Saya tak berharap untuk memulakan kontroversi

Mungkin selepas kejayaan di hadiah sastera tempoh hari saya terlupa untuk mengemas kini di sini tentang perihal anugerah itu kerana asyik menyembunyikan hal ini. Walaupun bernasib baik sebab ada kawan-kawan untuk berkongsi rahsia tapi masih kena jaga ayat supaya tak terlepas cakap. Rasa macam mungkin beberapa minggu awal dah tahu pasal kena hadir ke majlis itu dan diminta merahsiakannya, jadi ia rasa agak berhati-hati tak terlalu berkongsi kecuali dengan beberapa individu yang mungkin berkaitan. Oleh sebab sudah beberapa minggu berlalu selepas penganugerahan itu, mungkin sekarang dah tak rasa nak kongsi apa-apa sebab dah lupa. Cuma pasca majlis, ada satu hal yang asyik terfikir. Ia tak penting cuma, mungkin bagi saya, agak memikirkannya. Di dalam bio saya ada tertulis - juga, tidak pernah memenangi sebarang anugerah dan sayembara. Okey, untuk hadiah sastera baru-baru ini, cerpen saya terpilih untuk memenangi hadiah penghargaan, bermakna saya tak berjaya memenangi hadiah utama. Jadi, dalam konteks ini, adakah saya dah 'memenangi sebarang anugerah' atau belum? Kalau nak optimis, ya, dah menang la tu walau bukan hadiah utama, ia telah diraikan dan dah naik pentas, dan dah tersiar di media. Dan bila fikir semula, kira okey la, mungkin saya patut slash perkataan anugerah. 
Namun walaubagaimana pun, ada hal-hal yang telah saya sedari selepas berminggu hadiah sastera selesai dan saya fikir, secara moralnya, saya tak boleh lagi slash perkataan anugerah dalam bio, bermakna saya perlu biarkan saja. 
Secara jujurnya, ada dua perkara yang membuat saya mengambil keputusan begini dan mungkin ia bukanlah keputusan yang bermoral. Pertama kerana saya perlukan duit dan kedua, saya tak fikir saya mahu menjadikan hal ini lebih rumit. Tapi, sekiranya ada apa-apa bantahan dan memerlukan saya melepaskan wang kemenangan, saya akan ikutkan saja. Lagipun, saya fikir dalam satu klausa mungkin ada menyatakan - keputusan juri adalah muktamad. Tapi ya, saya masih terbuka untuk sebarang perubahan keputusan. 
Untuk memudahkan cerita, setiap kategori ada seorang pemenang utama dan tiga pemenang hadiah penghargaan. Dan menurut laporan juri, ia bukanlah rahsia, jika penghargaan ini diberi dalam turutan kedudukan, cerpen saya adalah yang berada di kedudukan terakhir  maknanya saya pemenang hadiah penghargaan ketiga (3). Ini kerana, menurut laporan, cerpen saya tidak terpilih pada mulanya, juri dah siap pilih pemenang utama dan tiga penghargaan dan cerpen saya tidak termasuk dalam senarai ini. Walau bagaimana pun, selepas senarai itu dihantar, mereka mendapati pemenang penghargaan 2 dan 3 adalah orang yang sama. Jadi juri perlu bersidang sekali lagi kerana mereka perlu memlih pemenang ketiga dan mereka memilih cerpen saya. Saya tak menyedari beberapa hal yang mungkin mereka terkhilaf (atau mungkin tak, entah saya tak tahu, mungkin saya terlepas pandang) hinggalah semalam. Syarat pemenang untuk semua kategori ialah seorang pemenang tak boleh memenangi dua (atau lebih) hadiah dalam kategori yang sama untuk satu-satu tahun itu. Sebab itu penulis yang memenangi hadiah 2 (dan 3) tadi hanya dapat satu hadiah saja. Tapi di dalam syarat, ia juga menyatakan dibolehkan pemenang memenang lebih dari satu hadiah dalam kategori sama jika ia diterbitkan oleh penerbit yang berbeza. Saya tak pasti jika ada aspek lain yang saya terlepas, tapi ya, cerpen penulis yang sama tadi (2 dan 3) diterbitkan oleh penerbitan yang berbeza. Jadi sepatutnya dia layak untuk ambil kedua-dua hadiah penghargaan itu. Dan sebenarnya saya tak menang apa-apa malam itu. 
Secara jujurnya saya tak pasti jika saya patut bangkitkan hal ini atau tidak, tapi buat sementara ini, mungkin lebih baik saya bawa bertenang dulu dan fikirkannya kemudian. Sebab ia masih agak awal waktu saya menyedarinya. Tapi satu hal saya pasti, tak ada apa-apa yang akan berubah di dalam biodata saya (sehinggalah saya memenangi anugerah lain atau sayembara, yang saya rasa ia takkan berlaku dalam tempoh terdekat ini. Atau mungkin inilah satu-satunya waktu saya memenanginya).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan