Semalam aku sakit kepala sebab baca buku tak sedap; aku dah baca sampai separuh walau sakit kepala sampai la aku tak tahan, baru aku berhenti; dan ketahuilah, inilah antara pengorbanan seorang penulis seperti aku terpaksa habiskan baca buku tak sedap supaya korang boleh baca tulisan sedap.

Sebenarnya aku dah lama fikir nak tulis entri yang kemaskini semua buku yang aku sempat baca, tapi selalunya aku malas sebab aku malas nak buat ulasan. Kadang-kadang orang tanya, macam mana buku tu, bila lepas tanya aku tengah baca buku apa (tapi paling selalu, tak tanya, sebab masa diorang tanya aku tengah baca buku apa, aku jawab tengah tak baca buku apa-apa kahkah), dan selalunya aku tak tahu nak cakap apa. Sebab lepas baca, aku rasa macam, hmm okey la dan tak rasa nak buat ulasan atau kongsi pada sesiapa pun. Aku rasa sekarang ni, kalau ada aku baca buku pun, lepas tu aku cakap je terus kat Beduk atau Saat, buku yang aku baca ni best atau tak best. 

Aku ingat kali terakhir aku cerita pasal buku dalam ni ialah buku puisi Kafe. Itu sebab kebetulan aku dapat habiskan baca buku puisi dan juga sebab kenapa aku baca buku Kafe tu. Oh, dan juga rancangan lepas baca buku tu untuk tulis cerpen sebagai balas. Tapi lepas tu rasa macam malas pulak (maksud aku, untuk buat respon atau tindak balas, rasa macam nak biarkan manuskrip cerpen itu berdiri sendiri bukan sebagai respon kepada mana-mana buku, sebab macam tak berbaloi). 

*

Okeh, untuk entri ni, aku kemaskini je la mana yang aku dah baca setakat aku ingat, sebab ada je yang aku dah baca tapi malas nak ingat. Aku tulis paling dekat je lah. 

Sekarang aku tengah baca Merakam Sejarah oleh Hishamuddin Rais. Mungkin aku tak pernah beritahu atau kongsikan secara umum, mungkin pernah beritahu beberapa kawan-kawan yang kebetulan bertanya, pengaruh tulisan aku yang utama ialah Charles Bukowski. Lepas Bukowski, ada tiga orang; A. Samad Ismail, Ahmad Kamal Abu Bakar dan Hishamuddin Rais. Lepas tiga orang ni, mungkin ada beberapa, selalunya mungkin pengaruh bawah sedar, jadi biasa aku tak ingat sangat. Lagi-lagi kalau tak baca material diorang dah. Tapi bolehlah sebut nama Abdullah Hussain sebagai tambahan kat sini. 

Merakam Sejarah, baru keluar dalam tahun lepas, dan aku tak sedar pun bila dia keluar, sampai la aku pergi pesta buku dan nampak buku tu jual lima belas ringgit je. Apalagai, memang aku beli la. Merakam Sejarah ni ada dua bahagian. Aku dah habis baca bahagian pertama dan ya, memang seronok juga baca tulisannya di bahagian pertama, sebab masih lagi mengekalkan cara penulisan seperti buku-buku sebelum ini, walau ada rasa buku-buku sebelum ni lagi menarik, tapi ia boleh dijelaskan sebab ia tulisan yang menghasut, jadi ketika menghasut, ia memang kedengaran lebih menarik, berbanding bahagian pertama Merakam Sejarah yang bercerita hal selepas kemenangan Pakatan Harapan pada 2018 dengan hal-hal di belakang tabir selepas kemenangan. Masuk bahagian dua, ia terus langkau dua tahun selepas kemenangan pada 2018 dan tak cerita hal Langkah Sheraton atau apa semua yang terjadi dibelakang tabir seperti bahagian pertama; ia lebih banyak bercerita tentang corona virus dan juga PKP. Aku boleh bayangkan mungkin Hisham pun agak tepu kena berkurung dalam rumah, hingga ia mempengaruhi tulisan pada bahagian kedua ini. Walau sedikit sebanyak merakam juga sejarah, tapi aku fikir ia cuma merakam tarikh dan kemudian bercerita tentang hal-hal yang tidak berkaitan dengan politik. Politik global, mungkin, tapi ia secara umum saja. Mungkin sebab duduk dalam rumah tak boleh buat apa-apa jadi boleh nampak ia seperti tepu. Aku ada lagi dua bab nak habiskan, rasa mungkin bab dua terakhir ni akan sentuh juga hal politik tapi tak tahu lagi lah, cuma ada rasa ia takkan sentuh hal politik yang berlaku selepas langkah Sheraton yang berbelit-belit tu. Sedangkan waktu langkah Sheraton tu, Hisham ada je dekat situ. 

Oh, sebelum korang ingat buku yang tak sedap aku baca sampai sakit kepala tu ialah buku Hishamuddin Rais, jawapannya bukan, sebab buku tak sedap tu novel. Sebenarnya aku dah lama nak baca novel tu, sebelum dia keluar lagi lebih kurang sepuluh tahun lepas (ke lebih? Entah tak ingat). Rasa macam aku ingat lagi la, okeh ni macam tertunggu jugak nak baca novel tu, dan lepas novel tu keluar, aku baca tak sampai berapa bab terus aku berhenti baca. Sampai la sekarang. Baru ada rasa, okey la aku habiskan baca sekarang. Aku mula baca pun dua kali. Pertama kali baca, memang tak boleh bayangkan apa-apa. Kebetulan anak aku pergi main buku tu dan alihkan penanda yang aku baca, jadi aku tak boleh agak mana mukasurat akhir yang aku baca, jadi aku ambil keputusan untuk baca semula, sebab susunannya agak bercelaru dan ada sedikit masalah untuk mengingati watak mana satu sebab tak ada pengenalan yang begitu menonjol untuk watak-wataknya, jadi bila baca kali kedua, rasa nampak sikit watak-wataknya. Memang aku dah agak sebenarnya, dari cara susun yang agak celaru, melompat-lompat dari satu ke satu watak lain sebelum beri impak, cara untuk menghargai novel ini ialah dengan membacanya dua kali, untuk dapat lebih faham jalan ceritanya, tapi, yalah, novel ni agak tidak berbaloi untuk baca kali kedua sebab baik habiskan masa tu dengan menerokai atau baca novel lain, yang mungkin tak sedap jugak. Ya, kita kena baca banyak benda tak sedap dan habiskan, baru kita boleh ambil pengajaran untuk tidak ulang perkara yang membuatkan benda tu tak sedap dalam material sendiri. Macam tu la cara aku menulis Wiskipop dulu. Sebab banyak sangat baca cerpen tak sedap.   

Okeh, juga patut sebut kat sini, buku yang aku dah baca dan rasa elok juga korang baca, sebab ia cerpen, ialah Memori Untuk Dijual. Walau banyak cerpen dalam ini diambil dari zine rilisan penulis sebelum ini, Masyarakat TV, tapi secara keseluruhan cerpen-cerpennya agak baik juga, dan boleh nampak idea yang baik, mesej yang ingin disampaikan dan juga hasil tulisan yang berpengalaman. Dan mungkin paling best sebab ada banyak cerpen-cerpen yang terkandung dalam buku ni. Secara peribadi, bagi aku, satu perkara yang aku perhatikan, cerpennya suka dimulakan dengan gaya tell, dan disudahi dengan show (ini dalam konteks show, don't tell la) dan bukan bermakna ia tak bagus atau tak menarik, dan saya boleh agak yang ideanya bermula dengan akhiran atau konklusi, jadi permulaannya adalah hanya untuk menyatakan latar, menyebabkan ia banyak tell di permulaan, mungkin sebab lebih senang menerangkan situasi; dan show pada akhiran - adalah lebih kepada untuk menguatkan plot twist atau klimaks cerita. 

Lagi aku tengah baca esei-esei Dinsman, aku lupa la apa judul dia, malas nak bangun pergi belakang tengok, tapi kompilasi dari kolumnya di akhbar Harakah. Agak banyak juga esei dalam tu. Aku dah la paling lemah baca esei ni. Tapi kena habiskan cepat sebab aku pinjam buku ni dari Beduk.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan