Sebenarnya pagi ni macam mamai juga sebab aku siap pelik kenapa jalan pintas nak pergi pasaraya ni ada pasar pagi pula - sebab hari ni cuti umum ke - lepas tu aku baru ingat, hari ni hari Jumaat, bukan hari Sabtu, jadi memang ada pasar pagi setiap hari Jumaat dekat jalan pintas tu.



Dah dekat tiga hari juga pendingin hawa kereta rosak. Tak pasti juga apa masalahnya, sebab tak bawa ke bengkel lagi sebab berdasarkan bunyi dari depan kereta, ia kedengaran seperti mahal. 

Mula-mula fikir mungkin gasnya habis tapi selepas dengar betul-betul, ada rasa macam bukan sebab gas. Dan peliknya waktu pagi masih rasa lagi sejuk, tapi bila tengah hari waktu ambil Ariana dari sekolah, haram tak sejuk. Dah rasa macam pakai pemanas pun ada. Dah la anak-anak semua putera puteri lilin.

Aku je yang feeling-feeling macam dalam video klip dengan pasang cd Team Sleep dan rambut dibuai oleh angin bila turunkan semua tingkap.

Aku tak tahu kenapa tapi tahun sembilan puluhan dalam ingatan aku ialah tak semua orang akan memandu dengan membuka pendingin hawa. Biasanya ia cuma buka waktu hujan (sebab kalau tak buka nanti cermin jadi berkabus dan tak nampak jalan) dan selebihnya, cuma turunkan tingkap dan biar angin menyejukkan dalam kereta. Mungkin salah satunya sebab nak jimat minyak tapi kalau pada tahun sembilan puluhan, kau nak minta murah macam mana lagi minyak. Mungkin kalau waktu itu orang tahu berapa harga minyak sekarang, mungkin dah tak peduli dan pasang pendingin hawa je, lantaklah.

Lagipun sekarang iklim sekarang memang terlalu panas untuk tak buka pendingin hawa dalam kereta. Mungkin sepuluh tahun lepas aku masih gigih untuk memandu sambil buka tingkap, tapi sekarang, aku dah tak hanya perlu fikirkan diri sendiri saja. Mengalah untuk keselesaan dua orang budak kecik tu. 


Biasanya pada malam hujung minggu aku akan memandu keluar ke kafe dua puluh empat jam dan habiskan beberapa jam dengan menulis. Atau berbual dengan kawan (sebab mereka kerja di situ dan selalunya bosan kerja dan curi-curi berbual dengan aku waktu kerja). Tapi dah lama juga tak pergi, sebab asal hujung minggu je mesti ada benda nak buat. Wayang Budiman pun dua kali terlepas (maknanya dah sebulan tak ke sana sebab tayangan adalah dua minggu sekali). 

Semalam aku ingat nak keluar juga tapi lepas tengok dua orang budak kecik tu tidur petang lama, jadi aku tahu la paling kurang pukul satu pagi baru nak tidur, Dan betul la jangkaan aku. Yang kecik tu memang aku biar jeee dia main sampai penat, akhir sekali dekat pukul dua pagi baru dia baring kat lantai ambil posisi nak tidur sebelum aku pangku dan tidurkan. Yang kakak dia pulak dengan rilekss je pukul dua pagi masih cergas. Aku sebenarnya terfikir juga nak bawa dia keluar tapi bila fikir balik, sebelum umur lapan belas tahun, mungkin aku takkan bawa keluar lebih dua belas malam kalau tak ada apa-apa sebab - lagi-lagi untuk teman aku menulis kat kafe. 

Sudahnya, pukul tiga pagi baru dia tidur dan aku pun rasa malasnyeee nak bersiap keluar, jadi aku tidur dengan harapan bangun awal dan keluar ke kafe awal pagi. (Okey jangan tanya macam mana pengakhirannya).

(Sebab tu juga entri semalam baru aku pos hari ni).

*

Kawan aku jual teh ais yang sedap tapi dah lama cawangan yang dekat dengan rumah aku tak buka (dan juga cawangan lain - sehari hanya ada satu tempat saja dia buka) hari ni dah mula berniaga semula. Siap pakej terserempak dengan dia kat tengah jalan tadi.

*
Ada rasa diet makin kelaut. Tapi aku steadi pergi NSK dan beli barang dapur supaya istiqamah. Kali ni aku pergi pagi (walaupun tak awal pagi sangat - tapi awal sikit sebelum tiba-tiba jadi sesak). Mula-mula malas nak bawa Ariana sebab dah ena belas kali suruh pergi mandi tapi tak mandi-mandi juga, jadi aku malas nak nak layan, aku mandi dan bersiap terus keluar rumah. Lepas tu baru beria-ia dia mandi laju-laju lagi-lagi bila dia tengok aku dah siap masuk dalam kereta. Kira akhirnya bawa juga la budak tu ikut.

Tak tahu la memang tak dijangka ke macam mana, kat NSK memang ramai orang. Tapi kaunter buka tiga je dan hanya dua kaunter saja yang guna nirtunai - yang lagi satu hanya terima tunai. Aku rasa ni la antara barisan yang panjang aku beratur kat NSK sebab selalu memang tak panjang macam ni pun sebab biasa banyak kaunter buka. Aku rasa mesti dia ingat sebelum tengahari macam ni walaupun cuti umum tapi mesti tak sibuk sangat. Tapi kalau ikutkan pengalaman aku, sebenarnya memang boleh kawal pun sebenarnya, cuma pelanggan kena tunggu sikit. Dan kebetulan pula juruwang dekat kaunter aku tadi pulak memang seorang yang pantas dan cekap jadi memang tak rasa menunggu lama walau barisan agak panjang. Betul, juruwang yang mahir dan cekap serta pantas ni boleh dikatakan antara skill yang berharga juga dan bagi pengurus (bukan pemilik, kira ketua atas juruwang la) ia adalah anugerah Allah SWT yang bernilai. 

Dan juga dari sudut perniagaan, memang boleh faham juga kenapa masih ada kaunter tunai (terutamanya untuk jenis perniagaan begini - sebab untuk syarikat ada wang tunai) walaupun memang tak berapa memudahkan pelanggan sebab sepatutnya semua kaunter boleh terima nirtunai. Aku ingat lagi waktu pandemik bermula, semasa pandemik dan permulaan endemik, di mana kiraan wang tunai mula berkurangan kerana kecenderungan orang untuk guna nirtunai. Secara jujurnya kalau aku juruwang, aku lebih suka nirtunai sebab kurang risiko salah pulang baki. Walaupun memang nampak macam remeh, tapi kau bayangkan kalau duit tak cukup waktu akhir syif - rasanya macam mana nak setel? Yep, aku tak nak bagitau.

Dan untuk pengurus, senang juga sebab tak payah nak kira duit kertas dan syiling banyak-banyak. 

Kalau orang suka main duit, memang tak suka la nirtunai.

*

Rasa macam hilang hari ni jadi aku mula dengar Sade.

*

Waktu beratur di NSK, ada makcik duduk di hujung kaunter - aku tak tahu kenapa dia duduk situ sebab tak nampak macam dia kerja sini, jadi aku boleh syak mungkin dia sedang tunggu ahli keluarga di dalam yang sedang beratur. Dia duduk di hujung kaunter, dengan tongkat. Aku tak nampak tongkat tu pada mulanya sebab dia tengah buat apa entah dengan tangan dia (mungkin minum kot, tak pun makan jajan) dan tongkat itu jatuh ke bawah. Aku tak nampak sampai la ada orang tolong ambilkan tongkat itu. 

Waktu dia serahkan tongkat tu, dia tak sedar troli barang dia sedang menggelungsur dan jatuh ke bawah (dia dekat luar kedai dan antara kaki lima kedai dengan jalan tak sama tinggi. Lantai kaki lima mungkin dalam setengah meter tinggi berbanding jalan, dan hanya ada palang besi rendah yang boleh dilangkah - Ariana pun boleh langkah). Dan benda paling best aku tengok hari itu, bila troli dia nak jatuh, sekurang-kurangnya ada dua atau tiga orang kejar untuk tahan troli itu dari jatuh. Rasa macam dalam cerpen remaja. 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan