Mendengar No Devotion.

 Ada banyak sangat band yang saya mahu dengar - sama ada baru mahu dengar, atau mahu ulang dengar betul-betul kerana sebelum ni hanya dengar sepintas lalu dan tak fokus langsung muziknya, atau mahu dengar semula kerana kali pertama dengar rasa macam tak masuk langsung sebab pernah beberapa kali punya pengalaman memahami album selepas beberapa kali ulang, atau mahu ulang dengar sebab ia pernah jadi album atau band kegemaran tapi dah lama tinggalkan, atau music fatique untuk sesetengah band di mana hanya dengar album lama dan beberapa album seterusnya dah tak mengikuti dan dengar, atau mahu dengar album atau muzik dari persona band yang buat projek sampingan atau perpecahan band yang menubuhkan band baru; agak banyak juga nak dengar - tak termasuk muzik yang baru mula nak kenali dan dengar. 

Saya fikir ini adalah masalah yang sama untuk setiap pembaca buku atau peminat filem - terlalu banyak material tapi terlalu sedikit masa; lebih-lebih lagi kalau memang meminati ketiga-tiganya. Syukur juga saya bukan peminat sukan, kalau tak, lagi banyak masa saya terbahagi. Tapi kalau ikutkan, sukan kegemaran saya masih papan luncur tapi saya fikir mungkin saya sudah hampir melepaskan minat itu walau dalam hati masih membara untuk ia setara dengan minat lain. 

Saya memang meminati muzik lebih berbanding menulis, cuma saya tidak berada di kelompok yang betul, menyebabkan perjalanan muzik saya agak tumpul dan jika saya ingin hasilkan muzik, mungkin saya perlu bermula secara sendirian, berbanding secara kolektif. Sementara sekarang, saya banyak bergaul dengan kelompok peminat filem, jadi ada kecenderungan untuk meneroka filem-filem yang mereka sering sebut dan anggap sebagai karya agung. 

Cuma sebab ia filem, dan saya ada kecenderungan untuk melihat setiap helai syot dalam filem, jadi saya perlu menonton dengan fokus. Mulanya saya gemar tonton secara sekerat-sekerat tapi ada yang mencadangkan, filem seharusnya di tonton sekali jalan, bukan tengok separuh-separuh. 

Sementara muzik, ia memang perlu dengar dalam banyak medium dan situasi. Dengar secara santai, dengar sebagai latar, dengar dengan fon telinga, dengar di dalam kereta, dengar sambil membaca atau meneliti seni album dan lirik. Saya fikir saya dengar lebih banyak muzik untuk tiga tahun kebelakangan ini dan banyak teroka muzik dan pemuzik yang baharu berbanding sebelumnya. 

Sekarang sedang dengar No Devotion. Ia bermula sebab  saya sedang mencari rujukan tentang judul atau apa-apa frasa berkaitan neraka untuk projek tulisan perjalanan ke Melaka tempoh hari dan saya teringat tentang lagu Heaven Fot The Weather, Hell For The Company oleh Lostprophets. Selepas Ian Watkins dipenjara dan mereka berpecah, saya sudah tak mengikuti mereka walaupun ada mengetahui band baharu yang mereka tubuhkan selepas itu. Sebab Lostprophets sendiri saya tak habis dengar keseluruhan album mereka (saya ada satu kaset Fake Sound Of Progress - itupun tak pernah dengar betul-betul). Selepas Lostprophets, mereka tubuhkan No Devotion bersama vokalis Thursday (juga band yang ramai peminat tapi saya tak pernah betul-betul dengar; dan entah kenapa saya sering tertukar antara Thursday dengan Thrice). Saya tahu muzik Thursday dan, sudah tentu, Lostprophets, tapi No Devotion adalah projek muzik yang berlainan dari kedua-dua band itu dan entah bagaimana genre pilihan mereka kedengaran menarik dan sesuai dengan suara dan tone permainan mereka. Saya fikir ini antara band yang mediocore yang mungkin takkan meletup dan tak juga jadi kultus tapi muzik mereka agak baik. Mungkin akan dengar No Devotion sampai habis dulu sebelum mula dengar semula Lostprophets. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan