blog.

Saya fikir dalam masa kita semua sibuk dengan meme dan jenaka 'menahan diri dari impressed dan menjadi petaksub DSAI', saya selalu perhatikan perkara-perkara kecil yang saya patut sadur dalam diri saya sendiri. Mungkin ini ciri pentaksub - tapi ye kot, ia dari sudut positif. PMX memang dari awal boleh nampak dia seperti membuat keputusan dan perkara-perkara kecil yang mungkin tak berapa popular, tapi perkara kecil inilah sebenarnya asas, dan di mana semua orang boleh terasa kaitannya; tapi tiada siapa mahu sebutkannya kerana ia rasa seperti remeh temeh.

Berat badan saya telah kembali seperti waktu 2014 - waktu saya gemuk dan ambil keputusan untuk kuruskan badan hingga pada 2015 saya berjaya buang dua puluh kilogram berat badan. Saya berjaya kekalkan berat sehingga 2021, dan sekarang, sudah hampir kembali dapat dua puluh kilogram itu semula. 

Dalam sela waktu setahun ini memang saya sedar berat saya semakin naik, dan ada beberapa langkah saya buat tapi semua sekerat-sekerat jadi memang tak berjaya. Mungkin kerana kebanyakan masa sebab saya seorang pelengah. Jadi, bila PMX mula menjadi fokus, saya sering perhatikan perkara-perkara kecil (semua orang perasan, cuma mungkin anggap ia tak penting) kerana saya fikir inilah peribadi beliau. Antara yang saya suka ialah tuang nasi yang disediakan pada pinggannya ke pinggan sebelah - menunjukkan memang makan sikit. Dan selalu juga nampak dikongsi, dari sebelum jadi PMX lagi, aktiviti riadah dan bersukan - selalunya berjoging. Waktu habis kerja di pejabat pun, masih sempat pergi berjoging pada waktu petang. Ada lagi satu, pernah nampak klip pendek anak perempuan beliau, yang kata kalau berjalan dengan PMX kena jalan laju, malah rasa lebih laju dari dia berlari anak. Semua ini memang perkara kecil tapi inilah rahsia terbuka untuk kekal sihat tubuh badan pada lanjut usia. Dan buat jadi cergas - fizikal dan mental. Maknanya semuanya dilakukan dengan pantas. Saya sebagai pelengah selalu rasa untuk bermalas-malas, walaupun bila fikir semula, entah apa yang halang saya untuk buat semua benda ni - tak ada, cuma sikap pemalas saja.

Jadi, mengambil semangat PMX, saya cuba atasi sikap pelengah saya dengan melakukan lebih banyak aktiviti berbanding asyik berdalih dengan diri sendiri. Semoga saya istiqamah.  

Tonton bola di rumah.

Aku ingat dekat lima belas minit juga la aku cuba nak dapatkan strim untuk perlawanan tempat ketiga hari ni sampai bila dah dapat tengok, kedudukan sudah jadi satu sama. Macam, awal gila kot tak sampai lima belas minit dah ada jaringan penyamaan. 

Aku cuba buka pautan yang sama seperti sebelum aku mulakan Tonton Bola Di Rahmath tapi macam tak berjaya. Aku cuba dekat telefon dengan beberapa pelayar, tak berjaya, lepas tu aku cuba dekat komputer, beberapa pelayar juga, pun tak berjaya. Dah nak dekat lima belas minit tu, baru la boleh pasang, dua-dua kat telefon dan komputer. Entah kenapa, dekat komputer lambat sikit. Tapi lepas tu aku bukan beria sangat tengok pun. Tengok kat telefon sambil main Candy Crush. Aku sasarkan dalam tahun ni sempat la nak habiskan level 5000, tapi macam tak sempat sebab ada lebih kurang dua ratus level lagi. 

Esok akan kembali tonton bola di Rahmath, tapi agak malas nak buat poster sebab ada rasa macam kekeringan idea juga. Rasa macam setiap kali sama je desain. Macam ni lah agaknya perasaan buat desain, kena selalu fikir desain yang terkedepan supaya ia tak nampak repetitif dan bosan.  

*

Gibran suka kucing, suka betul bila anak kucing empat ekor tu masuk rumah. Aku rasa ni la kot paling dekat rasa tentang bela kucing. Aku ingat dari kecil sampai besar memang tak dapat bela kucing walaupun aku suka kucing. Tapi rasanya elok la kot, sebab aku bukan pandai jaga sangat pun. Ariana takut kucing tapi teruja tengok kucing. Tak berani dekat dengan kucing tapi selalu minta nak pegang kucing, tak faham aku. 

*

Masih tengah malas nak menulis walaupun ada la sikit paksa. Ada la sikit progress. Memang kena dekat tarikh tamat kot baru semangat. 

Maaf, agak janggal juga dah lama tak menulis. Ayat jadi keras kematu sikit.

 Aku lupa hari jadi emak aku hari tu.

Wayang Budiman (Adikarya Filipina): Flowers Of The City Jail (1984)

Sebenarnya saya tak begitu membaca tajuk filem, sama seperti saya tak pernah meneliti latar belakang filem sebelum hadir ke Wayang Budiman. Jika saya fikir betul-betul tentang tajuk filem ini mungkin saya akan sedar filem ini walau punya tonggak utama, tapi ia punya beberapa cerita lain di dalamnya; dan ia adalah perkara yang paling saya suka tentang filem ini.

Berbanding filem (dua) minggu lepas, saya fikir Flowers Of The City Jail nampak lebih organik dan ia punya cerita yang kuat dan menarik, dari satu sudut pandang yang umum tak hiraukan. Ia seakan menutup segala perkara yang saya nyatakan tentang filem (dua) minggu lepas, tentang era dan zaman filem ini dirakam. Begitu juga selain metafora flowers (saya tak perasan ia adalah flowers, bukan flower), saya juga terlepas pandang tentang hal city jail. Saya fikir ia adalah sebuah penjara, sedangkan ia lebih merujuk kepada lokap. Pusat tahanan sementara. Bukan tempat menjalani hukuman, tapi tempat menunggu perbicaraan. 

Kekuatan filem ini bagi saya memang pada penceritaannya. Selalunya jika cerita (asing) kita akan sukar menjejak aliran watak-watak di dalamnya, tapi setiap watak agak jelas karakternya dan kita tak hilang sangat fokus. Kita tahu watak ini konsisten, kita tahu watak ini ada perkembangan, dan berdasarkan ini semua, ia jadi jalan cerita yang mengejutkan. Brutal tapi ia jujur. 

Saya selalu terfikir, dalam lingkungan Asia Tenggara, industri sinema Filipina adalah yang terbaik berbanding negara lain di dalam rantau (ada dua kali zaman kegemilangan sinema yang mereka lalui) dan saya terfikir adakah sekarang begitu juga. Setakat komen yang saya terima, memang masih lagi, kerana filem-filem mereka masih lagi memenangi banyak anugerah luar. Cuma sayangnya ia tak masuk ke pasaran kita (kita asyik terima pasaran Indonesia, dan ada waktu, Thailand - itupun genre seram). Pernah juga masuk dalam pasaran tapi tak begitu ketara, dan masih lagi dalam genre selamat, iaitu genre seram. 

Sebagai orang luar dan bukan pengikut filem dan sinema yang arif, sukar juga saya bayangkan bagaimana filem-filem Filipina ini lebih maju dari negara ini, jika saya bandingkan berdasarkan telenovela-telenovela Filipina (mungkin ini saja gambar yang ketara diimport dari sana). 

*

Ada beberapa babak menarik yang saya suka, seperti babak pembuka yang mengingatkan saya kepada babak pembuka filem Gubra. Dan juga syot pantas di antara tanah perkuburan (kristian) berlegar dari nisan dan patung-patung di situ. 

Ni pun semalam patutnya. Dah habis tengok pun. Best. Best.


 

Patut kelmarin hari tu pos tapi malas. Dah siap tahu pun siapa menang.


 

Pertama kali menghabiskan buku Murakami (dalam terjemahan bahasa Melayu, atau boleh kata dalam apa jenis bahasa pun).

Aku baru habis baca Tzukuru Tazaki dalam terjemahan bahasa Melayu semalam. Sebenarnya dah lama gila aku mula baca tapi baru minggu ni macam beriya nak habiskan sebab kalau ikutkan, okey je buku dia, tak membosankan atau buat mengantuk, tapi aku macam malas nak baca terus menerus. Aku baca rilek rilek tenang tenang. Punya la tenang, dekat berapa bulan aku ingat. 

Secara keseluruhannya, aku agak cam juga gaya penulisan Murakami walaupun ini buku pertama Murakami aku baca (pernah baca 1Q84 juga, tapi mungkin dalam beberapa bab saja sebab baca di Perpustakaan Kuala Lumpur pada 2019 dan tak pinjam pun, baca kat situ kejap, dan ia terjemahan bahasa Inggeris). aku memang selalu elak baca Murakami, mungkin masa awal-awal aku menulis dulu, ada beberapa komen mengatakan ada pengaruh Murakami. Aku memang tak boleh komen selain dari kata memang tak pernah baca Murakami. 

Waktu mula baca dulu, ada juga kongsikan yang kalau baru pertama kali baca Murakami, sama ada akan boleh masuk atau tak boleh masuk. Hanya ada dua pilihan saja. 

Waktu baca beberapa bab atau helaian 1Q84 aku rasa ngam juga sebenarnya. Dan waktu habis baca Tsukuru, aku rasa ngam juga tapi ngam biasa je lah. Tak pasti kalau ia berkaitan terjemahan atau mungkin ini memang antara buku dia yang biasa, aku tak pasti. Tapi masih ada la beberapa perkara yang berbekas selepas habis baca Tsukuru. Paling nyata ialah bila aku teringat semula sepatutnya Tsukuru dah tahu tentang kematian Shiro lebih awal kerana patut Tsukuru adalah salah seorang suspek membunuh Shiro atas alasan dakwaan Shiro yang Tsukuru pernah merogol Shiro dulu. Sepatutnya ada kemungkinan siasatan akan berlarutan kepada Eri/Kuro dan Ao dan Aka sebelum mereka akan buka mulut tentang dakwaan Shiro dirogol oleh Tsukuru. Tapi ya, memang tak berlaku. Walaupun aku tahu, hal-hal berkaitan siapa pembunuh Shiro atau benar atau tidak dakwaan rogol itu, atau siapa lelaki dengan Sara, atau apa yang Sara akan katakan selepas tiga hari, tak akan diketahui, tapi ia tak mencacatkan cerita. Dan memang aku pun terbiasa menulis perkara begini. 

Dalam salah satu cerpen tambahan yang aku tulis untuk Wiski Pop, ada juga elemen begini (tak menerangkan latar cerita tentang satu insiden di dalamnya) tapi bukan sebab aku tiru Tsukuru, sebab aku tak habis lagi baca Tsukuru waktu habis tulis cerpen tu. Sebenarnya agak mendadak juga habis cerpen aku tulis tu, tapi lantaklah. Kahkah. 

Dan seingat aku, waktu aku tulis tiga dari empat cerpen tambahan tu, memang aku tengah baca Tsukuru dalam gaya perlahan, rilek dan tenang-tenang. Aku tak rasa yang pembacaan ni mempengaruhi penulisan aku, walaupun biasanya memang aku akan terpengaruh dengan apa yang aku sedang baca - tak kira atau kisah siapa la aku baca waktu tu, sedikit sebanyak ada beberapa gaya terserap dalamnya - tapi kali ni sebab aku tak nampak gaya Murakami dalam terjemahan ni, aku tak fikir jika ia terserap masuk dalam penulisan aku. Tapi kemudian, waktu aku serahkan cerpen-cerpen tu pada Sufian, dia agak kagum juga - sebab ada kelainan berbanding tulisan-tulisan sebelum ni, memang tak ada gaya penulisan Wiski Pop, atau boleh kata tiada nada monolog Wiski Pop.   

Dan Sufian tanya, apa aku sedang baca ketika tulis tu. Aku segan nak cakap tengah baca Murakami sebab aku baca sambalewa je dan tak terfikir ia akan menyerap masuk ke dalam gaya penulisan - sebab tak ada bunyi Murakami pun aku rasa, dan juga sebab aku dah jarang baca buku. Betul, kalau aku sedang tetapkan untuk fokus menulis, aku akan baca banyak buku untuk satu tempoh sebelum mula menulis, dan bila aku dah tetapkan untuk mula menulis, aku akan jadi kurang baca buku. Dan sebab aku memang menulis lambat gile, jadi ia akan jadi satu sela yang panjang sebelum aku mula baca semula. Tapi biasanya kalau aku tengah tersekat dalam penulisan, aku akan berhenti menulis kejap dan buat benda lain - membaca, menonton filem dan dengar lagu. 

Aku fikir lepas ni bolehlah teruskan baca Murakami lagi. Cuma tak tahu nak baca apa dulu. 

Perlawanan separuh akhir tak tahu la nak tengok ke tak sebab bukan hujung minggu.

Untuk perlawanan suku akhir Piala Dunia tahun ni nampak macam aku boleh tonton semua sebab ia akan berlangsung dua malam je. Esok pukul sebelas malam dan pukul tiga pagi, dan lusa juga sama; dan kebetulan esok dan lusa ialah hujung minggu. Jadi, aku saja cakap nak lepak mamak tengok bola secara terus menerus, dan kebetulan ada yang nak ikut serta, jadi aku terus buat poster. Kelakar juga sebenarnya, aku teringat pada poster Doktor Zulkifli Al-Bakri yang juga buat aktiviti menonton bola untuk Brazil melawan Crotia dan disambung dengan acara lain, seperti tazkirah, solat hajat, jamuan dan cabutan bertuah. Kebetulan juga aku tengah rajin nak menguasai penggunaan Canva - sebab isteri aku ada akses penuh, dapat percuma sebab dia cikgu - jadi aku ambil peluang untuk manfaatkannya. Mungkin lepas ni aku bolehlah jadi pereka grafik sambilan.

Untuk malam seterusnya, tak pasti lagi sama ada aku akan tonton di mamak atau di rumah. Biasa kalau kat rumah, macam ni la aku tengok.


Sebenarnya macam susah juga kali ni nak cari pautan percuma, tak tahu la sebab aku buka dari telefon ke apa, dulu masa Piala Dunia sebelum ni, bersepah juga yang berikan pautan percuma. Waktu itu aku tonton di komputer riba. Aku memang suka tengok kat pautan percuma sebab ia dari siaran televisyen yang rambang. Dulu aku pernah dapat siaran Perancis, Tierry Henry siap jadi pengulas, tapi berabuk dia cakap Perancis, haram aku tak faham. Kadang dapat dari negara Latin, ada juga negara Arab. Seronok juga sebab lain-lain komentator walaupun aku tak faham. Tahun ni aku dapat satu pautan je dan malas nak cari lain (sebelum ni ada satu laman yang berikan beberapa pautan, kalau satu tak berfungsi, boleh guna yang lain, dan semua lain-lain negara). Dan tahun ni punya aku tak pasti sama ada Thai atau Vietnam atau Kemboja sebab bahasa pengulasnya kedengaran macam tu lah. Dan aku syak laman yang aku tonton ni sebenarnya diusahakan oleh bookie atau pengantara judi dalam talian, sebab asyik iklan judi. Aku syak la, sebab macam pelik sangat iklan judi dia. Ada satu waktu tu, pengulas dia tiba-tiba senyap agak lama juga. Aku pun tak tahu sebab aku tak faham bahasa dia jadi aku tak tau la kalau dia ada bagitau kenapa tiba-tiba dia senyap lama gila.

*

Sebelum ni aku syak perlawanan akhir ialah antara Brazil melawan England, aku tukar la, sebab ada Brazil mana entah masa sidang media pasukan dia boleh campak je kucing macam tu jee. Aku tukar Brazil dengan Belanda lah. 

Real juga nak lepak mamak siap buat poster.




 

Tak DNF.

Sebenarnya aku lupa aku pernah baca Seronok (Fixi, 2013) ke tak. Paling ingat, dah baca Sejadah (Fixi, 2017) dan rasanya pernah baca Santet (Fixi, 2014). Aku tak pasti macam mana boleh terlangkau sebab aku tengok balik rak buku, ada je buku Seronok. 

*

Dalam hal tak berkaitan (yang ni betul tak berkaitan, sekurang-kurangnya tiada kaitan dengan Saat Omar), ada satu buku Fixi waktu beberapa tahun awal penerbitannya yang aku rasa tertunggu untuk baca, tapi lepas beli, aku rasa macam tak sampai satu bab aku baca, atau mungkin aku paksa diri untuk baca sampai dua tiga bab, tapi aku tak pernah sambung baca sampai la sekarang. Tapi aku memang bercadang untuk baca balik nanti bila-bila, sebab aku memang jenis akan baca buku sampai habis. Aku ingat siapa entah pernah petik ayat aku, tak kira macam mana teruk pun buku tu, kena habiskan baca. Aku sebenarnya waktu tu dah tak ingat pun aku pernah cakap macam tu. Tapi ya, memang tabiat aku akan selesaikan baca walau susah macam mana pun, walaupun kiranya mata je baca tapi aku tak faham sepatah haram pun. Macam buku A. Samad Said la, ada satu yang aku baca nipis je tapi haram tak faham dan punya la betul-betul berjuang untuk habiskan baca - aku ingat lagi, setiap kali nak baca tu, aku jadi mengantuk, tapi aku tahan juga baca sampai keluar air mata. Lepas tu aku berhenti baca. Sambung lagi lain kali. Mengantuk lagi. Aku cuba tidur sebab ingat memang aku mengantuk. Tapi tak boleh tidur pulak. Sambung baca lagi lepas tu jadi mengantuk balik. Kesudahannya aku tengok 3gp je lah. Tapi habis baca la jugak akhirnya.

Tapi kalau tak silap aku, ada juga buku yang aku ingat aku rasa malas nak teruskan, tapi tak ingat apa. Oh, lagi satu buku yang aku ingat memang tak habis baca ialah Gandhi. Aku ingat dua tiga kali juga cuba habiskan. Tapi buku ni masih ada, jadi aku akan cuba baca nanti bila-bila.  

Wayang Budiman (Adikarya Filipina) : Cain And Abel (1982)

Sebenarnya aku lupa nak tulis pasal Wayang Budiman minggu lepas walaupun sebenarnya filem yang ditayangkan minggu lepas tu kira boleh masuklah. Secara jujurnya memang aku awal lagi dah skeptik untuk filem keluaran tahun tujuh puluhan atau lapan puluhan sebab aku rasa sekitar Asia Tenggara ni masih punya feel yang sama - maksud aku dari segi teknologinya yang diterjemahkan dalam tona warna, yang buat semua filem-filem ini seakan sama. Mungkin boleh kata ia boleh dikenalpasti dari era mana berdasarkan warna filemnya. Senang cakap macam kita tengok filem-filem arahan Jins Shamsudin jadi kita dah boleh agak latar cerita dan kecenderungannya. Kira pada aku susah juga la sebenarnya nak menilai sebab aku bukan pelajar jurusan filem. 

Untuk sesi tayangan minggu lepas, masih lagi dalam slot Adikarya Filipina dan berdasarkan komen beberapa pengunjung tetap Wayang Budiman, memang selalunya filem dari arahan pengarah Filipina akan menjadi tarikan. Oleh sebab aku tak pandai menilai perkara-perkara yang teknikal atau falsafah, aku cuma bergantung kepada perjalanan cerita dan mungkin, lakonan. 

Cain And Abel (1982) ni aku suka sebab jalan cerita dan juga perkembangan wataknya. Senang cakap cerita dia boleh kata macam random juga - ia bermula dengan anak sulung sedang cuba menyakinkan ibunya untuk beli traktor untuk kegunaan di ladang, dan berakhir dengan anak sulung tadi saling tembak menembak dengan adiknya (dua beradik je) di antara kumpulan samseng slash penjenayah di dalam hutan (kedua-duanya mati). Walau ia kedengaran agak random, tapi perlahan-lahan kita berjalan di antara cerita yang mengaitkan dan beberapa insiden (plot) yang menarik - semua oleh perkembangan watak yang nampak macam tipikal tapi sebenarnya tidak, dan juga pada watak yang nampak macam tipikal, tapi sebenarnya lebih tipikal dari tipikal. Haaa pening. Tapi cerita ni tak pening pun, dia memang boleh kata takde berlapik sangat pun. 

Aku rasa ni pun antara satu benda yang aku perasan kali ni, tak ramai yang komen tentang syot atau bingkai yang cantik. Rasa macam tak ada gambar yang memukau sangat dalam filem ni, atau mungkin juga yang hadir tak ada yang perhatikan hal ini, jadi tiada siapa yang sebut. Memang banyak cerita tentang hal penceritaan dan watak. Mungkin ada kaitan tentang perhubungan antara adik beradik dan ia mungkin rasa peribadi.

Rasanya ada lagi satu aspek yang tak begitu dibincangkan dalam sesi bual santai, iaitu dari aspek teologi. Yalah, tajuk pun dah nampak keagamaan (biblikal bak kata Doktor Norman)(tapi oh, tak ada watak nama Abel atau Cain) tapi ia tak begitu disentuh malah dalam filem pun. Ada babak berdoa di depan patung Holy Mary (maaf tak begitu pasti patung apa sebenarnya sebab ada beberapa patung) tapi setakat itu sajalah. Mungkin ada yang tak tahu, Abel dan Cain ni adalah seperti kisah Habil dan Qabil, yang disebut di dalam Injil. Tapi filem ni tak adalah sebiji jalan cerita macam Abel dan Cain, boleh kata hanya perwatakan yang diadaptasi, ceritanya dah jadi lain (atau mungkin juga ia sebagai satu bentuk kritikan terhadap agama tentang berat sebelah? Tapi aku fikir tak kot. Sebab tu aku rasa sayang juga semua tak bincangkan sangat aspek ini).   

*

Dalam hal yang tak berkaitan (ke berkaitan?), aku rasa dalam banyak-banyak sesi Wayang Budiman, aku rasa macam lebih cenderung kepada filem-filem dari India. Ini agak kelakar juga sebab aku memang tak suka filem Bollywood. Boleh jadi sebab ia pernah jadi kegilaan, jadi aku rasa jengkel, lagi-lagi filem Bollywood banyak sangat lagu dan menari yang aku rasa tak relevan langsung dengan cerita. Tapi filem dari Tollywood aku gemar juga tonton sebab ia suka melanggar hukum fizik dan akal. (Sebenarnya aku main palatao juga ni, tapi senang cakap aku tak minat cerita Hindustan tapi boleh layan cerita Tamil, tapi kena langkau bahagian nyanyian dan tarian). Jadi, ia agak berbeza dengan filem-filem yang aku tengok kat Wayang Budiman - ada filem yang langsung tak ada nyanyian dan tarian. 

Lagipula, filem-filem itu lebih kepada dirty realism atau realisme radikal; atau senang cakap drama la, memang subjek kegemaran aku sebab aku pun menulis dalam spektrum yang sama (walaupun ia berbeza latar dan perjuangannya). Aku masih teringat tentang  hal kasta paling rendah dalam filem Koozhangal. Atau keperihan bertahan di tanah air sendiri berbanding hijrah ke luar dalam filem Garam Hawa. Kadang rasa macam cemburu juga boleh tulis cerita-cerita yang betul-betul kemanusiaan seperti ini. Ia rasa dekat walaupun budaya kita berbeza. Dan itu yang aku tak dapat rasa waktu menonton Spilt Gravy On Rice. Aku ingat aku je yang rasa macam tu, tapi bila tanya kawan-kawan di Wayang Budiman yang dah tonton, rasa filem tu sangat asing dan janggal. Memang aku sendiri terfikirkan yang label busa Bangsar bila menonton filem ni dan rupanya sudah ada yang berikan reviu yang sama (sebab mereka tonton di wayang, aku tonton di Netflix, jadi aku tonton lambat sikit).  

Rasa macam banyak yang tak kena dengan filem tu, dari segi watak dan dialog dan juga plot. Bak kata orang, rasa kebanyakannya watak, dialog dan plot sangat cringe. Ada juga babak yang menarik dan aku suka, tapi banyak babak yang menaikkan kening. 

Aku tak bercadang nak ulas, tapi aku rasa antara yang patut aku sebut ialah aku rasa watak bapak dan lima orang anaknya tu semua sama je. Walaupun cuba ditunjukkan semua ada karakter dan perangai yang berbeza, tapi di dalamnya, semua sama macam bapak. Macam ada enam watak bapak di dalam filem ni, cuma berbeza usia dan jantina. Tu je. Lain semua sama. Dan sekarang, aku akan cuba tunggu untuk babak apa yang akan terlintas dalam kepala aku lepas beberapa ketika nanti. 

Atau mungkin akan tak terlintas langsung? 

Sebenarnya perumpamaan dua puluh dua pemain mengejar satu bola ni tak berapa tepat - kalau untuk budak sekolah rendah boleh lah.

Aku baru mula nak tengok Piala Dunia 2022 ni. Selain dari demam pilihan raya (secara harafiahnya - aku demam dan juga sibuk mengikuti berita pilihan raya), pasukan kegemaran aku iaitu Itali tak layak Piala Dunia jadi aku malas sikit nak ikut, walaupun sebenarnya inilah satu-satunya waktu yang aku boleh tengok semua perlawanan Piala Dunia tapi lepas tu aku fikir, buat apa aku nak bohong diri sendiri dan sibuk tengok bola sebab aku tak begitu minat bola pun. Walaupun alasan Piala Dunia ni agak kukuh, tapi rasanya macam apa je yang aku nak buktikan? Jadi aku ambil keputusan tak tengok sangat la Piala Dunia ni. Aku mula tonton waktu Jepun lawan Crotia. 

Pasukan kegemaran aku ialah Itali, tapi aku ada banyak pasukan lain yang aku minat dan sokong jugak. Jerman, Perancis dan Mexico, tapi yang layak ke pusingan enam belas cuma Perancis. Dan juga sebab edisi 2018 dimenangi oleh Perancis, aku dah mula kurang sokong Perancis. Sama juga dengan Jerman, mereka menang edisi sebelumnya, 2014 pun dah kurang sokong. Aku memang ada sindrom hipster kot, kalau semua dah mula sokong dan kebetulan menang, aku dah tawar hati sikit nak minat. Kecuali Itali la, walaupun menang edisi 2006 tapi rasanya kemenangan itu agak kontroversi jadi masih valid lagi sebab tak semua suka. Atau kalau memang Itali menang Piala Dunia dengan bermaruah, pun masih sokong. 

Aku rasa aku mula tak minat tengok bola mungkin sebab aku asyik tengok perlawanan yang berakhir dengan tiada jaringan. Mungkin kalau perlawan tu memang sengit jadi boleh dimaafkan lagi. Tapi macam perlawanan semalam Sepanyol lawan Maghribi, memang aku bengkek juga la. Aku memang tak bercadang nak tengok pun sebenarnya semalam tapi sebab masa perlawanan Jepun dan Crotia, aku sibuk cari pautan untuk tengok percuma di atas talian dan kebetulan jumpa (entah kenapa kali ni susah juga nak cari pautan tengok percuma), aku lawat laman web yang sama dan tengok perlawan Sepanyol dan Maghribi. Oh, dia jadi tak best sebab Sepanyol menguasai bola tapi tak juga gol dan kesudahannya penentuan penalti. Kalau macam dua-dua memang sengit, naik turun, naik turun, berbalas serangan, menarik juga nak tengok. Ni asyik-asyik Sepanyol pegang bola lepas tu tak ada jaringan juga. Aku pun tak tahu kenapa semalam aku harap Sepanyol menang walaupun sebenarnya aku paling tak minat dengan Sepanyol. Aku ingat lagi waktu Sepanyol tengah kemuncak pada sekitar 2010, dari Piala Dunia hinggalah liga Sepanyol, aku paling bosan dengan corak permainan Tiki Taka. Sebab asyik dengan hantaran pendek dan tak ada aksi gelecek sangat. Bosannyeee. Tapi tu lah, semalam entah kenapa aku ingat memang Sepanyol boleh menang, mungkin sebab lawan Maghribi yang kira bukan pasukan kegemaran. Atau mungkin juga pasukan aku sokong untuk dua hari ni memang tak menang (aku tengok Jepun lawan Crotia, sokong Jepun dan rasa Jepun patut menang tapi tu lah, kalah penalti jugak).

Lepas tu semua perlawanan yang aku tak tengok (Brazil & Korea Selatan, Portugal & Switzerland) banyak pulak gol. Tapi dah perlawanan pukul tiga pagi, memang tak le aku nak tengok. Tapi patut tengok Brazil lah, sebab bila tengok sedutan perlawanan, rasa macam dah kembali ke Brazil yang dulu. Brazil masa jurulatih Dunga paling bosan tengok. Oleh sebab memang aku tak ikut sangat bola, jadi aku rasa kali ni Brazil macam tak ada pemain yang aku kenal sangat, kecuali Neymar. Berbanding sebelum ni dalam satu pasukan ada lah beberapa nama yang dikenali tapi haram tak menang. Mungkin memang kena macam tu kot, bukan bergantung pada satu nama saja, kena seluruh pasukan sama kuat baru lah menjadi kot. Entahlah, aku palatao je.

Okeh, sebagai palatao, aku syak perlawanan akhir nanti ialah antara Brazil dan England. Kalau tak England, Perancis la.    

Pernah kemalangan kereta dua kali tapi sekali saja perlu berurusan dengan polis dan insurans dan bengkel; dan saya simpulkan, memang janganlah langsung terlibat dengan kemalangan jalan raya. Berhati-hatilah ketika memandu dan menunggang.

Catatan ringkas tentang hari ini: saya anggap keseluruhan hari ini sangat baik, sebab berjaya mengelak dari kemalangan jalan raya - walaupun hari ini tak begitu produktif, pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor dengan niat nak jual buku secara gerila tapi sebaliknya saya pula yang beli beberapa buku dan zine, masih belum mula menyambung projek menulis dan tekak saya rasa macam sempit bila waktu malam, tapi ya, keseluruhan hari ini sangat baik sebab terhindar dari kemalangan jalan raya.  

Tahun menulis novel(s) 2023(?)



Malam ini insyaallah akan berada di Wayang Budiman bersama beberapa naskah Sebuah Catatan Perjalanan Tentang Tanah Asing Bernama Kampung Halaman. Prapesan Wiskipop juga bermula. Mungkin akan turun ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor esok atau lusa, jika ada yang mahu turun, saya akan menempel bersama.