Selepas beberapa lama tak duduk di kafe waktu tengah malam hingga awal pagi, jadi semalam aku keluar dan memandu ke kafe di Lebuhraya Persekutuan untuk menulis. Aku keluar agak lewat, walaupun aku ingat pada jam dua belas setengah malam, aku dah nak bangkit dari katil untuk bersiap tapi lepas sejam baru sampai sana (walaupun trafik okey. Sebenarnya boleh kata ada rasa sedikit berhati-hati memandu sebab kelmarin ada kemalangan tiga belas kenderaan - pemandu mabuk berlumba dan mula jadi beberapa siri kemalangan, dari jam lima pagi hingga tujuh pagi - termasuk sebuah kereta peronda polis. Kawan aku pun ada kata juga ada kemalangan maut motosikal merempuh penghadang jalan tempoh hari).
Selepas beberapa minggu tak keluar duduk menulis di kafe, ada sedikit rasa skeptik tentang menulis di kafe tapi ya, selepas aku duduk di sana, aku dapat rasakan masa berlalu terlalu cepat. Mungkin juga sebab aku berjaya fokus (cuma kadang-kadang asyik terpandang orang lalu depan meja. Maaf la siapa yang lalu tu, kalau aku terbagi pandangan badi). Selalunya dalam pukul tiga aku rasa macam dah penat atau dah lewat, tapi semalam pukul empat pagi aku rasa macam segar lagi. Walau tak banyak yang aku tuliskan tapi ia progres yang baik sebab akhirnya muka surat yang tertunda akhirnya tertulis juga. Walaupun ada kemungkinan aku akan edit juga tapi okey la. Semalam juga aku terfikir untuk buat edisi baca, satu edisi sebelum edisi DIY-AF. Mungkin dalam lima cetakan walaupun aku tak tahu nak bagi kat siapa atau bagaimana nak pilih. Aku cuma terfikir nak bagi Beduk je la kot. Sebab Beduk baca laju. Edisi DIY-AF mungkin dalam sepuluh cetakan. Lepas tu baru aku fikir nak cetak dengan sewajarnya, mungkin dalam lima puluh cetakan.
Dalam pukul empat setengah pagi aku gerak balik walaupun sebenarnya nak lepak sampai subuh. Tapi aku ingat cukup la kot sebab nak balik jauh jugak, lepas tu nak singgah 7Cafe beli bagel walaupun lepas tu 7Cafe yang aku nak pergi tu tak bukak, hareyyy, aku nak pusing pergi 7Cafe lain dah tak ada tenaga. Tapi lepas tu pukul tujuh pagi jugak aku tidur.
*
Hari ni Hafiz Hamzah ada hantar mesej di twitter tentang progress buku yang aku ada cadangkan dengan dia. Setakat ni aku belum lagi sambung draf-draf, tak pasti akan tambah lagi ke tak, tapi aku bercadang untuk selesaikan dulu semua draf dan dapatkan bentuknya sebelum bagi pada dia.
Hari ni juga pengumuman bubar parlimen (yang aku jangka akan bubar tahun depan tapi aku juga dah syak yang aku akan salah jangka). Adakah ini petanda aku kena tulis lagi sebuah travelog mini? Setakat ni secara berlucunya aku nyatakan akan tulis Lagi Catatan Perjalanan Tentang Tanah Air (Secara Harafiahnya). Faham kan? Tanah (dan) Air? Tanah (dipenuhi) Air? Tanah (ada) Air (banyak)? Dan juga secara berlucunya saya dedikasikan bab pertama dengan pembukaan begini;
"Pilihan raya kepala pakek dia, tak pernah kena banjir memang la. Dah la aku balik nak naik cafe racer je ni."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan