Beberapa minggu kebelakangan ini rasa sangat pantas, lagi-lagi waktu cuti sekolah. Aku dah jangka yang cuti sekolah akan berlalu pantas dan ya, hari ini hari akhir cuti sekolah.
Rasa banyak juga perlu diselesaikan hari ini, dari kerja rumah dan pertandingan cuti sekolah Ariana (walaupun bukan aku yang buat) hinggalah hal menguruskan rumah. Okey, setakat aku ingat, hari ni perlu basuh baju kemudian bawa ke dobi untuk keringkan (sebab ada dua bakul lebih penuh dan cuaca pula asyik mendung) dan beli barang dapur (aku syak sekurang-kurangnya kena pergi dua tempat/kedai/pasaraya sebab tak semua ada dalam satu tempat). Oh, tambah lagi kena isi minyak kereta dan isi kad Touch N Go. Mulanya macam nak pergi sendirian tapi kemudian Ariana ikut juga. Oleh itu bersedia untuk kena pow.
Aku ingat nak mula buat semua tu dari awal pagi lagi tapi lepas tu rasa malas, jadi aku kemas rumah dan tengok Seinfeld hingga episod akhir musim ke tujuh. Sebenarnya aku dah mula baca tentang persediaan untuk banjir dan Jabatan Kajicuaca juga ada keluar amaran yang air pasang besar akan berlaku selama lima hari bermula hari ini dan aku bercadang untuk kemas terus semua barang dalam persediaan banjir walaupun sebenarnya aku harap tak kena banjir lagi macam tahun lepas. Kalau tak, terpaksa aku tulis lagi satu zine tentang menyembuh (tapi bab ni aku dah bersedia - aku ingat nak naik cafe racer ke Kuala Lipis dan zine pula mungkin akan bertajuk Lagi Catatan Perjalanan Tentang Kampung Halaman Yang Bernama Tanah Asing; atau Lagi Catatan Perjalanan: Tanah Lipis). Jadi, esok aku harap awal pagi bangun, bersenam (pagi tadi dah mula bersenam walaupun jaga makan agak ke laut hari ni) dan kemudian kemas persediaan untuk banjir dari bilik ke bilik. Berdasarkan pengalaman banjir tahun lepas, satu perkara yang aku pelajari untuk buat lebih baik jika dilanda banjir lagi ialah untuk tidak tinggal sebarang barang langsung di lantai atau pada aras banjir. Sebab semua barang ini boleh terapung dan bila banjir surut, ia bersepah. Jadi, kali ini aku cuba untuk minimalkan barang di aras rendah dan hanya barang yang memang tak boleh dialihkan supaya bila tiba-tiba air masuk, tak banyak benda aku nak kena alih. Karpet pun aku akan mula alih. Juga beberapa barang yang aku fikir penting - iaitu sarung tilam kalis air (aku baca tahun lepas ada yang pakai sarung tilam kalis air jadi bila banjir, mereka terbalikkan tilam dan biar ia terapung). Aku ada juga terfikir untuk beli penahan air dan plastik bungkus kereta, tapi ada rasa macam mahal sangat. Kalau mampu, dah lama aku beli. Lagi satu, aku dah mula rasa nak naikkan semua soket plag. Aku tak tahu sebenarnya macam mana ia berfungsi ketika banjir tapi aku memang seriau tengok plag dalam banjir - takut arus elektrik mengalir dalam air banjir.
Aku harap esok dapat setel semua dan buat sedikit catatan tentang perkara yang boleh perbaiki untuk hadapi banjir.
*
Akhirnya dekat malam juga baru aku keluar dari rumah untuk buat semua benda yang aku patut buat pagi tadi. Isi minyak lepas tu isi kad Touch N Go lepas tu mula beli barang dapur. Habis beli barang dapur, aku tengok ada lagi beberapa barang kena beli tapi aku pergi ke dobi dulu sebab pasaraya ni depan dobi yang selalu aku pergi. Aku bajet mungkin kena pakai empat mesin pengering tapi waktu aku datang hanya ada dua saja yang kosong. Aku selalu ke dobi sini sebab tak ramai yang datang ke dobi ni. Pernah aku datang dobi waktu lewat malam dan tak ada sesiapa di sekitar kawasan ini (keseluruhan dua blok bangunan - tempat ini walau di tengah pekan tapi ia sedikit terasing mungkin sebab akses ke kawasan ini agak renyah). Aku memang selalu datang dobi waktu yang tak lazim sebab malas nak berebut dengan orang lain tapi taklah sangka sampai tak ada orang langsung keseluruhan dua blok bangunan ni. Aku syak sebab restoran mamak di hujung lot tak buka waktu itu jadi tak ada sesiapa mahu berada di sini pada waktu begini. Aku baru bercadang nak duduk dalam dobi sambil baca buku terus tak jadi. Aku duduk dalam kereta, kunci pintu semua, dan tengok mesin pengering berputar dari jauh.
Aku duduk di depan pengering dengan Ariana sambil tunggu ia habis berputar. Selang beberapa ketika, ada satu lagi mesin mula kosong dan aku masukkan semua baki baju ke dalam pengering. Walau pada awalnya rasa aku patut bahagi dua juga tapi aku fikir untuk jimat waktu, aku masukkan semua dan tambah lagi waktu untuk keringkan lebih lama. Selalunya sekali pusingan ialah dua puluh empat minit, jadi aku tambah lagi satu syiling dobi dan total tiga puluh minit untuk pusingan akhir ini.
Aku tengah duduk dengan tenang bila aku sedar bakul aku hilang satu. Ada dua bakul yang aku bawa ke dobi dan kedua-duanya aku letak tepi pengering. Aku terfikir juga jika bakul aku teralih ke sebelah sini tapi bila aku perhatikan ia bukan bakul aku kerana warnanya sudah agak pudar. Lepas tu bila aku perhatikan betul-betul, bakul aku sudah berisi dengan baju dan aku lihat ada haiwan tengah berdiri depan bakul aku.
Aku tegur itu bakul aku, dengan bersangka baik mungkin dia tersalah bakul. Tapi sebenarnya dia tak ada bakul dan dia pakai bakul aku untuk isi bajunya yang baru keluar dari mesin basuh. Oleh sebab aku tak pernah bedepan dengan situasi begini, aku hanya tunggu dia keluarkan bajunya dari bakul aku. Lepas tu dia tengok aku dan cuma kata oh yeke. Lepas tu dia tercegat kat situ. Aku pelik apa dia tunggu lagi. Kebetulan ada satu mesin pengering mula dikosongkan dan dia bawa bakul depan pengering dan masukkan pakaiannya. Lepas tu baru dia kata sorry dan pulangkan bakul pada aku.
Secara jujurnya aku tak tahu nak beri reaksi macam mana. Tapi aku terus duduk kat situ sementara haiwan tu terus keluar dari dobi dan tunggu bajunya dari luar.
Aku pernah terbaca juga tentang insiden di dobi yang dikongsikan pengguna internet yang lain - sama juga macam aku, dia tengah pakai pengering, cuma mungkin dia tinggalkan dobi untuk ke tempat lain, bila dia balik, dia keluarkan pakaian dari pengering dan dapati ada pakaian orang lain. Rupanya ada orang lain buka pengeringnya, masukkan pakaian sendiri dan tutup semula. Aku fikir ni lagi binatang perangai.
Mungkin lepas ni aku patut pergi dobi pada waktu aku selalu pergi sebelum ini - supaya tak bertembung dengan haiwan-haiwan begini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan