Diambil dari blog Azriq, pautan penuh: Shahnon Ahmad: Persediaan Menulis Fiksyen (azriq.blogspot.com).
Dalam eseinya Shahnon tidak mengambil masa panjang untuk
memulakan kelas: "Ada dua perkara menjadi dasar dalam soal penulisan novel
dan cerpen ini. Pertama hendak mengarang novel atau cerpen. Kedua hendak
mengarang novel atau cerpen yang bermutu tinggi." Sesiapa yang mengikuti
karier Shahnon akan tahu yang dia hanya memandang "sastera serius"
dan sastera yang ditulis untuk masyarakat. "Sastera pop" di mata
Shahnon hanya permainan di tepi pantai, sementara pengarang sastera serius akan
berenang meredah ombak dan badai. Tetapi soal mutu bukan sesuatu yang pengarang
patut sibuk fikirkan. Shahnon percaya kerja itu patut diserahkan kepada
pengkritik. Esei ini memang panjang dan saya tidaklah bersetuju dengan semua
pendapatnya. Tetapi ada satu bahagian saya sangat suka, dan sebenarnya bahagian
itu sahaja saya rasa berbaloi untuk dibaca dan dipetik di sini:
"Sebelum kita mengarang novel atau cerpen, soal utama
ialah kita mesti suka menulis, suka memegang pensel atau pen atau mesin taip,
suka menurunkan kata hati kita di atas kertas. Ini penting. Kita selalu ada rasa
gatal untuk menulis. Tidak ada gunanya kita belajar teori mengarang kalau kita
malas mengarang. Di tanah air kita ini terlalu banyak orang menyebut-nyebut
berbagai-bagai istilah sastera yang muluk-muluk seperti ilham, inspirasi, tema,
plot, watak gigih, watak tak gigih, stream of consciousness, dialog, monolog
dan entah apa lagi. Pendek kata mereka cukup ahli dalam bidang teori tetapi
berapa keratkah dalam ribuan itu mencipta novel; apalagi mencipta novel yang
baik? Ini salahnya kita apabila kita melihat perkembangan sastera hanya dari
sudut kegiatan lain; bukan kegiatan mencipta. Dasar utama untuk menentukan
perkembangan sihat kesusasteraan kita adalah karya. Lain tidak ada. Biar
beratus beribu kita ada badan penulis di setiap pelosok, biar sering kita
mengadakan seminar itu ini, biar beberapa kali kita sibuk bermesyuarat untuk
meninggikan sastera, kalau orang-orang yang mengakui dirinya pengarang itu
tidak mengarang, tidak menulis novel atau cerpen atau sajak, sastera kita tidak
akan berkembang. Yang berkembang ialah kegiatan di luar sastera.
Ini bukan bererti saya tidak suka pada aktivis-aktivis sastera. Saya sendiri mendukung badan penulis hampir 10 tahun. Saya salah seorang yang kuat menyokong Gapena, tetapi objektif kegiatan-kegiatan seumpama ini hanya untuk menimbulkan suasana kreativiti, menjaga kepentingan pengarang, memberi segala kemudahan kepada pengarang supaya pengarang dengan amat tenteram boleh mengarang, menghasilkan karya-karya yang baik. Jadi, saya berpendapat kita di sini mempunyai satu tugas yang utama iaitu mengarang serta mencari jalan untuk meninggikan lagi mutu karangan kita. Kalaupun hendak bergiat dalam persatuan-persatuan, biarlah ada hadnya. Jangan sepenuh masa kita bergiat dalam aktiviti di luar kreativiti sedangkan kita mengakui diri kita pengarang novel atau cerpen. Orang akan ketawa. Generasi akan datang akan mengutuk kita."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan