Rasa bosan juga. Mungkin sedikit kecewa.

Bila kau dah lama tak menulis, kau akan susah tidur. Aku tak tahu nak kata jika ia adalah insomnia, tapi aku fikir insomnia adalah lebih teruk. Kebelakangan ini hidup rasa selesa--- aku tak ada masalah untuk tidur, aku cuma perlu letak kepala atas bantal, dan rasa dalam sesaat dua terus tertidur; cuma bila ia terlalu selesa, aku dapat rasa seperti bawah-sedar-aku tak menyukainya dan mula cari sesuatu untuk membuatkan aku rasa getir atau susah hati. Pertama sekali sekali aku rasa dia ganggu ialah tidur. Sejak mula kerja pejabat, aku kena pilih untuk aktiviti apa yang aku mahu buat dan tak boleh nak pilih semua. Dulu, masa awal kerja pejabat dengan rutin yang tetap (bukan seperti empat bulan terawal 2026, kerja pejabat tapi masih ada kerja lapangan dan jadual yang berubah-ubah), aku pilih untuk menulis bila sampai rumah habis kerja. Tapi sekarang, aku kena pilih untuk bersenam dan cukupkan sepuluh ribu langkah sehari, jadi lepas habis kerja, masa aku banyak habis untuk itu. Dan menulis hanya pada hari Sabtu pagi - ya, agak spesifik, sebab awal pagi Sabtu aku kena pergi hantar Ariana ke terapi dan memandangkan ia perjalanan yang agak jauh, jadi ia agak membazir masa dan petrol untuk balik ke rumah lepas hantar Ariana; jadi aku akan ke restoran mamak atau Mekdi untuk menulis, sampailah terapi Ariana selesai. Tapi kemudian, memandangkan cuti pejabat hanyalah Sabtu Ahad, jadi terlalu banyak benda yang hendak disumbatkan pada Sabtu Ahad itu hingga ada waktu, aku tak dapat nak meneruskan rutin Sabtu pagi. Aku rasa sekarang baru dua minggu, atau tiga minggu, aku terpaksa langkau rutin menulis Sabtu dan aku tak terfikir langsung untuk menulis lepas balik pejabat, tapi perlahan-lahan ia menganggu tidur aku. Walaupun aku masih dapat tidur, tapi agak rasa payah. Aku akan letak kepala di atas bantal tapi rasa macam menghabiskan lebih masa di liminal berbanding betul-betul tidur. Dan tak ada cerita yang terlintas di dalam kepala, langsung. Ia agak teruk juga. Sebelum aku tidur, bila aku letak kepala atas bantal dan pejam mata, akan ada beberapa cerita yang akan terlintas di dalam kepala, tapi sekarang tak ada langsung. Hanya ada tak-boleh-nak-fikir (bukan kekosongan, sebab kosongkan fikiran ialah hal yang berbeza) dan tak boleh tidur. 

Selain itu, aku mula rasa nak cari hobi lain - sepanjang minggu ni, aku mula fikir macam mana nak bina obstacle dan buat skatepark mini di belakang rumah, rasa seperti nak cari kamera bawah seribu ringgit, mula tonton video pov barista kemudian video tentang kafe-kafe kecil, kafe-kafe jalanan, dan mula terfikir jika aku patut ubah sedikit bahagian depan rumah untuk akses kafe kecil untuk bawa pergi dan pesanan dalam jaringan; dan paling ekstrem (bagi aku la) tiba-tiba aku asyik tonton video solo stealth camping dalam kereta. Aku rasa ni memang bagi petanda yang tubuh aku sudah rasa selesa sangat hingga aku perlukan cabaran - sedangkan sebenarnya aku dekat pejabat baru je mula tugasan baharu yang luar jadi skop kerja (sebab diorang tak cukup orang, jadi aku kena bantu kerja-kerja itu dan pelajari lebih mendalam tentang pekerjaan itu). Mungkin secara kreativitinya aku ketandusan aktiviti, menyebabkan ia terpicu semua ini.

Sebenarnya aku dalam situasi rasa nak berhenti menulis lagi. Ya, walaupun aku dah tahu dan pernah lalui sebelum ini - di mana kesudahannya aku akan terus menulis walaupun tiada penerbit yang sesuai - tapi walau lepas lebih sepuluh tahun menulis pun, penolakan tetap rasa ngilu, sama seperti waktu kali pertama. Tapi aku dah tak ingat pun penolakan kali pertama tu. 

Aku ada rasa macam sudah sampai waktu untuk kembali mendiamkan media sosial, fokus untuk habiskan Luka dan cerpen tambahan Insomnia, kemudian mulakan menyusutkan bukit tsundoku. Oh, rasa macam patut tulis dua skrip pentas, tapi itulah, tiada cerita yang melintas bila letak kepala atas bantal, buat ia agak sukar untuk mengarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan