Ada orang kata ianya Sadtember

Hari ni pasang diskografi Coolio di Spotify. Selamat jalan, Coolio.

(Bukan peminat tegar atau peminat rapat cuma dulu pernah satu masa asyik ulang Gangsta's Paradise di kaset runut bunyi Dangerous Minds. Oh, dengan C U When U Get There juga.)

*

Rambut dah mula rasa okey lepas aku pakai tonik rambut dan juga minyak argan. Juga dah mula ikut saranan di twitter untuk syampu rambut selang sehari (cuma sebab aku malas nak ingat selang sehari dah syampu ke belum, jadi aku putuskan untuk syampu rambut setiap Isnin, Rabu dan Jumaat saja - senang nak ingat). Setakat ni masih belum nampak lagi kurang gugur rambut tapi harap kuranglah rambut gugur dan mula tumbuh rambut baru. Bonus kalau tumbuh jambang juga. Sebenarnya pelan-pelan juga jambang nak tumbuh ni, ada rasa macam sepuluh tahun juga tunggu jambang tumbuh. Sekarang aku sedang dalam fasa tak bercukur misai, jambang, kumis, janggut, segala benda bulu di muka lah hingga turun berat badan. Walaupun ada rasa macam malas betul nak jaga berat tapi aku buatlah pelan-pelan.

*

Ariana tak sekolah lagi hari ni, tapi esok kena ke sekolah sebab nak ambil laporan esok. Sebenarnya Ariana taklah teruk sangat demam, cuma batuk-batuk, itupun nampak dah kurang, tapi semalam malam nampak macam makin panas badan dia, dan malam tadi aku cakap esok sekolah pun beria juga dia tak nak pergi. Jadi aku set hari ni pun tak payah pergi sekolah. Lepas tu hari ni elok je dia, cuma kadang-kadang batuk. Kadang-kadang tu kira okey la. Selera makan pun masih okey lagi. Gibran pun okey, dah tak batuk sangat, tapi aku terus bagi ubat pada dua-dua budak ni, sampai dah habis dah ubat ni. Ni kalau pergi klinik mahu beratus. Haha. Oleh sebab dah belajar dari pengalaman lepas, asal nampak je siapa-siapa mula nak sakit, aku terus bagi ubat ikut sukatan dan waktu.

*

Minggu ni rasa macam asyik nak beli makanan dan minuman je. Aku rasa dah nak kena mula catu dan paksa diri sendiri untuk elakkan beli penghantaran. Tapi tu lah, ni je la kot masanya penghantaran murah gileee (RM0.99) dan juga ada promo yang jimat gileee. Sabar je lah aku. Okey la order americano je. Tapi beans aku beli dari CBTL pun tak habis lagi. Aku ingat nak mula belajar minum dark roast sebab kebanyakan kafe dan juga penjual biji kopi nampaknya tak pandai minum dark roast. Macam ni agaknya perasaan Alfred Peet tahun 1968 dan sebelumnya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan