Setel hari pertama. Ke kedua?

Setelah agak lama tak menunggang cafe racer, hari ni aku ke Dos Cafe dengan cafe racer. Walaupun macam biasa sentiasa ada rasa tak yakin, aku redah je. Lagi-lagi masa nak panaskan enjin tiba-tiba bateri macam nak kong. Nasib boleh hidup dan selamat sampai.

Dos Cafe terletak di Seksyen 9, Shah Alam dan aku agak cam juga kawasan ini sebab dulu pernah kerja di kafe Plaza Shah Alam. Sebelum gerak, aku buka Google Map dan tengok kat mana kawasan dia dan segera tahu lah. Jadi sepanjang perjalanan aku tak buka peta dan tak pakai fon telinga pun. Sebelah lot Dos Cafe ada parkir motor yang luas, memang syok juga.

Ada dua sebab aku datang ke sini, buat kali pertama, walaupun memang dah dari sejak beberapa tahun lepas aku bercadang untuk datang (tapi memikirkan Shah Alam, aku rasa malas, tapi lepas datang, okey la Shah Alam belah sini) cuma baru hari ni dapat sampai. Tujuan utama memang untuk berada di sekitar acara penjualan Wiskipop edisi tebal secara bersemuka dan kedua sebab nak merisik untuk masuk kerja di Dos Cafe. Lain-lain tak fikir sangat, tapi lepas tu ya, aku kena berasimilasi dan bersosial dengan orang lain dan buat aku sedar skill komunikasi aku agak tumpul dan kena perbaiki - mungkin sebab dah lama sangat tak jumpa orang asing. 

Secara jujurnya aku pun tak tahu kenapa aku nak masuk ke dalam bar balik; mungkin sebab rasa dah lama sangat tinggalkan kopi, atau mungkin aku patut menimba semula pengalaman tentang kopi, atau aku patut kembali berada di khalayak untuk memahami situasi; entah; tapi rasanya ia macam perkara yang harus dilakukan untuk tahun depan. Mungkin sebab aku boleh mula kembali berada di dalam situasi yang selamat. Setakat tadi, perbincangan nampak berjalan baik dan akan ditentukan esok. Aku pun tak fikir lagi bila patutnya aku nak melapor diri dan bagaimana jadual aku patut disusun. 

Tadi juga jumpa beberapa kenalan baru, jumpa Jayzuan, dia memang sangat ramah. Dia memang tak ada masalah untuk berbual dengan orang asing dan sangat terbuka dalam perbualannya. Tak rasa janggal berbual walaupun kali pertama berjumpa. Aku je yang kekok, bukan saja dengan dia, rasa dengan semua orang pun iya juga. 

Oleh kerana rasa bateri sosial sudah agak hampir habis, lepas habis acara aku terus balik. Tapi sebenarnya tak terus sangat pun. Sebab tiba-tiba cafe racer tak nak hidup. Aku dah boleh agak punca dia sebenarnya. Aku rasa aku tertekan suis lampu tambahan dan ia terbiar menyala untuk waktu yang lama juga. Memang aku sengaja biarkan suis itu boleh nyalakan walau tak hidupkan enjin, aku fikir itu salah satu cara nak periksa bateri kong ke tak. Sekali rupanya ia boleh buat bateri kong kalau terbiar hidup. Aku tak tahulah kalau aku yang terhidupkan aku ada orang gatal tangan pergi tekan suis.

Masa aku sedar lampu menyala, aku matikan dan periksa kalau odometer masih boleh hidup kalau aku hidupkan kunci. Memang odometer hidup, tapi aku tak cuba hidupkan enjin. Tapi nasib baik aku tak terus cuba sebab macam gelabah juga sebab acara tak habis. Sekurang-kurangnya bila acara dah habis, aku tenang sikit sebab bersendirian. Jadi odometer elektronik hidup tapi tak boleh nak hidupkan enjin. Oleh sebab cafe racer ni tak ada penghidup enjin guna kaki, hanya ada penghidup elektronik, aku hanya terfikir satu cara saja - iaitu hidupkan dengan tolak. Cafe racer ni dah la berat, walaupun kat situ macam curam sikit tapi tak cukup kuat untuk tolak, lagi pula model ni memang terkenal dengan brek sangkut. 

Tapi aku cuba juga. Aku masuk gear satu, tarik kelac lepas tu tolak dan lepas kelac. Tak hidup. Lepas aku cuba beberapa kali tapi masih tak berjaya, dah rasa nak panik dan putus asa juga. Tapi rasa macam ketika tu masih awal lagi, belum sejam menolak (haha) aku cuba lagi sekali. Lepas tu aku baru teringat, yelah, kalau guna gear satu memang susah nak hidup kot. Jadi aku guna gear dua. Alhamdulillah, sekali cuba je dah hidup. Tapi sepanjang perjalanan cuak juga sebenarnya. Tapi macam biasa, redho je lah.

Esok pula nak ke Nalasukma dan aku fikir okey lah, naik cafe racer lagi. Harap esok pun tak hujan jugak. Lepas ni harap aku lebih banyak menunggang cafe racer dan paling penting, baiki brek - depan dan belakang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan