Selasa.

Ada banyak waktu ketika saya habiskan masa menunggu di hospital buat saya terfikir jika ada sesuatu yang kita boleh buat atau cadangkan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan jabatan kerajaan. Saya sentiasa faham akan kenapa di jabatan kerajaan punya waktu menunggu lebih lama kerana jumlah pengunjungnya lebih ramai. Tapi saya fikir ini bukan alasan, kerana ia sudah berlarutan sejak beruluh tahun dahulu dan semua orang macam sudah redha dengan hal ini dan lali. Tidak, ini macam masalah berkaitan parkir hospital. Parkir hospital memang salah satu masalah yang saya fikir mana-mana hospital pun hadapi - tak cukup ruang, tak cukup kotak parkir. Bahagian kesihatan (dan juga pendidikan) adalah sektor yang paling kritis tapi selalu dengar ia seperti tak terlalu diberi perhatian. Sepatutnya, ruang parkir heruslah banyak, tak perlu berebut atau sampai perlu parkir di depan kenderaan lain. Hospital Shah Alam contohnya, patut sudah beberapa tahun lepas lagi memepertimbangkan untuk buat parkir bertingkat kerana mereka sudah tambah beberapa bahagian untuk parkir tapi ia masih tak cukup kerana masih ada yang akan parkir bersepah, parkir di depan kenderaan lain dan parkir di luar hospital. Saya faham ia berkenaan waktu puncak, maknanya hanya pada waktu kaunter dan temujanji berlangsung saja di mana hospital akan penuh dengan kenderaan, di mana waktu selebihnya, enam belas jam seterusnya, parkir banyak kosong. Tapi masalahnya, memang itulah waktunya yang paling penting, jangan fikir sebab waktu lain kosong jadi waktu yang di mana semua orang terpaksa berkumpul dan bersesak ini hanya untuk beberapa jam saja. Tak menjadi masalah pun jika punya ruang lebih untuk parkir. 

Itu baru masalah parkir, itu belum masalah menunggu nombor giliran.

Untuk temujanji jam lapan pagi, saya perlu hantar Ariana ke sekolah seperti biasa, jadi dalam jam tujuh pagi lagi saya sudah bertolak ke hospital lepas hantar Ariana. Saya dah tahu dah, walau kita sudah mahir dan tahu laluan untuk ke hospital atau mana-mana destinasi, kita patut buka juga aplikasi peta (macam Waze atau Google Maps, saya guna Google Maps) dan biar aplikasi peta tunjuk laluan ke destinasi kerana ia akan berikan laluan yang paling kurang sesak. Sama macam pergi Melaka hari tu, memang dia bawa ke laluan yang kurang sesak. Menurut Google Maps, saya akan tiba dalam tiga puluh minit ke empat puluh minit di hospital. Saya fikir agak baik juga sebab sebelum ni saya sampai lebih lambat. Dan saya sampai tadi di hospital mungkin dalam tujuh empat puluh pagi dan syukur parkir masih banyak kosong, itupun kalau saya tiba lewat lima minit, ia akan mula penuh. 

Tapi cuba teka pukul berapa saya dapat bawa Gibran jumpa doktor? Hampir jam sembilan pagi. Saya fikir saya tiba di kaunter nombor giliran mungkin sepuluh minit sebelum jam lapan pagi dan saya tahu memang saya memang akan menunggu lama sebelum selesai pendaftaran. Tapi saya tak sangka hampir jam sembilan pagi (rasanya sepuluh minit sebelum jam sembilan) baru nombor saya dipanggil.Selalunya saya akan mendaftar di kaunter Hasil Hospital Shah Alam dan jika saya tiba waktu yang lebih kurang sama, sepuluh minit sebelum jam lapan pagi, saya terpaksa menunggu setengah jam. Itupun dah rasa bingit. Hari ini saya tak perlu daftar di kaunter Hasil tapi perlu daftar di kaunter bahagian lain dan selalu saya nampak memang bahagian ini punya barisan yang sangat panjang. Nasib baik saya memang dah jangka dan set dalam fikiran saya memang lambat jadi tak bingit sangat tapi lepas tu macam bingit juga sebab sejam lebih menunggu. Saya jumpa doktor (hari ni jumpa dietitian) dalam lima belas minit sebab dalam jam sembilan dua belas minit saya dah keluar dari bilik doktor dan balik. Sebab bilik dietetik memang di sebelah kaunter, jadi saya boleh nampak, jumlah pengunjung atau pesakit yang menunggu, adalah berkali ganda lebih ramai dari waktu saya tiba tadi. Saya baru teringat, oh mereka datang untuk temujanji jam sembilan pagi. Nasib baik memang hari ni jumpa dietetik yang rasanya memang tak ramai temujanji berbanding jabatan lain seperti pediatrik atau pergigian. Kalau tak, selepas kaunter pendaftaran, saya kena tunggu lagi beberapa jam untuk jumpa doktor. 

Sebab tu saya paling tak gemar temujanji jam lapan pagi sebab saya tak boleh hadir lebih awal berbanding temujanji lebih lewat. Bayangkan begini, temujanji jam lapan, kaunter nombor giliran buka jam tujuh setengah pagi - maknanya orang dah beratur dari jam tujuh atau tujuh suku pagi. Dan saya pula hanya boleh sampai di hospital jam tujuh empat puluh pagi paling awal. Memang dah panjang barisannya. Kalau temujanji lewat, jam sembilan contohnya, saya boleh hadir jam lapan pagi dan berkemungkinan akan dapat jumpa doktor jam sembilan pagi - seperti dalam temujanji.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan