Tentang aku dan saya.

Jarang juga aku kongsikan hal berkaitan penulisan atau perkara kreatif lain di sini. Tapi kalau ikutkan pun, usia blog pun belum sampai setengah bulan dan masih ada banyak perkara lain yang aku kongsikan - dan memang itu matlamatnya, untuk menulis secara lewa dan hal-hal yang tak begitu penting - hanya untuk jadi sekadar sebuah catatan. Memang untuk catatan saja sebab kalau di tumblr, ia agak tak tersusun dan sebenarnya tak ada arah tuju sangat pun, ia macam separuh bahagian kreatif, separuh pengejek, dan sebahagian lagi benda yang aku tak mahu kongsikan di twitter.

Waktu tujuh puluh lima hari Gibran di hospital, aku fikir agak lambat juga untuk mulakan jurnal harian (walaupun sebenarnya ia agak logik juga sebab selain dari sibuk dengan monitor progres Gibran, melayan pemeriksaan doktor dan juga berteka-teki berapa lama agaknya sebelum dapat keluar hosiptal, awal-awal itu memang agak penat, Waktu kebenaran untuk menukar penjaga untuk setiap beberapa hari masih belum lagi dimansuhkan, setiap kali pulang dari hospital, memang akan habiskan kebanyakan masa dengan tidur dan berehat walaupun sebenarnya memang tak buat apa-apa di hospital) tapi aku mulakan juga walaupun ia sudah hampir ke penghujung. 

Sewaktu Ariana di dalam hospital lima puluh enam hari, lagi tak sempat nak tulis apa-apa. Selain dari dah hampir berhenti mengemaskini blog secara berkala, itu adalah kali pertama mempunyai tanggungan penuh terhadap seseorang. Jadi, pada kebanyakan masa memang rasa seperti tak tahu tentang apa perkara yang patut dilakukan.  

*

Semalam pergi juga ke Wayang Budiman dan boleh kata ini adalah sesi paling sedikit penonton aku pernah hadir. Banyak kerusi kosong tapi ada rasa sedikit initim. Lagipula bila sambung sesi Wayang Budiman ke sesi melepak di Rahmath. Rasa semalam mungkin paling banyak interaksi aku lakukan dalam satu masa di Rahmath kot. Walau tak ramai, tapi banyak juga benda yang dibualkan. Marvel, Malcom in the Middle, Breaking Bad, Better Call Soul, Love & Thunder, Starlord T'Challa, Hadiah Sastera Selangor, juri Hadiah Sastera Selangor, femtard, Allan Ginsberg, Hunter S. Thompson, Mat Kilau, zine, cerpen, esei, reviu dan kritikan filem et cetera. Aku lepak sampai hanya tinggal dua orang saja - aku dengan Beduk. Itupun dia yang kata nak gerak dulu sebab takut hujan. Sebab semalam memang aku dah bajet nak lepak sampai habis. 

Tapi memang waktu aku memandu pulang tu hujan turun lebat. Aku baru ingat nak lakukan kerja-kerja menulis di anjung rumah mentua aku tapi hujan dan tempias tak begitu mengizinkan. Lagipun aku dah rasa penat juga sebenarnya. Jadi aku sambung tidur.

*

Vengeance (2009) arahan Johnny To.

Siri kedua (dan akhir) slot Sonata Kancah Jenayah untuk Wayang Budiman - secara ringkas ia berkenaan dunia jenayah bawah tanah mengenai pembunuhan, dendam, pembunuh upahan dan keluarga. Secara umumnya, beberapa perkara yang terlintas di dalam kepala semasa menonton filem ini - Memento, filem-filem arwah Mamat Khalid, As Tears Go By, Rogue, Thank You For Smoking dan mungkin beberapa drama bersiri random Hong Kong yang biasa mengisi slot jam enam petang di TV3 waktu tahun sembilan puluhan. Dua perkara yang saya gemar tentang Vengeance ialah babak tembak menembak di dalam hutan (dan juga dari awal babak mula sebelum tembak menembak bermula) dan juga humor (mungkin gelap) yang tidak secara langsung. Ia lebih bermaya berbanding humor secara langsungnya. Ada banyak humor tapi ia agak slapstik (atau mungkin tidak) atau tipikal untuk filem ini sebenarnya. Selain itu, ada satu syot yang saya gemar ialah pantulan imej pada televisyen lama yang tidak dihidupkan. 

Untuk beberapa hari ini, saya sedang sangkut di satu bahagian tulisan saya (perkara biasa). 

*

Saya mula membaca cerpen semula di portal-portal atas talian dan kali ini lebih adil. Sebelum ini, selain dari bacanya secara pukal, saya bacanya dengan laju - salah satu cara saya mengesan cerpen yang sedap dibaca - dan ia agak tidak adil saya fikir. Jadi, kali ini, mungkin saya akan cuba pendekatan berlainan. Entah kenapa saya rasa sekarang sedang punya ruang vakum untuk membaca cerpen yang menarik.

Saya fikir, saya sedang berada di tahap di mana saya tak perlu pedulikan entah apa yang akan jadi dengan penulisan cerpen-cerpen terkini tapi kebelakangan ini agak susah untuk membaca cerpen yang baik, dan tiba-tiba saya rasa seperti mungkin saya mahu menulis semula cerpen-cerpen yang mengubah lanskap dorman dan membosankan ini. Patutnya ketika ini saya hanya perlu menulis cerpen sebagaiman mengikut kehendak saya kerana saya sudah berada di mana saya tak perlu buktikan apa-apa, sama ada dari segi penulisan atau kehidupan peribadi. Ya, mungkin ini kali pertama mendengar saya menyatakan sikap dan ia kedengaran bongkak. Mungkin sebab saya dah fedap. Fedap sebab selepas beberapa tahun, ia masih berpusing ke arah kiblat lapuk. Mungkin akan ambil sedikit masa, tapi ya, ia akan berlaku.   

*

Jangan risau jika nampak penggunaan 'aku' dan 'saya' dalam entri yang sama. Aku dan saya masih lagi orang yang sama. Haha.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan