Wayang Budiman (Realiti Cahaya Ranggoli) : Koozhangal

Menonton Koozhangal, sama seperti filem-filem lain di Wayang Budiman, saya tak pernah letak apa-apa jangkaan atau selidik lebih awal tentang filem-filemnya. Ada pernah juga saya lupa langsung apa tema minggu itu dan pergi mula tonton dengan tak jangka ia sebuah filem thriller slash gangster slash pembunuh upahan (kebetulan ia bermula dengan babak kekeluargaan). Begitu juga kali ini, cuma kali ini saya fikir Koozhangal memang sebuah filem yang menarik - samada di atas layar atau di sebalik penggambarannya. Melihat latar cerita pada awal, saya tak jangka sangat jika ia baru rilis tahun lepas (2021) kerana ia punya latar yang sama seperti kebanyakan latar kehidupan masyarakat Tamil India. Cuma ya, saya tak jangka ia dari dekad-dekad lama sebab gambar-gambarnya nampak cantik, mungkin sekitar 2000 atau paling lewat 2010 (hanya kerana berdasarkan latar masyarakat - ia buat saya fikir, 2022, malah selepas pandemik pun, kehidupan masyarakat di sana masih lagi jauh dari modenisasi, seperti contoh telefon, pengangkutan awam, pengangkutan persendirian, akses kepada air dan elektrik, termasuk juga bidang pekerjaan - atau mungkin lebih tepat - bagaimana untuk menyara diri, semua ini seperti tahun tujuh puluhan). 

Saya juga terfikir tentang sistem kasta (selepas tonton, kerana saya tak tahu sebenarnya ada satu keluarga dalam filem ini sebenarnya menggambarkan kasta paling rendah, hinggalah waktu sesi perkongsian), selama ini tanggapan saya tentang kasta, mungkin bolehlah dikatakan ia tentang kelas pekerjaan atau kelas kekayaan, begitulah. Tapi sebenarnya tidak. Saya tak baca lebih lanjut tentang kasta lagi, jadi mungkin belum tiba waktu untuk saya terangkan. 

Filem ini bertema drama atau realisma, atau sekurang-kurangnya pada awalnya waktu saya habis tonton, cuma kemudian dalam sesi perkongsian, Beduk ada nyatakan yang ia cuma terselit unsur spiritual dalam beberapa adegannya. Saya terfikir akan drama-drama seperti Tanah Kubur, atau mungkin juga beberapa sinetron atau drama Indonesia berkisar tentang hal yang sama; bagi saya ia juga sepatutnya dalam kategori kerohanian tapi ia tak terlalu halus dan bersahaja. Di dalam filem ini, bila fikir semula, memang nampak ada beberapa adegan kerohaniannya (bagi agama Hindu) yang digambarkan dengan tidak memaksakannya dan diadun dengan jalan cerita dengan baik. Ia buat kita terasa seperti ia memang sebahagian dari realisma walaupun ia kedengaran mistik.  

Perkara lain yang turut saya perhatikan ialah hidangan makanan dalam filem ini - nasi dan (mungkin) kari atau dal. Tak nampak sayur atau protein, hanya nasi dan kuah pekat (yang agak menghairankan saya pada mulanya kerana saya asyik fikir kepelbagaian makanan dalam budaya India - tapi mungkin juga saya sedang lapar dan terfikirkan mereka akan makan nasi kandar). 

Sepanjang filem ini pada saya semua punya syot yang cantik, malah saya rasa setiap bingkai dalam filem ini memang disusun dengan cantik. Ada juga dikongsikan fakta, ada satu syot itu dibuat secara langsung selama lima belas minit. Semua ini saya fikir mungkin kerana mereka tak tergesa-gesa untuk menghabiskan penggambarannya. Oh, mungkin saya tak nyatakan, latar ceritanya ialah pada musim kemarau di tanah gersang. Filem ini panjang sejam lima belas minit, tapi jumlah hari penggambaran ialah tiga puluh hari dan setiap hari penggambaran akan bermula jam sepuluh pagi hingga jam tiga petang; bagi menangkap keadaan matahari dan suasana bahang itu. Saya boleh bayangkan jika saya tonton filem ini waktu musim panas, ia akan rasa merengsakan. Cuma sebab sekarang musim hujan, dan kebetulan sebelum keluar rumah tadi dah mula gerimis (saya dah tolak keluar cafe racer dari perkarangan rumah bila rasa gerimis halus, terpaksa tolak masuk balik dalam rumah dan pergi Wayang Budiman naik kereta) jadi saya cuma boleh bayangkan saja (tapi penonton lain berpendapat dapat rasa betul bahangnya).  

Oh, satu lagi perkara yang saya belum sebut tentang filem ini ialah tentang bagaimana saya pelajari satu lagi tahap kesunyian iaitu mendengar air diceduk perlahan-lahan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan