Kafe tengah malam buka dua puluh empat jam (kecuali pandu lalu).

Pagi tadi Ariana macam tak sihat jadi hari ni tak sekolah. Oleh sebab aku tengah tidur dan sedang mamai, dengar je tak sihat, aku terus sambung tidur. Lepas tu sepanjang hari aku tengok elok je budak ni. Takpelah. Esok sekolah. Sekali baru ingat esok pun tak sekolah sebab nak hantar nenek dia pergi umrah. 

Jadi, lepas dengar Ariana tak sekolah, aku terus sambung tidur sampai pukul sebelas lebih atau dekat pukul sebelas. Aku tak ingat. Tapi bagusnya ialah kebanyakan benda dah setel semalam, jadi aku kira santai jugalah hari ni. Besday lah katakan.

Bangun tidur, suruh budak dua orang tu mandi, lepas tu buat susu Gibran (kot - lupalah), tanak nasi, goreng ayam (aku dah siap potong dan letak kunyit dari semalam dalam peti ais) dan kemudian bagi Gibran makan. Secara jujurnya aku lupalah apa aku buat hari ni, rasa macam tak produktif sangat. Petang tidur, dan selebihnya rasanya aku tonton Seinfeld kat Netflix. Rasa tiba-tiba macam kejap gila dah episod 18 untuk musim ke lapan. Rasa macam baru berapa hari lepas aku baru masuk musim ke lapan. Aku ingat dalam musim ke tujuh aku rasa macam lama laginya nak habis - walaupun sebenarnya sayang juga nak habiskan. Lepas tu tau-tau dah nak setel musim lapan (ada baki lagi empat episod).

Jadi, malam ni aku keluar dan duduk di kafe, menulis. Dah lama gila. Tapi macam tak sangka juga malam hari bekerja macam malam ni pun masih ramai juga orang.


Sebenarnya selalu juga terlintas dalam kepala untuk ajak Ariana teman aku ke kafe pada waktu malam begini. Walaupun jarang bawa dia duduk lama di kafe, tapi Ariana memang dari kecil sudah selalu bermain sendiri dan sentiasa ingat akan tempat kerja aku. Pernah dulu waktu dia kecil, aku terpaksa bawa dia ke tempat kerja sebab terdapat salah komunikasi dengan pengasuhnya dan tiada cara lain selain aku kena bawa Ariana ke tempat kerja kerana tiada sesiapa yang boleh jaganya. Aku bawa dia ke belakang kafe dan lepas tu aku lupa sekejap dia ada di belakang kafe. Waktu itu dia tak pandai buka pintu, jadi waktu aku teringat, dia sudah lama menangis di belakang pintu. 

Jadi, memang dia sudah biasa dengan kafe walaupun jarang habiskan masa di situ. Tapi oleh sebab Ariana masih bawah umur jadi aku batalkan hasrat untuk bawa dia ke kafe melepasi tengah malam. Aku memang sentiasa percaya anak-anak kecil tak sepatutnya berada di luar melepasi tengah malam (kecuali hal-hal yang tertentu). Mungkin nanti bila tiba umurnya yang sesuai, aku akan bawa dia teman aku menulis di kafe. Dan kemudian, bila Gibran juga sudah tiba pada umur yang sesuai, aku akan bawa dia juga. Aku harap waktu itu, mereka tak rasa asing untuk duduk lama bersama babah mereka di kafe.

*

Hari ini dah dapat draf seterusnya untuk mini zine/travelog/jurnal. Agak cepat juga walaupun Sufian kata maaf sebab lambat. Aku cakaplah mana ada lambat. Tapi mungkin sebab internet di rumahnya asyik bermasalah dan sepatutnya sudah diperbaiki hari ni, mungkin dia rasa segala kerjanya telah tertangguh hingga dia kata begitu. Mungkin aku akan mula semak lagi sekali lepas esok hantar emak mentua di lapangan terbang.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan