Macam Isnin biasa. Takde Monday Blues.

Semalam untuk makan malam, aku makan seperti seorang ninja; iaitu semua lebihan makanan yang memenuhi peti ais rumah. Mungkin sebab tengaharinya aku makan lebih kurang dan kemudian aku teringat ada lagi nasi kerabu dua hari lepas, jadi tak nak membazir, aku panaskan dan makan dengan lebihan makanan yang lain - ayam goreng kunyit (dari dua kedai yang berbeza sebab beli dua kali dan lupa yang lebihan pertama tu ada lagi nak makan) beberapa hari lepas, masak ikan bilis awal minggu dan bermacam sambal belacan dari pelbagai sumber (kedai dan juga buat sendiri). Memang dah niat untuk kemas peti ais sebab nampak macam ada banyak sangat lebihan makanan - sempena kedatangan emak aku sepanjang cuti sekolah. Aku ingat separuh juga aku buang, yang baki lagi separuh tu lah makan malam semalam.

Hari ni dah mula kemas rumah - satu pekerjaan yang tak pernah tamat - untuk persediaan banjir dan juga untuk buang barang-barang yang tak perlu. Contohnya beberapa belas balang kuih raya. Aku ingat dah habis sikit dah sediakan kuih raya, tapi rupanya memang masih terlampau banyak. Boleh jadi sebab yang datang raya kat rumah aku pun mungkin cuma keluarga, itupun tak semua, dan kalau tak silap, jumlah lawatan yang diterima dari kedua-dua belah keluarga ialah dua kali saja. Tapi yalah, kan raya mengejut. Secara jujurnya aku suka juga raya mengejut ni. Agak-agak tahun depan mengejut lagi tak? Jangan mengejut sebab lambat pula, tiba-tiba lewat sehari dari jangkaan. 

Ada rasa macam perlu beli bekas/kotak plastik besar untuk isi barangan. Aku baru ingat ada banyak benda dalam kabinet dapur dan berdasarkan pengalaman lepas, tempat ni antara leceh nak basuh sebab nak kena basuh kabinet dan juga segala isi dalamnya. Lagipun kalau semua mak nenek kat dalam kabinet dah masuk dalam bekas/kotak, jadi senang juga nak alihkan waktu air mula masuk. 

Lepas aku tengok balik, ada rasa yang bilik baca (sebenarnya nak kata bilik tulis - sebab memang itu tujuan utamanya aku kemas bilik stor belakang dan isi dengan semua barang-barang aku, tapi lepas tu aku lagi senang menulis kat ruang tamu. Dan kalau ikutkan pun, nak kata bilik baca pun, aku tak membaca juga dalam bilik tu. Kahkahkah. Okeylah aku namakan bilik buku la lepas ni) sebenarnya banyak benda berada di lantai dan agak tak banyak ruang jugak nak selamat benda-benda di dalamnya. Meja tulis (kahkahkah tak tulis sini pun) tu dah kena banjir sekali dan mula melendut tapi aku masih pakai sebab nampak boleh tahan, tapi kalau kena banjir lagi sekali, aku ingat memang selamat tinggal jugak la tu. Aku ada rasa kena beli meja lain sebab nak letak barang lain yang aku letak kat lantai bila air masuk. 

*
Hari pertama persekolahan, aku agak trafik waktu pagi akan jadi hektik, tapi pagi tadi nampak macam lengang sedikit. Aku keluar rumah sepuluh minit awal dan aku memandu dengan santai, pun sampai kat sekolah awal lagi. Aku syak mungkin orang semua tengah malas nak bangun jadi semua keluar lambat, lagipun inilah waktunya nak gunakan alasan lambat sebab trafik sesak sebab sekolah dah mula. Cuti sekolah kali ni macam agak kontras juga dari jangkaan, sebab selalunya bila cuti sekolah jalan raya akan jadi lebih lancar dan kurang kenderaan. Tapi sepanjang cuti sekolah (boleh kata hampir setiap hari pada cuti sekolah kali ni, aku terpaksa keluar memandu) ni banyak kenderaan di atas jalan raya. Macam tak jumpa lagi orang kata, jalan tak sibuk sebab dah mula cuti sekolah. Sebaliknya, aku jumpa orang merungut, kenapa jalan sesak ni, bukan cuti sekolah keee?

Patutnya lepas hantar Ariana, aku nak bersenam dan menulis tapi lepas tu aku malas, jadi aku terus tidur sampailah sejam sebelum waktu ambil Ariana balik sekolah. Aku ingat aku tidur sampai penggera berbunyi pun aku sambung tidur sebab aku entah macam mana berjaya asimilasikan bunyi penggera tu dengan mimpi aku. Aku dah tak ingat mimpi apa tapi dalam mimpi tu macam logik la ada bunyi penggera, jadi sebab tu aku tak bangun tidur. Kahkah.

Aku terbangun pun sebab Gibran kacau dan aku rasa basah. Rupanya budak bertuah tu dah kencing atas katil. Dia punya lampin dah senget jadi memang auto kencing atas tilam. |Nasib baik pasang cadar dan alas tilam yang tebal, jadi tak tembus ke tilam. Tapi bengkek jugalah bangun terus kena mandikan budak ni dan lepas tu aku pulak terus kena mandi. 

Habis sekolah, aku bawa Ariana dan Gibran pergi Sunsuria sebab nak pergi Speedmart untuk beli plastik sampah. Ya, menjadi dewasa ialah punyai plastik sampah kegemaran yang boleh dibeli pada sekian-sekian tempat saja. Ada rasa macam malas nak memasak sebab banyak betul kerja mengemas rumah nak buat, jadi aku belikan Ariana air Tealive untuk bagi dia tenaga lebih sikit, sekurang-kurangnya sampai petang nanti aku beli makanan. Sekali kau, Ariana tak kenyang-kenyang aku bagi makan sebab hari ni tak makan nasi. Aku ingat dalam total enam ketul ayam Ariana makan hari ni tapi dia selamba je minta makan lagi. Esok memang kena masak nasi jugaklah bagi budak ni kenyang. 

Dan sebab Ariana makan banyak kali, jadi banyak kali jugaklah aku kena kemas meja makan. Aku dah rasa entah berapa kali aku kemas meja. Dah macam kes basuh baju jugak la, semalam dah hantar pengering dua bakul lebih sikit, hari ni tiga kali aku basuh baju. Aku rasa tadi baru aku kemas dan sapu meja makan, lepas tu Ariana makan, dah kena kemas dan sapu balik. Waktu ni aku rasa cepatlah Gibran besar, dah lah Gibran memang suka tengok aku menyapu. Asal aku menyapu, dia lari pergi depan aku. Aku sapu lantai, dia tengok lepas tu duduk dekat sampah yang aku sapu tu. Aku pun tak faham, kau suka menyapu ke kau suka tengok orang menyapu. Aku dah rasa macam ada mandur kadang-kadang bila menyapu tu. Kahkah.

*

Lewat petang baru sedar ada emel masuk. 

Aku ada hantar entri untuk penerbitan, tunggu juga mereka balas sebab aku takut emel aku masuk dalam spam. Sebelum ni pernah juga jadi macam tu, Mungkin sebab alamat emel yang aku guna untuk hantar entri ni lama dulu aku pernah guna untuk spam MLM (kahkah maaf la kalau ada siapa pernah dapat, sekarang dah insaf).

Aku berbelah bagi juga samada nak watlek watpis ke nak tanya juga. Akhirnya aku ambil keputusan untuk watlek je lah, sampai lah aku rasa macam nak tanya, nanti aku tanya. Tapi kira okey la sebab dah ada balasan. Mereka kata entri terlebih had patah perkataan, jadi minta untuk sunting mengikut had. Jadi, aku terus sunting dan emel. Harap lepas untuk penerbitanlah.


*

Isnin lepas patut ada temujanji dengan pediatrik untuk Gibran tapi aku lupa dan hari Rabu baru aku sedar. Aku ingat ni dah kali ketiga juga minta tukar tarikh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan