Sebenarnya ada beberapa perkara yang nak kemaskini tentang perjalanan ke Melaka semalam tapi hari ni agak sibuk dan esok pula kena bangun awal pagi, jadi tak banyak boleh ceritakan sekarang, cuma boleh kata perjalanan setengah hari ni memang seronok dan mengujakan. Ada rasa akan tulis jurnalzine (yang betul-betul zine sahaja, tanpa cetakan seperti buku, sebab ada rasa ia akan lebih pendek berbanding jurnalzine sebelum ini) sebab banyak terkesan dengan banyak perkara. Mungkin kerana kali ini perjalanan tidak berseorangan, jadi ada banyak perkara yang mungkin saya terlepas dapat dikongsi melalui pengalaman dan pemerhatian kawan-kawan.
Saya fikir mungkin judul zine itu adalah Masuk Melaka, boleh kata ia merujuk kepada frasa yang selalu saya jumpa di media sosial, facebook terutamanya, di mana mereka akan menggunakan perkataan melaka sebagai ganti perkataan neraka. Saya tak pasti jika ia untuk bersopan, atau kerana tegahan agama (memang menurut beberapa pandangan, adalah haram menggunakan neraka atau syurga atau perkara-perkara yang serius lain sebagai gurauan atau mempermain-mainkannya), atau sekadar mengikut trend.
Ada beberapa judul filem dan buku yang saya fikir untuk digunakan tapi saya fikir Masuk Melaka paling sesuai untuk judul zine dan judul-judul cadangan lain itu, saya akan gunakan sebagai judul bab-bab di dalam zine. Antara pertama yang saya terfikir ialah Isi Melaka - dari judul filem Isi Neraka. Dan lama sebelum saya terfikir untuk pergi ke Melaka untuk perjalanan ini, saya tiba-tiba terlintas dalam kepala - Melaka Ialah Orang Lain. Saya tak pernah tahu kenapa ia terlintas dalam kepala, tapi saya simpan idea ini, dan kebetulan rasa macam boleh juga masuk dalam zine. Lagi satu ialah Cinta Adalah Seekor Anjing Dari Melaka (ya, sudah tentu saya takkan melupakan pengaruh kuat penulisan saya sebagai homaj) yang kebetulannya, memang kami terjumpa seekor anjing di Melaka, yang kami rasa ia adalah seekor anjing yang sangat aestetik.
Saya akan fikirkan judul-judul lain kemudian dan berharap untuk selesai tuliskan drafnya dalam masa terdekat sebelum saya terlupa banyak perkara tentang perjalanan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan