Aku harap nanti pantai timur banyak kawasan rehat dan rawat supaya mereka faham keterujaan dan kegembiraan setiap kali berhenti di rehat dan rawat, serta mengetahui apa yang mereka terlepas sepanjang hidup di dunia ini. Dan lepas tu jangan pangkah Pertikaian Nasional lagi.

Aku syak kawasan rehat dan rawat Dengkil mungkin rehat dan rawat yang epik dan unggul sebab vendor dia lain macam. Aku tak tahu la macam mana nak terangkan tapi rehat dan rawat Dengkil ni biasanya aku lalu bila dalam lebuh raya untuk potong terus ke arah Shah Alam atau Klang. Jadi, dia bukan yang dalam laluan utama utara selatan kot walaupun kalau terus je boleh sampai ke rehat dan rawat jejantas Sungai Buloh. 

Tapi rehat dan rawat Dengkil ni memang lain macam. Aku rasa tempat ni antara rehat dan rawat yang paling terkini sebab nampak fasilitinya pun agak baharu dan rekabentuk dan lanskapnya agak luas dan lebih mesra pengguna, berbanding yang tradisional yang kira macam dalam fasa pertama dan percubaan untuk buat tempat rehat dan rawat. Ada beberapa rehat dan rawat yang selalu aku suka singgah (yang ke selatan la, sebab aku balik Johor) Ayer Keroh dan Pagoh, yang aku tak minat nak singgah Seremban. Ni masuk dalam senarai baru ialah Dengkil. 

Aku tahu dekat rehat dan rawat Dengkil ni memang ada jual Sate Kajang Haji Samuri. Walaupun ye lah, aku pernah je jumpa sate yang lebih sedap dari Sate Kajang Haji Samuri (dan dekat je dengan rumah) tapi pada aku Sate Kajang Haji Samuri ni masih lagi antara yang aku gemar makan. Dan kalau ada peluang, memang aku akan singgah dan beli je sebab memang dah tahu dia sedap je nak makan. Kadang kita kompleks sangat sampai rasa sesebuah juadah atau makanan tu dah biasa sangat sebab aras jangkaan kita sudah makin menaik,  walhal makanan tu kekal je macam mana sebelumnya. Walaupun ada satu ketika aku rasa bila Sate Kajang Haji Samuri sudah mula berkembang dan diglobalisasikan, ia rasa sangat kilang. Jadi semalam waktu aku lalu kat rehat dan rawat kat Dengkil untuk merehatkan tongkeng aku, aku beli la sate kajang. Benda yang paling aku suka tentang sesebuah premis atau kedai atau apa-apa perkhidmatan pun ialah khidmat pelanggan diorang. Oleh sebab aku memang berasal dari industri yang mementingkan khidmat pelanggan, jadi aku memang selalu menghakimi prestasi khidmat pelanggan setiap premis yang aku masuk. Dan waktu aku masuk dalam premis sate kajang ni, walaupun pada mulanya dia macam tengah sibuk buat kerja di kaunter (kebetulan aku nampak dia tengah cetak resit di terminal kredit/debit kad, bermakna dia dah tutup pembelian melalui kad) tapi lepas tu dia layan bagus betul. Kita boleh bandingkan, sama ada orang ni, memang benar ikhlas melayan kita, atau ikhlas melayan kita walau penat, sedang cuba ikhlas melayan kita walau tak penat, atau tak ikhlas nak layan tapi terpaksa layan ikhlas sebab dah emmang itu kerja dia, ataupun yang memang tak ikhlas dan tak nak layan kita. Jadi, pelayan di kaunter tu jenis yang ikhlas melayan pelanggan walaupun dah penat dan nak balik tutup dah. 

Dia tanya aku nak pesan apa. Aku terus tanya boleh ke pesan lagi. Dia cakap boleh je. Tapi aku sangsi la sebab aku dah nampak dia cetak resit tamat jualan harian kat terminal kredit/debit jadi aku tanya tutup pukul berapa. Dia pandang jam lepas tu cakap lagi lima minit. Aku pun terus tengok jam jugak, betul ke lagi lima minit tapi bukan aku tahu pun betul ke tak. Aku macam kesian juga nak pesan sebab dah nak tutup, campur lagi pulak kalau aku pesan untuk makan situ, nanti macam mana dia nak kemas pinggan apa semua. Tapi sebab aku dah berdiri depan kaunter, akupesan juga tapi untuk bawa pulang. Dia kata okey. Aku pesan lima cucuk ayam, lima cucuk daging dan lima cucuk kambing. Pelayan tu cakap, kambing dua boleh? Aku cakap boleh. Selalunya dalam situasi ni, aku akan minta maaf dan kata kambing hanya tinggal dua. Tapi pelayan ni memang jurujual yang bagus, walau dia tak minta maaf, dia terus bagi penyelesaian, dua cucuk boleh? Kira respek jugak la, sebab selalunya waktu begini (dah nak tutup kedai) biasa semua orang dah mula malas nak layan pelanggan. Tapi kedai ni memang dengan tukang masak (atau tukang bungkus, aku tak tahu siapa, tapi yang dekat bahagian ambil pesanan la) siap ceria lagi panggil dan beritahu pesanan aku dah siap. Laju juga diorang siapkan, mungkin sebab sikit kot. Dekat tempat aku ni, memang ada satu sate yang sedap gila dalam dunia tapi kadang-kadang bengkek juga cara dia layan pelanggan. Memang le dia tak buat benda-benda kurang sopan atau apa, tapi dia punya semangat dan kesungguhan tak ada. Ia bukan masalah hal quiet quitting atau bare minimun atau buat sekadar gaji, tapi ia lebih kepada bare minimum pun tak sampai lepas tu ada hati cakap dilayan dengan tidak saksama. Pada aku quiet quitting atau buat kerja sekadar dibayar memang okey je dan patut dinormalisasikan tapi ia bukan alasan untuk kau buat kerja ala kadar dan menyusahkan orang lain. 

Jap, aku baru sampai hal pertama kenapa aku kagum dengan rehat dan rawat Dengkil ni. 

Benda kedua ialah, lepas aku beli sate, aku macam biasa la cuba riki vendor dan kedai lain kat situ. Perkara pertama aku perasan telah buat aku rasa macam watdefak. Maksud aku, watdefak ada orang makan yongtaufu dekat rehat dan rawat. Bila aku cakap yongtaufu, ia bermakna yongtaufu yang sebenar yang dimakan dengan sup, bukan yongtaufu palsu yang makan dengan kuah coklat jenayah kemanusiaan tu. Kalau korang memang pemakan yongtaufu sebenar, mesti korang akan dapat teka sekali imbas orang tu tengah makan yongtaufu sebab hidang dalam mangkuk besar dan mangkuk besar plastik tu memang dah jadi pengenalan untuk makan yongtaufu. Alah mangkuk warna warni biasa je tu tapi sekali tengok tahu la orang ni makan yongtaufu. Terus aku cari kedai yang jual yongtaufu ni dan tengok dia niagakan makanan ni sebagai apa. Sebab orang dekat sini memang tak tahu itulah yongtaufu sebenar dan selalu tertipu dengan kuah coklat tak sedap tu, jadi ada kemungkinan dia akan iklankan sebagai steamboat. Tapi kedai ni bagus, dia memang tulis ni adalah yongtaufu dan dia lebih bijak sikit dengan memahami ketidakpandaian orang sini makan yongtaufu sebenar, jadi dia nyatakan juadah yontaufu ini sebagai yontaufu sup. Aku tak makan lagi tapi aku boleh beri lima bintang kat Google Review untuk papan tanda yongtaufu sup ni saja. Dan aku ada rasa nanti kalau aku boring, aku akan datang rehat dan rawat sini hanya untuk makan yongtaufu je. Yongtaufu yang SEBENAR! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan