menjadi foti

Menjadi empat puluh adalah menyedari mengapa definisi belia berakhir pada umur empat puluh. Walau aku tak pernah begitu terfikir mengapa empat puluh masih belia, tapi aku selalu fikir mengapa tiga puluhan masih dikira belia? Dan bila melintasi empat puluh baru aku sedar empat puluh adalah di mana tubuh tidak lagi berpura-pura menjadi muda. Berpura-pura menjadi belia. Seperti tiga puluh. Aku akan selalu terfikir, tiga puluh taklah teruk sangat dan ia tak terasa berusia seperti aku selalu fikir waktu kecil---malah aku selalu fikir dua puluh tujuh ada dewasa dan berusia. Begitu juga dengan tiga puluh lima. Tapi melewati umur-umur ini, baru aku sedar mengapa empat puluh adalah tahun terakhir kau menjadi belia. 

Menjadi empat puluh adalah bila tubuh tidak lagi berselindung untuk mendaki usia. Walau ia hanyalah permulaan. Dan ia bermula dengan rabun dekat. Ia akan jadi lebih teruk jika kau memang sudah rabun jauh sejak awal. Punya kedua-dua rabun pada waktu yang sama adalah sesuatu yang menjengkelkan. Harga kaca mata jadi lebih mahal dan kau boleh saja untuk abaikan dan pakai saja seperti biasa tapi tidak, ia takkan jadi lebih biasa. Kau akan kelihatan bersusah payah untuk melihat tulisan kecil. Dan kau masih perlukan cermin mata itu untuk lihat benda jauh. 

Menjadi empat puluh adalah menyedari segala hal yang kau sebenar-sebenarnya kau arif berbanding yang kau minat. Aku empat puluh dua tahun ini dan aku baru menyedari yang aku lebih arif dengan angka. Selepas empat puluh tahun. Walaupun aku tahu aku agak baik dengan subjek matematik, angka, dan biasa punya keputusan peperiksaan yang baik dalam subjek ini, tapi aku selalu fikir, kecenderungan aku ialah bahasa sebab aku tak pernah gagal dalam subjek ini dan bahasa Melayu aku (kalau tak silap) tak pernah dapat bawah dari A sejak dari sekolah rendah. Ia buat aku fikir yang aku gemar membaca dan ia seterusnya membuat aku fikir yang aku gemar subjek membaca. Sedangkan sebenarnya aku tak begitu arif dalam subjek membaca. Subjek pemasaran, teknologi maklumat, kewangan atau ekonomi, semua itu subjek yang perlu banyak baca dan orang kata subjek membaca lebih senang dari subjek mengira dan aku percaya. Tapi aku lupa, waktu SPM, aku hanya benar-benar belajar pada tahun terakhir sekolah menengah. Secara harafiahnya, tak belajar dan peduli tentang pelajaran, matapelajaran dari tingkatan satu hingga empat, dan hanya pada tingkatan lima, aku ambil buku dan mula belajar. Matematik moden dapat A1. Matematik Tambahan? 7D. Walau kau boleh kata gred lulus mungkin telah direndahkan, tapi situasi aku - Matematik Tambahan aku tak jawab semua soalan dalam kertas peperiksaan dan aku hanya belajar Matematik Tambahan pada tingkatan lima dan itupun tak semua - kerana aku berpindah ke sekolah baharu masa tu dan cikgu Matematik Tambahan tu dah buat silibusnya sendiri; sepatutnya sudah tetap pecahan tajuk mengikut tingkatan empat dan tingkatan lima tapi cikgu itu buat pecahan sendiri, menyebabkan ada subjek yang aku belum belajar di tingkatan lima, dia dah ajar tahun sebelumnya di tingkatan empat waktu aku belum berpindah ke situ. Dan ada subjek yang aku dah belajar di tingkatan empat, dia baru nak ajar di tingkatan lima. Dan bila masuk diploma, aku masih dapat A1 untuk subjek MAT140 walaupun mereka kata ia matapelajaran killer. Ramai tak lulus dan kena ulang sem sebab subjek ni. Begitu juga dengan subjek akaun. Aku dari aliran sains dan tak pernah belajar langsung akaun dan aku kena ambil subjek akaun beberapa kali di universiti dan tak pernah mengulang kertas. Cuma subjek kewangan, walaupun ia adalah subjek mengira, tapi sebenarnya ia adalah subjek membaca dan mengira sekali gus. Mungkin sebab itu aku tak pernah minat pada subjek kewangan dan terpaksa ambil banyak subjek kewangan masa ijazah sebab kampus aku tiba-tiba bercadang untuk buka pengajian yang aku pilih tapi elektifnya semua pelajaran kewangan. Tapi pada empat puluh dua, apa je kau boleh buat dengan kesedaran ini? 

Menjadi empat puluh adalah di mana kau akan dilihat cool oleh budak-budak muda jika kau dari dulu menongkah arus tapi akan jadi membosankan dengan kawan-kawan sebaya kau. Kau ada dua puluh tahun pengalaman untuk tak berbuat benda yang sama setiap kali dan kau akan kedengaran unik pada kawan-kawan kau yang hampir dua puluh tahun lebih muda. Dan kau takkan kekok dengan mereka seperti kau kekok untuk berbual dengan mereka yang sebaya dengan kau. Atau lebih tua. Atau mungkin itu hanya kau saja. 

Menjadi empat puluh juga, mungkin akan buat kau rasa seperti kau mahu jadi seperti Mieko Kawakami, walau idola kau, seperti setiap kalinya, adalah Bukowski. Si tua kutuk yang hodoh.

Menjadi empat puluh adalah, sekali lagi, menyedari tubuh kau telah mengkhianati kau setiap kali. Kau takkan sedar bagaimana ia bermula tapi bila kau menyedarinya, kau akan fikir tubuh telah mengkhianati kau. Kau tak lagi boleh minum kopi dengan selesa, kau takkan boleh minum susu tanpa perut bergelodak dan kau akan rasa semua benda terlalu manis dan terlalu masin. Kau tak pernah fikir hal-hal seperti gerd atau gastrik atau kembung perut selepas menjamah atau menghirup sesuatu tapi selepas empat puluh, kau akan mula menyedarinya walau sebelum ini kau tak ada masalah untuk minum lima cawan latte sehari. Atau sejag besar americano. Kau tak fikir tentang kolestrol sebab kau kurus (atau sekurang-kurangnya berada di paras BMI berhampiran). Atau tentang tekanan darah; jika ia terlalu rendah atau tinggi. Tapi selalunya tinggi. Adakah terlalu tinggi?

Menjadi empat puluh juga buat kau rasa asing dengan malam, dengan lewat malam. Kau tak rasa akan begitu mendampingi malam tapi malam akan mendakap erat waktu kau pejamkan mata. Bukan ketika kau bukakan mata. Tapi kau perlukan dunia untuk tidur ketika kau mengetik papan kekunci tapi menjadi empat puluh, kau yang akan bersama dunia untuk tidur bagi pengarang lain menempuhi malam dengan menekan papan kekunci. Tak ada insomnia untuk kau. Yang ada hanyalah kesedaran waktu yang cukup-cukup untuk kau bersiap ke tempat kerja. Dan begitu juga pulang kerja - hanya ada waktu yang singkat untuk kau bersiap ke tempat tidur semula. 

Menjadi empat puluh bukan lagi tentang kau. Ia tentang makhluk-makhluk kecil yang comel yang buat kau bangun pagi dan meredah trafik untuk ke tempat kerja. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan