Aku syak hari tu lepas balik mengundi, mesti blog aku akan penuh dengan entri berkaitan politik, tapi sebab aku dah kena covid jadi aku tumpukan seminggu kuarantin tu dengan menyembuh. Maksud aku, menyembuh yang betul-betul sembuh la, bukan acah-acah healing budak zaman now. Sembuh dari sakit. Aku memang dari dulu, berpegang dengan makan ubat dan berehat untuk cepat sembuh. Memang segala jenis ubat, panadol, paracetamol, uphamol, antibiotik, madu, air kelapa, teh herba cina, pendek kata segala penawar memang aku akan cuba je dan biasanya kalau doktor aku bagi apa je ubat, memang aku akan makan secara menurut jadual dan aturan, atau kalau kebetulan aku terbaca apa-apa petua kat internet dan kebetulan aku ada segala benda tu dan rasa macam mungkin logik dan masuk akal atau mungkin dah demam jadi kepala tak betul sikit, jadi aku akan ikut je petua atau nasihat; lepas tu rehat dan tidur.
Lagi pula ni kali pertama kena Covid, jadi aku memang cuba sembuh cepat. Tapi nampaknya aku memang ambil masa sepanjang kuarantin untuk betul-betul sihat. Hari ni pun rasa macam ada sesuatu pada badan yang masih belum benar-benar sembuh dan aku rasa skeptik, tapi aku dah berhenti makan ubat sejak beebrapa hari lepas. Aku tak tahu la yang aku demam ni kira memang demam atau memang covid punya demam sebab rasa sebelum ni pernah juga rasa demam macam ni. Rasa macam beberapa bulan lepas aku pernah kena demam macam ni. Tapi memang dah berapa kali aku buat ujian, semua negatif.
Dan paling bersyukur ialah anak-anak walaupun positif tapi mereka tak sakit teruk. Ariana positif tapi tak sakit langsung, jadi dia seronok la seminggu tak pergi sekolah. Gibran tak vaksin lagi tapi nasib dia tak sakit teruk. Aku syak dia sembuh lagi cepat dari aku. Waktu aku sakit-sakit badan lagi, dia dah cergas. Badan sakit, terutamanya bahagian belakang, ada waktu aku rasa bagusnya kalau ada teman wanita tolong urut. Nak teman wanita untuk urut je. Kahkah. Tapi nasib baik aku teringat pasal panadol extend. Dulu aku makan bendalah ni sebab sakit pinggang. Lepas aku makan panadol extend baru la hilang rasa sakit badan. Dah tak payah teman wanita tukang urut (ayat kaver). Tapi bila korang dah umur macam aku, kalau rasa sakit badan, lenguh otot ke, kejang badan ke, tahulah korang dah sampai pada umur untuk makan panadol extend. Aku sebenarnya masih skeptik yang segala jenis panadol (actifast, soluble, extend, menstruate atau yang budak-budak punya tu pun) sebenarnya semua sama je. Aku pun tak tau la macam mana nak terangkan tapi aku syak ini semua efek placebo je ni.
*
Sebenarnya masa huru hara lepas pilihan raya hari tu, memang ada banyak benda nak tulis, sekarang aku dah tak ingat sangat dah. Sayang juga, sebab nanti aku lupa apa konteks pilihan raya 2022. Tapi takpelah, dulu masa Gibran dan Ariana masuk hospital pun aku patut catat setiap hari, hanya Gibran aku sempat buat catatan, itu pun dah lambat.
Dulu masa mula-mula ikut politik, sumber dan bahan bacaan aku tentang politik banyak dari blog. Ada sedikit dari buku-buku langka dan tak langka, sama ada dari pekan frinjan atau Kino. Lain dari tu, dari kawan yang gemar bercerita tentang hal politik. Tapi tak banyak - sorang je. Sebab kawan-kawan aku semua tak celik politik lagi (lepas tu sekarang baru nak sibuk celik politik tapi sibuk undi parti pengkhianat yang mainkan sentimen agama dan kaum - sangat teruk hingga penerbit buku fasis juga terkejut melihat sentimen yang dimainkan - wah ironinya. Dan ya, memang generasi aku yang buat hal dalam pilihan raya kali ni - bukan budak undi 18. Korang cakap ni semua pengaruh tiktok - korang ingat orang sebaya aku tak main tiktok ke? Diorang lagi kuat main tiktok) dan aku selalu dengar member ni cerita bila aku tanya pasal hal politik - walaupun dia berat kepada parti gerombolan dan aku pula waktu itu kecenderungan kepada politik kiri, sosialis dan melawan.
Antara benda yang aku teringat tentang hal politik pada 2008 ketika zaman blog ialah mengikuti blog Najwan Halimi. Ya, ini sebelum dia masuk bertanding dan jadi wakil rakyat. Aku ingat dia tulis blog pasal Dewa 19 dan entah apa lagi, tapi memang kebanyakannya pasal politiklah. Antara entri dia yang aku ingat ialah tentang Teori Rahman.
Masa ni teori Rahman belum lengkap. Tak salah aku masa ni zaman Pak Lah. Tapi waktu ni rasanya semua macam dah terima je kot yang teori Rahman ni dah lengkap, tinggal tunggu Najib naik je. Cuma lepas tu orang tanya, lepas RAHMAN, apa pula?
Kalau tanya aku, patut lepas Rahman ialah Rahim; merujuk kepada Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tapi dalam blog Najwan, dia tulis, lepas Rahman, mungkin Razak - sempena perdana menteri kedua - Abdul Razak.
(Tapi sudah tentu la sekarang kita tahu segala turutan ni dah caca marba sejak Tun M naik balik jadi PM7. Tapi pada aku memang dia dah lama kacau turutan nama ni bila dia buang Anwar. Walaupun dia dapat kaver balik dengan lantik Abdullah - tapi lepas tu dia naik jadi PM7, dah hilang dah turutan nama cantik. Sekarang dah jadi MMIA lepas Rahman. Tak paham aku. Dan aku rasa Mahathir memang mengganggu progress negara bila dia buang Anwar, aku percaya patut sekarang ni bukan Anwar baru jadi perdana menteri, patutnya sekarang dia dah lama letak jawatan perdana menteri dan serah pada Najib - kalau Najib relevan lagi la - dan sekarang fokus untuk memimpin dunia Islam. Anwar punya bakat bukan untuk dihabiskan dengan bergelut dengan politik di dalam negara, patutnya politik dunia yang jadi fokus dia, tapi ya, ia semua dah terlambat.)
Okey, kalau ikut teori RAZAK, Najib memang jadi perdana menteri ke enam juga, tapi perdana menteri terakhir dari UMNO. Lepas dari tu, semua dah bukan dari UMNO. Tapi ironinya, semuanya bekas Umno. Ada orang komen kat blog dia cakap mende semua bekas orang Umno juga, Sebab waktu tu adalah waktu Pakatan Rakyat jadi mana PM dari PAS. Ada PM dari DAP tapi takde PM dari PAS.
R - Razaleigh
A - Anwar
Z - Zahid
A - Azmin
K - Khairy
Sebelum korang cakap amende Razaleigh tiba muncul kat dalam senarai, dan macam mana orang tua ni boleh relevan lagi, aku harap korang tak lupa Mahathir secara harafiahnya menjadi PM7 pada umur 92 tahun. Aku rasa kalau tahun 1980 aku cakap kat orang yang Mahathir tahun 2020 jadi perdana menteri mesti orang ingat aku gila. Dan kalau ikutkan, Razaleigh jadi perdana menteri kira sementara la sebelum serah pada Anwar. Ya, sama juga macam dunia nyata kita, Mahathir jadi perdana menteri sementara sebelum serah pada Anwar (walaupun sampai kesudah tak serah).
Zahid dalam senarai ni pula, bukanlah Zahid yang kita tahu sekarang yang banyak kes mahkamah. Sekurang-kurangnya waktu ni memang nama Zahid masih bersih lagi. Dan ia tak pelik sebenarnya kalau sebelum ni kenapa Zahid boleh jadi Pengerusi Umno.
Sama juga Azmin dalam senarai ni, sebab dia masih lagi dalam PKR. Aku rasa dia tengah jadi menteri besar Selangor masa ni. Memang ramai pandang tinggi pada dia. Tapi sebelum dia jadi pengkhianat. Dan tak salah aku, dalam blog tu, Azmin dijangka akan jadi perdana menteri agak lama, hingga perdana menteri seterusnya Khairy jadi timbalan perdana menteri paling lama sebab tunggu Azmin nak turun lama betul.. Dan tadi aku ada cakap ada perdana menteri dari DAP kan? Ha, ni la dia, perdana menteri dari DAP iaitu KJ. Aku tak ingat sangat tapi lepas Pakatan Rakyat menang, Khairy keluar Umno dan masuk DAP.
Kalau korang rasa bendalah ni merepek, ketahuilah, apa yang kita lalui selama dua tiga tahun kebelakangan ni lagi merepek, surreal dan absurd berbanding yang aku baru kongsi atas ni. Iyeee, dalam senarai atas, haram nama Muhyiddin atau Ismail Sabri ada dalam ramalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan