Coldplay jeee kott.

Rasa tak ada siapa perasan, sebab aku pun jarang berborak dengan sesiapa atau kemaskini di media sosial; aku memang tak bercerita pasal Coldplay datang Malaysia pun. Sebab aku memang tak teruja atau berniat nak tengok pun. Rasa macam pernah hype juga dulu pasal konsert Coldplay, lepas aku ternampak ada satu entri kat Facebook pasal konsert Coldplay kat Bangkok (kot) tahun 2017 dulu, baru aku ingat memang waktu tu ramai-ramai macam beriya nak pergi tengok. Aku macam, dah la kat Bangkok, memang tak la aku nak pergi. 

Dan bila diorang umum tahun ni nak buat konsert kat Malaysia, aku lagi la haram tak peduli atau teruja langsung - siap pelik kenapa semua orang sibuk nak pergi tengok Coldplay, sebab, Coldplay je kot. Kahkah. Lagi bila aku tengok harga tiket, lagi la aku pelik, macam, ada ke orang nak bayar sampai ribu-ribu untuk, Coldplay. Kemon, Coldplay je kot. Kahkah.

Jap, aku rasa kena buat penerangan sikit kot.

Okey, oleh sebab memang aku melalui zaman Yellow, jadi kira aku berada waktu Coldplay baru bermula di peringkat antarabangsa, dan ketika itu memang banyak saingannya, itu belum kira muzik pop, muzik hip hop, muzik dari Amerika, muzik dari British, atau muzik rock atau muzik hibrid macam rap rock. Oleh sebab aku memang tak berminat dengan muzik dari British, jadi memang agak kuranglah aku teruja nak dengar muzik dari sana. Hanya ada beberapa je aku dengar, itupun satu dua lagu. Dan Coldplay boleh kata dari kategori muzik britpop, generasi seterusnya britpop tapi taklah segah band-band sebelumnya yang mula terkenal dari tahun sembilan puluhan. Jadi, ketika itu, Coldplay kira masih sama la dengan band-band baru naik, cuma ada la banyak lagu yang keluar radio berbanding band baru yang lain. Dan band-band yang lama macam Oasis, Radiohead atau Blur ni memang staple muzik britpop la banding dengan band-band seterusnya. 

Untuk generasi aku, memang ada banyak muzik lebih popular berbanding britpop, macam yang skema diorang dengar boyband dan girlband, ada yang dengar muzik Hong Kong atau Taiwan, yang underground dengar la grunge (tahun 2000 ke atas banyak gila band Malaysia main post grunge sampai naik menyampah aku dengan grunge), metal, garage rock (segala band yang nama mula dengan The) dan hip hop (semua orang dengar Eminem waktu ni). Britpop ada la jugak pendengar tapi mula naik ketika OAG mula buat lagu dalam bahasa Melayu. Itu je la pun. 

Dan selepas empat album, Coldplay dah ubah hala tuju dia, dah tak britpop sangat pun. Dah rasa sangat mainstream tapi yang bagusnya, ia buat Coldplay kekal relevan kepada pendengar baru. Mungkin ada yang masih ikut tapi aku rasa sekarang lebih ramai pendengar baru berbanding pendengar lama. Pendapat aku la, sebab dah aku memang tak ikuti Coldplay, sebab, Coldplay jeee kot. Kahkah. 

Takde takde, aku bukan bengkek tak dapat tiket ke apa, memang aku tak minat Coldplay sangat selain beberapa lagu je. Lagipun aku dah habiskan semua keterujaan aku waktu Deftones dan Soulfly datang buat konsert kat sini. Jadi apa band lain kegemaran aku yang datang lepas ni, aku dah macam tak kisah sangat kalau tak pergi pun. 

Oh, tapi aku masih bengkek dengan JAKIM sebab diorang le konsert Lamb Of God dengan Kreator kena batalkan. Terutamanya Lamb Of God, walaupun sebenarnya paling bengkek ialah konsert Kreator sebab aku dah sampai tempat acara bila terpaksa dibatalkan. tapi sebab aku memang dengar Lamb Of God (waktu tu) berbanding Kreator ada satu dua lagu je aku dengar, jadi bengkek lebih masa Lamb Of God. Dah siap beli tiket atas talian, sekali batal. Masa Kreator aku tak beli lagi tiket rasanya, sebab nak beli kat tempat acara je. 

Tapi takde la aku harap konsert apa-apa ni kena batal. Janganlah kita menjadi walaun yang busuk hati tak boleh tengok orang lebih sikit walhal dia pun haram tak reti apa-apa. Wallahu A'lam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan