Sebenarnya aku lupa nak tulis pasal Wayang Budiman minggu lepas walaupun sebenarnya filem yang ditayangkan minggu lepas tu kira boleh masuklah. Secara jujurnya memang aku awal lagi dah skeptik untuk filem keluaran tahun tujuh puluhan atau lapan puluhan sebab aku rasa sekitar Asia Tenggara ni masih punya feel yang sama - maksud aku dari segi teknologinya yang diterjemahkan dalam tona warna, yang buat semua filem-filem ini seakan sama. Mungkin boleh kata ia boleh dikenalpasti dari era mana berdasarkan warna filemnya. Senang cakap macam kita tengok filem-filem arahan Jins Shamsudin jadi kita dah boleh agak latar cerita dan kecenderungannya. Kira pada aku susah juga la sebenarnya nak menilai sebab aku bukan pelajar jurusan filem.
Untuk sesi tayangan minggu lepas, masih lagi dalam slot Adikarya Filipina dan berdasarkan komen beberapa pengunjung tetap Wayang Budiman, memang selalunya filem dari arahan pengarah Filipina akan menjadi tarikan. Oleh sebab aku tak pandai menilai perkara-perkara yang teknikal atau falsafah, aku cuma bergantung kepada perjalanan cerita dan mungkin, lakonan.
Cain And Abel (1982) ni aku suka sebab jalan cerita dan juga perkembangan wataknya. Senang cakap cerita dia boleh kata macam random juga - ia bermula dengan anak sulung sedang cuba menyakinkan ibunya untuk beli traktor untuk kegunaan di ladang, dan berakhir dengan anak sulung tadi saling tembak menembak dengan adiknya (dua beradik je) di antara kumpulan samseng slash penjenayah di dalam hutan (kedua-duanya mati). Walau ia kedengaran agak random, tapi perlahan-lahan kita berjalan di antara cerita yang mengaitkan dan beberapa insiden (plot) yang menarik - semua oleh perkembangan watak yang nampak macam tipikal tapi sebenarnya tidak, dan juga pada watak yang nampak macam tipikal, tapi sebenarnya lebih tipikal dari tipikal. Haaa pening. Tapi cerita ni tak pening pun, dia memang boleh kata takde berlapik sangat pun.
Aku rasa ni pun antara satu benda yang aku perasan kali ni, tak ramai yang komen tentang syot atau bingkai yang cantik. Rasa macam tak ada gambar yang memukau sangat dalam filem ni, atau mungkin juga yang hadir tak ada yang perhatikan hal ini, jadi tiada siapa yang sebut. Memang banyak cerita tentang hal penceritaan dan watak. Mungkin ada kaitan tentang perhubungan antara adik beradik dan ia mungkin rasa peribadi.
Rasanya ada lagi satu aspek yang tak begitu dibincangkan dalam sesi bual santai, iaitu dari aspek teologi. Yalah, tajuk pun dah nampak keagamaan (biblikal bak kata Doktor Norman)(tapi oh, tak ada watak nama Abel atau Cain) tapi ia tak begitu disentuh malah dalam filem pun. Ada babak berdoa di depan patung Holy Mary (maaf tak begitu pasti patung apa sebenarnya sebab ada beberapa patung) tapi setakat itu sajalah. Mungkin ada yang tak tahu, Abel dan Cain ni adalah seperti kisah Habil dan Qabil, yang disebut di dalam Injil. Tapi filem ni tak adalah sebiji jalan cerita macam Abel dan Cain, boleh kata hanya perwatakan yang diadaptasi, ceritanya dah jadi lain (atau mungkin juga ia sebagai satu bentuk kritikan terhadap agama tentang berat sebelah? Tapi aku fikir tak kot. Sebab tu aku rasa sayang juga semua tak bincangkan sangat aspek ini).
*
Dalam hal yang tak berkaitan (ke berkaitan?), aku rasa dalam banyak-banyak sesi Wayang Budiman, aku rasa macam lebih cenderung kepada filem-filem dari India. Ini agak kelakar juga sebab aku memang tak suka filem Bollywood. Boleh jadi sebab ia pernah jadi kegilaan, jadi aku rasa jengkel, lagi-lagi filem Bollywood banyak sangat lagu dan menari yang aku rasa tak relevan langsung dengan cerita. Tapi filem dari Tollywood aku gemar juga tonton sebab ia suka melanggar hukum fizik dan akal. (Sebenarnya aku main palatao juga ni, tapi senang cakap aku tak minat cerita Hindustan tapi boleh layan cerita Tamil, tapi kena langkau bahagian nyanyian dan tarian). Jadi, ia agak berbeza dengan filem-filem yang aku tengok kat Wayang Budiman - ada filem yang langsung tak ada nyanyian dan tarian.
Lagipula, filem-filem itu lebih kepada dirty realism atau realisme radikal; atau senang cakap drama la, memang subjek kegemaran aku sebab aku pun menulis dalam spektrum yang sama (walaupun ia berbeza latar dan perjuangannya). Aku masih teringat tentang hal kasta paling rendah dalam filem Koozhangal. Atau keperihan bertahan di tanah air sendiri berbanding hijrah ke luar dalam filem Garam Hawa. Kadang rasa macam cemburu juga boleh tulis cerita-cerita yang betul-betul kemanusiaan seperti ini. Ia rasa dekat walaupun budaya kita berbeza. Dan itu yang aku tak dapat rasa waktu menonton Spilt Gravy On Rice. Aku ingat aku je yang rasa macam tu, tapi bila tanya kawan-kawan di Wayang Budiman yang dah tonton, rasa filem tu sangat asing dan janggal. Memang aku sendiri terfikirkan yang label busa Bangsar bila menonton filem ni dan rupanya sudah ada yang berikan reviu yang sama (sebab mereka tonton di wayang, aku tonton di Netflix, jadi aku tonton lambat sikit).
Rasa macam banyak yang tak kena dengan filem tu, dari segi watak dan dialog dan juga plot. Bak kata orang, rasa kebanyakannya watak, dialog dan plot sangat cringe. Ada juga babak yang menarik dan aku suka, tapi banyak babak yang menaikkan kening.
Aku tak bercadang nak ulas, tapi aku rasa antara yang patut aku sebut ialah aku rasa watak bapak dan lima orang anaknya tu semua sama je. Walaupun cuba ditunjukkan semua ada karakter dan perangai yang berbeza, tapi di dalamnya, semua sama macam bapak. Macam ada enam watak bapak di dalam filem ni, cuma berbeza usia dan jantina. Tu je. Lain semua sama. Dan sekarang, aku akan cuba tunggu untuk babak apa yang akan terlintas dalam kepala aku lepas beberapa ketika nanti.
Atau mungkin akan tak terlintas langsung?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan