Adakah akan datang, Sebuah Catatan (2)?

Selepas menulis Sebuah Catatan Perjalanan Tentang Tanah Asing Bernama Kampung Halaman pada 2022, saya tak fikir untuk menulis lagi jurnal pendek atau travelog mini sebab, saya tak fikir saya akan ke mana-mana sangat. Selalunya memang begitu, saya tak selalu berpeluang untuk pergi jauh dan selalu tersekat dalam ruang yang sama. Lagipun Sufian Abas tak begitu gemar Sebuah Catatan, dia pernah kata dia rasa seperti mahu saya tulis balik manuskrip tu. Dan mungkin sebab itu ia tak pernah dicetak semula, selain kekangan kewangan. Kot. Tapi mungkin saya boleh faham, sebab terdapat perbezaan dalam gaya pengarangan saya di antara hasil penulisan fiksyen dan  hasil penulisan blog. Antara rujukan gaya penulisan blog yang terserap dalam pengarangan buku saya ialah Sebuah Catatan dan juga Adrenalin. Wan Nor Azriq kata Adrenalin gagal kerana menukar gaya. Mula-mula terfikir juga - macam sama je gaya penulisan saya, tapi kemudian saya fikir, mungkin kerana Adrenalin lebih mirip kepada sesuatu yang saya tulis di blog, jadi mungkin ya, ia masuk akal. Adrenalin ditulis dengan intonasi seperti menulis blog. Saya ingat lagi, inilah satu-satunya novelet yang di mana waktu saya mengarangnya, saya mahu mengarangnya dalam jangka pendek. Saya rasa tempoh menghasilkannya hanyalah sebulan (jika tak termasuk tempoh memeram dan bertenang dan entah apa - saya ingat saya tulis hari pertama hampir separuh atau lebih dari separuh dari jumlah keseluruhan buku. Tapi hari kedua bukanlah esoknya, tapi sebulan seterusnya. Maknanya. hari ni tulis separuh/lebih separuh. lepas tu bulan depan baru sambung balik) dan antara maklum balas yang saya terima ialah Beduk gemar naskah Adrenalin berbanding novelet lain. Saya jangka ini mungkin sebab Beduk gemar sesuatu yang pantas atau rusuh, sebagaimana saya menulis blog. Tapi ada juga yang meminati Adrenalin walau dia meminati judul-judul lain. 

Jadi, saya tak terfikir apa-apa, dan bila pembubaran DUN Johor, saya tak fikir apa-apa. 

Hinggalah Adam Taufiq Suharto mengemas kini status di Facebook dan kata satu-satunya buku dia baca tentang Pilihanraya Negeri Johor ialah di dalam Sebuah Catatan (rasanya sangat sikit dan tak begitu menangkap nuansa politikal waktu itu) dan dia akhir dengan soalan, jika saya akan menghasilkan sesuatu untuk PRN kali ini. Boleh jadi travelog. Boleh jadi buku foto. Boleh jadi filpen. 

Entah mengapa ia seperti melepaskan picu dan sesuatu telah tercetus dalam diri. Ia mencetuskan persoalan yang kemudian membuatkan kepala saya mula berfikir dan cuba menyelesaikan persoalan itu. Turut termasuk dalam faktor ini ialah bila Neesa Jamal teks dan kata mungkin kami akan menerima lagi royalti untuk jualan buku dalam masa terdekat. Saya kata, jangan bagi harapan palsu sebab saya dah tak ada lagi royalti yang sepatutnya akan diterima sebab perjanjian saya hanya untuk cetakan tunggal saja. Dan disebabkan Neesa Jamal juga orang Johor, saya katakan, jangan beri harapan palsu, saya sedang tiada jentera nak balik mengundi ni. Cafe scrambler saya dah mati cukai jalan dan saya malas nak habiskan banyak duit balik dengan membayar tol dan minyak dan motosikal saya yang lagi satu - Honda Wave pula sudah uzur. Dah lapan belas tahun pakai dan ia sudah mula perlahan-lahan meragam. Sangat tak sesuai untuk perjalanan jauh. Jadi saya kata tiada jentera perang dan tiada kamera untuk balik Johor.

Secara tak sengaja saya telah menyenaraikan dengan lengkap alasan kenapa saya rasa malas nak balik. Dan memikirkan opsyen yang ada. Opsyen yang kool. 

Jadi, jawapan untuk dua-duanya ialah

  1. balik naik kereta api
  2. beli Kodak Charmera

Okey, kita bincangkan yang pertama.

Saya dah lama nak naik keretapi lagi selepas kali terakhir mungkin dah lebih sepuluh tahun. Saya selalu berimpi untuk naik keretapi ke Kelantan tapi Beduk kata tak praktikal sebab ia akan berhenti di stesen yang jauh dari tempat saya mahu pergi. Dan yang lucu, dari Kuala Lumpur, kita akan ke Segamat dulu, barulah kita akan naik ke Pantai Timur. Okey, jadi saya patut naik keretapi. Nak naik bas ekspres, bukan dalam opsyen. Sebab saya dah puas naik bas ekspres.

Masih di dalam keretapi, persoalan seterusnya, apakah laluan perjalanan yang ada? Saya cuba pilih dari Klang ke Segamat tapi tiada perkhidmatan. Pelik juga. Rupanya saya kena naik dari Kuala Lumpur. Sama ada Kuala Lumpur atau KL Sentral. Okey, Klang ke Segamat. Pilihan tiket yang paling sesuai ialah pada awal pagi, perjalanan yang pertama. Berdasarkan jadual, sesi pertama ialah lima minit sebelum jam lapan pagi tapi seterusnya dijadualkan pada sebelas pagi. Agak banyak juga beza. Sebab saya bercadang untuk berhenti di Segamat sebelum menaiki bas ke Ayer Hitam, lebih kurang tiga-empat jam perjalanan, jadi saya kena sampai awal. Kalau yang pertama, saya akan tiba lebih kurang setengah jam sebelum sebelas pagi. Kalau pilihan kedua, saya akan tiba dalam setengah jam sebelum jam tiga - di mana ia sangat suntuk ekrana bas terakhir dari Segamat ke Ayer Hitam ialah jam tiga setengah petang. Agak berisiko tertinggal jika ada kelewatan perjalanan keretapi. Kemudian, saya kena fikir nak balik hari apa, sebab mengundi pada Sabtu. Kalau naik keretapi pertama, saya akan tiba sepuluh setengah, dan katalah naik bas pukul sebelas, saya akan tiba dalam jam tiga petang di Ayer Hitam, di mana agak berisiko sebab waktu  mengundi hampr tamat. Jadi, kena pilih Jumaat, tapi Jumaat kerja, jadi saya kena ambil cuti. Walaupun saya sedang simpan cuti rehat (tak banyak) tapi ada banyak hari saya perlu gunakannya akan datang. Lagipun kalau balik Jumaat, tak tahu siapa yang akan ambil saya di Ayer Hitam atau Parit Raja. Kalau ikutkan, saya nak minta kakak saya ambil tapi kalau Jumaat, dia belum tiba di sana sebab sudah pasti Jumaat dia bekerja. Jadi, untuk menyelesaikan masalah ini, saya terpaksa membuat perangkaan semula dan akhirnya memuktamadkan, akan menaiki keretapi pada hari Sabtu dan destinasi ialah Kluang, bukan Segamat. Kalau turun Segamat, memang tak sempat mengundi. Jadi saya naik hingga ke Kluang, sebab saya pun sebenarnya jarang ke Kluang. Dan tak begitu arif pun pasal Kluang. Lepas tu Ahad saya akan pulang dengan menaiki kereta kakak saya hingga ke Kajang. Dan dari Kajang, saya akan menaiki komuter ke Kl Sentral. Oh lupa, saya akan menaiki Honda Wave ke KL Sentral pada awal pagi dan tinggalkan di sana lepas tu balik dari Kajang, akan turun ke KL Sentral sambung naik motor ke Klang. Nampak advencer betul. 

Tapi taklah seadvencer yang saya fikirkan lagi satu opsyen tapi rasanya isteri memang takkan benarkan. 

Sebenarnya, di dalam jadual keretapi, ada banyak perjalanan ke selatan sepanjang hari. Ia bermula awal pagi hingga lewat malam. Secara tak sengaja saya terfikir, bagaimana jika saya menaiki keretapi malam? Dalam jadual, perjalanan terakhir ialah jam lapan malam dan akan tiba dalam setengah jam sebelum tengah malam. Macam best juga. Tapi masalahnya tiada kenderaan nak ke mana-mana bila tiba di Segamat dan ia pun dah tengah malam. Jadi ada tak ada, saya kena pergi ke mamak dua puluh empat jam dan tersengguk-sengguk hingga sebelum subuh. Bila subuh masuk, boleh pergi ke masjid untuk mandi dan bersihkan diri lepas tu solat subuh. Tidur kejap, atau mungkin tak, sebab nak jalan kaki bersiar-siar di sekitar bandar sebelum naik bas ke Ayer Hitam. Tapi sudah tentu isteri takkan setuju sebab bahaya. 

Okeh, masuk hal kedua.

Walaupun ia kedengaran mengada-ngada, saya rasa seperti malas nak ambil gambar pakai telefon bimbit (walaupun ia lensa Leica). Nak pakai Nikon Coolpix, kadang-kadang rasa sikit leceh dan ia pun macam dah bermasalah sikit. Jadi saya tak tahu nak pakai kamera apa untuk travelog (dah alang-alang naik keretapi kan, kalau naik motor tak pe lagi). Nak pinjam kamera Adam atau Beduk rasa tak konfiden pulak. Akhirnya saya terfikir kembali kepada kamera rantai kunci Kodak iaitu Charmera yang memang dah lama ada dalam troli shopee saya, tanpa fikir panjang, terus saya buat sikit kajian dan terus beli sebiji. Selepas cuba tadi, nampak ia lebih kepada estetik saja. Tapi bila fikir kembali, bukankah tulisan saya juga begitu, tak mendalam langsung, hanya sekadar estetik. Mungkin ia sudah dijanjikan. 

Jadi selepas secara tak sengaja berjaya mengatur perancangan bagaiaman mahu pulang ke Johor waktu mengundi nanti, sekarang hanya tinggal satu perkara saja tinggal, iaitu membeli tiket keretapi. Tapi setakat ni, saya masih menelaah apa beza koc-koc ni. Mana koc paling best ke yang banyak manfaat ke, sebab tak tahu.

Juga, selepas semua perancangan ini, saya tak pasti lagi apa material yang akan saya rilis. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan