Sekadar perancangan 2026

Progress menulis novel ketiga tahun ini mungkin terasa perlahan, tapi macam menunjukkan petanda yang baik. Walaupun memang perancangannya ialah mula menulis pada Disember, tapi berharap untuk mula menulis dengan lebih awal - mungkin sekitar hujung November tapi SIBF bermula hujung November jadi agak sibuk membantu menyeduh. Dan memulakan penulisan novel ketiga ini agak skeptik, tak yakin akan mampu memulakan dan menghabiskan tapi selepas duduk di meja reruai waktu bekerja menyeduh dan berselang seli dengan pelanggan yang datang memesan minuman, termasuk keriuahan pengunjung yang tak begitu ramai (berbanding hujung minggu, mula menulis novel ni pada Selasa) bergabung dengan suara penjual reruai yang lain juga bunyi pembesar suara reruai penjual air balang yang asyik memainkan lagu-lagu yang berdentam dentum haram tak sedap (ada lagu akal imitasi, ada lagu tekno, ada lagu nasyid sebab dah maghrib dan kadang-kadang zikir) entah kenapa seperti membantu untuk memulakan novel. Sasaran ialah setiap bab dalam dua ribu patah perkataan dan semalam ajaibnya, berjaya selesaikan bab pertama dengan lingkungan dua riba perkataan. Agak kagum dengan diri sendiri dan rasa seperti ada momentum yang perlu diteruskan untuk novel ini kerana awal lagi seperti dah dapat rentak. Boleh jadi juga sebab ini adalah draf yang sangat kasar, jadi jangkaan mungkin lebih rendah. Tapi masih percaya ia dalam kualiti yang agak baik (untuk peribadi, tapi mungkin tidak untuk penerbit). Cuma kekurangannya ialah tak betul-betul baca plot dan garis cerita, jadi ada yang tersilap plot dan idea cerita. Tapi lepas semak, macam agak minimal juga. Sebab macam masih booleh ditukarkan menjadi mengikut kehendak cerita. 
Walaupun sepatutnya hari pertama Disember lagi dah mula tulis, tapi kalau hari kedua Disember dah ada draf untuk bab pertama, rasa macam konfiden untuk menghabiskan sasaran lima belas bab dalam Disember ini sahaja. 
Mungkin menulis novelisasi Luka banyak membantu. Jadi sementara masih dalam mood Tahun Menulis Novel Kebangsaan, bolehlah teruskan. 
Okey, berdasarkan perkembangan terkini beberapa hari di SIBF, mungkin Tahun Menulis Novel Kebangsaan akan dilanjutkan hingga pertengahan tahun 2026. Walaupun tak yakin, tapi sekurang-kurangnya kalau ada tarikh akhir, bolehlah menjadi rujukan berbanding tak ada sekatan. Dan bersama perkembangan ini, mungkin Tahun Menulis Puisi Kebangsaan akan dijadualkan jauh lebih lambat. Berbual dengan beberapa rakan penulis dan penerbit, ada kemungkinan untuk tempoh waktu akan datang, fokus pada novel:

Satu-- novel penulis upahan (sebenarnya tak boleh sebut langsung, tapi korang pembaca blog ni akan tahu, cuma jangan sebutkannya secara terbuka sebab ini adalah novel yang ditulis untuk penulis lain dan saya tidak akan mengambil kredit)
Dua-- novelisasi Luka (siap draf pertama bulan lepas, saya akan rehatkan draf itu sebulan dan bermula Januari akan kembali melawat draf ini untuk manuskrip akhir; seperti pernah saya sebut ada beberapa aspek yang akan diberi penekanan)
Tiga--novel Re: Cincin (novel yang saya hantar untuk sayembara tapi tidak terpilih, jadi akan panjangkan kepada penerbit lain, tapi tidak akan hantar salinan yang sama, sebaliknya akan rombak semula susunan cerita, walaupun cerita yang sama, tapi susun atur yang berbeza, ini mungkin Januari akan hantar pada penerbit untuk penilaian)
Empat---novelet keempat (swaterbit, sebab macam dah lama juga dari kali terakhir tulis novelet, jadi ada rasa keperluan untuk lengkapkan dalam jumlah genap. Dulu sebenarnya nak buat enam novelet tapi sebab sibuk, saya harap sekurang-kurangnya untuk genapkan jadi empat. Dan sampul dia pun dah lama siap.)
Lima--novel pendek (untuk penerbit; baru diminta waktu SIBF beberapa hari lalu, memandang memang ada dua idea untuk novel pendek dan kebetulan dua-duanya walau belum benar-benar mula tulis tapi kedua-duanya dah mula tulis hal-hal rambang berkaitan idea itu walaupun sebenarnya masa nak tulis ni cuma ada satu penerbit dalam kepala dan tak rasa untuk penerbit ini akan siapkan dalam masa terdekat sebab perlu keperincian yang lebih, jadi tak letak tarikh akhir. Dan juga tak tahu hasilnya bagaimana, jadi tulis saja dua-dua dulu. Tapi sebab dah ada penberbit lain minta, jadi boleh berikan salah satu. Ia novel pendek sebab jumlah perkataan yang dirancang lebih pendek dari sebuah novel, mungkin dalam 30 ribu perkataan saja. Sebab untuk projek ini -  dua-dua novel pendek tadi - kepanjangan perkataan bukanlah sesuatu yang ditekankan.)

Di samping itu, antara sasaran tahun depan adalah siri poskad cereka (satu cerita tapi pecah dalam empat poskad) dan juga sebuah kumpulan cerpen (masih belum putuskan sama ada mahu ambil semula manuskrip cerpen yang pernah dihantar atau tulis baharu; tapi ini mungkin akan mula fikir pada enam bulan terakhir 2026. 
Jadi, selepas semua ini, bolehlah nampak mengapa Tahun Menulis Puisi Kebangsaan, terpaksa ditangguhkan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan