It's Morbin Time! (Aku patut pos ni semalam tapi aku lupa)

Semalam aku baru habis tengok Morbius (2022). Sejujurnya aku tak tau nak komen macam mana filem ni sebab aku rasa tak teruk pun, ada la beberapa benda yang mungkin boleh persoalkan, tapi takde la macam rasa patut kena buli di internet kaw kaw. Tak pasti la kalau sebab aku dah baca banyak reviu atau meme sebelum ni buat aku punya jangkaan jadi rendah sangat, tapi kalau ikutkan, kira premis yang menarik la jugak. Kira pada aku, lebih kurang sama macam Venom atau Fantastic Four punya filem sebelum ni, taklah best sangat tapi masih boleh tengok dan enjoi. Setakat ni aku masih tak tau lagi macam mana SSU nak kembangkan semua watak ni (Venom, Morbius, Vulture), tak tau la kalau tengah tunggu Maddame Web punya filem baru ada nampak kaitan ke, sebab dalam SSU ni tak tau Spiderman yang mana nak lawan semua ni, atau memang nak guna pasukan Maddame Web ni sebagai Spiderman dia (yang ni boleh la kata aku palatao sebab aku macam ingat-ingat lupa dan malas nak periksa balik tapi yang kompom memang filem Maddame Web tengah buat penggambaran dan masih tengah teka siapa yang akan jadi watak jahat). Aku tak baca komik Marvel sangat tapi entah kenapa, dekat bahagian explore instagram aku banyak pos pasal Marvel, DC dan segela benda berkaitan. Dia macam baca wikipedia atau ensiklopedia tentang watak-watak ni semua. Lagi banyak aku tengok pos tu, makin banyak la dia letak kat explore. Bahagian explore aku memang banyak dengan pos atau reels motor, caferacer, makwe bertatu (sebab tu masa hari tu ada diorang kecoh pasal bahagian explore kata ada banyak pos atau reels yang tak senonoh tu aku tengok kat explore aku - sama jeee kahkah), skateboard dan komik. Ada keratan komik atau fakta tentang perkara yang menarik dalam komik yang dia buat dengan ringkas dan buat nampak macam aku baca komik dari azali. Sama juga dekat cadangan video atau artikel  dekat Facebook, banyak juga berkaitan. Kadang dekat explore ni banyak juga bagitau spoiler (walaupun sebenarnya tak berniat pun, cuma diorang memang cepat kemaskini benda yang terkini dari Marvel - projek yang macam tak hype sangat pun diorang kemaskini, macam Nova atau Vision Quest. Kadang berita kecik macam siri baru Daredevil Born Again dapat rating mature pun kemaskini juga. Apalagi, okeh, Hugh Jackman kembali sebagai Wolverine dalam Deadpool 3, mungkin akan ada Mobius (ejen TVA dalam siri Loki) juga dalam Deadpool 3. Fantastic Four yang baru rasa memang kompom bukan John Kransinki jadi Richard Reed, ada khabar angin pelakon lain yang bawa sebab kata dah tandatangan kontrak walaupun tak tau watak apa dalam Fantastic Four.  Avengers Secret Wars (aku selalu konfius dengan siri Secret Invasion) akan libatkan banyak watak dari keseluruhan filem-filem Marvel dari francais sebelum-sebelum bermula fasa-fasa MCU dan sasarkan lebih banyak watak dari End Game).

Oh ye, takde babak 'Its Morbin time!' tu cuma meme je.  

*

Lagi satu filem yang aku baru tengok (walaupun sepatutnya aku tengah fokus kejar tarikh akhir) ialah Straight Outta Compton (2015). Dua-dua filem ni aku baru tengok sebab baru ada kat Netflix. Aku macam malas nak tengok dulu, ye lah kan sibuk nak menulis, tapi oleh sebab aku dah mulakan dengan Straight Outta Compton, jadi tak boleh berhenti sebab memang ngam lah cerita dia. Aku rasa ni antara biopic yang memang best nak tengok, selain dari jalan cerita dia jelas, seimbang dan adil, okeh lah taklah adil sangat sebab masih ada lagi yang direka tapi rasa macam semua benda seimbang. Bahagian yang tak adil sangat tu mungkin sebab bahagian Arabian Prince yang memang diorang buang terus dalam filem ni (dan masa dapat anugerah Rock & Roll Hall of Fame pun diorang tak masukkan Arabian Prince sekali. Tapi masalahnya, aku pun baru tahu yang Arabian Prince ni wujud. Wujud dan menganggotai NWA. Dan masih hidup. Memang tak tau langsung dan tak hype langsung macam anggota lain. Tapi okey la, dalam NWA yang paling hype memang Eazy E, Ice Cube & Dr. Dre je pun. atau memang aku tak ikut sangat kumpulan ni dengan dekat).

Tapi sebenarnya banyak juga yang aku tahu lepas tengok filem ni. Selain Arabian Prince, aku baru tahu yang dalam NWA, rapper tunjang ialah Ice Cube. Aku selalu ingat macam semua sama tara kot, atau kurang-kurang cuma DJ Yella je la kot yang memang kerja di duduk kat turntable. Sekali Ice Cube da paling power, dia tulis kebanyakan lirik dan siap jadi ghost writer dalam NWA lagi ha. Eazy E pula memang bukan rapper tapi kena paksa baru mulakan karier sebagai rapper. Dan Dr. Dre aku ingat memang rapper, rupanya dia sebenarnya ialah producer. Dan kalau kat konsert, dia juga duduk kat meja turntable (set dia sendiri la, kira DJ Yella satu meja, dia satu meja). 

Antara benda yang lagi menarik dalam filem ni ialah genre rap yang diorang perjuangkan ni bukan gangsta rap pun sebenarnya. Mereka namakannya reality rap, di mana aku boleh rasa terkait sebab tu la benda yang aku minat tentang Bukowski. Persoalan atau perkongsian tentang realiti. Ye lah, walaupun realiti kita berbeza tapi kita tak nafikan realiti ini wujud dan patut ambil iktibar. Atau tak nak pun okey. Asal sedap baca. Macam cerita-cerita Bukowski, mana ada moral semua tu. Aku punya cerita pun mana ada moral. Dulu masa aku mula menulis tu, aku macam, apa moral cerita aku tulis ni eh, aku tulis cerita pasal suami yang curang dengan kawan isteri dia dan aku tulis dari sudut suami tu dan mungkin tak rasa bersalah sangat pun. Lepa stu aku dapat kata-kata hikmat, biarlah diorang yang baca fikir pasal moral tu. Halah, nak moral sangat, ha jangan curang. Kan dah dapat moral tu. Lepas tu aku dah tak toleh belakang lagi dah. Kalau aku toleh belakang, mungkin sekarang aku dah menulis untuk Jejak Tarbiah kot. Sufian kata ini imprin menunggang agama. Aku macam, tak boleh nak komen la sebab kalau tak nanti jadi makin panjang pula sebab ia akan jadi meleret macam, dengan menggunakan hipotesis yang sama, bolehkah kita simpulkan yang nasyid juga menunggang agama? Itu belum masuk, apa definisi nasyid. Aku rasa sampai sekarang macam tak boleh nak definisikan nasyid sebetul-betulnya. Lagu berunsur ketuhanan? Sweet Charity nasyid la macam tu. Atau Inteam, ketuhanan celah mana 'sebelum diijab kabullll'. (tiba teringat dulu pernah baca kat suratkhabar pasal satu kumpulan indie ni imej diorang pakai songkok walaupun bukan nyanyi lagu nasyid. aku tak tau la jadi apa band tu. Ni sepuluh tahun lepas punya cerita. Lebih kurang macam Flop Poppy pakai songkok la kalau nak bayangkan).

Kahkah aku main bantai je ni Inteam ke UNIC punya lagu ni. Biasa la aku cuma dengar nasyid hitam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan