Kemaskini selepas beberapa bulan.

Lama juga tak menulis, dah raya keenam, padahal masa raya kedua atau ketiga tu dah rasa macam patut sambung menulis, tak kisahlah kemaskini blog ni ke sambung projek novelet ke, tapi lepas tu rasa malas. Semalam ada juga taip sikit untuk blog dengan tajuk Bagaimana Daging Masak Palembang Saya Menyelamatkan Hari Raya tapi lepas tu terhenti dan lepas tu dah rasa malas nak sambung. Jadi saya simpan dalam draf dan tulis entri baru ni. 

Sepanjang tak kemaskini blog ni bukanlah tak menulis langsung, cuma lebih fokus untuk siapkan projek cerpen. Sepatutnya sasaran untuk siapkan dalam Januari atau Februari tapi sengaja letak sasaran lebih panjang sikit, sampai habis Mac tapi lepas April juga siapnya. Tapi sebenarnya saya bersyukur juga sebab ia habis ditulis, walau sedikit mengelat - sepatut tulis dalam lapan cerpen tapi sebab kepanjangannya mungkin dah lebih dari jumlah patah perkataan yang disasarkan, jadi saya berhenti setakat enam cerpen. Dan enam cerpen ni, mungkin yang pertama dalam koleksi cerita saya yang tidak punya arah tuju yang jelas. Maksudnya, selalu bila menyiapkan buku cerpen, saya akan tetapkan tema, atau sekurang-kurangnya  sesuatu yang sama di dalam kerangkanya tapi kali ini, saya tak rancang apa-apa. Tak ada tema yang khusus dan tak ada tajuk pun. Saya cuma hantarnya sebagai draf pertama dan akan cuba bincang dengan penyunting akan hala tuju buku ini. Malah sebenarnya saya sendiri tak pasti jika manuskrip ini akan diterima atau tidak sebenarnya. Lagipun, boleh kata, ini adalah langkah pertama untuk cuba berada dalam lingkungan sastera serius (walau apa yang saya tulis masih lagi sastera pop). Jadi, mungkin ia agak longgar dan tak begitu pop.

*

Lepas ni ada lagi satu novelet saya mahu siapkan sebelum mula menulis novel. Tapi ada kemungkinan akan tulis dua novelet sebab ada cerpen yang saya tulis untuk manuskrip tadi boleh saya kembangkan menjadi novelet. Waktu menulis cerpen itu (paling lama waktu yang saya ambil untuk siapkan antara keenam-enam cerpen itu), saya tak sangka ia akan jadi panjang. Malah sebelum habis tulis, sebelum sampai separuh lagi pun saya dah agak ia akan jadi panjang (ini antara cerpen yang ditulis tanpa mengetahui jalan cerita dan plot, saya hanya ada garis idea dan penamat saja, jadi sebab tu sangkut lama ketika menulisnya), ada banyak perenggan dan plot yang saya keluarkan kerana saya rasa ia agak meleweh dan bersyarah. Tapi saya tak buang semua perenggan ini, saya simpan dalam fail lain dan saya fikir semua yang saya buang ini mungkin boleh tambah dan jadikan ia meleret-leret dalam bentuk novelet. Ada juga beberapa idea tambahan yang saya dapat selepas habis tulis (juga takkan masukkan sebab dah cukup panjang - saya cuba ikut definisi wikipedia, jumlah patah perkataan untuk cerpen ialah kurang dari tujuh ribu lima ratus. Lebih dari itu, ia adalah novelet). 

Tapi novelet ini mungkin tak guna juga saya siapkan awal-awal sebab jika saya keluarkan novelet lebih awal dari cerpen, mungkin ada yang akan anggap cerpen itu adalah versi pendek novelet, sedangkan yang sebenarnya cerpen adalah versi asal dan novelet adalah edisi panjang. 

Lagipun novelet yang lagi satu saya mahu siapkan, dah lama sangat tertangguh. Saya ingat ada satu ketika, saya menulis tentang perihal kehamilan di dalam novelet itu tapi oleh sebab ketika itu sudah agak lama selepas saya melalui pengalaman isteri saya mengandung, jadi saya dah lupa langsung tentangnya, dan saya siap terfikir, mungkin saya perlu lalui lagi sekali  pengalaman kehamilan isteri untuk mengingatinya. Pendek cerita, anak kedua saya telah lahir dan dia sudah pun berusia lebih dua tahun enam bulan, dan novelet saya masih belum siap. Oh, bila saya mula menulis? Lebih kurang dalam waktu selepas habis tulis Polaroid. 

 *

Dua buah novelet tadi, saya rancang untuk terbitkan sebagai zine. Tak pasti akan datang bagaimana, tapi saya memang bercadang untuk biarkan novelet yang pertama sebagai swaterbit. Mungkin kalau saya rajin, saya akan tulis lebih banyak novelet dan cuba bukukannya. Kumpulan novelet, macam best juga bunyinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan