Sedikit catatan untuk tahun baharu. (Kahkahkah dia sedikit).

Ada beberapa perkara yang saya rancang untuk awal 2023, bermula Januari hingga Mac. Semuanya lebih kepada hal peribadi dan beberapa hal berkaitan penulisan. Rasa macam banyak benda tapi sebab itu memang fokusnya, jadi saya akan sentiasa teringat walaupun ia rasa macam abstrak sangat, jadi saya tulislah di sini senang nak rujuk balik nanti waktu masuk bulan April dan tanda mana yang dah setel.

Oh, disebabkan beberapa fokus saya ini, saya juga tak aktif di sosial media - twitter, instagram, facebook, tumblr, maaf kalau ada yang tag atau mensi atau hantar permintaan untuk mengikuti atau berkawan jika saya tak balas sebab memang saya hanya buka beberapa sekali, itupun sebenarnya memang tak mahu buka langsung, tapi tengoklah, mungkin memang takkan buka langsung kecuali jika saya dapat notifikasi, atau selang seminggu atau beebrapa hari saya akan periksa. Saya tak pasti bagaimana hal puasa media sosial ini termasuk dalam sebahagian perkara awal 2023. tapi secara kebetulan, ia memang banyak membantu saya dalam fokus rancangan awal 2023.

1. Saya rancang untuk turun berat sebanyak 20 kilogram. Saya sasarkan dalam tiga bulan, walau rekod yang lepas, saya berjaya turun (Cilakak aku kena cuba cari maklumat macam mana diet aku sebelum ni tak jumpa, waktu ni aku dah berhenti menulis blog rasanya dan dalam twitter aku cuba cari maklumat tak jumpa, kalau ada pun sangat berbeza dengan yang aku ingat. Hari tu pun sama, ada satu kejadian aku dan isteri alami bersama tapi bila cerita balik hal yang dah lama tu, aku pun cerita dengan dia punya cerita lain gile. Okey lah, camni je lah, seingat aku, masa pertama kali diet, berat aku mungkin dalam 85 kilogram - aku kena tulis penuh sebab nanti senang nak cari balik sebab kat twitter, aku tulis 85kg, jadi bila aku cari kg tak jumpa 85kg, atau aku cari 5 atau 85 pun tak jumpa sebab dia kira 85kg sebagai satu entiti. Takkan aku nak tekan dari 1 sampai 100 dengan kg baru nak jumpa. Okeh sambung balik, dulu aku ingat 85 kilogram, tapi lepas tu ada aku syak penimbang aku rosak dan berat sebenar ialah 87 kilogram atau 90 kilogram, tapi waktu tu aku memang ikut penimbang tu, berat aku 85 kilogram walau aku rasa sekarang berat 85 kilogram juga tapi dulu lagi teruk gemuknya. Seingat aku, aku berjaya hilang 13 kilogram pada bulan pertama, dan bulan kedua aku tak ingat berapa, ada rasa macam total dua bulan tu tak sampai 20 kilogram. Tapi bila semak balik twitter, aku hilang 13 kilogram dalam masa dua bulan. Dan aku tak ingat berapa bulan sebelum aku sampai kat berat yang aku target - 65 kilogram (tapi berjaya la). Jadi sebelum tulis ni, aku memang dah bajet untuk turunkan berat badan sebanyak 20 kilogram dari 85 kilogram ke 65 kilogram. Dan macam mana nak capai, ialah aku sasarkan turun berat sebanyak 10 kilogram sebulan. Jadi bila pecahkan lagi, seminggu kena turun 2.5 kilogram. Memang nampak macam boleh dicapai, sebab aku masih ingat yang dulu aku hilang 13 kilogram dalam masa sebulan, jadi, bulan pertama biasa memang akan banyak susut, bulan kedua dah mula perlahan. Dan aku saja letak sasaran tiga bulan sebab nak bagi lebih masa sebab sebelum ni dalam dua bulan tu tak berjaya pun turun 20 kilogram , jadi kali ni aku nak cuba juga dua bulan (Januari dan Februari), dengan satu bulan (Mac) sebagai sokongan kalau dua bulan pertama tak capai lagi 20 kilogram. 

Masalahnya, aku bantai je cuba, dan bandingkan dengan kali terakhir diet, kali ni awal-awal dah barai sikit. Takde la barai sebenarnya, kira ada beberapa kali tipu sikit makan benda tak boleh makan tapi dalam kuantiti sangat sedikit. Terutamanya latte. Minuman manis aku berjaya elak. Tapi bahagian senaman aku culas. Senaman ni kalau ikutkan hanya perlu dalam 15 peratus saja dari diet tapi lagi banyak senam, lagi cepat turun. Air kosong pun tak begitu kerap (aku rasa, sebab aku tak sukat, dulu aku sukat guna botol satu liter jadi aku kena habiskan tiga botol), aku cuba minum sebanyak aku ingat. 

Tapi alhamdulillah, aku berjaya juga capai 2.5 kilogram sebelum minggu berakhir. Ya, sebelum seminggu dah turun 2.5 kilogram. Aku syak ni sebab aku dah mula masuk bar untuk dua hari.   Aku mula diet 3 haribulan, kira sebelum habis hari ni 9 haribulan, dah hilang 2.5 kilogram. Aku tak pasti minggu depan macam mana, tapi aku ingat aku cuba ikut je lah sasaran seminggu 2.5 kilogram.

2. Menyiapkan dua manuskrip - satu novelet dan satu kumpulan cerpen. Sepatutnya saya siapkan kumpulan cerpen tahun lepas, sebelum masuk 2023 tapi saya telah langgar tarikh akhir dan sedaya upaya untuk selesaikan sesegera yang mungkin. Bermula diet, saya juga mula puasa sosial media, dan apa yang saya dapat rumuskan dari berpuasa media sosial ialah saya berjaya menjalankan progress kumpulan cerpen dengan begitu baik sekali. Walaupun saya punya jangkaan memang sangat tinggi, untuk siapkan enam cerpen dan edit dua cerpen dalam seminggu, tapi saya jangka mungkin dalam bulan pertama 2023 saya akan selesaikan. Kerana saya tak terlalu fokus kepasa sosial media dan saya paksa diri untuk tidak buka semuanya, jadi saya lebih banyak masa berfikir tentang cerita yang saya tulis. Dan juga masa yang saya gunakan sebelum ini untuk media sosial, telah saya gunakan untuk menulis. Saya tak sangka langsung yang tabiat ini memang sangat baik. Jadi, sementara saya siapkan manuskrip penting ini, saya akan berpuasa sosial media. Di telefon saya, saya cuma buka 9gag dan Candy Crush. Dan galeri Photos. Oh, Canva pun dah jarang buka. Juga ada rasa nak kena siapkan cepat kerana saya rasa dalam bawah sedar saya dah canang yang saya akan ke penerbitan mana dan masalahnya saya belum lagi buat  lagi apa-apa susulan dengan pihak penerbit. Saya memang bajet nak siapkan dulu kemudian baru mula berbincang.

Sementara manuskrip novelet, sepatutnya boleh siap tahun lepas tapi saya tak suka untuk siapkan tergesa-gesa walaupun saya sangat tergesa untuk menerbitkannya (siap dah kontek member nak tumpang cetak tapi tak sampai-sampai pun). Lebih kurang beginilah, novelet itu sudah hampir sampai penghujungnya tapi saya rasa ia macam ada sesuatu tak kena bila saya buat dengan segera. Jadi, saya berhenti untuk beebrapa ketika untuk dapatkan kembali apa yang hilang atau saya terlepas pandang. Novelet ini saya fikir untuk terbitkan dalam bentuk zine dan cetakan swaterbit saja; dan ia akan ada banyak versi (dari segi cetakan saja - harap saya tak ubah langsung isinya) kerana saya akan cetak sekian jumlah, bila habis, saya akan cetak lagi tapi dengan kaver dan reka letak lain pula. Mungkin akan DIY-AF seperti sebelum ini, atau mungkin hantar pada percetakan. 

3. Kembali ke dalam bar. Saya fikir ini agak drastik juga dan memang saya tak war-warkan walau kafe tempat saya bekerja merupakan tumpuan satu kelompok yang (mungkin) mengikuti atau mengetahui saya. Kembali ke bar lebih kepada serampang dua mata, untuk saya kembali berkecimpung dalam hal berkaitan kopi dan juga untuk duit sampingan. Saya cuba meminimalkan lagi kehidupan, di mana saya bercadang untuk jual kereta pertama saya - perkara yang sepatutnya dah lama saya lakukan tapi mungkin saya terlalu sentimental; dan juga menjual cafe racer saya. Ya benar, tak salah baca, saya akan menjual cafe racer saya. Saya boleh simpulkan beginilah, saya ada tiga kereta (satu digunakan untuk perkhidmatan sewa sepenuhnya) dan dua motor, dan kos untuk menjaganya rasa macam agak membebankan - cukai jalan, insurans terutamanya, tak termasuk hal lain seperti servis dan kerosakan. Kereta pertama saya paling kesian sebab dah la lama tak servis, ada beberapa kerosakan yang tak sempat saya perbaiki, dan keadaannya tak pernah berubah langsung - ya betul, langsung - dari beli sampai sekarang tanpa sebarang modifikasi atau tambahan aksesori. Memang macam mana saya dapat dari ejen jualan, begitulah keadaannya cuma dengan kerosakan sikit, campur dengan pudar, calar balar, kotor dan habuk. Dan barang-barang saya di dalamnya. Biasa orang dapat kereta, paling koman akan tukar sportrim dan pasang penggelap cermin, tapi tidak saya. Memang langsung tak pasang dua benda ni, apatah lagi benda lain. Cuma saya rasa memang patut saya jual kereta ni sebelum banjir hari tu. Jadi, dengan cafe racer ni saya ambil keputusan untuk terus jual sebab tak mahu tunggu terlalu lama hingga makin susut nilai. Jadi beberapa bulan lepas ni, memang akan berkelana dengan kereta kompak pula. Ya, berkelana sendirian di dalam kereta kompak. Dan kalau ada yang nak tumpang pun boleh je senang. 

Berada di dalam bar yang berbeza dengan jangkaan yang berbeza, buat saya rasa seperti kembali belajar semula banyak perkara. Terutamanya latte art kerana bar sebelum ini saya tak begitu pedulikannya kerana ia bukan keperluan. Di bar baru, ia adalah perkara paling penting. Biasa masuk tempat baru memang cabarannya ialah menu dan resipi. Lain bar lain cara penyediaan dan lain menu dan saya perlu ingat yang baru berbanding yang sebelum ini. Jadi dalam masa singkat ni saya perlu mahir latte art. Saya sasarkan untuk mahir bentuk rosetta. Sebab buat masa sekarang tak begitu minat bentuk angsa. Dan saya tak bercita-cita untuk buat bentuk kompleks. Cukup rosetta berlapis je.  

Saya harap beberapa hal tercatat di sini sempat saya selesaikan semua lebih awal berbanding perancangan. Supaya boleh teruskan dengan perancangan seterusnya. Untuk penulisan, saya bercadang untuk menyiapkan novel pada tahun ini. Lain dari itu, mungkin untuk bermain skateboard semula selepas berat dah ideal. 

Okeh, lepas berjaya turun 20 kilogram, aku akan potong rambut macam Skrillex. Lepas rambut tepi aku tumbuh semula dan buat aku rasa rimas, aku potong rambut aku jadi pendek. Tak pasti lagi pendek mana, setakat ni aku terfikir kalau tak pendek macam Emo Tom, mungkin macam Satyrrr.


Dah beli apron baru tapi belum sampai lagi. Memang dari dulu terniat untuk ada apron peribadi untuk saya tampal patches dan butang dan pin yang kewl. Kenapa tak pernah jumpa lagi barista persendirian pakain apron dengan sulaman pacthes, korang barista dengar lagu indie ke? Takde barista punk atau metal atau hardcore ke. Takpe aku mulakan. Jaga-jaga semua. Aku bajet nak beli seluar dan baju baharu walaupun aku target nak kurus sebab aku dah takde seluar dan baju sangat. Lagipun lagi tiga bulan, sempat la nak buat pakai-pakai. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan