Seperti biasa, waktu menonton di Wayang Budiman, saya takkan pura-pura pandai menilai filem atau cuba jadi setara dengan semua yang telah/sedang mengaji kursus perfileman. Selalunya bila saya beri pendapat, ia adalah seimbangan antara penonton yang meminati filem arus perdana (kira macam khalayak yang menonton filem untuk hiburan, aksi dan hype) dan sebahagian lagi ialah dari minat diri sendiri. Walau ada waktu kecenderungan diri dan kecenderungan umum ini akan jadi tak seimbang (contoh macam Koozangal yang saya suka, masih lagi bosan untuk tatapan masyarakat umum pada pendapat saya).
Dan kali filem kali ini yang ditayangkan memang antara yang ditunggu oleh pengunjung tetap Wayang Budiman (mungkin sebab pengarahnya). Sesi Wayang Budiman kali ini memang buat saya terkejut kerana waktu sampai di depan pintu, kasut dan selipar dah memenuhi ruang hingga ke tangga. Sepanjang saya ke sini, tak pernah lagi nampak sampai macam ni (ya, saya boleh kira pengunjung yang baharu). Saya tak ingat Saat atau Beduk yang kata, sebab tayangan filem Filipina, sebab tu ramai. Oh ya, saya setiap kali pergi sesi Wayang Budiman memang takkan cari maklumat langsung pasal filem yang ditayangkan. Saya hadir, tonton, kongsi sikit-sikit dan lepas tu lepak Rahmath.
Jadi, antara perkara yang mungkin buat saya tak minat (sebenarnya tak tahu nak guna terma apa, tak suka, tak minat, tak berkenan; sebab ia bukan tak suka sebab boleh terus tonton, rasanya paling dekat tak minat la kot) ialah dari awal lagi ia ada beri satu perasaan rimas dan menyesakkan. Waktu sesi borak santai, baru saya dapat faham bila ada yang lain kongsikan. Filem ini memang dibuat dengan nada yang rimas dan menyesakkan, dari babak awal di mana hujan turun dengan lebatnya, memang dapat rasa memang ini hujan yang sangat lebat, tambah lagi pula berada di pulau. dan tambah lagi pula sekarang musim hujan dan saya sedang risau tiba-tiba air naik, tapi watak di dalamnya semua tenang saja di dalam hujan. Dia macam, hujan biasa je ni. Dan ia bertambah rimas bila tengok wataknya boleh melakukan aktiviti kehidupan seperti biasa, walau di dalam hujan. Hujan-hujan rileks je keluar rumah lepas tu tak bawak payung, hanya bawa plastik besar tutup badan dan kepala. Saya boleh dapat rasa basah, pasir dekat kaki, sejuk, pakaian basah dan macam-macam lagi lah bila tengok babak tu. Dan lepas tu pada kebanyakan masa, bunyi latarnya memang sangat mengganggu. Ia bunyi yang kuat dan rasa macam tak kena.
Jadi, bila campur semua ini, saya dapat simpulkan, mungkin saya tak minat filem ini. Tapi kemudian dari perkongsian dalam sesi borak santai, boleh disimpulkan, ia memang dibuat begitu, untuk timbul rasa tak selesa. Saya fikir, oh sebab tu ke. Bila fikir, betul juga. Cuma dalam keadaan begini, memang kesudahannya akan terbahagi kepada dua; penonton yang boleh nampak kejengkelan ini akan faham dan menyukai dan mengkaguminya, sementara penonton yang hanya dapat tangkap rasa jengkel, akan terus jengkel, macam saya lah. Macam budak yang duduk depan saya yang asyik main telefon masa tayangan, mungkin sebab dia jengkel atau bosan.
Tapi tak la benci filem ni.
Boleh kata perkara yang suka tentang filem ini adalah ceritanya. Ia menceritakan kisah beberapa watak di dalam kampung di kepulauan dan dari satu ke satu plot, ia membuat kita menunggu apa akan jadi seterusnya. Kira kalau dalam penulisan, memang macam ni lah saya tulis, ada babak, dari satu babak ke satu babak dan ceritanya kekal bergerak, walau dari satu konflik, ia terus konklusi dan kemudian konflik lain, dan cari konklusi lagi dan kemudian konflik lain lagi. Ia berjalan. Dari satu cerita ke satu cerita, untuk nampak wajah ceritanya yang besar. Ikan mati? Okey kita buat ikan kering. Kulit gatal? Okey mandi laut. Makwe yang kita suka kena bunting dengan kawan? Okey tumbuk muka kawan tu. Ada anak gadis tiba-tiba bunting? Okey biasalah tu duduk pulau. Yang tak biasa ialah ada makcik yang beritahu hidup kita boleh dijangka.
*
Tayangan seterusnya dibuat sehari sebelum pilihan raya. Saya fikir, oleh sebab saya rancang balik kampung hanya pada tarikh mengundi, jadi saya akan tetap datang juga lah. Kalau tak ramai pun okey je. Tapi kalau boleh tukar tarikh lain, lagi elok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan