Okey, Sabtu hari tu pergi ambil gambar untuk kaver zine. Sebenarnya dah lama tangguh juga sebab asyik banyak sangat acara dan perkara yang nak kena buat. Dan sebenarnya Sabtu hari tu dah macam malas nak pergi juga sebab cuaca macam mendung. Dalam tengah hari macam tu dah mula hujan. Dalam pukul dua petang Sufian tanya macam mana. Aku cakap kita tunggulah. Sebab waktu yang dijanjikan ialah jam lima petang. Rasanya kalau tahu biasa nak ambil dalam waktu begitu, rasanya sebelum ni boleh setel awal sebab dalam pukul lima petang, hari bekerja pun aku dah tak sibuk. Tapi takpelah, aku tunggu sampai pukul empat petang dan tanya Puncak Alam hujan lagi ke.
Oleh sebab dah berhenti hujan, aku terus bersiap dan bawa motor dengan santai. Sebab motor pancit sikit sebab dah lama tak hidupkan. Kalau ikutkan motor dah berdebu secara harafiahnya. Patut aku beli selimut motor sebab letak bawah selimut kurang sikit berhabuk sebab motor jarang gerak. Lagi satu, bawa santai sebab lepas hujan dan juga jalan puncak Alam memang bengkang bengkok campur tak rata campur berpasir. campur lori besar selalu lalu. Aku pun hampir terbabas juga sebenarnya kat selekoh tajam, tapi nasib baik aku bawa perlahan dan sedar awal yang korner ni aku tak lepas ni. Apalagi, naik atas rumput la sikit lepas tu buat-buat macam memang nak berhenti.
Aku saja singgah Starbucks sebab nak beli air. Tapi hari Sabtu memang silap la sebab barisan panjang tambah lagi pulak diorang punya susun atur pekerja memang agak barai. Darah pengurus kafe dalam diri aku macam nak menggelegak juga tengok susunan macam tu. Cuma nasib baik memang ada sorang yang baca situasi sikit dan mula ambil pesanan dulu sebelum barisan sampai kaunter. Memang dari dulu taktik tak nak bagi pelanggan lari ialah ambil dulu pesanan untuk mereka yang beratur, dan ia bantu untuk cepatkan transaksi pembayaran dan kelicinan barisan.
Secara keseluruhannya, sesi ambil gambar tak ambil masa yang lama. Aku syak mungkin dalam sepuluh minit, atau mungkin lebih sikit. Sebab mungkin aku dan Sufian rasa dah okey. Jadi setel awal, kitorang melepak sampai maghrib kat kafe di Puncak Alam. Aku rasa kaver tu memang aku suka, warna hijau, cuma satu je aku tak sempat turunkan berat badan untuk bagi lagi cantik kaver tu. Tapi tak mengapa, hari ni aku mula jaga makan sikit. Semoga istiqamah.
Aku ingat yang lama masa hari Sabtu tu ialah beratur kat Starbucks, cari lokasi yang Sufian bagi dan juga lepak dengan Sufian. Aku macam biasalah dah mula pakai Google Map tapi bila aku ikut, tak jumpa tempatnya. Akhir sekali aku buka juga Waze. Tapi tempat dia memang best juga la kalau nak ambil gambar untuk motor atau kereta. Tak tahu macam mana Sufian jumpa tempat ni, tapi memang beberapa fotosyut untuk Laras 99 dibuat di sini.
Balik dari kafe tu, pelayannya ucap terima kasih dan dia mulakan sedikit perbualan kecil. Topiknya? Cafe racer aku le. Walaupun aku parkir agak jauh sebab parkir motor jauh, tapi ia tak dihalang oleh apa-apa pemandangan jadi boleh nampak dari kafe. Dia tanya motor aku ke, dan tanya model apa. Dan aku rasa memang dia minat cafe racer, selain sebab dia tegur tentang motor, dia tahu jenama motor yang berkenaan (oleh sebab dari jauh, dia ingat motor aku dari jenama lain, pengeluar cafe racer juga. Aku kata bukan, dan dia memang cam pengeluar cafe racer aku).
Oh ya, sepatutnya zine ini adalah jurnalzine atau travelog mini versi kemaskini dari versi zine yang sebelum ni ada aku hasilkan secara DIY-AF dengan cetakan terhad. Versi sebelum ni adalah cubaan aku untuk hasilkan zine - kerana sebenarnya ia agak pelik juga kerana aku bukanlah asing dengan budaya zine, dari zine underground hinggalah zine indie, aku melalui semuanya tanpa hasilkan zine sendiri. Jadi, pengalaman menghasilkan dan menjual zine adalah yang baharu bagi aku. Banyak perkara aku belajar dari segi penghasilan dan pengeposan. Yalah, punyalah lama aku setel zine versi DIY-AF ni, baru tadi kawan aku di Johor terima. Ya, guna pos biasa. Memang semangat zine tahun sembilan puluhan juga lah pakai pos biasa - nasib tak mempraktikkan lekat gam atas setem.
Jadi, aku faham jugalah lepas ni takde lah guna pos biasa sebab susah juga nak semak keberadaan perjalanan posnya. Lagipun harga setem berbeza juga mengikut destinasi dan berat. Mungkin sebab tu lambat. Dan juga aku belajar tentang harganya juga, Memang aku rasa harga zine naik dulu dari harga buku.
*
Ahad ada kenduri kesyukuran campur tahlil ringkas. Mak mentua aku akan mengerjakan umrah, jadi buat kenduri kecil. Kenduri kecil sekarang pun pakai dua khemah. Tapi jemputan untuk ahli keluarga dan ahli kariah surau je. Keluarga mentua aku memang biasa dengan kerja-kerja masak untuk walimatulurus atau kenduri, jadi semua benda memang senang dan sedia ada. Orang khemah pun diorang kenal. Aku je yang tak suka buat kenduri. Aku sampai rasa kalau Gibran nanti nak kahwin dan tak nak buat majlis pun aku sokong je dari belakang. Aku kalau kahwin lagi pun eh tak tak kahkahkah.
Emak mentua aku akan berangkat dengan adik ipar aku hari Khamis nanti. Mulanya aku fikir, mungkin tak apa lah kot kalau aku tak ikut hantar. Tapi lepas tu aku fikir balik, betul juga, sepatutnya emak mentua aku dapat panggilan haji tapi kemudian terbatal sebab pandemik. Jadi sebagai ganti, dia pergi buat umrah. Dan sepatutnya semua ahli keluarga kena pergi hantarlah. Dan aku cadangkan untuk ambil cuti je, sebab memang sebenarnya ia acara yang besar juga pun.
*
Hari ni baru aku sempat pergi kedai servis pendingin hawa. Dan kesudahannya tak dapat juga betulkan sebab mahal. Lebih seribu ringgit jugalah. Mula-mula kata nak isi gas je lah. Dalam enam puluh ringgit je. Tapi lepas tu nak isi asyik tak berjaya dan gas tolak balik keluar, dia cakap ada benda sumbat. Jadi kena buka segala benda. Kena tinggal juga kat kedai satu hari. Aku cakap takpe lah lain kali. Aku pun tak tahu bila lain kali dia. Nampak gayanya makin kurus la Gibran hari-hari masuk sauna tiap-tiap kali ambil Ariana dari sekolah.
Hari ni balik dari sekolah, masuk dalam kereta, Ariana terus cakap nak buang air besar. Dia cakap sakit perut. Jem jugak. Jangan la dia terlepas dalam kereta. Dah la kereta takde pendingin hawa. Astoge.
*
Aku buat dua poll untuk pilihan kaver - kat instagram dan twitter. Dekat twitter, majoriti pilih kaver yang homaj dari buku-buku Penguin. Agak tak sangka juga lah. Aku rasa konsep Penguin tu menarik juga cuma pada aku kena pilih foto lain la kot. Aku suka foto asal untuk kaver tu. Lagipun kaver inspirasi Penguin tu ada juga mirip dengan buku travelog lain. Jadi, memang aku berat sikit untuk pilih kaver yang asal. Dekat instagram semua pilih kaver yang sama macam aku suka, walaupun sebenarnya agak tak adil kat instagram sebab mereka tak dapat tengok gambar-gambarnya penuh. Sebab aku buat dalam satu muka surat story saja. Tapi berdasarkan total undian, memang jumlah undian kaver penuh tu yang paling banyak undian.
Buat kali pertama juga, aku mula letak sedikit pendekatan mencapub pada kaver belakang buku. Sufian memang dari awal tanya nak letak apa kat belakang. Aku memang tak fikir apa-apa kecuali letak blurb/uraian singkat. Lepas tu aku fikir, okey la, letak sedikit kata-kata pujian dari reviu-reviu buku-buku sebelum ni pun okey juga. Sebagai salah satu usaha menjual diri, dan juga buku. Selama ni ada rasa macam segan dan keinginan untuk ditemui secara semulajadi. Tapi ya, bak kata Buk, "Don't try."
*
Hari ni Gibran pertama kali makan sendiri. Tahu-tahu dia ambil Pringles (perisa keladi kot - yang warna ungu) secebis dan suap ke mulutnya sendiri. Gibran patutnya dah dalam umur yang dia dah lama makan sendiri. Tapi dia memang lain dari budak sebaya dia sebab dia tak suka ambil barang dan masuk dalam mulut. Dia suka ambil barang lepas tu buang atau campak. Memang dari bayi dia tak suka hisap jari atau ambil barang dan masuk dalam mulut. Memang baguslah sebab tak risau dia ambil apa-apa atas lantai atau tanah dan masuk dalam mulut. Tapi keburukannya, dia susah nak terima makanan. Walau aku suap, dan aku suap makanan biasa dia, pun dia akan elak. Walaupun dia tengah lapar atau tengah nak makan. Beria-ia ikut aku dari waktu aku ambil mangkuk makan dia siapa hentak hentak dua dua kaki tapi lepas aku siapkan makanan dia, dia sembunyi muka bila aku nak suap.
Jadi, ni ya, progres yang baik.
*
Draf pertama kaver zine.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan