Rasa macam tahun yang panjang, tapi sebenarnya baru habis April. Dan selalu fikir, tiga puluh adalah di mana aku rasa, aku akan buat dan terokai benda baharu sebab satu-satunya hal yang akan menahan kita dari melakukan dan mempelajari sesuatu adalah diri sendiri. Dan ya, aku lakukan itu dan percubaan itu mendefinisikan sedekad lebih seterusnya. Tapi agak mengejutkan bila aku fikir empat puluh akan buat aku jadi lebih perlahan dan tenang seperti mana aku memulakan empat puluh tapi aku dah mula rasa empat puluhan adalah ketika aku mahu lakukan lebih lagi berbanding tiga puluh. Maksud aku, tiga puluh adalah di mana aku menerokai kopi dan kerja-kerja belakang tabir di kafe-kafe, dan juga dekad memulakan perjalanan sebagai pengarang; dan kedua-dua ini adalah identiti yang aku bawa bertemu khalayak sama ada baharu atau lama. Dan tahun ini, aku mulakan dengan kembali bekerja di pejabat (dan juga lapangan). Sesuatu yang aku tak rasa aku akan punya tenaga untuk melakukannya pada sepanjang dua puluh, dan mungkin sebahagian tiga puluh, tapi agak bersemangat pada empat puluh. Aku terbaca pernah je seseorang berjawatan besar, berpindah kerja dan mengambil jawatan lebih rendah dan ia bukan menurun taraf, tapi sebaliknya kerana mahu berehat. Boleh juga kata prapersaraan. Lebih kurang begitu juga aku fikir bila masuk kerja pejabat sebab aku selalu anggap yang aku tak ada apa sangat yang mahu dikejar pada umur begini (sebab dah tak berjaya nak jadi apa yang dikehendaki, atau memang takkan berjaya dapat apa yang diingin---merujuk kepada kerjaya) jadi baik juga aku kerja je apa-apa dan anggap ia sebagai pekerjaan persaraan. Senang cakap, kerja yang tidak memerlukan tanggungjawab yang banyak sambil hidup dengan seminimal yang mungkin.
Dan ia menyeronokkan. Cuma ada waktu aku tak boleh terlalu selesa. Atau mungkin aku terlalu ingin tahu. Jadi bila ada tawaran kerja lain, aku terima je sebab rasa nak tahu. Dan aku juga masih boleh patah balik jika aku. Dan itu juga yang aku lakukan. Selepas empat bulan, aku berhenti kerja, kerana dapat tawaran - gaji yang sama dan jawatan yang sama - di tempat lain. Tak ada beza sebenarnya tapi entah, aku tak tahu macam mana nak menolak dan aku hanya kata, ya.
Mungkin teringin tahu bagaimana kerja di sebelah sana selepas dah tahu bagaimana kerja sebelah sini. Berbelah bagai juga walau tak tahu kenapa. Dan sebenarnya, aku tak rasa aku yang tiga puluh akan buat perkara macam ni. Aku yang sekarang, rasa teruja untuk terokai lebih pengalaman, dalam masa singkat, walaupun, entah, ia mungkin tak ada apa-apa makna. Tapi mungkin sebab aku percaya. Hal yang mirip adalah bila aku bertekad untuk beli pad, papan kekunci dan tetikus waktu di kafe sebab aku rasa seperti ada desakan. Walaupun aku rasa, aku boleh saja berpuas hati dengan apa yang ada ketika itu, tapi entah, aku rasa aku perlu beli entah apa, untuk beberapa kali, dan cakap pada diri sendiri, ya, ia perlu dibeli. Agak lucu juga, sebab beberapa bulan kehadapan, aku memang perlukan semua itu waktu kerja di pejabat. Tapi ia bukanlah alasan yang kukuh pun, sebab penggunaan peranti memang sentiasa diperlukan, tak kira apa alasannya.
Dan sekarang, aku di antara transisi dari statistik kepada kesihatan. Dan entah mengapa, terselit di antaranya, ialah keinginan untuk sambung belajar. Ambil Master. Aku yang tiga puluh memang dah tahu, hampir tiada langsung keperluan bagi aku, untuk menyambung pelajaran. Sebab satu-satunya alasan, jika aku mahu menyambung pengajian ialah untuk jadi pensyarah. Di mana aku tak rasa aku akan layak atau sesuai jadi pensyarah. Tapi sejak beberapa minggu, aku terfikir apa pilihan yang ada untuk sambung pengajian, boleh ke melompat dari perniagaan kepada bahasa, tapi paling penting, ada ke waktu dan duit untuk aku sambung belajar? Semuanya aku rasa bila seorang kawan kata aku boleh jadi pensyarah sebab nampak layak/sesuai. Dan selang beberapa hari, ada kawan lain kata, pensyarah penulisan di fakulti tak pernah menghasilkan buku. Ia agak ironi di situ. Terasa ia seperti sebuah panggilan untuk menjadi pensyarah-penulisan-yang-menulis di situ.
Cuma tak rasa ia mudah. Sebab hanya ada pengalaman tak formal sebagai seorang penulis. Tapi bila fikir, aku ada sasaran dua puluh tahun sebelum bersara untuk mengumpul kembali duit, aku terasa mungkin aku patut cuba. Tapi entah. Rasa macam, ia sebuah pertaruhan yang besar, sebab melibatkan jumlah wang yang besar bagi aku. Tapi tak tahulah. Ada waktu, kita tak merancang tapi semuanya telah dirancang untuk kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan