Saya sedang dalam usaha menulis novelet seterusnya saya (novelet ketiga dalam giliran, tapi tidak akan saya terbit sendiri, sebaliknya akan diberikan pada penerbit lain kerana mereka minta, saya terima sebab jumlah perkataan jauh lebih sedikit berbanding amaun biasa yang saya tetapkan sendiri untuk sebuah novelet, tapi masih dalam julat novelet, bukan cerpen panjang) dan saya fikir lagu yang berkumandang dalam kepala saya ialah beberapa lagu-lagu rambang Deftones dari era Saturday Night Wrist dan self-titled. Secara jujurnya saya kurang menghargai kedua album ini mungkin kerana ia keluar selepas White Pony jadi ia memang sukar untuk menandingi album yang hebat, dan buat album seterusnya rasa tawar (sama seperti album-album selepas Koi No Yo Kan, ia kedengaran agak tawar kerana masih tak dapat menyaingi Koi No Yo Kan, tapi masih ada banyak masa untuk saya menelitinya kembali dan kembali buat ia terngiang seperti sekarang saya teringat self-titled dan Saturday Night Wrist).
Sewaktu menulis, memang ada banyak lagu-lagu rambang atau spesifik yang saya dengar, Jadi untuk menjawab lagu apa yang saya dengar ketika menulis, ia perlu lebih spesifik, seperti contoh lagu (atau lagu-lagu atau album) apa yang sedang saya dengar ketika menulis cerpen ketiga di dalam Wiskipop, atau senarai main apa untuk bab kedua dalam Polaroid. Tapi sayangnya, saya tetap juga tak dapat menjawabnya kerana saya tak mempunyai rekod tentang hal itu dan tak ada siapa yang bertanya, jadi saya memang senang lupa. Saya ada rasa macam patut buat senarai main untuk material-material yang saya hasilkan tapi kemudian, ia rasa macam jijik pun ada juga. Itu belum masuk jika tempoh penulisannya agak panjang, macam contoh Hingar Sunyi Eterniti ditulis dalam tempoh lebih kurang lapan tahun, jadi ia mustahil untuk buat senarai main untuk tempoh demikian.
Tapi dah alang-alang, saya fikir, mungkin saya catat sedikit di sini, mana tahu saya akan bacanya kemudian. Okeh, sekarang novelet ketiga masih belum ada judul (bukan sebab tak nak beritahu) dan sekarang saya asyik terfikir Minerva, Mein dan mungkin Hole In The Earth. Waktu menulis Pandu Lebih Perlahan Pada Waktu Malam Dan Berdoa Untuk Tidak Pernah Dilahirkan (atau patut saya kata ketika menulis Pandu Perlahan Pada Waktu Malam Dan Berdoa Untuk Tidak Pernah Dilahirkan, ya, bezanya pada perkataan lebih sebab yang tak ada perkataan lebih ialah cerpen, dan yang ada perkataan lebih adalah novelet - nampak tak? Nampak tak? Sebab lebih perkataan. Kahkah) saya mendengar Hickory Creek oleh Whitechapel yang sebenarnya saya ambil idea cerita klip muziknya untuk tuliskan cerita ini. Selain dari Hickory Creek, juga saya dengar Orphan dari Whitechapel dan hampir tukar judul novelet dan cerpen ini kepada Piatu. Saya fikir cerpen ini beri saya beberapa judul yang menarik tapi tak dapat saya guna kerana dah terlebih dahulu memilih tajuk yang sedia ada. Saya akan muat naik versi cerpen dalam Wattpad. Oh, lagi satu lagu yang saya kerap dengar ialah Bring Me Home. Ya, semua lagu ini agak berkaitan, Bring Me Home adalah lagu tentang bapa, Hickory Creek adalah lagu tentang ibu dan Orphan adalah tentang diri sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan