Semalam dengan kelmarin kebetulan ialah temujanji untuk Ariana dan Gibran dengan hospital; Gibran dulu, hari Rabu dan lepas tu Ariana hari Khamis. Kebetulan sebab berderet harinya. Ariana punya temujanji dengan pediatrik, memang setahun sekali je jumpa. Gibran pulak Rabu tu temujanji yang pertama dengan ORL (panjang sangat nak eja) sebab sebelum ni pediatrik rujuk dia kat ORL sebab nampak Gibran masih belum pandai cakap lagi. Jadi lepas beberapa kali tangguh (aku tak ingat sebab ada beebrapa temujanji lain termasuklah ORL ni terpaksa tangguh - sebab kena Covid dan ada sekali aku langsung tak ingat ada temujanji) Rabu tu kali pertama jumpa doktor dia. Aku mula-mula rasa okey je kot aku datang sendirian dengan Gibran, tak perlu semua satu keluarga ikut, tapi akhirnya aku rasa okey la bawa semua satu keluarga. Nasib baik juga sebab kebetulan ada borang dia suruh isi tapi haram aku tak ingat jadi kalau aku sorang memang kelam kabut juga. Dan kebetulan doktor ORL ni tak kisah kitorang masuk satu keluarga, sebab senang sikit dia nak buat selidik. Biasa jumpa kali pertama memang macam konsult je. Yang bagusnya, Gibran walaupun dah tak takut orang, biasanya dia akan tetap takut dengan hospital, doktor dan jururawat. Aku tak tahu la macam mana dia boleh bezakan tapi aku syak dia memang dah mula sedar la. Tapi sebab Ariana ada sekali ikut main dalam bilik doktor tu (memang bilik doktor tu ada banyak permainan), Gibran jadi rileks dan senang nak jaga. Lagipula bila kesemua ahli keluarga ada, jadi dia selesa dan doktor pun senang nak kumpul maklumat. Ada juga terselit tanya pasal Ariana tapi tak banyak.
Yang kelakarnya ialah bila esoknya, Khamis, aku berdua je dengan Ariana pergi temujanji Ariana dengan pediatrik. Aku memang suka datang awal siap sebelum tujuh setengah pagi dah beratur, itu pun panjang juga. Tapi sebab berdua dengan Ariana, jadi senang la nak kawal. Tak lama sangat sebelum jumpa doktor pediatrik. Sebagai bapa Gibran, aku kira femes juga la (kahkah) dengan doktor pediatrik. Takde lah, rasanya mana yang ada waktu Gibran dalam wad mesti ingat Gibran. Dah la nama pelik, duduk pulak dalam wad lama, mana la orang tak ingat. (tapi sampai sekarang kebanyakan orang tak pandai sebut nama Gibran, diorang akan panggil Jibran. Pada aku, nama Gibran patut dipanggil dengan suku kata Gi-Bran. Tapi tak kisahlah. Nak panggil Gib-Ran pun boleh, tapi leceh dan senang sasul sikit la.) Tapi tadi memang tak ada yang cam sebab aku pun datang dengan Ariana. Tapi tak bermakna tak ada orang cam. Tunggu aku sambung.
Doktor pediatrik biasa la dia akan tengok dan tanya-tanya je. Patut setel tak payah buat apa-apa kecuali dapatkan tarikh temujanji seterusnya. Tapi doktor ni rajin pulak bertanya dan nak rujuk Ariana pada ORL sebab dia nampak Ariana tak boleh bercakap. Aku tak tau macam mana nak elak sebab bukan pasal nak elak pun tapi sebab semalam kebetulan dalam bilik doktor pertuturan pun dia cakap okey je. Aku lupa sebab ORL dulu dah discaj Ariana sebab dah nak masuk sekolah jadi tak perlu sambung lagi dekat ORL. Aku cakap dah discaj sepatutnya dah okey, tapi doktor macam berbelah bagi juga. Akhirnya aku kata okey la boleh la kalau nak rujuk. Jadi, lepas pediatrik patut boleh terus balik, terpaksa pergi ORL dulu untuk pastikan temujanji. Bagi surat rujukan kat kaunter depan, tapi lepas entah berapa lama aku tunggu, jururawat kat depan cakap ni dah umur sembilan tahun kan, kena pergi terus kat bilik doktor. Memang aku terpaling tahu kot.
Aku ingat bilik yang dia suruh pergi tu memang kawasan bilik doktor semalam. Jadi bila aku ketuk pintu bagi salam, dia terkejut eh kenapa datang. Bukan semalam dah datang ke. Aku cakap la ni untuk kakak dia pulak. Lepas tu dia cakap, kenapa pulak pediatrik rujuk ke sini. Kan dah discaj. Aku cerita la balik situasi kekok tadi dalam bilik doktor pediatrik. Dia cakap okey kejap lepas tu cari kawan dia yang sebelum ni uruskan kes pertuturan Ariana (semalam dia pun ada tapi dengan konpiden je dia cakap Allah tak ingat lah, busyy busyyy). Lepas tu doktor pertuturan ni kata, okey lah betul memang dah tak ada apa yang kita boleh buat dah sebab memang dah habis dah semua teknik bagi kat Ariana (bunyinya macam kasarkan, tapi tak, sebab aku faham maksud dia dan intonasi dia pun memang menyebelahi aku) dan doktor yang uruskan sebelum ni kira yang paling terer la kat situ. Jadi aku kata, okey la batalkan je lah. Tapi doktor tu kata tak boleh sebab dah keluar surat rujukan. Jadi, dia cadangkan, buattemujanji bertindih sekali dengan Gibran, buat satu sesi lepas tu discaj.
Secara jujurnya, aku tak tahu la korang faham ke tak situasi ni kalau korang belum ada anak. Aku ringkaskan camni la. Masa anak masa kecil, memang dia akan selalu ada temujanji dengan hospital dan klinik kesihatan untuk periksa kesihatannya. Makin lama, sepatutnya makin kurang la temujanji. Macam contoh, patut dah jadi setahun sekali. Tapi ia jadi makin banyak, kalau doktor kanak-kanak tadi jumpa masalah tumbesar dalam diagnos, macam cakap lambat ke, tak jalan lagi ke, tak respon ke. Jadi diorang memang kena rujuk ke jabatan lain untuk buat pemeriksaan. Ini bermakna temujanji dah bertambah. Itu kalau kena rujuk satu jabatan. Kalau kena rujuk banyak jabatan, maknanya makin banyak temujanji. Ni baru temujanji pertama, belum lagi temujanji susulan. Dan semua ni bukan boleh buat temujanji bagi kumpul dalam tarikh sama sebab kekosongan berlainan. Jadi, untuk ibubapa, jika ada temujanji, memang kena ambil cuti sebab tak ada temujanji pada hujung minggu. Macam aku cakap tadi, kalau ada banyak temujanji, cuba la kira berapa banyak cuti nak kena ambil. Kalau korang kerja syif okey lagi kurang-kurang boleh ejas hari cuti. Kerja pejabat? Memang kena ambil cuti la cerita dia.
Begitulah ceritanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan