Selepas mak dah tak ada, aku sebenarnya baru perasan beberapa hal antara adik beradik yang selama ni tak perasan sangat. Aku selalu fikir yang aku tak mewarisi apa-apa tabiat yang jelas dari keluarga, tapi bila dah melewati usia belia, ia akan mula kelihatan. Selalu waktu raya, antara hal yang lucu bagi keluarga aku ialah mak selalu tak akan terus bangun beredar walaupun dia atau siapa-siapa antara kami kata, jom. Sama ada mak sendiri atau orang lain tanya, dah? dan semua orang pun jawab, dah, mesti takkan bangun dari kerusi atau sofa, sebaliknya ia akan jadi beberapa kali 'jom' sebelum betul-betul balik. Kadang bila dah bangun dan dah jalan keluar rumah yang pergi beraya tu pun, masih tak habis lagi berborak. Dan aku mati-mati ingat (Mungkin adik beradik yang lain juga) mak je yang ada perangai tu. Rupanya aku pun sama juga. Dan kelakar juga bila ingat, sebab selalunya ia berlaku antara aku dan adik beradik je. Macam mak dengan adik beradik dia la. Kakak aku datang rumah dua Hari aku tak berborak sangat dengan dia, sebab aku memang tak pandai nak borak sangat pun sebenarnya, selalunya kakak aku yang lagi satu pandai berbual sikit, kitorang yang lain biasa mengikut je. Atau mungkin kakak sulung dan kakak kedua aku kot yang pandai sikit berborak dengan orang, aku dengan kakak ketiga aku selalu menyorok bila datang tetamu. Jadi kakak ketiga aku datang rumah dua Hari, aku duduk dengan dia tak berborak sangat, ada la tanya tanya sikit lepas tu kitorang diam. Tapi masa dia nak balik, baru la macam ada benda nak berborak pulak. Dia dah nak masuk kereta, aku pula tunggu kat luar lepas tu macam macam pulak nak tanya sampai kena bising. Lepas kakak aku gerak jugak akhirnya, aku masuk dalam rumah lepas tu kena bising - dua hari kat rumah (dan kebetulan aku cuti dua hari tu) takde pulak nak berborak dengan kakak dia, dah nak naik kereta macam macam pulak nak diborakkan. Aku gerak je lah. Lepas tu aku terfikir, macam betul juga, selalu waktu aku nak gerak dari kampung nak balik rumah, barulah ada borak macam macam, dengan kakak-kakak aku. Selalunya kalau nak gerak dari kampung tu, aku kena bagi lebih masa sikit jangkaan waktu gerak sebab aku tahu mesti lambat sikit punya. Kalau bajet nak gerak tengah hari, aku cakap nak gerak sebelum tengah hari. Atau nak gerak lepas Asar, aku cakap gerak sebelum Asar.
Aku ingat anak-anak aku takde mengikut perangai aku sangat, lah baru sedar Ariana sebenarnya ada sikit la perangai ni. Ada masa dia akan dekat dengan makcik atau pakcik dia, tapi masa diorang ada, Ariana tak peduli pun, dia main sendiri, takde pun duduk main dengan makcik pakcik dia. Ha, sekali waktu makcik pakcik dia nak balik, baru la sibuk nangis mengamuk semua. Mula-mula geram juga sebab - lah orang tu ada ko tak main pun dengan orang tu, ni orang tu nak balik baru beria menangis dah kenapa.
Ada lagi satu habit yang aku rasa melekat juga dengan aku, ialah takde nak bagitau awal-awal kalau nak pergi rumah sedara (waktu raya je la). Aku ingat ni macam hal normal bagi orang lelaki atau hal yang normal waktu raya, sebab kalau orang tu takde kat rumah, takpe la, balik je la atau pergi beraya rumah orang lain. Atau macam tersalah masuk lorong atau jalan, takpe lah, bukannya tak boleh payah balik atau lalu jalan lain, sekurang-kurangnya dapat tahu juga jalan yang salah masuk tu ada apa kat situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan