Dari dulu lagi, saya tak pernah rasa hendak menyambut hari raya sangat. Mungkin sebab saya masih lagi rasa mahu melawan arus, tak mahu lakukan semua perkara yang orang lain lakukan pada ketika yang sama. Biasanya waktu raya adalah waktu saya bekerja. Jika saya boleh bekerja, jadi saya akan tawarkan diri untuk bekerja dan kemudian ambil cuti raya lewat seminggu supaya saya boleh ambil cuti lebih banyak - sebab semua orang dah balik dari beraya. Saya tak benci hari raya, cuma malas je.
Hanya ketika waktu saya sudah berkahwin, baru saya ambil berat sedikit tentang hari raya, kerana setelah berkahwin memang banyak perkara yang saya perlu pertimbangkan bukan untuk diri sendiri. Tapi itupun tak lama, selepas beberapa kali raya dan mula memahami rutin, saya kembali kerja ketika hari raya. Malah, anak dah dua pun saya masih rilek tak berminat nak sambut raya.
Cuma raya tahun ni saya ada rasa macam nak bersedia sikit nak sambut raya tahun depan.
Lebih kurang macam ni, oleh sebab saya tak begitu minat berperangai seperti umur, jadi ada banyak perkara yang tak pernah fikirkan bila tiba hal hari raya. Hal-hal ini mungkin sepatutnya saya dah tahu sejak sepuluh tahun lepas, tapi mungkin saya tak begitu minat memikirkan tentang raya jadi tak pernah anggap ia penting. Saya tak pasti jika ada yang tahu atau tidak, tapi saya kongsikan jugalah, mana tahu mungkin ada yang masih dalam proses mendewasakan diri, mungkin ia bermanfaat.
Saya rasa ia bermula pada hari raya tahun lepas. Tahun lepas (seperti tahun sebelumnya), saya hanya sediakan duit raya untuk ahli keluarga terdekat; selalunya anak saudara saya kedua-dua belah. Jumlah kedua-dua belah memang agak ramai, jadi memang selalunya saya bercita-cita sediakan lebih awal setahun tapi lepas tu biasanya mesti ke laut. Jadi nak dekat raya baru sibuk nak cari duit raya untuk mereka. Tapi selalunya memang ada la. Cuma tahun lepas ada banyak kali, kalau tak silap, ketika berada di rumah ibu atau ibu mertua saya, banyak kali budak datang dan saya rasa, patut sediakan duit raya untuk orang yang tak dijangka juga. Macam contoh kalau saya pergi ke rumah kawan, walau saya tetamu, saya patut beri budak kecil di situ duit raya. Atau macam tahun ni, saya dan keluarga tengah keluar makan di restoran bila tiba-tiba ada orang yang rambang yang turut makan di situ, beri semua budak-budak di dalam restoran tu duit raya. Atau juga untuk staf-staf saya yang dulu kerja dengan saya, diorang memang kompom akan minta duit raya kalau jumpa saya.
Jadi, tahun ni baru saya sediakan duit raya untuk budak-budak yang random ni. Rasa macam seronok juga sebab macam berjaya menyelesaikan satu tugasan. Cuma tahun ini pula, saya baru tahu satu lagi orang yang patut saya beri duit raya. Iaitu orang tua. Tak, bukan ibu bapa sendiri, ni orang tua yang random juga, atau yang kenal macam pakcik makcik. Mungkin tak semua tahu, tapi orang tua memang suka dapat duit. Orang yang dah tua tau, bukan yang lebih tua dari kita. Macam pakcik makcik tapi kalau masih belum rasa tua, dia tak kira orang tua la. Orang tua umur dalam lingkungan enam puluh atau tujuh puluh ke atas. Saya ada seorang pakcik dan dua orang makcik dalam kategori begini, mak saya suruh saya sediakan duit raya untuk mereka waktu beraya hari tu. Lepas tu baru saya fikir, oh ye lah, betul juga.
Jadi tahun depan dah ada misi lain pulak, sediakan duit raya untuk orang tua. Yang ni memang kena bagi banyak sikit. Yalah, orang tua kan.
Oleh sebab rasa teruja tentang hal ni, jadi saya rasa macam beria pulak nak raya tahun depan. Saya mulakan dengan merancang untuk beli tiga helai baju melayu teluk belanga - warna putih, putih mutiara dan hitam, samping dan songkok tinggi. Semua ini saya akan beli awal, kalau boleh saya dah nak beli sekarang tapi sebab takut saiz tak padan, jadi kena tunggu sikit sampai berat yang ideal. Dan semua saya akan beli atas talian. Walaupun agak bahaya beli atas talian, sebab belum-belum lagi saya dah nampak butang baju Swarovski. Astaga. Kamon, teluk belanga kot, butang baju dia mesti stail-stail. Bukan kecik-kecik macam cekak musang. Entah apa la salah musang tu sampai nak kena cekak. Hentikan penderaan terhadap haiwan. Maaf, teruja untuk raya tahun lebih.
*
Tahun depan ada rasa macam nak masak-masak juga waktu raya. Saya tak ingat tahun-tahun lepas macam mana, ada rasa macam tak buat apa-apa sebab dua tahun lepas raya dalam wad, dan sebelum-sebelumnya rasa macam sibuk kerja. Tahun lepas saya ingat sebab raya terkejut jadi saya ada masak, sekali dengan kemas rumah dan esoknya terus sakit tangan dan raya dengan tidur je kot. Kalau tak salah lah.
Tahun ni malas nak masak sebenarnya tapi dah beli daging. Dari sebelum puasa lagi dah fikir nak beli daging tapi lepas tu malas nak beli sebab rasa mahal dan tak tau nak masak apa. Jadi, lepas habis godeh semua resipi dalam internet, saya ambil keputusan untuk masak palembang. Saya pilih masakan ni sebab malas nak masak benda leceh (macam daging dendeng) dan tak banyak bahan. Saya pernah masak ayam palembang dulu, lepas keluar dari hospital sebab kat hospital memang ada menu tu dan saya rasa ingin tahu bagaimana rasa asalnya sebab masakan kat hospital dia dah laras ke tahap paling sihat.
Tapi resipi kali ni agak lain sedikit sebab tak pakai santan, sebaliknya pakai kerisik. Lama juga saya fikir, nak pakai kerisik ke pakai santan, akhirnya saya pakai kerisik. Saya boleh simpulkan begini la kot, pakai kerisik jadi kurang berkuah, sampai semua ingat saya masak rendang. Tapi boleh kata masakan itu berjaya kerana semua suka walaupun ia sangat pedas (ya, saya memang sengaja pilih cili kering paling pedas). Dan kebetulan juga tak ada lauk lain sangat yang tinggal waktu saya sampai di kampung. Saya masak sekilo lebih, rasa tak sampai sehari dah habis. Pedas-pedas pun makan jugak.
Balik dari kampung ada rasa nak cuba masak lagi sekali. Dah siap fikir, mungkin patut masak daging palembang dan daging kurma (sebab satu pedas, satu tak pedas). Lepas tu panggil kawan-kawan datang makan.
*
Saya ingat rumah pun nak setel awal. Sebenarnya cuma nak cat rumah balik je. Tapi luar dan dalam. Tak ada idea juga nak pilih warna apa. Saya dah set pintu warna hitam mati. Lepas tu dah rasa nak set tembok luar rumah warna hitam mati juga. Tengah fikir warna apa yang padan dengan hitam mati. Tembok dan dinding tepi rumah warna hitam mati, pagar ni nak pada warna apa pulak. Ada rasa macam warna coklat pekat terang. Lepas tu dalam rumah dah terfikir nak pilih warna gelap tapi masalah pulak kalau tengah musim panas. Habis macam ketuhar mikro pulak duduk dalam rumah. Tapi ada juga jumpa kertas dinding warna hitam mati. Macam stail jugak. Tapi dah rasa macam elok lah warna cerah. Saya syak saya sedang alami krisis perubahan usia sebab asyik nak corak warna putih. Baju raya pun dah dua kali pakai baju putih. Tahun depan tu nak beli warna putih juga, siap dua helai tu. Tapi sebenarnya dah berapa tahun juga tak beli baju raya - sebab malas nak sambut raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan