Sebenarnya aku dah agak asing dengan Batu Pahat sampai aku rasa dah tak ada poin sangat untuk nama blog tapi lepas fikir balik, Segamat lagi haram takde kaitan langsung dah. Hanya ada dalam memori je. Aku kadang terfikir nak pergi Segamat tapi lepas tu rasa jauhnya lahai. Secara jujurnya, aku rasa waktu buat lebuh raya utara selatan dulu tu, memang bahagian Johor dia buat kat tempat yang jauh dari bandar. Macam Muar, nak masuk lebuh raya dia, agak jauh jugak sebab dia dah hampir ke tengah daerah, sedangkan Muar memang bandar berpusat sebelah sungai. Sama lah macam Batu Pahat, nak masuk lebuh raya, ha kau dua puluh kilometer dari Batu Pahat baru jumpa tepat masuk tol. Kluang pun sama, tempat masuknya dekat Ayer Hitam. Jadi bandar-bandar macam Muar, Batu Pahat dan Kluang ni memang kurang jadi persinggahan, tak macam dulu, masa lebuh raya belum ada. Perhentian bas Batu Pahat tu kira macam tempat bersosial dan tumpuan. Kira kalau macam sekarang agak pelik juga la untuk budak-budak sekarang nak faham, sebab kau pergi melepak kat perhentian bas utama, nak buat apa kot. Ini mengingatkan aku masa aku berborak dengan Beduk, dia cakap dari dulu sampai sekarang, orang tempatan suka lepak kat Pengkalan Chepa, dekat satu jalan ni, depan lapangan terbang tu, untuk lepak dan bersosial untuk tengok kapal terbang naik. Aku mula-mula dengar macam, okey la kot, rupanya lepas dia terangkan lagi rupanya, kawasan tu macam jadi tempat beriadah, siap bawa keluarga, hanya untuk lepak dan tengok kapal terbang naik ke udara. Tapi aku faham la, memang kita perlukan sesuatu untuk kesihatan mental, walau ia hanya sekadar tengok kapal terbang naik. Atau kalau untuk aku dulu, pergi ke perhentian bas dan tengok bas lalu lalang masuk keluar perhentian bas sambil sedut asap bas. Kahkah.
Dulu pernah jugak, ada satu waktu aku suka sangat melepak kat kompleks beli belah. Tak buat apa pun, duduk melepak je. Sebab satu negara suka melepak juga sampai keluar dalam televisyen isu budaya melepak. Pernah juga kawan sekolah aku cakap, dulu masa belum kenal dan sekelas dengan aku, dia cakap pernah ternampak aku awal pagi dalam kompleks beli belah duduk melepak. Dia cakap aku duduk termenung kat bangku dengan kawan lain, walhal kompleks beli belah tu dua puluh kilometer dari rumah aku kot. Dia pulak memang budak bandar, jadi taklah pelik kalau ada kat kompleks beli belah pagi-pagi sebab rumah dekat je. Tapi lepas tu aku fikir, mungkin sebab dia dah terbiasa dengan bandar dan tak ada rasa apa yang istimewa sangat tentang bandar, berbanding aku yang duduk di kampung, masih lagi rasa teruja nak lepak bandar walaupun sebenarnya aku boleh je duduk rumah diam-diam.
*
Aku jarang pergi bandar Batu Pahat sebab ia tak berada di laluan aku setiap kali balik kampung. Aku akan keluar tol Ayer Hitam, lagi dekat dengan rumah aku. Dan sebab tempat aku pun dah banyak segala benda kedai, restoran dan entah apa lagi, aku ingat budak sekarang pun dah takde melepak lagi kat bandar sebab kampung diorang dah rasa lagi maju. Sebenarnya kampung aku ni pun kalau ikutkan dah naik taraf jadi bandar pun.
Jadi kelmarin masa nak pergi hospital tengok mak, aku jem kejap sebab aku lupa kat mana hospital. Punya la lama tak pergi bandar sampai aku macam kena refresh jap ingatan, sebab hospital tu apa semua memang aku pernah pergi pun. Cuma dah berapa belas tahun lepas kot. Aku dah lupa banyak tempat kat mana dan macam mana nak pergi. Tapi tak lama sebab lepas tu aku dah mula ingat sikit-sikit. Tapi ada juga beberapa tempat yang aku rasa macam tak pernah lalu.
Macam balai polis daerah. Aku rasa aku patut lalu balik tempat ni, sebab ada rasa vibe macam filem diktator. Kalau korang tak tahu, balai polis daerah ni memang besar gila dan tinggi. Dia agak kontras dengan bangunan lain sebelah dia sebab memang tak ada bangunan tinggi pun sebelah dia. Depan dia ialah kawasan perumahan, yang memang semua rumah teres satu tingkat. Dia ibarat macam big brother yang tengah perhatikan rakyat dan teliti apa mereka buat dari bangunan besar di depan taman perumahan tu. Aku patut ambil gambar tapi aku tengah memandu. Lagi satu tempat macam aku best ambil gambar ialah kilang Munchys. Tapi jauh sikit dari bandar la. Dia ada vibe industrial sebab kilang atas bukit depan lampu isyarat.
Sebenarnya banyak juga tempat aku nak pergi jalan-jalan macam aku taip dalam entri sebelum ni. Aku harap dapatlah nanti suatu hari aku boleh habiskan masa berjalan-jalan barang dua tiga hari kat satu-satu tempat tu dan lepak ambil gambar dan menulis pengalamannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan