Jumaat, aku (tak) jatuh cinta.

Aku masih diet lagi walau tak berapa ketat. Tak banyak beza sangat sebab aku malas nak bersenam, tapi ya, ia memang akan turun berat badan tapi lambat. 

Waktu di lapangan terbang aku asyik fikir kafe apa yang ada di sana. Aku di balai pelepasan dan aku perhatikan kafe yang berada di sepanjang laluan. Aku nampak Gloria Jeans, CBTL dan Mc Cafe. Aku tahu Starbucks ada juga tapi rasanya ia berada di sebelah kawasan yang lain. Rasa macam tak jauh, tapi ada rasa macam ya. Nampak juga orang pegang cawan Dunkin tapi ni lagi tak nampak kat mana. Sebab tu balik aku asyik teringat Dunkin. (Ada satu benda aku geram dengan Dunkin kat Panda dan Grab ialah mereka tak letak logo besar-besar sebaliknya letak gambar donut-donut; yalah, macam mana nak bezakan dengan kedai yang random dalam aplikasi tu kalau tak letak logo sendiri besar-besar? Ia benda yang sepatutnya yang jadi poin jual kot berbanding gambar donut sebab kedai yang random je letak gambar makanan besar-besar sebab letak nama kedai bukan boleh menarik pelanggan pun sebab jenama tak cukup kuat. Ni jenama dah kuat tapi tak nak gunakan.)

Tapi lepas tu jadi rileks sket sebab nampak promo kaw-kaw dia - aku secara harafiahnya beli air dengan cawan besar hanya lima ringgit siap tolong hantar sampai depan rumah. Kira kalau aku keluar rumah dan pandu pergi sana lebih rugi berbanding pesan di aplikasi.

Tapi anak harun dia belah pagi tak boleh order pulak sebab kedai dia buka sepuluh setengah pagi kat Panda. Lepas tu aku tunggu pukul sepuluh setengah dia tak buka dan Panda suruh order untuk esok pulak. Lepas tu aku baru ingat dulu aku macam pernah tanya kat Dunkin cawangan tu yang waktu operasi diorang pukul berapa dan diorang cakap pukul dua belas tengah hari baru buka kedai (kalau tak silap la). Terpaksa aku order latte Tealive sambil beli Bang Bang Fresh Milk untuk Ariana. Tak, bukan untuk aku, sebab aku, aku akan order Bang Bang Milk Tea atau Bang Bang Oat Milk. Bang Bang Fresh Milk dan oat milk latte berserta semua diskaun dan promo total ialah RM10.01. Okey la.

*

Sebenarnya sebelum ni aku menjumpai cara minum tea latte kat rumah (teh susu je sebenarnya; latte mengikut lughah Itali ialah susu pun sebenarnya. Patutnya kena sebut penuh - cafe latte, baru la betul sebenarnya tapi lantaklah asal orang faham, kecuali pergi Itali la. Kita minta latte kat sana, mereka akan bagi susu panas je dekat korang).

Ariana dapat bekalan susu bantuan -ala macam masa sekolah dulu semua dapat susu kotak perisa coklat tu. Sekarang ni dah takde dah yang desain bekalan susu sekolah tu, sebaliknya memang bagi sebijik macam kat kedai luar tu, takde desain khas. Dan paling bestnya diorang dapat susu Dutch Lady. Aku tak tahu la semua budak dapat ke tak tapi Ariana dapat sebab dia dalam program pendidikan khas. Masa mula-mula dapat memang seronok la Ariana sebab memang dia minum susu tu perisa coklat - kira barang wajib beli dia kalau pergi kedai. Lepas tu entah kenapa, diorang tukar susu tu dari perisa coklat jadi susu penuh krim. Memang budak sekolah reti minum. Aku hangin je walaupun sebenarnya best juga sebab boleh buat latte tapi sayangnya aku takde mesin espresso dan aku malas nak fikir camne nak buat shot, jadi, jadi tak best juga lah sebab penuh jugak la peti ais sebab Ariana dah tak nak minum. Aku ingat siap bagi kakak aku sikit lepas tu aku minum sikit dengan teh (ha ni yang aku nak cerita sebenarnya). Seminggu biasa dapat lima kotak (sehari satu kotak, sekolah pula lima hari, total seminggu lima kotak) tapi lepas berapa lama, agak takde yang nak amik sangat atau memang ada lebih banyak, dia terus bagi satu peket enam kotak terus. Lama-lama penuh peti ais aku.

Entah kenapa hari tu rasa nak minum teh, jadi aku beli teh serbuk. Murah juga sebenarnya sebab aku beli yang kecik-kecik tu je, dalam dua ringgit ke empat ringgit je. Aku malas dah nak buat teh masala sebab malas nak masak. Dah la hari tu aku masak, aku tercurah cengkih banyak gila sampai mulut jadi kebas bila minum. Jadi, aku bancuh teh lepas tu aku fikir okey juga letak susu Ariana ni. Tapi susu tu sejuk, kalau campur teh (panas) dengan susu (sejuk) dia jadi suam. Jadi dengan geniusnya aku panaskan susu dalam ketuhar mikro. Tuang susu dalam cawan seramik dan panaskan dalam ketuhar mikro. Lepas tu tuang teh yang aku bancuh pekat-pekat. Menariknya, ia jadi macam caffe latte, kecuali menggunakan teh. Tea latte la jadi dia. Lebih kurang perasaannya minum teh tarik tapi tak manis. Kalau aku ada mesin espresso lagi senang sebenarnya. Sebab boleh panaskan susu guna stim dan lepas tu ekstrak teh guna espresso - aku macam pernah dengar orang ekstrak teh guna mesin espresso. Atau mungkin aku salah baca kot. Tapi kalau aku ada mesin espresso, boleh la aku cuba.

*

Gibran nampak macam nak mula demam. Aku harap dia tak demam dan cepat-cepat beri dia ubat. Sebab kalau dia mula demam, bermakna akan ada harapan berjangkit dengan Ariana dan akan jangkit semua orang dalam rumah. Aku memang dah mula dengar ramai yang sedang demam sekarang. Antara sedar dan tidak, sebenarnya cuaca sedang jadi lebih panas. Cuma nasib baik, tiada yang kena demam lagi dalam rumah, kecuali Gibran yang baru nak mula. Dan aku dah tahu dah nanti macam mana, Gibran demam jangkit kat Ariana, lepas tu jangkit kat semua orang, lepas tu nanti bila Gibran dah nak sembuh, akan jangkit balik sebab Ariana masih belum sembuh. Lepas tu ulang-ulang lah sampai semua sembuh dari demam.

*

Di lapangan terbang, adik ipar aku beritahu yang pendingin hawa kereta yang lagi satu (yang aku beri pada dia untuk buat kereta sewa) bermasalah semula. Aku sebenarnya baru nak tanya kat mana dia hantar betulkan pendingin hawa sebab macam nak hantar kereta aku pergi betulkan tempat lain pula - tempat yang dia nak rekemen. Kereta yang buat sewa tu sebelum ni pun memang dah bermasalah dengan pendingin hawa kejap panas kejap sejuk. Dah berapa kali dan dah berapa ratus juga habis untuk betulkan tapi jadi semula. Semalam katanya dah hantar dan kena caj dalam dua ratus enam puluh ringgit. Aku ingat nanti nak cuba hantar sana, mana tahu tiba-tiba boleh betulkan pulak dengan lebih murah. Kesian juga Gibran basah baju sebab peluh walaupun ambil Ariana dari sekolah tu kejap je. 

*

Malam ni ke Wayang Budiman insyaallah. Aku ingat akan kena langkau lagi tapi nampaknya boleh pergi. Aku tak bajet nak balik pukul berapa tapi sebab malam ni balik ke rumah mentua lepas habis Wayang Budiman, aku bajet nak menulis dekat rumah mentua. Rumahnya lebih sunyi dan aku dah rasa macam nak menulis kat luar rumah je. Baru betul menulis dilatari oleh alam semulajadi dan malam. 

*

🫡 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan