Saya fikir tubuh saya dari awal pagi tadi dah bagi isyarat yang saya sedang tidak mengamalkan hidup sihat. Sebelum ni ada juga dia berikan tanda dengan bunyi dengkur waktu saya tidur, dengkur yang kuat dan mengganggu, dan pagi ini, tubuh saya beri lagi beberapa signal yang menyakitkan. Saya sedang duduk di sofa dalam posisi agak ganjil bila posisi itu buat sebelah badan saya kejang. Punyalah sakit kejang itu hingga saya mula rasa sangsi jika sebenarnya saya sedang diserang strok. Sebab bukanlah sesuatu yang janggal jika mereka sebaya saya dah mula diserang strok. Jadi, selama ini saya hidup dengan gaya hidup aktif, sekarang saya sudah mula pasif.
Kejang di sebelah bahagian kanan badan rasa sangat sakit dan saya terpaksa berbaring selama beebrpa minit untuk melegakannya walaupun ia perlahan-lahan menjalar ke bahagian lain. Tapi nasib baiklah selepas beberapa minit (tak pasti berapa lama sebab punya la sakit sampai rasa macam lamanya) ia hilang. Tapi lepas tu sebelum ke masjid untuk solat Jumaat, tiba-tiba bahagian kaki soket paha dan pinggang - di sebelah kelankang rasa macam kejang dan sengal. Wah, dua sekali signal terus tubuh saya beri walaupun saya dah kata bermula tahun baru saya akan kembali diet dan turunkan kembali dua puluh kilogram dalam masa tiga bulan.
Dan paling tak best, waktu mula tayangan Wayang Budiman saya mula pening dan sakit kepala. Macam masuk angin. Bila fikir hari ni saya makan nasi lemak dan makan maggi, jadi tak sepatutnya masuk angin. Oh, makan wafel juga. Saya syak mungkin sebab minum americano dari Dunkin. Americano Dunkin sebenarnya bukan untuk pemula. Saya mungkin dah jatuh tahap pemula sebab dah asyik minum gula dan jarang minum kopi tanpa gula.
Saya fikir kalau tengok poster malam ni pun nampak macam pening, rasanya ni mungkin petanda awal nak bagitau nanti malam pening kot. Kena buat poster malam esok cantik sikit. Biar tak pening.
Memburukkan lagi keadaan, saya dah sedar tak boleh habis secawan (besar) americano, jadi saya simpan, tidur, dan kemudian sebelum ke Wayang Budiman, saya bawa sekali, kira nak minum waktu memandu. Hasilnya, saya jadi mual, pening dan angin. Saya ada syak juga mungkin saya sedang morning sickness, tapi berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya takkan terjangkit oleh morning sickness walaupun tempoh waktu saya mual itu sama seperti waktu selalunya morning sickness (ya, bukan awal pagi, tapi awal malam). Jadi, saya menonton Tony Manero dengan rasa tak selesa, dan nasib tak baik saya, Tony Manero ini juga bukan filem yang sesuai ditonton dalam keadaan begini. Ia buat saya rasa lebih mual, pening dan angin (saya siap cuba untuk buang angin dengan sendawa tapi tak lepas) cuma nasib baik kebanyakan adegan yang agak explicit itu tak berterusan. Tapi yalah, dah nama pun Trilogi Demam Disko, saya jangka ia akan punya mood seperti Saturday Night Fever (akan tayang malam esok) rupanya tidak. Ini filem tentang psikopat dalam latar pemerintahan diktator Pinochet. Memang ia premis yang baik, tapi saya terpaksa jujur dengan moderator pada sesi borak santai yang saya sedang menonton filem ini dalam keadaan pening dan ia tak membantu saya sepanjang tayangan filem ini. Ramai hadirin juga berpendapat sama. Ada yang menyatakan teknik kamera yang bergerak buat mual, ada juga banyak adegan yang begitu dekat dengan watak psikopat (dekat secara harafiahnya, maksudnya waktu psikopat watak utama sedang melakukan sesuatu yang perkara yang memualkan, ganas atau lucah, kamera kan dibawa begitu dekat dengan watak psikopat itu, seperti menunjukkan bahawa tiada pilihan untuk kita selain menyaksikan semua perkara ini). Sebelum ini saya pernah secara bergurau dengan kawan-kawan di Rahmath tentang mungkin suatu hari nanti kita patut buat filem yang memening dengan menggunakan teknik syot vertigo, putaran tiga ratus enam puluh darjah dan dutch angel sepenuhnya sepanjang filem. Tapi Tony Manero (2018) menunjukkan ada cara yang lebih senang untuk buat penonton mual dan pening.
Antara rujukan lain ada adegan yang sama seperti Joker (2019) waktu Jaoquin menari di dalam tandas awam.
*
Malam ini di Rahmath saya tak bercadang untuk lepak terlalu lama sebab saya sedang mengejar untuk menyiapkan tulisan saya. Selain itu, saya asyik teringat-ingat mi goreng ayam di restoran mamak yang lain jadi saya pulang lebih awal. Cuma saya beritahu pulang awal sebab pening lagi, walaupun dah reda sikit, sebab lebih senang menerangkannya berbanding untuk ceritakan saya nak balik menulis dan nak beli mi goreng ayam tempat lain. Tapi kesudahannya tak sempat juga nak beli mi goreng ayam sebab restoran mamak tu dah tutup dah. Saya fikir kita perlu kembalikan zaman kegemilangan mamak dua puluh empat jam sebab mamak yang buka dua puluh empat jam sekarang ni masak tak sedap. Rahmath okey lagi, tapi jauh. Ya, jangan tanya kenapa saya tak beli saja kat Rahmath tadi. Inilah namanya cabaran hidup. Tanpa kepahitan, manakan dapat kita hargai kemanisan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan