Saya fikir dalam masa kita semua sibuk dengan meme dan jenaka 'menahan diri dari impressed dan menjadi petaksub DSAI', saya selalu perhatikan perkara-perkara kecil yang saya patut sadur dalam diri saya sendiri. Mungkin ini ciri pentaksub - tapi ye kot, ia dari sudut positif. PMX memang dari awal boleh nampak dia seperti membuat keputusan dan perkara-perkara kecil yang mungkin tak berapa popular, tapi perkara kecil inilah sebenarnya asas, dan di mana semua orang boleh terasa kaitannya; tapi tiada siapa mahu sebutkannya kerana ia rasa seperti remeh temeh.
Berat badan saya telah kembali seperti waktu 2014 - waktu saya gemuk dan ambil keputusan untuk kuruskan badan hingga pada 2015 saya berjaya buang dua puluh kilogram berat badan. Saya berjaya kekalkan berat sehingga 2021, dan sekarang, sudah hampir kembali dapat dua puluh kilogram itu semula.
Dalam sela waktu setahun ini memang saya sedar berat saya semakin naik, dan ada beberapa langkah saya buat tapi semua sekerat-sekerat jadi memang tak berjaya. Mungkin kerana kebanyakan masa sebab saya seorang pelengah. Jadi, bila PMX mula menjadi fokus, saya sering perhatikan perkara-perkara kecil (semua orang perasan, cuma mungkin anggap ia tak penting) kerana saya fikir inilah peribadi beliau. Antara yang saya suka ialah tuang nasi yang disediakan pada pinggannya ke pinggan sebelah - menunjukkan memang makan sikit. Dan selalu juga nampak dikongsi, dari sebelum jadi PMX lagi, aktiviti riadah dan bersukan - selalunya berjoging. Waktu habis kerja di pejabat pun, masih sempat pergi berjoging pada waktu petang. Ada lagi satu, pernah nampak klip pendek anak perempuan beliau, yang kata kalau berjalan dengan PMX kena jalan laju, malah rasa lebih laju dari dia berlari anak. Semua ini memang perkara kecil tapi inilah rahsia terbuka untuk kekal sihat tubuh badan pada lanjut usia. Dan buat jadi cergas - fizikal dan mental. Maknanya semuanya dilakukan dengan pantas. Saya sebagai pelengah selalu rasa untuk bermalas-malas, walaupun bila fikir semula, entah apa yang halang saya untuk buat semua benda ni - tak ada, cuma sikap pemalas saja.
Jadi, mengambil semangat PMX, saya cuba atasi sikap pelengah saya dengan melakukan lebih banyak aktiviti berbanding asyik berdalih dengan diri sendiri. Semoga saya istiqamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan