Ridhwan Saidi tanya saya tentang sarapan yang paling diingati, pada Ahad lepas.
Hari Ahad lepas, selalunya pada hari Ahad saya jarang berada di luar kerana hari Ahad lazimnya adalah waktu saya malas nak pergi mana-mana dan habiskan dengan keluarga selain dari bersedia untuk Isnin. Cuma dalam waktu maghrib, Beduk tanya jika saya mahu datang lepak Rahmath. Ada Bob dan Ridhwan juga katanya. Saya ketika itu berada di rumah mentua dan saya tak fikir akan datang dengan cepat. Tapi sebagai lelaki alfa (kahkah), saya maklumkan pada isteri yang saya akan keluar melepak di Rahmath lepas balik dari rumah mentua (ya, bukan minta izin tapi terus cakap nak keluar je sebab selalunya Ahad malam adalah waktu untuk membuat persiapan untuk Isnin. Tapi juga, sebagai lelaki alfa - kehkeh - saya menyiapkan anak-anak dan beberapa keperluan lain sebelum keluar).
Saya tiba di Rahmath mungkin dalam jam sembilan malam. Dan dari topik ke topik rambang, tiba-tiba Ridhwan tanya tentang sarapan pagi yang paling diingati. Saya tak begitu faham konteksnya tapi Ridhwan kata ia berkaitan filem pendeknya - Menjadi Laila Dan Sairah. Sebab saya belum tontonnya jadi saya tak dapat nak kaitkan (lagipun saya terus jawab baru saya tanya kenapa).
Saya sebenarnya tak fikir jika ada sarapan yang akan menjadi perkara yang saya mahu ingati sangat sebab saya bukan suka sangat sarapan sebenarnya. Saya fikir separuh dua puluh tahun pertama (atau mungkin juga tiga puluh tahun pertama) saya tak membudayakan sarapan. Tapi sarapan pertama yang terlintas dalam kepala saya ialah adik kawan saya makan magi untuk sarapan. Saya tak ingat macam mana saya boleh berada di rumah kawan saya pada waktu pagi (kawan saya juga jiran selang beberapa rumah, jadi sebenarnya taklah pelik sangat kalau tiba-tiba ada kat rumah dia sebab dekat je) tapi saya berada di situ pada hari persekolahan dan tengok adiknya masak magi untuk sarapan pagi. Mungkin ia terlekat dalam fikiran saya kerana ia agak rambang juga untuk masak magi awal pagi semata untuk dijadikan sarapan. Lepas tu, mungkin saya ingat tentang sarapan di McD di atas Genting pada awal pagi bersama kawan-kawan. Saya tak ingat kenapa tapi rasanya kami keluar naik Genting awal pagi untuk ambil gambar sebelum singgah di McD kerana kawan saya kata dia gemar makan sarapan McD. Saya pula sampai sekarang tak minat sarapan McD sebab saya fikir menunya membantutkan daya imaginasi. Tapi ketika itu saya fikir mungkin kali pertama saya makan sarapan McD. Seterusnya saya teringat ada satu peristiwa tentang ada satu pagi saya nak pergi beli nasi lemak kerang tapi gerai tu tutup jadi saya jalan kaki pergi restoran mamak dan pesan roti canai tapi lama betul nak siap, rupanya doh habis jadi diorang buat dulu doh. Saya ingat sebab saya tulis cerpen tentang peristiwa ini. Ini mungkin salah satu dari fasa di mana saya rajin makan sarapan sebab nasi lemak rendang kerang tu boleh tahan juga. Lepas tu saya ingat tentang nasi lemak hijau di rumah kawan saya. Saya ingat tentang tumpang bermalam di rumah kawan saya yang berdekatan dengan laut dan esok pagi bangun, ibunya masak nasi lemak hijau yang sedap. Punyalah sedap sampai saya segan nak tambah. Lepas balik baru saya cakap kat kawan saya. Dia kata kenapa tak cakap, dan kata saya patut tambah je. Lagi kalau tahu, mungkin mak dia akan bungkuskan saya nasi lemak hijau itu. Oh, ini juga pertama kali makan nasi lemak hijau.
Sebenarnya saya boleh kongsikan lagi satu (tentang sarapan di rumah mentua selepas kahwin - saya kata saya tak sarapan dan mak mentua saya macam skeptik dengan saya) tapi kemudian rasa macam banyak pulak dari satu ke satu saya kongsi sedangkan pada awalnya saya cakap macam takde yang diingati sangat. Saya fikir Beduk mungkin teruja tentang apa jawapan saya sebab dia tak rasa ada sarapan yang betul-betul dia ingati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan